Siapa Menyebabkan   Banjir Kilat di Kuala  Lumpur ?
(Who  Caused The  Flash  Floods In Kuala  Lumpur?)

Kita boleh  menjangkakan banjir kilat yang melanda  Kuala Lumpur minggu lalu akan berulang lagi.  Ini  merupakan  dendam  Alam maya  yang perlu diterima oleh sesiapa  yang memperlekehkannya. Tetapi kerajaan  masih  beranggapan ia masih mampu main agak-agak sahaja. Ketika sebahagian  ibukota ditenggelami air, ia  merupakan satu amaran awal  betapa  kita boleh  dibalun  musibah seandainya  kita memperlekehkan tuntutan  alam maya. Malahan Menteri Alam Sekitar beranggapan   mereka boleh bersikap sambil  lewa. Cuba perhatikan kes  empangan Bakun, di mana kesan  persekitaran alam jangka panjang  diabaikan  kerana tamak haloba. Lihat pula Pelabuhan Kuantan yang dibina  kerana  pilihan  politik  dan terdedah kepada   hambatan  alam lagi. Ia menelan belanja  yang lebih  besar  untuk  memperbaikinya daripada   kos membinanya dulu.  Sehingga kini ia belum digunakan  lagi  semaksima  kapasitinya.

Banjir  kilat muncul  apabila  Sungai  Gombak  melimpah tebingnya waktu air pasang  dengan segala  sampah sarap  yang berkumpul  dan berserabut di sekeliling  tiang-tiang simen yang tertanam di pinggir sungai  untuk  menyokong  pembikinan lebuh raya swasta   yang  berada  di bahagian atasnya. Lebih lagi   apabila  pihak berkuasa  memandai-mandai  memikirkan adalah tidak perlu  mengaut  segala  sampah sarap  yang terapung di  permukaan  air sungai itu. Tidak ada sebarang  penjelasan kenapa  keadaan  ini dibiarkan berterusan walaupun  rakyat marhaen dituduh bersalah kerananya. Apabila sampah tidak lagi dikutip sekerap mungkin seperti  yang dilaksanakan oleh bandaraya  satu  ketika dulu dan sebelum kerja-kerja itu diswastakan, tentulah berlaku  musibah  seperti ini.  Tidak payahlah kita membincangkan  projek membersihkan  sungai seluruh negara apabila sungai tempatan dibiarkan  berselut dan tersumbat oleh sampah dan sarap. Sesuatu  dasar  negara  hanya  didapati  berkesan kalau  segala  peraturannya diamalkan.  Di Malaysia memang jarang  sangat penekanan diberikan  terhadap  perincian  kerja  sehinggakan  hasilnya  memang  membawa  kecewa.

Rancangan  pembasmian banjir  negara, seperti  juga  masalah  setinggan   selepas tercetusnya tragedy Kampung Medan  memberikan gambaran  yang kelam mengenai  rancangan jangka panjang kerajaan.  Satu tindakan berupa dasar negara direncana apabila sesuatu  yang dibiarkan begitu saja sebegitu lama meledak  menarik perhatian umum. Saya berani kata, kerajaan tidak akan memikirkan satu dasar negara berkaitan setinggan tanpa episod Kampung Medan dan kerajaan tidak mungkin  memikirkan dasar banjir negara tanpa  banjir besar minggu lalu. Kita terlalu sibuk berangan-angan mengimpikan  mahligai mega di  angkasa raya tanpa mempunyai masa  tunduk ke bumi melihat rekahan di jalan raya.  Hanya selepas itu  baru terdengar teriakkan yang melolong apabila rekahan jalan itu sukar ditampung kerana terlalu  besar melopong.

Kerajaan terlalu taksub dengan anggapan bahawa kerja yang terbaik hanya  mampu dibuat oleh sektor swasta. Kalau kerja-kerja itu dilaksanakan dengan  cermat hasil pemberian tender  yang dikendalikan secara terhormat, tidaklah kerja-kerja itu boleh  dipertikaikan  sangat.  Nampaknya  kerja-kerja itu diberikan kepada mereka  yang rapat dengan pihak yang berkuasa sehingga menghasilkan kerja  yang sambil  lewa kerana yang diberikan  tender itu tidak berpengalaman  untuk melaksanakan kerja yang berkesan. Kerja-kerja  membersihkan  Sungai Kelang  di Shah Alam akan diswastakan tidak lama lagi.   Kontraktor yang melaksanakannya  akan  mendapat hak menggunakan tanah  yang luas  di tepi tebing sungai itu.  Kontraktor  yang diberikan kerja itu bukannya pakar  pembenterasan  banjir. Tetapi dia diharapkan  mampu  menjalankan kerja  untuk menghindarkan banjir.  Perhatikan sahaja  Kompleks Sukan   yang  dibina khas  untuk Sukan  Komanwel 1998. Penswastaannya  diuruskan  dengan  memberikan  sebidang tanah berharga mewah  di Lembah Kelang. Struktur  yang  dibuat  untuk kompleks  itu  adalah bersifat ala kadar sahaja. Inilah  yang dikatakan membuat banyak duit dalam  pembikinan  projek penswastaan.

Cuba perhatikan cara pokok ditebang dengan sewenangnya di  Kuala Lumpur.  Pokok-pokok di negara tropika   menyerap  air  sehinggakan  bersamaan dengan 25 peratus berat badan  pokok itu,  untuk  mengeluarkan semula secara berdikit-dikit.  Inilah  yang menyekat berlakunya banjir  besar. Pokok-pokok  yang tegak megah sejak tiga puluh  tahun  dulu, sudah  lama  dipotong  menyembah  bumi. Apabila pokok ditebang habis, selut pun bertapak  di dasar  sungai memerlukan  pengorekan  untuk mendalamkannya.  Tetapi, ini pun  sengaja tidak  diambil peduli. Keadaan ini  diburukkan  lagi  oleh perancangan  haprak  dan sikap songsang betapa  setiap kerja yang diswastakan itu boleh berjaya.  Lagipun kerakusan membina sesuatu  dengan  apa  harga sekali  pun  diberikan keutamaan daripada  keperluan rakyat marhaen. Jadi, apa saja yang menjolok  mata  diswastakan,  dan kalau kita ambil iktibar apa yang  sudah berlaku,  projek  yang diswastakan itu akan dibeli kembali oleh kerajaan satu  hari nanti  untuk mengelakkan kontraktor berkenaan  daripada  bangkrap.

Banjir kilat menjadikan  projek gila-gila  “Linear City”  sepanjang Sungai Kelang itu satu projek yang  meragukan.   Kalaulah  projek itu sudah dimulakan dan  keadaan sungai  berada  seperti sekarang ini, sudah  tentu  penghuni  ibukota  hidup dengan  sengsara.  Mujurlah, orang  yang  diberikan kontrak membina Bandar  gila-gila  itu  sedang dibanjiri  masalah peribadi,  berkemungkinan projek itu  tenggelam   begitu  sahaja.  Alam maya adalah sebaik sahabat  kita tetapi boleh bertukar  menjadi musuh  yang berbahaya. Tetapi kerajaan beranggapan ia mampu menipu  alam  ini dan terpaksa menanggung bahananya kini.  Kalau sesuatu tidak dilakukan  sebagai langkah yang berkesan, Kuala  Lumpur haruslah bersedia kebanjiran selalu seperti  minggu  yang  lalu.  Apabila  ia dibandingkan  dengan banjir tahun  1929 dan 1971   adalah sesuatu yang  menakutkan.   Banjir yang terbaru ini adalah  satu musibah  alam kerana  memperlekehkannya. 

Yang pelik ketika banjir itu terjadi, tidak ada sebarang kenyataan rasmi  menerangkan  apa penyebabnya.  Rakyat marhaen tertanya-tanya  kenapa  dan terpaksa   berusaha  sendirian  menyelamatkan nyawa  dan harta  benda.  Penjelasan muncul hanya setelah  banjir  itu  reda. Ini  menunjukkan pihak yang berkuasa turut  terkejut  sehingga  otak turut  senggugut  Bayangkan ribuan kereta  yang terkandas dan terapung  yang akan  berulang lagi selagi tindakan menghindarinya  tidak  dirancang. Tetapi Bandar Raya tidak mampu melaksanakannya. Kalau ia tidak mampu  menyediakan khidmat municipal  yang berkesan,  apakah ia mampu merancang  masa depan yang lebih meyakinkan? Inilah bayangan  kecuaian, keangkuhan,  keengganan memahami  hukum  alam,  ketaksuban bahawa  hanya penswastaan  yang  boleh  menghasilkan kerja  yang  berkesan  yang  menyumbang  kepada banjir yang sungguh  pantas tetapi  sungguh menakutkan. Tidak  ada sesuatu pun yang  menjanjikan kehidupan masa depan yang  menceriakan. Lebih banyak lagi  banjir kilat  yang  akan muncul walaupun tidak sedahsyat  yang muncul minggu   lalu.

-MGG Pillai-
Isnin  30  April,2001.

Terjemahan MT

Bilangan pembaca: