Omong Kosong  Daim 

(Artikel asal ada  di Malaysiakini 23 Mach, 01)

1.42, Jumaat:  Tidak  ramai yang berani  berkepak di pasaran  BSKL kerana sentimen  yang  ditopengi oleh  mainan  volume tinggi  di  saat terakhir setiap  pasaran. Inilah   gambaran  betapa  tiga  kaunter  saham terbesar dikuasai  oleh kerajaan –Telekom,  Tenaga,  Malayan  Banking – dan  menyumbang  sekitar  35  persen  kepada imbangan Indeks Komposit BSKL.

Mainan rangsangan  ini mampu  menjentik naik  indeks komposit,  tetapi  tidak  terdaya  menahan kegelonsorannya. Para  pelabur memang  tidak  yakin untuk menyertai pasaran kalau hanya  untuk  dilocot pelaburannya. Suasana merudum semakin  ketara, walaupun terdapat  pelbagai  usaha  kerajaan  merencana beberapa  skim penyelamat  untuk terus  memberi  nafas kelegaan  kepada  para  kroni yang  rakus  dan  hampir muflis   sehinggakan  berita kaedah menyelamatkan itu   amat  memualkan rakyat marhaen.

Keadaan sudah menjadi  begitu serius sehinggakan menteri  kewangan, Daim Zainuddin memberikan jawapan kepada   beberapa  soalan  yang  dikemukakan di parlimen  selama  dua  hari sebagai  usaha menegakkan benang  basah. Selama  ini  dia  memperlekehkan Ahli Parlimen,  menolak-tepi soalan mereka ataupun enggan  memberi  penjelasan terhadap  tindakannya. Kini dia  tidak  mampu  berlagak sombong seperti  itu. Ahli  Parlimen  Barisan  Nasional  semakin  galak  mahukan jawapan darinya.  

Itulah sebabnya  Daim menjawab soalan yang  dikemukakan  di  parlimen  itu  sendiri,  sambil  akhbar  perdana menerbitkan  jawapannya secara menyeluruh.  Usahanya  itu   satu  omongan  kosong  belaka,  untuk  mempertahankan diri  sahaja  tanpa menjelaskan  apa-apa.  Oleh kerana  soalan  susulan  dikawal  begitu  ketat  sekali, ia  mencetuskan  satu  suasana bahaya  apabila  ahli  parlimen  di pihak kerajaan  pun akan  mempertikaikannya. Kesannya  akan  mengaibkan   martabat  beliau  sendiri  dan  kerajaannya.

Saham  Kencana

Yang menjadikan  keadaan  hangat  sekarang ialah  kisah menyelamatkan  seorang  anak emas Daim  yang  bernama Tajuddin Ramli.  Sebanyak 29.03% (persen)  saham  MAS  milik   Tajuddin  telah  dibeli   oleh kerajaan  dengan  harga  RM8  sesaham, yang  bermakna kerajaan telah  membelinya  lebih  dua kali  ganda  daripada harga pasaran  semasa.

Daim tidak  menjelaskan  kenapa  kerajaan  perlu membayar  hampir RM2 bilion, sedangkan ia  boleh  membeli  jumlah  saham  yang sama di pasaran  terbuka dengan  harga separuh sahaja nilainya. Malahan  apa   perlunya  kerajaan   membeli  saham cara begitu  sedangkan kerajaan  memegang saham emas  syarikat  yang memberinya  kuasa  untuk  menentukan   perjalanan  syarikat penerbangan  itu ?  Cara  pembelian  itu  dibuat selepas  kerajaan membeli  saham pegangan Sultan Brunei pada  kadar RM4 telah  dilihat sebagai satu sikap  yang  menjelakkan rakyat  negara itu.

Yang menakutkan  ialah cara  kerajaan  membelanjakan  wang ketika negara  sedang ketandusan dana untuk  menyelamatkan  syarikat yang kantul. Apatah  lagi  dengan  gelagat  membiayai  projek  dengan  harga  berbilion  ringgit   nilainya.

Simpanan luar   negara   sudah  menggelonsor begitu  ketara sekali. Campukan  pula  puluhan  billion lagi  dalam bentuk  pinjaman  luar yang  dilaksanakan  oleh para  peniaga  Malaysia dalam bentuk  matawang asing  yang tidak pun  termampu  mereka  lunaskan.

Hanya  satu  sumber  kewangan negara  yang bertenaga, Petronas, sedang dihenyak  oleh keperitan  menanggung  beban  syarikat  kosong   dan projek  mega seperti pembangunan  Putrajaya  sehinggakan  Petronas  terpaksa  menjual hasil  petroleum  negara secara  ‘jualan hadapan’ kepada Taiwan dua tahun  yang  lalu. Harga  petroleum  sudah  melonjak naik  sejak  itu, tetapi  Petronas tidak pun meraih nikmat  kenaikan harga  itu seperti  yang dinikmati  oleh Taiwan. Kalau kita  tidak berwaspada, Petronas akan mengharungi  nasib yang  lalui oleh  Pertamina.

Penjelasan Daim di  Parlimen bahawa pembelian saham pegangan  Tajuddin  itu  bertujuan   mempertahankan  kepentingan  negara telah mengejutkan  parlimen  dan   disambut  dengan satu tanggapan  yang  amat memualkan. Apa  yang  tidak  disebut,  walaupun  di  parlimen itu, betapa  setiap syarikat  utama dan  peniaga  yang  diselamatkan oleh  kerajaan  seperti  Time dotcom, mempunyai  kaitan  dengan  Daim juga.

Rakyat  marhaen  dan  para  pelabur  tempatan  ataupun  luar  negara, menganggap  proses  menyelamatkan itu  melibatkan  hampir  keseluruhan syarikat  yang  ada kaitannya dengan  Daim.  Sama  ada benar  ataupun  tidak anggapan  itu, persepsi  pasaran   menyerlahkan bahawa kuasa  terunggul  terhadap syarikat  seperti  Renong,  UEM,  PLUS dan setiap   penswastaan  yang besar-besar itu seolah-olah  berada di  tangan  Daim  juga.

Kini, sudah  muncul  satu  rumusan di pasaran bahawa segala usaha penyelamatan  itu menyerlahkan  satu corak yang   tidak  boleh  disanggah  dan  membayangkan betapa  pemegang sebenar saham-saham yang diselamatkan itu  sedang menjual pegangannya (untuk persiapan  melarikan  diri agaknya? – penterjemah). Jika  tidak,  kenapa  pula  Petronas dianggap  sebagai  bakal pembeli  MAS  pula, sedangkan  Petronas tidak  berminat  langsung dalam  perkara  ini?  Dalam penjelasannya, Petronas  ada  mengungkit  perihal  pembelian  saham seorang  kroni dan menyoal  kenapa  tidak  dibeli saham  tersebut di  pasaran  terbuka.

Layanan  Istimewa

Apabila syarikat-syarikat penswastaan   yang  tidak  cekap, mempunyai  hutang bertapuk dan bangkrap  itu  diselamatkan, dengan mengambil-alih  segala  hutang dan kerugian  yang  dialaminya; ada satu petua  yang  menunjukkan  syarikat  itu akhirnya dipulangkan semula  kepada  pengurusan  yang bertanggungjawab kepada  keadaan  hina-dina syarikat  itu. Cara  ini  memang  tidak dipedulikan langsung  kalau  ianya  berlaku  ketika  pasaran  sedang melonjak naik. Dalam keadaan demikian, tidak ada sesiapa  pun yang akan ambil peduli kalau seseorang meraih  keuntungan  besar dan  menyumbatnya  dalam kantung  yang  dibuat  daripada telinga khinzir  pun.  Tetapi, apabila keadaan merudum  mendesak pencermatan dan mencetuskan  kesangsian, tentu sekali semua  orang akan merasakan sesuatu  yang  tidak  adil  itu.

Kerajaan sedang menggelupur  kepanasan  kini;  tidak mampu  mentadbir  negara kerana tidak ada sesiapa yang mempercayainya lagi. Rakyat   semakin marah dengan kempen yang sengaja dilancarkan terhadap  mereka yang  tidak disenangi oleh  kerajaan itu. Kerana  itu  segala  usaha  menyelamatkan  para  kroni akan disanggah  juga.

Pengeluaran  saham Time dotcom untuk  pasaran telah dilihat  sebagai  satu  usaha untuk  menjual kepada pelabur  yang  lahap. Memang, saham itu mungkin  dapat dilanggan kalau  tidak kerana  asas  penjualannya  yang terlalu mudah disanggah  dan dicabar. Rencana itu  kantul  dan gagal. Penjelasan Daim bahawa KWAP (Kumpulan Wang  Amanah Pencen)  sebagai ‘sub-underwriter’ kini  merupakan  pemegang saham  terbesar   sedangkan  ‘main-underwriters’  (pemegang cagaran utama) tidak bersifat  demikian, merupakan  satu  penjelasan  yang sungguh berbahaya. Tentu  dia ada  alasan untuknya.    

Kerajaan  sengaja  mengelak memberikan penjelasan  terhadap  tindakannya di  parlimen. Apabila Daim membuat  pendirian menjelaskan 'kisah benar’     penyelamatan  dan menerangkan kenapa kerajaan  membeli saham  MAS pada  kadar RM8 sesaham,  pertimbangan yang lain akan  mendesaknya juga. Semakin jelas  kini, Daim  merupakan insan yang  paling kuat  kuasanya  di dalam  UMNO  dan  juga kerajaan. (Ohhoooooo……jadinya si dictator tua itu semacam satu patung Bumiyan  juga….?  - penterjemah) Selama ini  dia  memang  cukup  berkuasa dan mampu  mengawal dasar ekonomi dan kewangan negara disebabkan dua portfolio  yang dipegangnya - menteri kewangan  dan menteri  tanpa  portfolio di  Jabatan Perdana  Menteri

Kini  Daim perlu  berterus-terang  lagi dalam segala penjelasannya kepada parlimen. Dia  perlu  menjelaskan segala  tindakannya.  Sudah  wujud  kesangsian  dalam  partinya  kini,  kalau dia culas,  UMNO akan dihenyak  badai yang semakin kencang   tiupannya. Selagi  penjelasan yang  lebih  munasabah  tidak  diberikan kepada parlimen  dan  juga  di  tempat lain, mengenai  proses  penyelamatan  ini, Daim  dan juga  kerajaan  yang  sedang dianggotainya (kotak-katik mungkin  perkataan  yang  lebih  cocok – penterjemah) akan  dibalun  badai sehingga berkemungkinan  tersangkut di batu karang  untuk  terus  tersadai.

-MGG  Pillai-

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 24/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<