Penggunaan nama ‘Islam’ pada pandangan Islam

Polemik penggunaan perkataan ‘Islam’ sepatutnya berakhir dengan keputusan Mesyuarat Ke-188 Majlis Raja-Raja pada Khamis 22 Mac lepas, yang membenarkan, bahkan menggalakkan penggunaan perkataan tersebut dengan berdisiplinkan ilmu, iman dan ihsan.

Namun masih ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu seolah-olah cuba mempertikaikannya dengan ulasan-ulasan yang dilihat sebagai percubaan memanjangkan polemik dan perbalahan. Keghairahan nafsu mereka untuk menghapuskan nama ‘Islam’ terutama pada parti Pas tidak kesampaian, menyebabkan mereka meronta-ronta mencari kepuasan sendiri dengan ulasan-ulasan yang boleh dikira mencemarkan kedaulatan Majlis Raja-Raja yang bertindak di atas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Kalau itu keputusan yang telah dicapai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang diwakili oleh para mufti berdasarkan dalil dan nas, dan diumumkan oleh Majlis Raja-Raja yang diwakili oleh ketua-ketua agama Islam di setiap negeri, kenapa masih ada lagi rakyat yang berdegil dan menunjukkan keras kepala terutama di kalangan kolumnis surat khabar seperti Awang Sulung dan Astora Jabat. Bagi Astora Jabat, sepatutnya beliau sedar diri. Sebagai seorang yang menumpang dan mencari rezeki di negara orang, jangan sekali-kali cuba menderhaka kepada raja-raja atau  mempertikaikan fatwa para mufti di negara itu. Apakah dengan menjadi seorang pengarang agama di sebuah surat khabar sudah berasa kepala terlalu besar?

Dalam rencana ini, saya akan cuba mengupas isu penggunaan nama ‘Islam’ dari perspektif hukum Islam itu sendiri. Bila kita berkata ‘dari perspektif hukum Islam’ maka sudah tentu kupasan kita berdasarkan metodologi perbahasan secara Islam (Manhaj al-Bahth al-Islami). Metodologi ini menghendaki kita mengenali dan memastikan perkara yang diperselisihkan itu, apakah kita berselisih di atas makna dan maksudnya yang sebenar, ataupun sebelah pihak telah lari daripada memahami maksudnya yang dikehendaki oleh pihak yang satu lagi. Dalam ilmu pengajian Feqah Perbandingan (al-Fiqh al-Muqaran) antara mazhab-mahzab dalam Islam, proses mengenali titik perselisihan ini dinamakan Tahrir Mahalli al-Niza`. Ini langkah yang pertama.

Langkah yang kedua; setelah titik perselisihan itu dikenali dan dipastikan, barulah kita berhujah dengan berdasarkan sumber Islam iaitu nas-nas al-Quran atau hadis sahih. Nas-nas yang jelas (sama ada yang menyuruh atau melarang) hendaklah dikeluarkan supaya perkara yang diperselisihkan itu diketahui hukumnya sama ada ia wajib/sunat (jika ada nas yang menyuruh) atau haram/makruh (jika ada nas yang melarang). Jika nas-nas yang jelas dari segi darjat kesahihan dan maksudnya (qat`iyyah al-thubut wa al-dalalah) tidak kedapatan atau tidak ada, maka hendaklah dilihat pula kepada nas-nas yang ada sedikit kaitan atau hubungan dengan perkara yang diperselisihkan itu. Nas-nas sebegini dikenali sebagai Nusus al-Syawahid (nas-nas syahid/isyarat).

Langkah yang ketiga; jika tiada nas yang jelas maksudnya lagi sahih darjatnya, dan tiada juga Nusus al-Syawahid yang ada sedikit hubung kait dengan perkara yang diperselisihkan, maka hujah yang berdasarkan akal yang waras hendaklah dipakai. Prinsipnya ialah asal sesuatu benda atau perkara itu hukumnya harus (al-Aslu fi al-Asy-yaa’ al-Ibahah) dan asalnya seseorang itu bebas dan tidak terikat dengan hukuman (al-Aslu Baraa-atu al-Dzimmah). Melainkan apabila telah datang hukuman melalui wahyu yang membawa nas yang menyuruh barulah sesuatu benda atau perkara itu menjadi “wajib atau sunat”, atau apabila datang nas yang melarang, barulah sesuatu perkara itu menjadi ‘haram atau makruh’ (berdasarkan darjat kekuatan perintah nas dengan penglibatan dalil-dalil yang lain seperti ijma` dan qiyas – khas untuk orang yang mengkhususi ilmu Usul al-Fiqh). 

Bila kita merujuk kepada isu penggunaan nama ‘Islam’ pada pertubuhan atau persatuan, maka ini  diperselisihkan antara umat Islam di Malaysia. Satu pihak berpendapat ia (penggunaan nama ‘Islam’) merosakkan dan mendatangkan mudharat (terutama pada diri mereka) lalu mereka cuba mengharamkannya. Ini adalah pendapat mazhab UMNO. Manakala satu pihak lagi berpendapat ia adalah baik dan mendatangkan kebaikan kepada umat Islam sendiri dari segi jangka pendek dan jangka panjang, maka penggunaanya adalah harus dan halal di samping mereka berikrar untuk menentang sesiapa yang mengharamkannya. Ini pula ialah pendapat dalam mazhab Pas.

Untuk memutuskan siapa yang benar dan siapa yang salah dalam hal ini, kita hendaklah kembali kepada Islam, apakah pandangan Islam terhadap perkara yang diperbalahkan itu. Firman Allah s.w.t. maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah Allah dan taatlah Rasul dan para pemimpin (yang taatkan Allah dan Rasul) dari kalangan kamu, maka sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah (perintah wajib) kamu merujuk kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah) sekiranya kamu benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat, yang demikian itu lebih baik (daripada terus bertelingkah dengan pendapat sendiri) dan lebih elok akibatnya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Oleh itu, mari kita ikuti Manhaj al-Bahth al-Islami di atas untuk mengetahui kedudukan hukum perkara yang diperbalahkan itu. Walaupun ia telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan diumumkan oleh Majlis Raja-Raja, tetapi kerana nampaknya masih ada yang berkepala batu dan fanatik buta kepada puaknya, maka saya rasa ini perlu dilakukan. Selepas perbahasan mengikut cara Islam ini, siapa yang benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat dia akan terima, siapa yang tidak beriman atau imannya hanya buat-buat, dia akan menolak juga.

Langkah Pertama: Tahrir Mahalli al-Niza`

Kita perlu murnikan dahulu apakah erti dan maksud orang yang meletakkan nama ‘Islam’ pada parti, pertubuhan atau persatuannya. Apakah mereka bermaksud ‘Islam’ sebagai sebuah agama atau al-Diin (‘Islam’ = agama Islam) ataupun mereka maksudkan ‘Islam’ yang digunakan itu ialah benda yang bersifat, berciri dan menuju ke arah Islam (‘Islam’ = menuju ke arah Islam). 

Mereka yang menggunakan nama ‘Islam’ itu pada pertubuhan seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) atau Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain, jelas mereka tidak sekali-kali menafikan keIslaman orang lain dan mereka tidak pernah berpegang bahawa Islam itu milik mereka sahaja. Apabila pegangan ini jelas, maka nyatalah bahawa apa yang dimaksudkan pada pertubuhan mereka itu ialah pertubuhan yang berciri, bersifat dan menuju kepada Islam dan keredhaan Allah s.w.t.

Selain itu, bukti mereka tidak bermaksud bahawa perkataan ‘Islam’ pada pertubuhan mereka itu bermakna ‘agama Islam’ ialah apabila nama pertubuhan itu diterjemahkan ke dalam bahasa asing seperti Arab atau Inggeris. Dalam bahasa Arab, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) disebut “al-Hizbu al-Islami fi Maliziya/al-Maliziy” (sebuah parti di Malaysia yang bersifat dan menuju kepada Islam), bukannya “Hizbul Islam fi Maliziya/al-Maliziy” (parti agama Islam di Malaysia). Dalam bahasa Inggeris pula ia disebut “Islamic Party of Malaysia” (Islamic untuk adjective atau sifat), bukan “The Party of Islam in Malaysia”. Manakala ABIM pula, apabila diterjemahkan ke dalam bahasa Arab ia menjadi “Jam`iyyah/Jabhah al-Syabab al-Muslimin fi Maliziya/al-Maliziyyah” bukannya “Jam`iyyah/Jabhah Syabab al-Islam fi Maliziya/al-Maliziyyah”. Dalam bahasa Inggeris pula ia disebut “The Muslim Youths Movement/Association of Malaysia” bukannya “The Youths of Islam Movement/Association of Malaysia”.

Setelah jelas hal ini, sukalah kita bertanya. Adakah pihak UMNO yang beria-ia hendak menghapus dan mengharamkan nama ‘Islam’ pada pertubuhan (terutama pertubuhan politik Pas) memahami maksud ‘Islam’ yang diletakkan bersama nama pertubuhan itu? Tidakkah ada di kalangan mereka yang memahami bahasa Arab/Inggeris atau salah satu daripadanya untuk dibandingkan dengan bahasa Melayu yang memang diketahui terlalu mudah, ringkas, uncomprehensive dan simple? Kalau mereka tidak faham, tidakkah mereka boleh dipanggil bebal. Ataupun ramai di kalangan mereka telah memahaminya, tetapi mereka fanatik tebal? Bagi orang seperti Awang Sulung dan Astora Jabat, mereka sebenarnya fanatik tebal, kerana mustahil mereka itu tidak memahami terjemahan “Parti Islam Se-Malaysia” dalam bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi si Astora Jabat yang mendakwa menguasai lima bahasa dunia. Tetapi nampaknya si Astora itulah yang amat sukar hendak menerima keputusan Majlis Raja-Raja sehingga menghasut masyarakat Malaysia dengan menulis “Bagaimanapun, penulis berpendapat dalam jangka panjang perlu juga berusaha untuk menghapuskan perkataan Islam daripada pertubuhan.” (Debat, Utusan Malaysia, 23/3/2001).

Beliau (Astora) semakin menunjukkan sombong jahilnya apabila berkata dalam rencana yang sama, “Ini kerana penyelesaian yang paling tepat terhadap masalah-masalah agama yang dihadapi kita kini adalah terletak kepada pengharaman penggunaan perkataan agama dalam pertubuhan.” Ini adalah pendapat jahil yang bersandarkan hujah batil. Batil kerana kita telah dan sedang melihat porak peranda umat Islam yang tak berkesudahan di negara-negara yang diperintah oleh puak sekular yang mengharamkan nama Islam dalam pertubuhan, seperti di Turki, Algeria, Tunisia, Mesir, Indonesia dan lain-lain. Jadi bagaimana dikatakan pengharaman nama Islam sebagai ‘penyelesaian yang paling tepat’? Yang pasti, rejim Zionis, Amerika dan Rusia memang berpendapat pengharaman perkataan Islam dengan kuasa undang-undang itu sebagai ‘penyelesaian yang paling tepat’, kerana pada mereka kebangkitan apa sahaja atas nama Islam merupakan masalah besar!

Kejengkelan si Astora bertambah jelas apabila menulis, “Dalam Islam, perkataan Islam adalah nama agama Allah dan bukan nama perkara-perkara lain seperti makanan, pakaian, rumah, masyarakat, negara dan lain-lain.”(dalam rencana yang sama)

Kejengkelan yang pertama di sini apabila dia mendakwa “Dalam Islam, …”, yang menampakkan seolah-olah dia mempunyai hujah daripada nas al-Quran atau hadis, sedangkan satu nas atau dalil daripada syariat Islam pun tidak kelihatan untuk menyokong dakwaan palsunya itu.

Kejengkelan yang kedua pula ialah betapa ceteknya pemahaman struktur bahasa orang yang pernah mendakwa menguasai lima bahasa di dunia ini. Kenapa struktur bahasa Melayu yang semudah itu tidak difahami juga walaupun apabila diterjemahkan ke bahasa lain seperti Arab atau Inggeris, ia memberi faham yang jelas? Parti Islam Se-Malaysia itu akan difahami sebagai ‘parti yang bersifat, berciri dan menuju kepada Islam’ apabila ia diterjemahkan kepada ‘al-Hizbu al-Islami fi Maliziya’ atau lebih jelas lagi ‘The Islamic Party of Malaysia’ bukannya ‘Hizbul Islam…’ atau ‘The Party of Islam…’ yang bermakna ‘parti agama Islam’.  Demikian juga penggunaan nama Islam dalam perkara-perkara lain, ia menggambarkan sifat dan ciri perkara itu menuju kepada Islam, bukan bermaksud agama Islam itu milik perkara itu.

Sebagai contoh, bila kita kata ‘makanan Islam’ ia bermakna Inggerisnya ‘Islamic food’ bukan ‘food of Islam’ atau Arabnya ‘al-At`imah al-Islamiyyah’ bukan ‘At`imatul Islam’, bila kita kata ‘pakaian Islam’ ia bermaksud Inggerisnya ‘Islamic clothes’ bukan ‘clothes of Islam’ atau Arabnya ‘al-Ziy al-Islamiy’ bukan ‘Ziyyul Islam’, bila kita kata ‘masyarakat Islam’ ia merujuk dalam bahasa Inggeris sebagai ‘Muslim/Islamic nation/community’ bukan ‘nation/community of Islam’ atau dalam bahasa Arabnya ‘al-Mujtama` al-Islamiy’ bukan ‘Mujtama`ul Islam’ dan begitulah seterusnya.  

Setelah jelas perkara ini, maka kutipan Astora terhadap tulisan seorang wartawan Mesir bernama Fahmi Huweidi itu langsung tidak relevan dengan isu meletakkan nama ‘Islam’ pada benda-benda seperti pertubuhan dan sebagainya, kerana ia difahami umum sebagai tanda ‘sifat, ciri, hala tuju dan arah’ sesuatu benda atau pertubuhan itu menuju Islam, bukan difahami bahawa Islam itu telah menjadi miliknya sahaja tanpa orang lain.

Yang timbul dan terserlah ialah sikap sebuah parti yang bergelar UMNO itu tidak boleh menerima kekalahannya dalam pilihan raya umum 1999 yang lalu, justeru menjadikan nama ‘Islam’ pada parti Pas sebagai punca kekalahannya, kerana kononnya Pas telah mempergunakan agama Islam untuk parti. Kalau benar kemenangan Pas itu disebabkan nama ‘Islam’ itu, kenapa Pas tidak menang sejak 50 tahun yang lalu. Yang pasti ialah sokongan rakyat berdasarkan prinsip perjuangan ke arah Islam yang ada pada Pas dan UMNO ketandusan sokongan kerana rakyat telah jelek dengan kerosakan, rasuah, kronisme dan nepotisme yang telah menjadi budaya UMNO. Kalaulah nama ‘Islam’ itu menjadi punca kemenangan, maka eloklah UMNO juga meletakkan nama ‘Islam’ pada partinya seperti yang saya cadangkan sebelum ini, bukannya menghalang orang lain daripada menggunakannya dan mengharamkan suatu perkara yang dihalalkan Allah s.w.t.

Langkah kedua: Mencari nas (yang menyuruh atau melarang) yang jelas dan sahih pada darjat dan maksudnya

Setakat pengetahuan saya, tiada satu nas pun yang jelas lagi sahih dalam al-Quran atau hadis yang memerintah atau melarang penggunaan nama Islam pada pertubuhan atau benda. Sesiapa yang ingin menghapus atau mengharamkan penggunaannya hendaklah membawa dalil daripada al-Quran dan sunnah atau salah satu daripadanya, apatah lagi bila dikatakan penggunaan itu memudharatkan umat Islam.

“…datangkanlah bukti kamu sekiranya kamu orang-orang yang benar!” (Surah al-Baqarah: 111)

Sekiranya dalil dan bukti tidak dibawa, maka mereka melakukan satu jenayah besar terhadap Allah s.w.t. kerana cuba mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan Allah s.w.t.

 

Dan janganlah kamu berkata mengikut selera lidah kamu “Ini halal” dan “Ini haram” untuk berdusta atas nama Allah s.w.t. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta atas nama Allah s.w.t. tidak akan beroleh kejayaan.” (Surah al-Nahl: 116)

 

Katakan (wahai Muhammad), siapakah yang (boleh) mengharamkan perhiasan Allah s.w.t. yang dikeluarkan untuk (kegunaan) hamba-hamba-Nya, dan (demikian juga) rezeki yang baik-baik…” (Surah al-A`raf: 32) 

Jadi tindakan Majlis Raja-Raja yang membenar dan menggalakkan penggunaan nama Islam adalah bertepatan dengan ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan sunnah, iaitu tidak menghalang sesuatu yang tidak diharamkan Allah s.w.t. Hujah-hujah yang kononnya bersandarkan prinsip Masalih al-Mursalah (kemaslahatan umum) tidak boleh dipakai kerana maslahah yang dikatakan itu adalah maslahah mulghah (maslahat yang batil). Ia dikira mulghah kerana penggunaan nama Islam pada pertubuhan bukan punca sebenar perpecahan umat, tetapi punca perpecahan sebenar ialah kezaliman, penindasan, pendakwaan berpilih dan penyalahgunaan kuasa. Adakah orang seperti Astora Jabat faham prinsip ilmu Usul al-Fiqh dalam bab Masalih al-Mursalah ini, sehingga berani mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh majlis mufti? Jauh sekali kalau soal ini dibicarakan kepada tokoh-tokoh UMNO atau tokoh wartawan yang pure UMNO seperti Awang Sulung.

Sebaliknya jika diteliti betul-betul, ada satu syahid (nas yang ada sedikit hubung kait dengan persoalan ini) iaitu hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w. pernah menyandarkan perkataan ‘Islam’ pada ‘seseorang’, iaitu dalam hadis yang bersumberkan Saydina Ali bin Abi Talib, bermaksud:

Antara keelokkan Islam seseorang itu, dia meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengannya” (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dan al-Tabrani dengan semua periwayatnya adalah thiqqah, maka hadis menjadi sahih – al-Haytami, Majma` al-Zawa-id: 8/18)

Jadi dengan contoh perkataan Nabi s.a.w. ini, tidak timbul lagi isu haram meletakkan nama Islam pada sesuatu makhluk atau benda, kerana baginda sendiri pernah meletakkan nama ‘Islam’ pada seseorang apabila seseorang itu ada sifat keIslamannya, yang disebutkan dalam hadis di atas sebagai ‘meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya’.

 

Langkah ketiga: Prinsip al-Aslu fil Asy-yaa’ al-Ibahah dan al-Aslu Baraa-atu al-Dzimmah

Walaupun ada satu syahid seperti yang disebutkan di atas tentang keharusan penggunaan nama Islam pada makhluk atau benda (seperti pertubuhan), tetapi kerana tiada nas yang benar-benar jelas dan sahih dari segi darjat dan maksudnya (Qat`ie al-Thubut wa al-Dalalah) yang memerintah atau melarang penggunaan nama Islam, maka prinsip al-Aslu fil Asy-yaa’ al-Ibahah (Asal setiap perkara itu harus hukumnya) melainkan setelah datangnya nas yang menyuruh atau melarang, barulah sesuatu perkara itu menjadi wajib/sunat atau haram/makruh. Demikian juga prinsip al-Aslu Baraa-atu al-Dzimmah (Asalnya seseorang itu tidak dibebani dengan apa-apa hukuman), iaitu setiap orang asalnya bebas melakukan atau meninggalkan apa saja melainkan telah ada nas atau dalil yang menyuruh atau melarang sesuatu perbuatan itu, barulah menjadi kewajipan/larangan daripada melakukan/meninggalkan perbuatan itu.

Bertitik tolak daripada dua prinsip ini, apabila tiada satu pun nas atau dalil yang menyuruh atau melarang penggunaan nama Islam pada pertubuhan seperti Parti Islam Se-Malaysia, maka hukum penggunaannya adalah harus. Sesiapa yang hendak  menggunakannya adalah dibolehkan, demikian juga sesiapa yang tidak ingin menggunakannya. Juga bila tiada satu nas atau dalil tersebut, maka orang Pas adalah bebas sama ada hendak menggunakannya kerana tiada apa-apa larangan atau ikatan hukuman dalam agama terhadap penggunaannya. Jadi penggunannya bukanlah satu kesalahan pada pandangan Islam. Kalau kita orang yang benar Islam dan imannya, maka kita harus akur dengan hujah ini. Tetapi jika kita berpura-pura Islam, kita akan mencari alasan untuk membuat syariat, undang-undang atau peraturan yang tidak diizinkan Allah s.w.t.

Adakah bagi mereka itu sekutu-sekutu (selain Allah s.w.t.) yang mensyariatkan dalam agama apa-apa (peraturan) yang tidak diizinkan Allah s.w.t…..” (Surah al-Syura: 21)

Adalah jelas, dengan menggunakan hujah agama (seperti Astora Jabat) untuk membuat peraturan mengharamkan sesuatu yang dihalalkan Allah s.w.t. merupakan satu percubaan untuk menambah hukum dalam agama Islam.

Atas dasar itu, adalah tepat sekali pendirian yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja berkenaan kebenaran dan penggalakan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan. Saya berpendapat bahawa para mufti ikhlas dalam mengeluarkan hukum itu, iaitu demi mendaulatkan Islam. Tetapi malangnya, keikhlasan para mufti itu dirosakkan oleh kenyataan pengerusi majlis itu sendiri (Dr. Ismail Ibrahim) yang berkata, “Kalau kita gugurkan nama Islam itu pula, mungkin ia boleh menguntungkan orang yang ingin menyelewengkan kefahaman masyarakat. Mereka mungkin menuduh kerajaan sekarang ini tidak Islamik, kononnya memakai nama Islam pun tidak mahu, apa lagi hendak mengamalkan Islam.” (Mingguan Malaysia, 25/3/2001)

Nampaknya alasan tidak menggugurkan nama Islam daripada pertubuhan bukan kerana tiada hukum Islam yang menyuruh tindakan itu atau kerana Islam membenarkan penggunaan itu, tetapi disebabkan political mileage pihak pemerintah, iaitu takut dikatakan anti-Islam. Ini sama sekali menampakkan ketidak ikhlasan dalam amalan dan tindakan yang diambil. Jelaslah di sini ada cubaan untuk memperkudakan Majlis Fatwa

Kebangsaan sebagai alat untuk mendapatkan keuntungan politik pemerintah, walaupun para mufti di dalamnya terdiri daripada orang-orang yang ikhlas.

 

Sekian, waLlahu waliyyu al-tawfiq, was-salam `ala man ittiba`a al-huda.