SPAR-01-003

Bahana Memutar Teknologi Pintar
(Smarting from smart technology)

Apakah kemungkinannya seseorang yang tidak pun faham akan sesuatu teknologi itu berupaya mengguna dan memanfaatkannya? Apakah mungkin sebuah masyarakat yang belum bersedia menerima-pakai sesuatu teknologi itu menganutinya tanpa dibebani oleh kesan-kesan dan bahana yang disebabkan persiapan yang songsang?

Para falsafah sejak zaman Hellenik (Yunani Purba) telah bertelagah dan berdebat akan perkara ini. Socrates, Plato dan banyak para ilmuan lagi sejak dulu-dulu masih belum mencapai keputusan mengenainya, sehinggakan perkara itu terus segar bugar hari ini, setelah dicetuskan sejak 2,300 tahun yang lalu.

Apakah sesuatu teknologi itu satu kesenian ataupun sains? Mungkin juga sains adalah jawapannya, tetapi penggunaannya itu sudah pasti satu kesenian. Sejak teknologi menjadi sebahagian budaya dunia moden, segala kepincangannya yang tidak diperdebatkan dengan meluas, menyentuh perasaan kita sehinggakan peranannya dalam budaya kehidupan menjadi satu perkara sumpahan.

Di Malaysia, teknologi merupakan dasar rasmi kerajaan yang disogokkan secara paksa kepada masyarakatnya oleh seorang Perdana Menteri yang amat taksub mengenainya. Ia dipaksa ke atas masyarakat sebuah negara yang belum bersiap sedia, namun diajar untuk berbangga kerana menganuti kesederhanaannya, dengan kepercayaan mereka yang mempunyai markah yang lemah, terutama sekali mereka daripada satu kaum tertentu, diberikan pengiktirafan yang lebih tinggi daripada mereka yang mempunyai markah yang cemerlang.

Jumlah pelajar Malaysia yang makin ramai tidak diberikan peluang belajar di universiti walaupun mereka memiliki keputusan peperiksaan yang cemerlang sedang menekan tanggapan sejagat daripada sudut politik dan budaya.

Dalam hal ini mampukah Malaysia terus berharap untuk menarik teknologi unggulan sejagat dan juga minda saintifik yang pintar-pintar untuk mewujudkan makmal penyelidikan dalam satu kawasan yang lebih besar daripada Singapura? Setakat ini apa yang sudah dibangunkan tidak membawa makna apa-apa.

Kini, pihak kerajaan sudah pun sedar bahawa mereka yang pintar tidak bersedia datang ke sini tanpa sebarang khidmat sokongan yang mudah diperolehi daripada golongan pakar bawahan dan juga tenaga kerja seperti pembantu makmal yang boleh memberi perangsang untuk pakar-pakar yang pintar datang ke negara ini.

Buta-huruf Teknologi

Inilah hakikatnya. Kejayaan MSC (Koridor Raya Multimedia) dan Cyberjaya diasaskan kepada kenaikan harga tanah dan bukannya kepada kualiti dan mutu penyelidikan yang diusahakan.

MSC dan Cyberjaya menunjukkan bagaimana sesuatu idea yang bernas itu boleh dihancurkan oleh orang-orang yang tidak faham makna teknologi. Kakitangan kerajaan sebagai satu kelas manusia sememangnya tidak memahami apa erti teknologi sebenarnya.

Teknologi ialah budaya kerja yang menentukan kelicinan pergerakan sesuatu sistem. Tidak ada satu pendekatan yang serius untuk sama-sama memikirkan apakah yang dimaksudkan dengan pengenalan teknologi secara skala yang luas yang akan membawa kesan kepada pembangunan masyarakat Malaysia itu.

Masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan tentang internet adalah satu contoh bagaimana sesuatu perkara itu menjadi bercelaru.

Apa sahaja yang terbaru yang diperkenalkan di Malaysia dan juga dunia luas seolah-olah teknologi itu secanggih teknologi menghiris kepingan roti yang terkini. Sesiapa juga yang mencabar pendekatan ini dicop sebagai anti-nasional dan bermacam tohmahan buruk lagi.

Kerajaan memang sudah mempunyai jawapan kepada soalan yang bakal dikemukakan. Sesiapa yang menyoal kerajaan dianggap tidak tahu menahu apa yang sepatutnya dilakukan. Inilah kecelaruan yang menebal di minda pegawai kerajaan kerana tidak mampu berfikir kenapakah dunia luar mengenepikan MSC. Kerajaan selama ini beranggapan setiap kali ia mempunyai satu rancangan, pihak yang lain akan bergerak dan menyesuaikan diri kepada tempatnya.

Adalah sama silapnya untuk membuat andaian apabila MSC ditubuhkan, apa juga usahasama yang difikirkan tanpa penuh serius tentang teknologi pintar itu (tidak kiralah apa maknanya frasa itu) ia akan menjadikan taraf hidup orang Malaysia itu bergerak maju tanpa masalah lagi.

Usahasama pintar

Eloklah kita ambil beberapa contoh bagaimana kerajaan memperkenalkan pelbagai teknologi kepada rakyatnya. Cuba kita ambil lessen memandu sebagai contohnya.

Kita telah diberitahu betapa teknologi istimewa adalah ciri yang penting, di mana ciri-ciri tulisan istimewa tidak mudah dijual di Malaysia, untuk mengeluarkan satu lessen memandu yang tidak boleh ditiru. Kad pintar istimewa bersama mesinnya telah ditempah. Tetapi apabila kita pergi balik untuk memperbaharui lesen memandu itu, mesin untuk memperbaharui maklumat belum tiba lagi.

Kini, kita berbalik semula kepada kad cara lama, yang membabitkan masalah menekan maklumat dengan menggunakan komputer.

Kita pernah memasang kamera pintar, seperti jenis yang digunakan di negara barat, untuk menangkap pemandu yang melanggar lampu isyarat. Berjuta ringgit telah dibelanjakan untuk membeli kamera canggih ini dan memasangnya. Kini, tidak ada satu pun kamera ini yang berfungsi kerana kos menyelianya tidak pernah diambil-kira. Harganya terlalu tinggi dan kerana itu sistem kamera itu pun ditanggalkan.

Pasport pintar ialah satu lagi contoh iltizam kita kepada teknologi moden. Masalahnya, pasport itu memerlukan mesin khas untuk membaca maklumat di dalamnya. Takkanlah negara asing terpaksa memasang mesin mahal seperti itu semata-mata untuk membaca maklumat yang terkandung dalam pasport rakyat Malaysia yang masuk untuk bercuti sahaja.

Oleh kerana maklumat dalam pasport Malaysia itu hanya boleh dibaca oleh mesin khas, dan bukan dengan penglihatan mata manusia, ramai rakyat Malaysia yang teraniaya.

Hindi-Arab

Pasport terbaru Malaysia menyebabkan ramai pegawai imigresen luar negara berfikir bahawa orang India di Malaysia adalah keturunan Arab. Ini berpunca apabila ada beberapa ‘bahlol’ yang sengaja memisahkan kod ‘anak lelaki’ (A/L) dengan tidak memasukkan lambang sempang,, menjadikan nama si pemegang pasport itu mempunyai perkataan AL. Macam orang Arab sekejaplah pemegang pasport seperti ini.

Oleh kerana ramai pegawai imigresen luar negara tidak mempunyai maklumat sebenar amalan di Malaysia, mereka memikirkan si pemegang pasport yang mempunyai kod ‘AL’ itu adalah berketurunan Arab. Kalau nama si bapa mesti dimasukkan kenapakah tidak dimasukkan secara berasingan supaya dapat digunakan untuk semua rakyat Malaysia?

Kad pengenalan ‘pintar’ yang terbaru dikatakan mempunyai maklumat yang menyeluruh butir-butir peribadi seseorang itu termasuk lesen memandu dan banyak lagi maklumat yang bersifat peribadi.

Tetapi, pihak imigresen tidak menerimanya kerana cop jari yang tersorok. Dan jabatan itu tidak mempunyai mesin untuk mengesan cop itu. Kerana itu terpaksa dikeluarkan satu kad pengenalan berasingan yang mengandungi cop jari orang yang membawa kad pengenalan pintar itu.

Di masa dulu, kalau kita melanggar peraturan lalu-lintas, kita diberikan saman dalam masa yang terdekat. Kini, dengan adanya sistem berkomputer, ia memakan masa sehingga empat tahun. Saya baru sahaja menerima saman kerana salah letak kereta (parkir) pada tahun 1997.

Kadangkala, saya dikenakan caj telefon yang saya gunakan satu ataupun dua tahun terdahulu. Memang tidak ada gunanya kita merungut kepada orang Telekom. Kerani di meja pembayaran itu pun turut bingung semacam saya. Kelecehan untuk menyelesaikan perkara itu membuatkan kita mudah mengalah dan membayar tunggakan itu dan membisu sahaja.

Teknologi Yang Menyusahkan

Jadi kita mula menyoal, apakah gunanya semua ini akhirnya? Rakyat marhaen menjadi kelam-kabut tidak tentu hala. Apa gunanya kita menggunakan teknologi yang tidak difahami oleh orang ramai ataupun tidak ada gunanya langsung. Tetapi inilah caranya Malaysia bergerak ke hadapan dengan teknologi pintar berkomputer.

Banyak soalan yang pokok tidak pernah terjawab. Kita mulakan sistem komputer dengan komputer peribadi yang menggantikan mesin-taip dan mesin memproses.

Beberapa mesin tertentu dibawa masuk untuk kegunaan pakar tertentu dalam pelbagai bidang, sedangkan komputer itu digunakan oleh kakitangan yang tidak pun faham apakah sebenarnya mesin canggih yang mereka gunakan itu. Mereka mengendalikan mesin itu dengan cara amalan dan ingatan sahaja tanpa memahami kenapa kerja itu dikendalikan.

Sesiapa yang merungut setiap kali berlakunya kesilapan daripada maklumat komputer itu diberitahu bahawa komputer tidak pandai menipu.

Tidak ada pun badan atau pertubuhan khas di Malaysia yang menilai kemajuan penggunaan teknologi pintar. Setiap kementerian dan jabatan kerajaan mempunyai sistem komputer tersendiri, selalunya tidak serasi antara satu sama lain. Setiap jabatan terlalu cemburu dengan apa yang dipunyainya.

Kerana itu, tidaklah mudah untuk bertukar-tukar data dan maklumat melainkan dengan cara lama dengan orang perantaraan, pos dan telefon, Kadangkala emel pun digunakan juga. Tidak menghairankan kalau ada benda yang tidak dapat berfungsi, malahan perkara semacam itu harus dianggap sebagai perkara biasa sahaja.

Kini, cerita-cerita yang menakutkan bagaimana rakyat Malaysia terkandas di negara orang, dan menghadapi masalah untuk menggunakan kad pengenalan pintar untuk mendapatkan pasport baru yang pintar, akan terus didengar secara melambak dan berulang-ulang.

Apabila Malaysia menganggap meritokrasi adalah berbahaya dan satu kepercayaan anti-nasional, sehingga memaksa rakyatnya keluar negara untuk mencari pekerjaan mereka, yang akan rugi akhirnya ialah Malaysia juga.

Mazhab Lebih-kurang

Baru-baru ini ketua satu perbadanan kewangan Hong Kong telah tiba melawat Malaysia. Memanglah tidak ada yang istimewa mengenai lawatan itu. Cuma orang ini pernah menjadi seorang pegawai tinggi Bank Negara sehinggalah dia disekat untuk naik lebih tinggi lagi. Dia telah berkhidmat dengan Bank Dunia dan kini berkhidmat dengan Kerajaan Hong Kong. Pangkatnya tersekat ketika di Malaysia kerana dia tidak tergolong dalam mereka yang dikira ahli mazhab sederhana yang lebih-kurang sahaja keupayaannya. Ramai lagi manusia di Malaysia yang serupa dia masalahnya.

Seharusnya, ketaksuban memberi keistimewaan kepada kumpulan yang sederhana keupayaannya mendedahkan kepada kepincangan menggunakan segala alat teknologi pintar yang diimport oleh kerajaan. Alat yang canggih itu bukannya untuk memperagakan kecanggihan jabatan kerajaan semata-mata, ataupun memuaskan selera ketua jabatan itu. Kepintaran menggunakan alat teknologi pintar mesti diserap oleh ketua jabatan sehinggalah menyeluruh dan menurun ke tahap pembantu am rendah (PAR) jabatan itu.

Kalau kemajuan ini tidak dilaksanakan, bererti kita hanya bercelupar mengenainya dan terus dicukai untuk membiayainya. Cuba perhatikan apa yang sedang berlaku di Bangalore. Di sana tidak ada pun MSC yang canggih-manggih, tetapi ratusan ribu pakar komputer sedang berlegar-legar di sana dan menarik seluruh dunia mengetuk pintu makmalnya.

Sebenarnya manusia yang berotak dan bukannya taman teknologi haprak yang menentukan segala-galanya. Apakah kita mempunyai segala tenaga kepintaran itu? Tidak pun.


MGG Pillai
pillai@mgg.pc.my
Khamis Mei 3,2001.

Terjemahan SPAR-01-003