MGG 6401

Pengkhianatan Untuk Penubuhan PAS Baru 
(Chiaroscuro: *Perfidy Now For A PAS Baru Later)

*Artikel  asal  ada  di CHIAROSCURO  di  Malaysiakini.

Perundingan perpaduan Melayu  masih tergantung  lagi. UMNO yang amat memerlukannya  untuk terus bernafas lega.  PAS  akan bersetuju  untuk  meneruskan perundingan seandainya  UMNO sanggup  menunjukkan  keikhlasannya.  Sikap  inilah  yang nampaknya  memang berkurangan di dua buah  pihak.  Setiap  pihak  bergerak  untuk  memperlekehkan saingannya, agar menyulitkan perundingan  itu kerana sebuah  parti akan berada dalam keadaan yang tertekan.

Kerajaan Negeri Terengganu telah menyaman  Petronas untuk  mendapatkan  royalti yang telah diculik oleh kerajaan pusat  setelah  membayar negeri itu sebelum ini selama 21 tahun dan bernilai RM7 bilion, banyaknya. Penculikan wang  itu  dilakukan  oleh kerajaan pusat  sebaik sahaja  PAS  memenangi   kuasa  pentadbiran  negeri   pada pemilu  1999 yang  lalu. Penculikan wang  royalti  itu  dilakukan untuk  mengenakan tekanan terhadap PAS.

Polis telah  pun  mengenakan  tuduhan hasutan terhadap  PAS, dalam   satu mainan politik untuk menabur  tohmahan kerana terjadinya   pergaduhan  kaum  di kawasan perkampungan setinggan Jalan  Klang Lama di  Petaling  Jaya.  Keadilan turut terpalit    kerana kenyataan bersama yang  dibuat  oleh pemimpin mereka  mengenai pergaduhan itu.

Perdana Menteri telah  membuat ulasan  utama  mengenai pergaduhan  itu dan menuduh pihak pembangkang, mengikut  ragamnya yang terlalu  mudah  untuk  bertelagah. Pihak pembangkang yang bersalah, katanya  kerana membuatkan orang Melayu  menyanggah kerajaan dalam pergaduhan kaum itu.

Secara berkias dia  menerima hakikatnya  betapa Barisan Nasional dan UMNO, kerajaan  dan parti, telah  sengaja  mengabaikan  golongan rakyat  marhaen secara  bersistem dan beragenda  yang  menghuni  perkampungan   setinggan  di  seluruh  negara kecuali apabila munculnya musim berkempen  untuk  pilihanraya.

Orang  Melayu  Yang  Terpinggir

Ketika dia merancang  pengaiban  dan kejatuhan bekas  timbalan   perdana menteri, Dato’ Seri  Anwar  Ibrahim, orang Melayu  terasa  diri  mereka  terpinggir  dan meluru memberikan sokongan terhadap  Anwar.  Sekaligus  mereka  menolak  Barisan Nasional  dan UMNO, hari demi  hari.

Kerajaan dan  Barisan  Nasional  tidak  berupaya  untuk  campur tangan meredakan keadaan yang  tegang  di   penempatan  setinggan  di  selatan Petaling  Jaya itu setelah membiarkan mereka hidup  merempat  sekian  lama.  Yang menyulitkan  lagi  ialah kehadiran tangan  ghaib  yang  seolah-olah  mengokestrakan  rentak dan  ragam cetusan pergaduhan  kaum itu.

Apabila  PAS  dan  Keadilan  diugut dengan Akta  Hasutan,  tindakan  itu lebih cenderung untuk  menabur tohmahan.  Parti-parti politik memang jarang dituduh  kerana menghasut, walaupun  para pegawai parti  politik itu mungkin boleh  dikenakan tuduhan itu. Jika tidak,  tentulah  Keadilan  yang  dikenakan  tuduhan  dan  bukannya ketua pergerakan pemuda, yang sedang menanti  perbicaraan  kerana  tuduhan  itu.

Kenapakah  tuduhan  itu  melibatkan  PAS dan  Keadilan?  Adakah tujuan  sebenar untuk menghenyak PAS pula?  Seandainya  PAS  dikenakan  tuduhan  menghasut dan didapati bersalah  seperti  keghairahan  yang  mahu   mengenakannya, tentu  sekali ini akan mencetuskan kesan yang  amat  buruk.  Parti  itu  boleh  diharamkan  seperti yang berlaku kepada UMNO pada 1997;  permit untuk  menerbitkan HARAKAH  setiap  dwi minggu itu  akan ditarik balik  dan  akan  menyulitkan  pergerakan PAS.  Besar  kemungkinannya PAS terpaksa  memohon lesen  menubuhkan  PAS  Baru  yang  akan membabitkan  satu pra syarat yang  termasuk  pengguguran  perkataan ‘Islam’  daripada nama  parti dan banyak syarat lagi.

PAS  pasti  tidak  akan  berganjak daripada  pendiriannya  menghadapi usaha UMNO untuk meraih  sokongan  Melayu  kembali  dan Keadilan  pasti akan terus memberikan cetusan igauan yang amat digeruni oleh  UMNO.

Sokongan Yang Menghilang

Bagaimanapun cara   merenung perkara  ini, PAS  ternyata  unggul untuk membelasah  setiap langkah  silat yang mahu dibuka oleh  UMNO dan  Keadilan akan  terus  unggul sebagai pencabar untuk  meraih banyak sokongan orang Melayu. Saya  tidak  meramalkan betapa tindakan terhadap PAS  itu akan mengena juga  seperti  yang  digambarkan.  Soal pokok sekarang  ialah  kenapakah  bodoh  sangat  UMNO sehingga mencetuskan  sikap culas  di kalangan  PAS  untuk duduk  semeja  berunding  mengenai  perpaduan Melayu  itu?

Kalau inilah  niat  UMNO  adalah   satu  kesilapan untuk meneruskan  perundingan  itu. Pada 1987, Perdana Menteri  merencana agar  UMNO  dibubarkan  kerana mahukan musuh ketatnya, Tengku  Razaleigh Hamzah  antara  manusia  yang  banyak, yang  dijauhi dari hembusan nafasnya.

Kini,  Mahathir  tidak lagi  berupaya   mengatur  rentak dalam parti, kerajaan dan negara  seperti  dulu kala. Dia sedang terkapai-kapai untuk  mengekalkan  apa juga cebisan kuasa yang  dapat  melegakan  rentak degupan  jantungnya.  Dia beranggapan bahawa perjuangannya  itu dapat  dipermudahkan  kalau  dia terus  menyakat pihak pembangkang. Tidak  semudah  itu.  Dia  masih  belum lagi   menjejakkan  kakinya  melawat keadaan Kampung  Medan.  Itu adalah satu  contoh  cabaran yang  perlu dihadapinya. Di sana nanti dia akan  diperlekehkan,  diejek dan  mungkin lebih  teruk  lagi akan dihadapinya sebagai satu  kenyataan  untuk  menguji  perjalanan degupan  jantung dan rentak nadinya.

Dia  masih  berkhayal  bahawa  perpaduan Melayu itu akan  digembeling kembali dengan UMNO berada terus  sebagai  pemimpin unggulnya.  Alangkah  dangkalnya  anggapan  ini sedangkan PAS  dan Keadilan  sudah  berada  jauh  di hadapan untuk  mencabar kenyataan yang ketinggalan zaman. Kerana  itu  jalan pintas ialah  untuk  mengenakan PAS dengan tuduhan  menghasut.

Adakah saya  menggunakan  perkataan ‘sabit  kesalahan’?  Memang,  seperti juga fiasko yang  menghantui  Anwar,  PAS  boleh  disabitkan  kesalahan  kalau  ia dikenakan tuduhan. Yang  pastinya,  dari  segi  politik  ataupun  budaya,  UMNO  tidak  akan merelakan PAS dibebaskan  daripada  tekanan  itu.  Inikah  dia perpaduan Melayu?

-MGG  Pillai- pillai@mgg.pc.my Jumaat  16 Mach, 2001.

Komen  Penterjemah:

Mahathir  terkenal sebagai  seorang yang  tidak  menggemari  sukan.  Kerana  itu selama bermaharajagila  dia menentukan setiap   Menteri  Sukan lantikannya   adalah seorang insan  yang  tidak faham  akan  makna bersukan  yang  sebenar. Kalau adapun jenis sukan yang digemari oleh Mahathir ialah menunggang kuda. Itupun  satu jenis riadah  yang dianutinya  ketika sudah tua usianya.  Tetapi  Mahathir   amat pintar  bermain politik kerana itulah  sukan untuknya dan kepadanya. Dalam mainan politik itu  dia masih beranggapan  semua orang  kelilingnya adalah laksana kuda untuk  ditunganggnya sahaja.

Para pemimpin  PAS  dan  sebahagian  besar pengikut  PAS menceburi politik kerana  itu adalah  sebahagian  proses bertaqwa  dalam hidup mereka. Kerana  itu  setiap gerak  dan langkah  yang  mahu  dipertarungkan oleh PAS dalam bersemuka dengan Mahathir (tidak semestinya  dengan UMNO) didahului dengan banyak  beristigfar, bertahajud dan berisitkarah. Malahan bersujud khusyuk di depan Kaabah. Ini bukannya  bentuk sukan ataupun  permainan tunggang-menunggang.

Sejarah  akan  menentukan, apa juga  analisis  para pakar  politik dan sosio-ekonomi, APA JUGA  BENTUK  RAMALAN YANG  DICATURKAN  oleh  Mahathir  sendiri  dalam permainan Mahathir ini,  ia  hanya  merupakan peleceh dalam satu  permainan sahaja. Selama ini, orang  Melayu khasnya dan rakyat  marhaen amnya, hanya  masih  bermain  kecil dengan mainan besar  Mahathir.   UMNO  dan  Mahathir  belum melihat  apa  sebenarnya rintangan rakyat  marhaen  yang perlu  dilaluinya.

Apabila rakyat  bangkit  laksana  gelombang,  ratusan  kereta  pancutan  air asid dan ribuan laras  senapang yang dipegang  oleh  gestapo  Mahathir  tidak akan mampu meredakan gelombang  itu. Hanya  di waktu  itu  barulah  Mahathir  dan  hanya segelintir bajingan  dalam  UMNO  akan  sedar apakah itu permainan politik  Melayu sebenarnya. Di waktu  itu nanti  pancutan  air asid adalah laksana air bunga rampai dan ledakan  bom asap adalah laksana dentuman  bunga api. Kalau peluru betul pun  yang akan ditaburkan ia akan merupakan taburan bertih berwarna  sahaja.

Apabila gelombang rakyat  mula beralun, badai belantan  dan rotan bukan mainannya lagi. Mahathir serta  para  jongosnya  serta  seisi  rumah  mereka  harus  sedar fenomena ini. ‘Kun Fayakun’ kata  Allah, terjadilah ia nanti.  Inilah   seruan jihad  yang dinanti-nanti  yang  akan  mendahului Akta Hasutan  dan  sebarang  rintangan buatan regim manusia  yang berhati syaitan. Daripada  Allah kita  datang, kepada-Nya kita pulang. Yang  membezakan ragam perjalanan hidup  ini ialah  ketaqwaan  dan  jihad  juga. –MT-