5)

Assalamu'alaikum wrt wbt!

Alhamdulillah!

Nampaknya kesedaran tentang kesilapan GAH telah mula tersebar. Juga sudah ada pihak yang mula mengambil perhatian serius dengan dakyah GAH ini. Maka dengan demikian, sebahagian daripada objektif saya menulis siri ini telah tercapai. Syukur ke hadratNya yang memberikan saya "peluang" ini, juga doa saya semoga usaha menggempur GAH ini akan terus dipergiatkan, demi menjaga keutuhan dan kemurnian pegangan para penganut Islam seluruhnya.

Marilah kita sambung kepada satu lagi faktor yang saya fikirkan menjadi penyumbang kepada kesesatan GAH.

5) Prasangka buruk malahan menghina orang-orang mukmin/muslim:

Sifat ini dapat kita perhatikan apabila kita membaca isi dan cara penyampaian dakyah mereka. Mereka bukan sahaja menganggap bahawa umat Islam kini (selain daripada mereka) sebagai golongan yang tidak membaca al-Qur'an, malahan jika membaca pun, bodoh dan tolol sehingga tak faham isinya. Selanjutnya, mereka menuduh umat Islam terutama yang cuba menentang fahaman mereka sebagai memutar-belitkan kenyataan al-Qur'an (dengan membawa banyak ayat yang sebenarnya ditujukan kepada para pendita Yahudi dan Nasrani), bersifat jahat dan menipu demi untuk keseronokan hidup di dunia.

Kemuncaknya, secara terus-terang, mereka mengisytiharkan bahawa seluruh umat Islam kini (kecuali mereka) sebagai sesat, fasiq, munafiq dan seterusnya kafir; terlontar jauh daripada ajaran Islam yang

sebenar. Na'uzubillahidzaalik (kita memohon perlindungan dengan Allah daripada sifat-sifat demikian)! Inilah antara rentetan tuduhan mereka yang saya dapati setelah beberapa bulan menjadi 'dormant receiver' terhadap dakyah-dakyah mereka. Amat jahat dan keji sekali dakyah yang mereka lontarkan, yang mudah saja membangkitkan kemarahan sesiapa yang membacanya. Dalam hal ini, saya menyanjung usaha pihak maintainer yang telah cuba sedaya menapis, kerana jika dakyah-dakyah sebegini jika dibaca oleh golongan yang kurang sabar dan lekas melenting, mereka mungkin akan bertindak tidak keruan yang hanya akan merugikan diri sendiri, malahan ikhwan yang lain. Malahan, lebih dikhuatiri, kalau-kalau ada nanti segelintir penjaring yang terpengaruh dengan dakyah mereka.

Sikap begini tentulah dilarang oleh Islam kerana ia merupakan batu api kepada permusuhan, perpecahan serta kesesatan. Antara dalil daripada al-Qur'an sendiri ialah beberapa potong ayat daripada surah al-Hujurat yangbermaksud:

1. "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kaum lelaki menghinakan kaum lelaki (yang lain), ...." [ayat 11]

2. " Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, kerana sebahagian prasangka itu ialah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari 'aib orang dan janganlah setengah kamu mengumpat yang lain...." [ayat 12].

Sifat di dalam contoh 1, adalah sifat yang menjadi asas kepada timbulnya sifat sombong, 'ujub dan takbur kepada diri seseorang lalu mengatakan dirinya adalah lebih baik dan seterusnya. Kalau kita mendalami ilmu tassawuf, kesemua sifat di atas adalah sifat-sifat mazmumah yang menjadi benteng di antara hamba dengan Tuhannya,yang membuatkan seseorang itu jauh daripada rasa kelazatan iman, jauh daripada kebenaran (i.e. sesat).

Manakala sifat ke-2 pula adalah sifat yang akan merobek kedamaian dan mencetuskan persengketaan.

Natijahnya, kebenaran dan kemanisan Islam tidak dapat dikecapi, malahan penumpuan terpesong daripada

pengkajian dan penghayatan Islam kepada persiapan untuk " saling mengalahkan sesama sendiri". Sudahnya, sifat ini mendorong kepada kesesatan dan kemusnahan jua. Antara contoh yang selalu dicanangkan oleh puak GAH ini termasuklah: 

i) Mengatakan orang Islam kini bodoh/tertipu dan telah kafir kerana mengerjakan sembahyang fardhu LIMA kali sehari padahal telah termaktub didalam al-Qur'an (mengikut kefahaman mereka yang sesat) hanyalah TIGA sahaja. Antara dalil yang sering mereka bawa ialah ayat 238, surah al-Baqarah yang bermaksud:

 "Hendaklah kamu menjaga solat-solat (solawaat) dan solat wustha (yang ditengah)". 

Kebetulan saya terbaca ayat ini pada pagi tadi, maka dengan pertolongan Allah, terdetik di hati saya (Alhamdulillah! Tiadalah kebenaran itu datang melainkan daripadaMu jua) bahawa ayat ini sendiri secara jelas menyangkal kefahaman mereka. Seterusnya saya mengkaji satu ayat lain yang sering mereka cantumkan sebelum membuat kesimpulan bahawa hanya tiga sembahyang yang difardhukan iaitu ayat 114, surah Hud, maksudnya:

"Dirikanlah sembahyang pada waktu dua tepian siang (tarafayin-nahar) dan sebahagian daripada awal (zulafan atau zulafun) malam,...."

 Dengan berbekalkan sedikit pengetahuan tentang selok-belok bahasa Arab, maka bersyukurlah saya kerana dapat menyimpulkan bahawa apabila diperhatikan secara teliti, kedua-dua ayat di atas sebenarnya merujuk kepada sembahyang lima waktu, bukannya tiga! Perhatikan pada ayat pertama, perkataan yang digunakan adalah "solawaat" iaitu perkataan jamak kepada solat. Dalam tertib bahasa Arab, perkataan solat adalah mufradah (singular), solatan (dual) manakala solawaat pula adalah dalam bentuk (plural) jamak mu'annas. Maka tidak mungkin ayat pertama tadi (solawat) merujuk kepada 2 sembahyang, tetapi mestilah 3 atau lebih. Ada pun perkataan 'wustha' merujuk kepada sesuatu yang berada "di antara" atau "ditengah". Maka, perkataan 'solawat' yang dirujukkan di sini patutlah merujuk kepada bilangan genap, iaitu 4 atau lebih, supaya 'solat wustha' boleh betul-betul berada 'di tengah-tengah/ di antara' secara saksama (unbiased).

Maka memutuskan bahawa ayat ini merujuk kepada hanya TIGA kali sembahyang fardhu ternyata sekali salah, bahkan nombor minima yang mungkin ialah LIMA(4 + solat wustha). Apabila kita cantumkan faham ayat ini dengan ayat yang kedua, ternyata sekali yang dimaksudkan di sini adalah LIMA. Ini kerana perkataan pertama (tarafayin -lit: 2 tepian) secara jelas merujuk kepada dua (kebanyakan terjemahan pun telah menterjemahkan sebegini). Mengikut para pentafsir, yang dimaksudkan di sini ialah solat Subuh dan solat Dzuhur. Begitu juga perkataan zulafan adalah perkataan yang bersifat plural (jamak) terhadap perkataan 'zulfatun' yang membawa maksud 'yang mendekati' atau 'menghampiri'. Oleh kerana ia berbentuk jamak, tentulah ia berbilang tiga atau lebih. Menurut para mufassirin, waktu-waktu tersebut ialah 'Asr, Maghrib dan 'Isyak, iaitu waktu-waktu yang jelas berkaitan dengan malam.

Inilah juga kaedah utama yang perlu diambil oleh para pentafsir al-Qur'an, iaitu mentafsir ayat al-Qur'an

dengan ayat-ayatnya sendiri. Seterusnya, diadunkan dengan panduan ahadith, athar sahabat yang bertindak

sebagai penjelas dan pemudah-cara kepada maksud secara amali. Tidak ketinggalan juga para pentafsir perlu mahir dalam sejarah, bahasa, budaya bangsa Arab kerana ini semua perlu untuk memahami al-Qur'an secara yang sepatutnya. Dengan menggunakan kaedah bahasa Arab, jelas sekali, kedua-dua ayat di atas merujuk kepada sekurang-kurangnya LIMA waktu sembahyang, yang telahpun kita ketahui iaitu sembahyang fardhu 5 waktu. Ialah jumlah MINIMA setiap muslim sembahyang sehari semalam. Untuk sembahyang lebih daripada itu adalah digalakkan. 

Oleh yang demikian, GAH serta sesiapa jua yang beriktiqad bahawa sembahyang yang diwajibkan hanyalah 3 waktu saja adalah jelas menyalahi maksud al-Qur'an dan tergolong di kalangan golongan yang

sesat dan kafir. Untuk meninjau faham al-Qur'an secara keseluruhan, tentulah jalan paling mudah ialah merujuk kepada mereka yang arif (i.e ulama) kerana mereka telah belajar dan mendalami al-Qur'an ini secara bersungguh-sungguh. Di sinilah letaknya kepentingan peranan ulama seperti yang telah saya sentuh pada siri 4. Menaruh buruk-sangka terhadap mereka akan merugikan kita jua. Selanjutnya kita perlu mempelajari al-Qur'an secara sistematik, mengambil panduan daripada as-sunnah dan tunjuk-ajar ulama kerana pengambilan terus daripada al-Qur'an, tanpa panduan dan kelengkapan yang betul, boleh menyebabkan kita sesat, bukan kerana kelemahan al-Qur'an, tetapi kerana kebodohan dan kedegilan kita sendiri yang membelakangi sunnah kejadian kita sendiri.

Oleh kerana sudah lewat dan agak panjang, saya mohon berundur dulu. Doakanlah semoga Allah terus memberikan pertolongan kepada saya dan antum semua dalam menghadapi fitnah GAH dan fitnah-fitnah yang lain. Semoga kita semua beroleh rahmatNya. Ameen! InsyaAllah bersambung...

 

Wassalamu'alaikum ...!

Saudaramu dalam Islam: Rozi Bin Muda