SPAR-03-001

RAIS YATIM, PAKAR TUNGGANG BALIK
(Rais Yatim, expert somersaulter)
oleh: Fan Yew Teng

Pada 15 April, sebuah akhbar telah menyiarkan kenyataan Dr. Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, betapa Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) harus membiarkan polis menjalankan tugas sebelum membuat sebarang ulasan.

The Sun ada melaporkan, kenyataan Rais yang mengulas kisah aktivis reformasi yang ditahan baru-baru ini, bahawa pihak polis mempunyai kuasa di bawah Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Tujuh tangkapan itu adalah berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Rais apabila diminta mengulas permintaan Suhakam agar para tahanan dibebaskan segera ataupun dihadapkan ke mahkamah. Rais menambah penangkapan itu adalah tertakluk kepada Artikel 151 perlembagaan negara dan bersesuaian dengan undang-undang keselamatan dalam negara.

Mengejutkan

Kenyataan Rais itu bukan sahaja mengejutkan malahan amat tragis sekali. Ia mengejutkan kerana Rais, yang merupakan menteri yang bukannya memegang jawatan kementerian kanan merupakan seorang peguam dan politikus berpengalaman - dengan kelulusan kedoktoran undang-undang, seolah-olah tidak arif dengan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999.

Akta ini (Akta 597) telah diluluskan oleh parlimen dan diperkenankan oleh YDP Agong pada 27 Ogos, 1999. Ia diterbit dan digazetkan pada 9 September, 1999.

Apakah kita difahamkan bahawa Rais tidak tahu-menahu kewujudan undang-undang ini? Ataupun, dia tidak menyedari seksyen 4 dalam Akta itu, tentang ‘Fungsi dan Kuasa Suruhanjaya' itu?

Seksyen 4(2) dalam Akta tersebut menjelaskan: “Bagi tujuan melaksanakan fungsinya, Suruhanjaya boleh menguatkuasakan sebarang ataupun seluruh kuasanya di bawah seksyen 4(2) Suruhanjaya itu mempunyai kuasa, malahan tugas, menasihati Kerajaan dan/atau badan berkanun yang berkaitan rungutan terhadap badan berkanun dan memberikan nasihat ataupun syor-syor kepada Kerajaan ataupun badan berkanun akan peraturan yang perlu diambil…”

Sub-seksyen (e) di Seksyen 4 (2) menyatakan dengan jelas betapa Suruhanjaya itu mempunyai kuasa ‘untuk mengeluarkan kenyataan tentang hak asasi manusia, apabila dan jika diperlukan…”

Jadi, dari segi apakah Suhakam bertindak silap? Di bahagian manakah mengikut Akta1999 itu Suhakam tidak dibenarkan ataupun tidak boleh mengeluarkan pendapatnya semasa polis menjalankan tugas ataupun siasatannya?

Kesedaran Yang Rapuh

Pihak polis mungkin mempunyai sedikit ruang mengikut Seksyen 73(1) ISA tetapi ini tidak bererti ISA secara amnya dan Seksyen 73(1) khasnya, sebagai bersifat menghormati moral dan adil.

Di bawah undang-undang apakah di Malaysia ini, yang membabitkan Suhakam ataupun sesiapa saja rakyat Malaysia, tidak boleh membuat komen ataupun mengkritik tangkapan yang dikatakan berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraman awam?

Apakah kesedaran hati nurani manusia di sebalik semua tangkapan itu begitu lemah dan rapuh sehingga ia mampu berdiri menjadi sasaran renungan awam dan penelitiannya?

Rais sememangnya berhak untuk berkata bahawa semua tangkapan di bawah ISA itu adalah sah; lagipun kalau dia mahu terus menjadi seorang menteri, dia tidak ada pilihan lain daripada akur dengan pendirian kerajaan.

Tetapi, sudah tentu ini tidak bererti Suhakam mesti berfikir seperti Rais dan kerajaan. Lagipun sudah terlalu banyak robot dalam negara ini. Soalan apakah Suhakam bertindak secara prejudis ataupun berpihak-pihak tidak timbul langsung.

Rais memang berhak untuk merumuskan betapa penangkapan ISA itu tidak mempunyai unsur-unsur yang mencemar hak asasi manusia. Ini tidak bererti pihak lain, termasuk Suhakam, mesti meniru pandangannya yang terlalu berbaur politik dan amat menjijikkan itu.

Suhakam sudah pun mempamerkan kematangannya tentang undang-undang dan segala proses perundangan itu. Sebenarnya Rais yang secara mengecewakan kita telah gagal memahami peruntukan asas yang terdapat dalam Akta 1999 Suhakam itu.

Rais harus sedar tidak ada sesiapa yang berkata bahawa artikel 151 dalam perlembagaan tidak membenarkan tangkapan di bawah ISA. Sememangnya wujud peruntukan itu. Tetapi ini tidak semestinya bererti peruntukan Artikel 151 itu sesuatu yang adil dan saksama.

Kezaliman Eksekutif

Peruntukan undang-undang dan perlembagaan yang tidak adil adalah perundangan yang tidak sepatutnya dikekalkan. Kenyataan Rais memang sesuatu yang tragis sekurang-kurang disebabkan satu hal. Pada 1995, Rais telah menerbitkan satu hasil kajiannya yang terkenal berjodol “Freedom under Executive Power in Malaysia.” (Kebebasan di bawah kuasa eksekutif di Malaysia).

Sememangnya dia tidak silap mendedikasikan buku itu “kepada semua yang telah menanggung azab sengsara daripada kezaliman salah guna kuasa eksekutif.”

Dalam rumusan beliau kepada satu bab yang panjang tentang “Penahanan Tanpa Perbicaraan di bawah ISA” (Bab 5, muka surat 187-304),Rais mencatatkan: “Pemimpin eksekutif mempunyai kebebasan untuk menuduh, mendakwa dan menzalimi orang-orang yang dianggap “menggugat ketenteraman awam ataupun keselamatan negara Persekutuan’, inilah satu frasa perlembagaan yang dipermudahkan yang menyeluruhi satu jaringan yang lebar untuk mengambil kira pemikiran politik dan aktivitinya yang mungkin dianggap tidak sealiran dengan pemikiran pihak ningrat yang berkuasa dalam kerajaan.”

Rais selanjutnya memberi amaran: “Seseorang eksekutif yang tidak mahu dirunsingkan oleh penelitian penghakiman terhadap segala tindakannya dalam Akta Parlimen seperti ISA sudah tentu, setidak-tidaknya di satu tempoh tertentu di masa hadapan, mahu menggantikan hukum perundangan itu sama sekali. Dalam hal menyangkuti Malaysia, kecenderungan ini adalah menunggu masa sahaja dan mahkamah-mahkamah tidak mungkin lagi menjadi satu penghalang yang berkesan untuk menyekat kemungkinan berlakunya tindakan itu.”

Itulah yang sebenarnya!!! Malahan, yang lebih dianggap satu tragedi ialah orang yang sama bernama Dr. Rais ini, pernah menjadi pemimpin parti pembangkang Semangat 46, dan sejak 1996 melompat balik (pada jambatan yang telah dibakarnya - penterjemah) untuk menganggotai UMNO semula.

Sememangnya Rais berhak kepada hak asasi kemanusiaan yang asas untuk lompat-melompat bertunggang-balik daripada parti pembangkang kepada parti yang memerintah.

Sungguh menyedihkan dan alangkah sayangnya, apabila Rais tidak menyatakan nasihatnya itu kepada rakyat Malaysia sama ada pandangannya tentang ISA seperti yang ditulisnya dalam buku itu dulu sudah juga turut tertunggang-balik.

Kemestian

Memang memedihkan apabila Rais sanggup mengenepikan “semua mereka yang telah menanggung kesengsaraan daripada kezaliman eksekutif yang menyalah-gunakan kuasanya’ dan kini beliau menjadi satu alat kemestian kepada lembaga yang sungguh zalim itu, sehingga mudah menonjol di atas pentas sebagai “His master’s Voice” (satu gramofon purba - penterjemah) kepada Mahathir.

Perdana menteri kita yang memarahi rakyat Malaysia kerana tidak bersyukur dan kini seolah-olah dihinggapi penyakit gila-gila betapa dia sudah disalah-anggap persis T.E.Lawrence dalam sebuah filem Hollywood bertajuk “Lawrence of Arabia.” Itulah manusia yang sungguh dimegahkan oleh Hollywood satu ketika dulu.

Siapa boleh sangka satu hari nanti kita akan membikin filem keluaran Bodowood yang memperagungkan Mahathir dengan satu filem cereka diberi nama ‘Mahathir of Dystopia’. Saya tidak akan terkejut kalau Rais dipilih sebagai pengarah filem epik itu.

Mengenai hadiah oskar pula!!! Bayangkanlah sahaja…….


-Fan Yew Teng-

Terjemahan: SPAR-03-001

Sumber asal:
Malaysiakini - http://202.56.157.37/News/2001/05/2001050403.php3