Pembohongan Yang Melindungi kebenaran

MGG Pillai

Kebenaran adalah sesuatu yang amat berharga sehingga pengawal pembohongan perlu untuk melindunginya. Itulah yang pernah disuarakan oleh Winston Churchill bagi menggugat keharmonian sewaktu perang dunia kedua. Prinsip yang penting ini turut digunakan sepenuhnya di dalam perang saraf Malaysia untuk menghancurkan, dengan kejayaan yang terhad, Parti Komunis Malaya semasa Darurat.

Ianya memerlukan usaha yang luar biasa , matlamat-matlamat yang jelas, pendirian yang teguh, keyakinan, kepandaian menghalusi sesuatu perkara, kebolehan berfikir dengan baik. Keangkuhan, penghinaan, kemarahan, sikap panas-baran adalah membahayakan. Kerajaan sepatutnya tidak menggunakannya terhadap rakyat sendiri. Apa yang boleh digunakan untuk mengalahkan pihak musuh tidak semestinya boleh menghasilkan kesan yang sama kepada pengikut sendiri.

Di Malaysia, perkara ini dilakukan dengan penuh biadap, merosakkan dengan begitu ketara sekali, dan membolot untuk diri sendiri menyebabkan ia tidak lagi boleh dipercayai. Ia tidak tahu atau peduli dengan apa yang hendak diperkatakan, dan seringkali memperbodohkan dirinya sendiri. Dengan semua ini timbullah satu keangkuhan yang tidak boleh diterima. Begitu juga dengan dunia korporat, dengan tindakan-tindakan yang memalukan untuk menyembunyikan kebenaran, namun ianya terbongkar juga. Kini apabila kedua-duanya memerlukan pertolongan, tiada seorang pun yang tampil untuk menghulurkan bantuan.

Apabila ahli-ahli politik dan gergasi-gergasi korporat perlu menyatakan kebenaran, mereka sebaliknya menyatakan pembohongan. Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed, amat tidak menyenangi wartawan-wartawan sehinggakan beliau lebih suka mempermain-mainkan mereka dari menjawab soalan yang diajukan. Pengunduran anak lelakinya, Mokhzani, dari dunia korporat pula gagal untuk membersihkan namanya.

Dr. Mahathir dengan marah telah bertanya kepada para wartawan pada bulan Ogos 1998 adakah beliau perlu mencium timbalannya pada masa itu, Anwar Ibrahim, bagi membuktikan bahawa tiada sebarang masalah yang timbul. Enam hari kemudian, Anwar telah disingkir di dalam satu konfrontasi yang Mahathir pasti harapkan tidak pernah berlaku itu. Jadi, sekarang isunya adalah dengan Menteri Kewangan, Daim Zainuddin. Itu pun beliau katakan tiada sebarang masalah yang timbul.

Tegang dan Mencemaskan :

Rakyat Malaysia dan lain-lainnya terpaksa bergantung kepada khabar-khabar angin untuk mendapatkan maklumat. Adakah KPN telah mencederakan Anwar dengan teruk selepas penahanannya di bawah ISA? Tidak, kata kerajaan. Ya, kata khabar-khabar angin. Ternyata, beliau memang telah melakukannya.

Apabila Menteri-Menteri Kabinet dan ahli-ahli politik bercakap sesuatu yang tidak benar atau mencadangkan agar mereka yang bertanya soalan-soalan yang sedemikian  memeriksa kepala mereka, terutamanya jika ia adalah untuk mengesahkan khabar-khabar angin yang didapati benar, itu membuatkan mereka kelihatan bodoh. Kedudukan Mahathir di dalam kerajaan semakin tergugat setiap kali beliau mengeluarkan kenyataan. Dirinya sendiri menjadi musuh yang paling dahsyat apabila beliau mengeluarkan kata-kata yang begitu berhati-hati tetapi memedihkan bertujuan untuk menyebabkan seseorang itu merasa terhina ataupun dianggap bodoh.

Daim mengatakan yang beliau menjadi mangsa kepada khabar-khabar angin. Apabila sebuah kerajaan menyebarkan perkara-perkara yang separuh benar dan pembohongan yang tulen, khabar-khabar angin akan mengisi ruang kosong di dalam maklumat.

Alam semula jadi bencikan ruang kosong. Jika kerajaan tidak akan mengisinya dengan maklumat-maklumat yang sahih dan tidak dapat meyakinkan rakyat terutamanya menjelang pilihanraya umum, apa yang hendak disampaikan, walaupun penting, tidak akan dipercayai lagi.

Apabila kebenaran itu diambil mudah, kerajaan akan kehilangan kuasanya. Mula-mula, ia berpatutan dengan kebenaran tentang masalah kesihatan Anwar Ibrahim. Kemudian suasana menjadi tegang dan mencemaskan apabila isteri Anwar membuat penjelasan tentang hal tersebut kepada para diplomat.

Ini telah mencetuskan kemarahannya, dan Menteri Luar, tidak yang lebih rendah dari itu, membuat penjelasan kepada duta-duta asing. Itu pun masih tidak mencukupi. Menteri Luar dan Menteri Kesihatan, bersama-sama dengan 14 pakar perubatan, kemudiannya memberikan penjelasan kepada para diplomat sekali lagi.

Dakwaan-dakwaan baru :

Kerajaan terperangkap di dalam masalah ini kerana tangan kanannya tidak tahu apa yang dilakukan oleh tangan kirinya. Ia mahu maklumat tentang kesihatan Anwar sampai kepada orang-orang asing tetapi tidak rakyat Malaysia. Beberapa siri tindakan yang diambil oleh kumpulan pro Anwar telah mengalihkan perhatian dari dirinya kepada penyakit yang dialaminya. Ini menyebabkan peluang kerajaan untuk mengembalikan isu itu kepada Anwar tidak akan berhasil.

Sukar untuk dijelaskan, beliau akan didakwa sekali lagi di atas tuduhan-tuduhan liwat dan rasuah yang seterusnya. Sepatutnya pendakwaan tersebut dijalankan pada 28 April tetapi ditangguhkan ke 12 Mei disebabkan Anwar tidak sihat. Namun gambaran Anwar di atas kerusi roda akan memberikan kesan yang mendalam sebagaimana penampilan mata lebamnya yang masyhur itu.

Kini, kerajaan mengeluarkan amaran pula sekiranya beliau tidak mahu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, beliau akan dihantar semula ke penjara untuk menjalani rawatan secara konservatif. Secara tidak langsung ini telah membawa semula fokus ke atas diri Anwar.

Apa yang kita lihat adalah hasil dari pandangan ini bahawa hanya kerajaan mempunyai jawapannya, manakala yang lain semuanya bodoh dan sewajarnya diperlakukan sedemikian. Keperluan untuk berbohong inilah atau lebih sopan lagi, untuk tidak menyatakan kebenaran yang menjadikannya defensif.

Setiap yang disentuhnya akan menjadi abu. Apabila apa yang diperkatakannya tidak lagi dipercayai, apa yang dilakukan juga akan dipersoalkan. Namun ia tetap tidak berubah. Inilah yang menjadi sebab mengapa hanya segelintir yang mahu mengambil tahu tentang sejauh mana perbalahan di antara Dr. Mahathir dan Daim; kerana bagi mereka, ianya seperti cerek mengatakan periuk itu hitam. Kebenaran, oleh yang demikian, adalah musibahnya yang paling utama.

Terjemahan SPAR