SPAR-01-002

Dato Seri Anwar Ibrahim dan Rahim Noor
(Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Rahim Noor)

MGG Pillai

Mantan Ketua Polis Negara, Rahim Noor, yang memulakan hukuman penjara selama dua bulan gara-gara kalah dalam rayuannya pada 30 April 01. Kes Rahim Nor menunjukkan betapa dahsyatnya pihak polis melayan orang yang ditangkapnya. Memang tidak ada orang yang mahu bercakap mengenainya. Namun dalam setiap pasukan polis, mereka gunakan pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat daripada orang yang disyakinya. Kalau seorang yang berpangkat Ketua Polis Negara boleh menyalahgunakan kuasanya dan menghenyak seorang bekas timbalan perdana menteri yang baru sangat ditangkapnya sehinggakan insan itu menjadi lembik hampir tidak bernyawa; apakah jaminan yang orang bawahannya tidak melaksanakan kerja-kerja bajingan yang sama? Tidak ada sesiapa yang merasakan keanihan di waktu Rahim Nor memberitahu seluruh dunia bahawa Anwar sedang sihat bugar sedangkan dia tahu perkara sebenarnya adalah tidak benar. Inilah yang memerlukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mendapatkan pengakuannya yang dia sudah berdusta, sedangkan dialah yang sebenarnya menghenyak bekas timbalan perdana menteri itu sehinggakan lebam matanya. Kisah mata lebam yang sungguh terkenal itu bukannya lambang penangkapan terhadap Anwar tetapi ia adalah lambang keangkuhan pasukan polis diraja Malaysia..

Para peguam memberitahu saya bahawa hukuman itu terlalu berat untuknya. Apabila seseorang itu mengaku bersalah, hukuman patut diringankan sebanyak satu pertiga. Sepatutnya dia dikenakan hukuman untuk satu bulan sahaja. Tetapi, Pendakwa Raya Silap menuduhnya melakukan serangan biasa. Itu bukannya kes yang mudah begitu saja. Apabila seorang KPN (IGP) menyerang seorang tahanan yang ditutup matanya dan digari tangannya, itu bukannya satu serangan biasa lagi. Kita tidak perlu ambil pusing apakah dia melakukan semua itu sebagai menurut perintah. Penghakiman Nuremberg (satu kes pengadilan di Nuremberg Jerman, selepas perang dunia kedua dulu – penterjemah) telah mengasaskan satu prinsip perundangan bahawa seorang bawahan terpaksa menanggung hukuman sepenuhnya seandainya dia menurut perintah yang melanggari undang-undang. Dalam hal ini Rahim Nor adalah seorang KPN, dan dia sendiri bertindak untuk melumatkan tahanan itu. Lagi pun, tidak ada sebab yang munasabah kenapa dia mesti berada di sisi Anwar pada malam itu.

Memberikan alasan bahawa Dato’ Seri Anwar telah menghinanya dengan panggilan ‘babi’ memang tidak boleh dipakai lagi. Adalah berpatutan merumuskan bahawa kalaulah Rahim Nor membiarkan saja pegawai yang menangkap Anwar menjalankan tugasnya, dan membiarkan pula urusan penahan terlaksana, adalah tidak mungkin Dato Seri Anwar menggelarnya seekor ‘babi’. Dia yang mengundang jeritan itu kalaulah perkara
itu sebenarnya pernah berlaku. Rahim Nor telah berbohong terlalu banyak kali sehinggakan tidak ada sebab kenapa kata-katanya itu boleh dipercayai. Dia tidak ada urusan pada malam itu untuk berada di bilik tahanan Anwar dan dia layak dimaki hamun oleh orang yang ditahannya.

Ketika merayu, peguamnya setelah berkata bahawa Rahim Nor telah banyak berjasa kepada negara, oleh itu hukuman penjara adalah terlalu berat untuknya lagi pun dia akan kehilangan pencennya* (sila lihat catatan penterjemah). Dia telah berkhidmat dengan penuh kesetiaan, dan oleh kerana kecuaian dia akan kerugian besar, apa lagi dengan hukuman penjara. Cuba kita fikirkan kisah rayuan ini molek-molek. Kalaulah hujah ini telah diterima-pakai, adakah benar kalau kita katakan cara Dato Seri Anwar dilayan setakat ini adalah satu ejekan terhadap keadilan yang dirayukan itu. Anwar pernah memikul jawatan yang tinggi, dan banyak berjasa kepada negara seperti yang pernah digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri pada satu ketika. Tetapi, seperti Rahim Nor, Perdana Menteri pun sudah hilang akalnya juga.

Kenapakah Anwar dianggap laksana seorang pesakit kusta, mencegahnya daripada mendapatkan layanan perubatan yang amat diperlukannya, sehinggakan perkara itu dijadikan konfrontasi politik pula? Kenapakah dia tidak dibenarkan ikat jamin sedangkan kesalahannya itu dibenarkan ikat-jamin, seperti yang dibenarkan kepada orang yang berkonspirasi terhadapnya menunggukan rayuan mereka? Kenapakah alasan penghakiman dalam kes Anwar yang kedua tidak lagi dikeluarkan beberapa bulan selepas sabit penghukuman? Inilah yang mencegahnya membuat rayuannya di Mahkamah Rayuan. Lagi pun, seandainya seseorang hakim tidak mengemukakan asas-asas mensabitkan penghukumannya dalam masa enam minggu, hakim itu boleh didakwa oleh satu tribunal dan dilucutkan kuasanya seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Perkara ini harus diamati oleh Ketua Hakim Negara.

Satu kesan daripada serangan Rahim Nor itu ialah kepercayaan yang menyeluruh betapa ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah satu undang-undang zalim dalam proses demokrasi negara ini. Memang ada gunanya menahan sebagai usaha pencegahan. Tetapi, ia boleh dikuatkuasakan apabila negara sedang diancam bahaya dari luar. Tidak ada sesiapa yang mempertikaikan penggunaannya pada era darurat dulu dan beberapa tahun berikutnya ketika negara masih terancam juga. Tetapi apabila ia dikuatkuasakan di zaman keamanan, ia menunggu masa sahaja sebelum rakyat marhaen bangkit untuk memberontak. Mata lebam yang terkenal itu adalah pemangkin yang Menyemarakkan keresahan itu di Malaysia.

Episod Rahim Nor akan menyulitkan lagi masalah kerajaan yang angkuh dengan propaganda bahawa Dato’ Seri Anwar diberikan layanan istimewa dalam penjara. Di manakah nanti Rahim Nor akan menginap? Apakah dia akan dibiarkan bebas dengan banduan biasa ataupun diberikan layanan istimewa? Mestilah dalam satu Kamar istimewa! Kenapakah di kamar istimewa seperti Dato’ Seri Anwar? Kerana peruntukan begitu memang ada dalam peraturan penjara. Inilah ketentuan yang dipastikan oleh kerajaan. Rahim Nor tidak boleh dibiarkan bebas di kalangan banduan biasa kerana ada saja orang yang sanggup melebamkan dua-dua matanya, seperti cara dia melebamkan mata Anwar dulu. Kalau ini berlaku, sekali lagi kerajaan akan jatuh malu. Tidak lama lagi kita akan tahu bagaimana dia dilayan dalam penjara. Kalau layanan itu tidak sama dengan layanan yang diberikan kepada Dato Seri Anwar, seperti yang disebut oleh menteri hal ehwal dalam negeri, bererti kerajaan terpaksa memberikan
penjelasan pula. Kerajaan tidak akan mendapat sanjungan kerana memenjarakan Rahim Nor, dia sudah dimanjakan terlampau amat. Walau bagaimanapun, pemenjaraan Rahim Nor adalah satu lagi kemenangan dalam konfrontasi di antara Anwar dengan musuh ketat dan orang yang pernah dilindunginya, Dr. Mahathir Mohamed.



-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my
Selasa1 Mei,2001


Catatan Penterjemah*: Hujah dan alasan Rahim Nor akan kehilangan pencennya adalah tidak relevan dan boleh dianggap satu pembohongan. Ketika Rahim Nor melebamkan mata Anwar dia bertugas sebagai pegawai kontrak kerana khidmatnya disambung selepas khidmat rasminya tamat dan dia dikira sudah layak menerima pencennya.

Diterjemahkan oleh: SPAR-01-002 Khamis 3/5/01.