MINDA MINGGUAN

Jauhi dari sindrom ke'Melayu'an

Beberapa hari lalu kita dikejutkan dengan berita peristiwa 'amuk'  yang dikatakan berpunca akibat dari perselisehan faham di antara dua jiran yang sekian lama duduk dalam suasana muafakat dan harmoni. Sesekali kita melihat peristiwa sebegini, mengimbau kenangan kita kepada tarikh keramat yang diabadikan dalam kalender negara iaitulah peristiwa 13 Mei, 1969. Lalu kita bertanya, apakah dalam dekad tahun dua pulohan, alaf baru yang canggih manggih, masih ada yang berfikiran kuno, bak manusia hidup di zaman batu.

Berjuang atas nama bangsa dan perkauman tidak pernah ditiup oleh mana-mana parti politik, selain dari satu parti bangsat yang dikutuk dan dihina kini, jika ia hendak dikaitkan dengan isu politik. Kita memang tidak menjangka kadang kala isu peribadi dan masalah dalaman keluarga sebagaimana yang boleh mencetuskan insiden seumpama ini, melainkan jika ada Melayu yang terpengaruh dengan anasir perjuangan semangat keMelayuan sebagaimana dilaung-laungkan oleh parti yang berdiri megah di atas pagar Dewan China sambil melaung-laungkan 'hidup Melayu' dan mengancam akan membakar dewan China itu jika meneruskan tuntutan mereka.

Kita juga berasa amat kesal jika terdapat rakyat berbangsa Melayu terpedaya dengan pujukan menaikkan semangat kebangsaan tulen dalam perhimpunan atas nama 'Melayu' sambil melaung-laungkan kata-kata yang boleh menghiris hati bangsa lain mendengarnya iaitu 'hidup Melayu, hidup Melayu!'. Apa jadi kepada nasib bangsa lain jika semangat hidup Melayu itu berdiri jati dalam darah bangsa Melayu.

Kita juga tersangat kesal kerana dalam jarak lebih sebulan sahaja, insiden serangan ke atas Balai Polis Guar Chempedak yang tiba-tiba menutup isu kegagalan mengadakan rundingan antara dua parti yang terdiri dari keahlian Melayu tulen dan Melayu Islam, maka insiden beberapa hari tercetus. Kita ingin mengatakan apakah nilai keharmonian yang selama ini didokong oleh rakyat Malaysia yang bijaksana cuba digadai oleh puak-puak tertentu dengan menghidupkan semangat keMelayuan tulen kononnya.

Kita jutaan kali menyatakan kekesalan bahawa perundingan antara PAS dan UMNO dihajati oleh Mahathir kerana beliau mendakwa terdapat segelintir golongan yang cuba menafikan hak-hak keisitimewaan orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu. Kita dengan ikhlas mengulangi cabaran parti PRM bahawa Mahathir perlu menyatakan siapakah golongan itu?

Kita menginsafi sebagai rakyat yang berjuangan atas dasar Islam, kita tidak akan memusuhi sesiapa kerana Islam dilahirkan untuk semua makhluk termasuk mereka yang bukan Islam. Pemerintahan Islam sebenar mestilah melindungi bukan sahaja hak-hak keistimewaan orang Melayu yang Islam dan tidak Islam, tetapi juga lain-lain bangsa yang hidup berpuak-puak dan bersuku kaum bangsa dan agama. Maka kelahiran agama Islam adalah untuk menjernihkan hubungan yang keroh sekian lama.

Kita ingin menyatakan bahaw agama Islam tidak pernah mengajar umatnya membunuh orang lain sesuka hati. Memfitnah insan lain sesuka hati apa lagi fitnah itu sehingga menyebabkan para alim ulama dan mufti serta sekalian mereka yang selama ini kuat beragama, menjadi bingung dan sukar membedakan apakah fitnah itu sebenarnya satu fitnah atau rekaan dan yang dikatakan fitnah itu sebenar-benarnya berlaku.

Saya percaya pimpinan PAS tidak pernah melaungkan semangat kebangsaan Melayu tulen, walaupun mereka beragama Islam dan bangsa Melayu. Apakah Melayu lebih penting, sehingga mengatasi nilai Islam seseorang? Apakah ertinya jika kita Melayu, tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sebenar. Sebaliknya, kita berusaha menyesatkan orang lain yang sebenarnya sedang tunduk dan pasrah menyerahkan diri ikhlas ke hadrat Ilahi.

Kita amat kesal dengan kenyataan seorang professor yang menyifatkan hubungan Melayu dan Islam sebagai hubungan yang simbiotik, seperti antara aur dengan tebing. Jika nilai Melayu yang ditarbiyah oleh kerajaan yang memerintah negara selama lebih 43 tahun ini, kita patut mengatakan 'podah' kepada kenyataan tersebut kerana betapa ramainya Melayu yang murtad dan tidak tahu bersembahyang dan mengucap dua kalimah syahadah.

Kita amat kesal dengan kenyataan sebegini yang sebenarnya dibuat semata-mata mahu mengajak kepada semangat nyalaan semangat bangsa yang dipandang hina dina oleh RasululLah sebagaimana sabda baginda: 'Barang siapa yang berjuang di atas (semangat) bangsa, maka ia bukan dari kaumku' Hadis sahih riwayat oleh periwayat yang lima.

Kita ingin mengucapkan tahniah kepada penduduk Kg. Medan, Jalan Kelang Lama dan penduduk sekitar di tempat kejadian yang tidak segera menghunus keris dan lembing, walaupun ada kematian dan kecederaan yang dicatatkan. Jika sekalipun ingin mati syahid, berjuang atas nama kaum Melayu atau apa sahaja bangsa, kita tidak  akan mati dinilai sebagai syahid. Biarlah kita berkorban dengan jalan yang betul dan mengikuti satu dari pulohan jalan yang menanti di hadapan kita.

Justeru itu kita mengambil kesimpulan yang ringkas dari peristiwa 'amuk' di Tanjung Medan, tersebut bahawa umat Melayu sudah sampai masanya duduk kembali mentelaah apakah kehendak dan tuntutan agama ke atas diri kita sebagai umat Islam sejati. Jika kita enggan ditafsirkan sebagai Melayu yang semangat Melayu (sahaja) sebagaimana laung satu parti bangsat Melayu yang cuba mengelirukan tafsiran perjuangan dan jihad fisabilillah dari berkorban untuk agama dan tanah air kepada korban untuk bangsa dan kroni-kroni.

Hendaknya kita dijauhi dari semangat Melayu tulen sehingga sanggup meletakkan Islam di tahap yang seterusnya. Kita ambil Islam sebagai wadah perjuangan dan kita korbankan Melayu dalam hal ini. Jika kita bersifat demikian, kita akan dihormati sebagai bangsa Melayu yang mengamalkan Islam secara ikhlas dan sebenarnya. Tidak rugi kita mengenepikan segala tuntutan keMelayuan jika ianya bercanggah dengan kehendak Islam. Hanyasenya kita mengangkat keMelayuan itu jika sekiranya ia bukan sahaja tidak bercanggah dengan tuntutan Islam, tetapi juga tidak menyinggung mana-mana pihak yang tiada nama Melayu.

Jika demikianlah iktibarnya, untuk apakah kita menyertai sebuah perundingan yang bernama ... hak istimewa Melayu ...bahasa Melayu... Jika kita ingin bicarakan hak Melayu itu sebenarnya hak-hak itu sudah lama dicerobohi oleh Melayu yang 'kununnya' berjuang atas nama Melayu tetapi menggadai, menjual hak ketuanan Melayu secara terang-terangan. Buktinya, dalam perkembangan terkini berapa banyak kawasan membalak yang dibahagikan kepada UMNO Bahagian dan kemudian dijual kepada bangsa lain untuk 'duit' yang akan digunakan dalam pemilihan agung UMNO bulan depan. Ahmad Zaki (Ketua Pengarah BPR) patut bertanya Tajol Rosli, UMNO Bahagian manakah yang beliau anugerahkan balak kali ini.