Pengguguran perkataan 'Islam' pada pertubuhan:
Majlis Raja-raja akan umum keputusan

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - PAS dan semua pertubuhan yang menggunakan perkataan 'Islam' pada nama pertubuhan mereka berkemungkinan besar terpaksa menggugurkan perkataan tersebut daripada nama pertubuhan masing-masing.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dato' Dr Ismail Ibrahim, berkata 'fatwa' berhubung perkara itu telah dibuat oleh majlis berkenaan pada 12 Feb lepas setelah diminta berbuat demikian oleh Raja-raja Melayu yang memandang berat tentang 'perpecahan' yang berlaku di kalangan orang Melayu dan umat Islam sejak akhir-akhir ini.

Menurut beliau, cadangan tersebut akan melibatkan parti politik serta semua pertubuhan lain seperti pertubuhan-pertubuhan kebajikan Islam, Bank Islam dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), tetapi tidak merangkumi pertubuhan yang menggunakan perkataan 'Melayu' sebagai nama masing-masing.

Bercakap pada sidang akhbar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, Dr Ismail berkata, Majlis Fatwa telah menyerahkan cadangan berhubung perkara itu kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang akan mengemukakannya pula kepada Majlis Raja-raja Melayu untuk diteliti dan diumumkan.

"Kami telah membuat cadangan berhubung isu ini dan kita akan tahu keputusannya apabila Majlis Raja-raja bersidang kelak," katanya.

Menurut laporan Bernama, Persidangan Raja-raja Melayu ke-188 akan diadakan pada Rabu dan Khamis depan.