MM09

Berwaspadalah kita dengan helah UMNO

Sebuah akhbar tempatan menonjolkan tajuk yang menghasut pemikiran rakyat dengan paparan 'Kami mahu guling kerajaan'. Jika sedekad lalu tulisan itu dengan segera membawakan satu interpretasi yang menakutkan dan menggerunkan kepada sesiapa yang membacanya.

Namun tajuk akhbar utama negara, yang mendapat jolokan Utusan Meloya itu kini diperlekehkan oleh sebilangan pembacanya, meskipun mereka masih membaca akhbar itu secara percuma yang boleh diperolehi dengan mudah di restoran-restoran atau perhentian-perhentian awam.

Menggulingkan adalah satu maksud yang berlainan dengan terguling. Menggulingkan lebih mirip kepada penafsiran satu agenda jahat yang diterajui oleh sekelompok manusia tertentu yang pastinya akan menggunakan apa jua cara bagi mencapai hasrat itu.

Sebaliknya terguling menunjukkan satu kelemahan di pihak yang hendak digulingkan, di mana seumpama pelepah daun pisang yang tua pasti akan kering, layu dan terkulai di pangkal pokok pisang. Begitu pun cubalah anda tarik pelepah pisang itu. Pastinya anda gagal dan berkemungkinan tangan anda akan terhiris oleh pelepah yang tajam dan ini amat menyakitkan.

Inilah UMNO, ibaratkan pelepah pisang tua itu. Sudah layu dan terguling tetapi masih enggan gugur dari pohon pisang yang sewajarnya memberikan khidmat kepada manusia sejagat.

Bagi mengiyakan agenda 'gempur' kepada parti KeADILan Nasional itu Utusan Meloya menulis:

`Kami mahu guling kerajaan' -- Ketua Pemuda Keadilan mengaku rancang demonstrasi jalanan setiap hari

KUALA LUMPUR 3 Mac - Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Ezam Mohd. Noor hari ini mengaku sedang merancang untuk melancarkan demonstrasi jalanan besar-besaran bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Malah beliau menegaskan, partinya akan menganjurkan demonstrasi sedemikian setiap hari, bukan setiap minggu sebagaimana yang didedahkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Tun Hussein, kelmarin.

Menurut beliau, pihaknya sedang menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan demonstrasi tersebut.

``Demonstrasi jalanan hanya akan terhenti apabila pemimpin kerajaan yang ada dapat digulingkan.

``Demonstrasi merupakan satu-satunya pendekatan untuk melahirkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kepimpinan kerajaan hari ini,'' katanya kepada Mingguan ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Hishammuddin mengenai terdapat parti pembangkang yang sedang merancang untuk menganjurkan demonstrasi jalanan setiap minggu di ibu kota.

Hishammuddin berkata, demonstrasi jalanan itu sebenarnya telah bermula secara kecil-kecilan sejak minggu lalu."

Tidak cukup dengan agenda jahat itu, Utusan Meloya kemudian melaga-lagakan kenyataan Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai kenyataan berikut:

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju jika rakyat terlibat dengan demonstrasi jalanan seperti yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Beliau menasihatkan rakyat supaya mengelakkan diri daripada terlibat dengan demonstrasi jalanan kerana tindakan seumpama itu memberi ruang pihak lain mengambil kesempatan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, demonstrasi akan mencetuskan rusuhan atau kacau bilau sehingga menjejaskan keselamatan.

Kenyataan Nik Aziz itu bertentangan dengan pandangan Ketua Dewan Pemuda Pas, Mahfuz Omar yang menyokong tindakan Keadilan yang mahu menganjurkan demonstrasi tersebut.

Bagi merealisakikan agenda gempur ini juga maka Bernama membuat laporannya seperti berikut:

WANITA UMNO KECAM PARTI KEADILAN YANG MAHU GULING KERAJAAN

JOHOR BAHARU, 4 Mac (Bernama) -- Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini mengecam tindakan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang mahu mengulingkan kerajaan dipilih oleh rakyat menerusi demonstrasi jalanan.

Katanya, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa politik Keadilan itu tidak berhaluan dan hanya mementingkan perjuangan individu sahaja.

"Setelah sekian lama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan rakyat berusaha untuk mengadakan keadaan stabil, keharmonian dan suasana yang membolehkan kita bekerja dan peniaga tanpa gangguan tetapi kini ada pihak yang mahu memusnahkan semua itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan berkelompok Wanita Umno Cawangan dan Bahagian Tebrau di sini.

Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Wanita Umno menolak pendekatan politik seperti itu kerana kita sedar negara tidak boleh maju dan rakyat tidak boleh menumpang kemajuan sama ada untuk berniaga atau bekerja.

"Bagi Wanita Umno, kita memandang berat apa yang berlaku ke atas politik demontrasi jalanan kerana orang-orang ini mempunyai network di luar negara," katanya.

Malah beliau sendiri pernah menghadapi tindakan networking mereka (Parti Keadilan) di luar negara seperti Kanada dan Amerika di mana mereka mempunyai kaitan dengan orang di sana melalui risalah-risalah, internet dan e-mail yang mengutuk pemimpin negara dan memburukkan negara sendiri.

Katanya, jadi jelaslah bahawa politik orang-orang ini (Parti Keadilan) bukanlah politik yang membangunkan negara dan membawa faedah kepada rakyat, tetapi sebaliknya hanya membawa padah.

Beliau berharap Wanita Umno khususnya rakyat negara ini sedar dan dapat membezakan politik yang dibawa oleh BN dan parti pembangkang yang kononnya bersuara untuk membawa demokrasi.

Rafidah juga menyeru Wanita Umno supaya bersuara lantang bagi menentang pendekatan politik jalanan itu kerana selama ini gambaran yang diberikan oleh segelintir parti pembangkang kepada dunia luar seolah-olah perjuangan mereka mengatasi suara ramai.

-- BERNAMA

Seperkara yang menarik dalam akhbar tempatan juga terdapatnya satu agenda mengaitkan antara MalaysiaKini.Com dengan Goerge Soros. Kali ini Timbalan Perdana Menteri, Pak Lah Badawi pula membuat kenyataan kununnya Kerajaan kecewa terhadap penglibatan portal berita internet, Malaysiakini.com dengan George Soros.

Pak Lah berkata sedemikian sebagai mengulas pendedahan bekas Editor Berita portal itu Chong Yen Long dalam akhbar tempatan bahawa Malaysiakini menerima RM188,000 daripada Media Development Loan Fund (MDLF), yang dipercayai dibiayai antara lain oleh Soros.

Chong mendakwa pembiayaan itu pernah disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif portal itu, Premesh Chandran pada satu mesyuarat syarikat itu pada 17 Feb lepas. Premesh bagaimanapun dilaporkan menafikan dakwaan Chong itu.

Sementara itu Mahathir pula dengan agenda momokan bahawa PKN hanya ingin membebaskan DSAI. Kata Perdana Menteri, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) yang mengaku percaya kepada demokrasi, memperjuangkan keadilan sosial dan juga undang-undang, sebaliknya bertindak melakukan sesuatu yang di luar perjuangan itu. Mahathir juga berkata rancangan Keadilan mengadakan demonstrasi jalanan setiap hari dibuat kerana parti itu percaya mendapat sokongan asing.

Kata Mahathir lagi media asing, termasuk laman Internet yang dibantu oleh pihak luar selama ini memberikan sokongan padu kepada pembangkang negara ini dengan mensensasikan setiap demonstrasi jalanan yang diadakan.

Kata Dr. Mahathir, parti itu tidak peduli kesan tindakan mereka terhadap negara asalkan perjuangan untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tercapai.

Perdana Menteri juga membidas parti pembangkang kerana sibuk bercakap berkenaan peraturan undang-undang, demokrasi dan keadilan sosial sedangkan mereka sendiri membelakangkan undang-undang.``Satu sahaja perjuangannya, bebaskan Anwar,'' katanya.

Jika diamati tulisan yang muncul dalam akhbar pihak kerajaan satu pun tidak menjuruskan kepada perpaduan atau penyatuan Melayu. Walaupun Mahathir berhajat kepada penyatuan itu, dalam masa yang sama beliau menggunakan media dan menteri-menterinya serta jentera kerajaan supaya terus mengutuk parti-parti pembangkang, terutamanya PAS dan KeADILan.

Sungguh anih memahami perlakuan Mahathir dan UMNOnya. Meskipun beliau terus mengutuk PAS, tetapi masih mengharapkan PAS untuk bekerjasama dengan mereka.

Pada hemat saya segalanya ini adalah putarbelit UMNO yang sudah pun terguling di pangkal pisang yang saya tuliskan di awal penulisan ini. Untuk mengistihar Malaysia sebagai sebuah negara yang 'unggul', Mahathir memerlukan satu kekuatan bagi melaksanakan agendanya itu. Fakjtor ekonomi tidak cukup kuat untuk beliau mengwar-warkan agendanya bagi menawan semula .0000hati rakyat kerana ekonomi yang baik dan teguh, pasti tidak akan dikuti dengan kenaikan harga barangan yang mendadak. Faktor kekukuhan politik UMNO jauh sekali kerana UMNO kini masih di gawangan dan mengharapkan agar PAS duduk semeja dengan mereka.

Memahami hakikat pembohongan media yang dilaksankan oleh UMNO melalui perkara yang saya sentuh di atas kita hendaklah mengambil iktibar bahawa perundingan 'meja bulat' yang bakal dilaksanakan mengikut acuan UMNO akan membantu mereka memutar minda rakyat negara ini terutama dalam agenda politik menawan semula negeri Sarawak dalam pilihanraya kecilnya yang menjelang kini.

Hendaknya kita berwaspada dengan helah UMNO ini.