Tawaran Gaji  Bulanan  Pekerja  Ladang – Satu  Kerja  Gila


2:31 pm,  Jum:   Tawaran  gaji  bulanan  yang  baru  diperkenalkan  kepada  para  pekerja  ladang  nampaknya  tidak  menjanjikan sebarang  rangsangan  untuk  kemajuan  hidup  mereka.

Tawaran  sebanyak  RM325  sebagai  gaji  bulanan  untuk  pekerja  ladang  sawit  dan pekerja  kilang  seperti yang  termaktub  dalam  perjanjian  bersama  di  antara  Malaysian  Agricultural  Producers Association  (MAPA)  dan   National  Union  of  Plantation  Workers  (NUPW)  nampaknya  memperlekehkan   segala  sumbangan   ribuan  pekerja  perladangan  negara  ini.

Mengikut  beberapa  pegawai  pengurusan  industri  perladangan,  para  pekerja  memang  tidak  mendapat  apa-apa faedah  ataupun tidak  meraih  sebarang  faedah  langsung  daripada  perjanjian  yang  dicapai  itu.  Malahan  para  peraih  kelapa  sawit  dan  juga  pekerja  kilang  memang  sudah  lama  mendapat  gaji  yang  lebih  besar  daripada  yang  dimeterai  itu  sebelum  rencana  baru itu  dipersetujui.

Mengikut  zon  perkiraan   harga  RM800-900  yang  wujud  dalam industri  kelapa sawit, periah   (pemotong) buah/tandan  sawit  diberikan  gaji  harian sebanyak  RM20 termasuk  bonus  produktiviti  sebanyak  RM3  dan  bonus  harga  sebanyak  RM1  setiap   hari.   Di   akhir  bulan,  para  pemotong  buah mendapat  gaji  purata  sekitar  RM520 sebulan.

Dalam  hal  ini,  gaji  bulanan  sebanyak  RM325 tidak  ada  kaitannya  dengan   seorang  pemotong  tandan yang  dibayar  mengikut  zon  harga.  Seandainya  harga  minyak  sawit  berganda, para  pemotong buah berkemungkinan   menerima  gaji  bulanan  yang   melebihi RM1,000.

Begitu  juga,   mengikut  pandangan  beberapa  pengurus  kilang, gaji purata  seorang  pekerja  kilang adalah  sekitar  RM17.50  termasuk  beberapa  insentif  yang  diberikan  kepada  pemotong  tandan.  Sebagai  kadar  bulanan,  seorang pekerja  kilang  mendapat   gaji sebanyak RM450 yang  merupakan  lebih tinggi lagi   daripada  yang  termeterai.

Memanglah  tidak  semua  pekerja  kilang   tertakluk  kepada  skim  gaji  bulanan  seperti  ini.  Ia  dikhaskan  kepada  pekerja  kilang  di   peringkat  bawahan  sekali.   Pekerja  kilang di  gred  atasan  mempunyai  skim  gaji  yang  lebih  tinggi  yang  mereka  nikmati  untuk  satu  tempoh  yang  panjang.

Pendapatan  Yang  Lebih  Baik

Oleh  kerana  pemotong  tandan  dan  para  pekerja  kilang  sudah  pun  mendapat  gaji  yang  lebih  baik  daripada  yang  baru  sahaja  dimeteraikan, adalah  tidak masuk  akal  apabila  pihak  majikan   dan  persatuan  pekerja  menandatangani  perjanjian  yang  baru  itu.   Nampaknya  skim  terbaru  itu  bertujuan  untuk  melindungi  para  pekerja  yang  mendapat  pendapatan  kurang  daripada  RM325  sebulan. Kalau bertepatan jangkaan ini bererti  para  majikan   hanya  perlu  menaikkan  sahaja  gred  setiap  pekerja  untuk  melayakkan  mereka  mendapat  gaji  yang  ditahapkan  itu.

Tetapi  ada  satu   muslihat  di  sebalik  tawaran  itu. Ia  memberi  syarat  bahawa  seseorang  itu layak  menerima  gaji  bulanan  sebanyak  RM325  kalau  dia bekerja  pada  setiap  hari   kerja ditawarkan    dan melaksanakan  tugas itu  dengan  sempurna.  Memanglah  amat  jarang  sekali  para  pekerja  tidak   dapat   mencapai  tahap  gaji  ini  sambil  melayakkannya  mencapai  gaji  yang  ditetapkan.

Hanya  mereka  yang tidak  hadir  disebabkan  alasan  kesihatan   yang  layak  dipertimbangkan  gaji  bulanan  dengan  syarat  gaji  bulanannya itu  berada lebih rendah dari   RM325.  Memang  tidak mudah  untuk  seseorang pekerja  itu gagal  memenuhi  syarat  itu  melainkan   dia  gagal memenuhi  syarat    bekerja  yang dikenakan.  Kalau  ini berlaku,  pihak pengurusan  tidak  perlu  membayar  mengikut  kadar  gaji bulanan dan  boleh  menyingkirkan  pekerja  demikian.

Untuk  kadar  gaji bulanan  terbaru  itu  membawa  sebarang  makna,  harga  sawit  mestilah  jatuh  di bawah  paras harga   RM400  se ton.  Di  ketika  itu  skim  gajian  ini  memang  boleh  diamalkan  kepada   para  pekerja  kerana   pendapatan  mereka  akan  jatuh  di  bawah paras  gaji bulanan  RM325.  Tetapi, kalau  harga  sawit  jatuh  ke bawah paras  rujukan  ini besar  kemungkinannya  industri  kelapa sawit  itu akan  lumpuh   untuk  diteruskan  di  negara  ini. Dalam hal  begini, tidak  ada gunanya  lagi  skim  bayaran  gaji  itu.


Isu  Yang  Dilencongkan


Adalah  satu perkara  yang  ganjil  apabila  pada  tahap   awalannya,  kesatuan   sekerja  sudah  bersetuju  dengan   tawaran  pihak  majikan sedangkan  mereka  sepatutnya  mempertahankan  hak pekerja.    Kenapakah  kesatuan   sekerja  ini  tidak   merundingkan  perjanjian  mereka  untuk  menyeluruhi  pekerja  am  dan  juga  penoreh  getah.   Oleh  kerana  dua  kategori  pekerja   ini  adalah  yang  paling  rendah  pendapatan   mereka,  melibatkan  mereka  kepada  gaji  bulanan  sudah  tentu  membantu memperbaiki  pendapatan  mereka.



Namun,  di  sebalik   semua  itu,  sistem  gaji  bulanan  yang  ada yang  dikatakan   disediakan  oleh  pakar-pakar  di  Universiti  Malaya  memang  didapati  tidak  berguna  kepada  ribuan  pekerja  perladangan  di  negara  ini. Inilah  yang  malangnya, kerana  ia  sudah  menjadi satu  keaiban  yang  memperlekehkan  pengorbanan  dan  kerja  kuat  para  warga  perladangan.


Beberapa  pakar perladangan  berpendapat  bahawa  publisiti  yang diberikan  terhadap  isu  gaji  bulanan itu  telah  melencongkan   perbincangan   mengenai  beberapa  isu  yang  lebih  besar  dan  penting  lagi  yang  dapat  menyumbang  terhadap   kemajuan  dan  pembangunan  cara  hidup  warga  perladangan  itu  yang  sebenarnya.


Sebagai  contoh,  usaha memperbaiki  sekolah-sekolah  Tamil memerlukan  tindakan kerajaan untuk  mengambilalih pengurusan  sekolah-sekolah  Tamil  yang  masih  wujud  di  tapak  swasta.  Begitu  juga dengan   kemudahan  pengangkutan  untuk  anak-anak  sekolah,    cadangan  melaksanakan  skim  perumahan,  penekanan   terhadap  pembangunan  taraf  hidup  pekerja   dan  lainnya,  belum  pernah  diusahakan  oleh  agensi  yang berkenaan.


Nampaknya,  segala  lambang  yang  dikaitkan  dengan cara memperkenalkan   gaji  bulanan  itu  telah  memberikan   kemenangan  besar  yang  tidak berbaloi  kepada  beberapa  pihak   seperti  MIC,   NUPW   dan  juga  kerajaan.    Lambat-laun,  konsep  pengenalan  gaji bulan yang  digembar-gemburkan  itu  tidak   akan  memberi  kesan  terhadap  memperbaiki   keadaan   warga  kerja  industri  perladangan  negara  ini.


-P.  Ramasamy –
23 Mach, 2001

Terjemahan MT