ANDAINYA BERLAKU DI KELANTAN/TERENGGANU?

Sesungguhnya kita merasa amat berdukacita di atas kejadian atau bala' yang berlaku di Taman Medan baru-baru ini. Kejadian yang seolah-olah menghampiri sejarah 13 Mei yang berlaku di Negeri Selangor iaitu Negeri termaju, termoden dan pesat membangun di bawah pemerintahan UMNO/BN yang diketuai oleh pemimpin muda Khir Toyo itu amat membimbangkan kita.

Kita samasekali menolak dakwaan bahawa itu satu kejadian atau rusuhan perkauman dan kita memang bersetuju dengan kenyataan pihak Polis bahawa keadaan negara kini terkawal. Memang juga telah dijangkakan, sepertimana kejadian di Sauk bahawa akhirnya pihak pembangkang akan terus dijadikan `kambing hitam' oleh puak-puak tertentu. Media arus perdana sepanjang malam cuba mengaitkan krisis ini dengan berbagai isu termasuk isu perpaduan yang cuba menunjukkan bahawa PAS dan KeADILan sememangnya tidak mahu kepada perpaduan. Mereka juga menuduh bahawa parti pembangkang telah cuba menghasut penduduk-penduduk di kawasan tersebut dengan mengedarkan risalah-risalah serta khabar-khabar angin.

Mengapa ini berlaku? Ini tidak lain kerana kekacauan tersebut berlaku di dalam Negeri Selangor yang dipimpin oleh Kerajaan UMNO/BN. Jika dahulu kita dimomokkan dengan cerita dongeng bahawa jika PAS memerintah, akan berlaku huru-hara antara kaum dan sebagainya. Tapi, apabila PAS telah memerintah selama beberapa tahun di Kelantan, alhamdulillah, belum lagi terjadi kejadian seumpama ini. Oleh itu, kita mulai berfikir bahawa tidak rugi jika kita memilih kerajaan Islam yang memerintah dan tidak juga menjamin kebahagiaan jika kita memilih kerajaan yang hanya mementingkan pembangunan dan kebendaan semata-mata. Mungkin kita boleh bayangkan sekiranya krisis ini berlaku di Negeri Kelantan atau Terengganu. Berapa tahunkah agaknya isu ini akan dimainkan melalui media-media massa? Tidak mustahil negeri-negeri ini akan dijadikan contoh betapa kacaunya jika Islam memerintah. Alhamdulillah, kedua-dua negeri ini tetap aman, rakyat berbilang kaum hidup rukun damai. Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam kita harus yakin bahawa bala' Allah itu tidak akan menimpa orang-orang yang berlaku zalim semata-mata, tetapi juga akan turut menimpa kita kerana kita gagal menentang kezaliman tersebut. Ini terbukti apabila berlaku kejadian di Taman Medan, semua pihak merasa bimbang dan bersusah hati. Maka, pimpinan Barisan Alternatif telah menampakkan kesungguhan untuk cuba menyelesaikan krisis ini meskipun mereka menyedari bahawa tindakan murni mereka ini akan dipolitikkan.

Marilah kita bersama-sama berfikir dengan jujur dan memohon kepada Allah agar memberi petunjuk kepada kita jalan yang sebenar-benarnya yang diredhai. Janganlah kita menuduh UMNO, PAS atau KeADILan yang menjadi punca semua ini. Salahkan diri kita yang masih buta dan pekak kepada peringatan Allah. Semoga Allah selamatkan rakyat dan negara tercinta ini dan memilih pemimpin yang akan mendaulatkan Islam agar kita dapat melihat betapa janji-janji Allah itu benar belaka.

PENCINTA KEDAMAIAN, 

MASSURIA NS