Terjemahan: SPAR-05-001

Parti Untuk Para Lanun

A Party Of Pirates
by Harun Rashid
May 4, 2001

Keinginan rakyat untuk mendapatkan kebenaran menjadi semakin ketara, membuatkan kerja-kerja menyimpan rahsia semakin berbahaya. Sememangnya para penjenayah mesti lebih berwaspada memendam kisah jenayah mereka daripada pengetahuan umum. Dalam usaha mengelakkan pengesanannya pelbagai tipu helah  digunakan. Satu kaedah yang popular ialah menggelapkan kebenaran itu dengan menggunakan pembohongan. Kaedah ini adalah usaha bersahaja untuk memesongkan pandangan dan fikiran.

Sesuatu rahsia di zaman internet ini memang tidak mempunyai hayat yang panjang. Akan tetapi ia tidak berjaya menyekat mereka yang terlalu haloba untuk menyedari kenyataan yang sebenar. Kini, dasar kerajaan yang songsang telah menjadikan ramai orang mengambil peranan sebagai perisik rahsia dan melaporkan apa juga yang dilihatnya. Seseorang bajingan mudah merasakan lebih banyak paku-paku tajam di atas permaidani yang dilaluinya.

Pengawasan begini tidak pula menghalang usaha-usaha biasa untuk mencari kedutan baru yang mungkin menjelma. Semangat keusahawanan kerap mencari dan meraba segala kelemahan yang mungkin muncul dalam teknologi yang baru. Setiap hari akan muncul seorang insan yang telus ikhlas, yang bersedia dicampakkan ke dalam kancah yang penuh ular berbisa yang terdapat dalam perniagaan antarabangsa. Semua ular yang berbisa itu memang menunggunya.

Kerajaan memang menyimpan banyak rahsia yang diminati kerajaan lain sebagai alat untuk mempertahankan diri. Memang ada menteri kerajaan yang pelahap dan mudah berlagak laksana manusia yang jujur. Mereka merasa tenang berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi, pengabdian media, dan penyiksaan serta penangkapan mereka yang berani untuk menyanggah.

Ketika Sepanyol merupakan kuasa besar di zaman dulu (daripada Sepanyol hinggalah ke Amerika Latin dan Caribbean - penterjemah), terdapat beberapa kapal yang diselenggarakan oleh awak-awak yang tidak berdosa melayari lautan samudera dengan mengibarkan bendera negara sahabat ataupun negara yang berkecuali. Pelayar lain yang melihat dari jauh akan bendera-bendera yang berkibaran itu membiarkan saja kapal-kapal itu berselisih tanpa mencetuskan sebarang keraguan. Kapal-kapal lanun ini mengibarkan panji-panji dan bendera palsu yang berbagai-bagai warnanya sebagai satu helah untuk meyakinkan sesiapa yang melihatnya. Sebaik sahaja kapal yang mendatang itu semakin hampir dalam jangkauan tembakan meriam, bendera dan panji-panji palsu itupun diturunkan dan dinaikkanlah bendera jenis ‘Jolly Roger’ untuk berkibar di tiang kapal. (Inilah bendera hitam yang berlakarkan tengkorak melopong dengan dua kerat tulang bersilang dikenali di alam Melayu sebagai bendera lanun-penterjemah). Penyungkup meriam pun dibuka untuk mendedahkan muncung meriam yang akan diledakkan..

Beberapa tembakan ke arah kepala sudah memadai untuk melumpuhkan mangsa sebelum didekati untuk diserang. Kapal yang merapat, diserang dan awak-awaknya pun terus ditawan, dan segala muatan yang berharga dipunggah sebelum kapal tawanan itu dibakar untuk ditenggelamkan. Awak-awak yang menjadi mangsa selalunya turut tenggelam dengan kapal yang terbakar itu ke dasar lautan.

Kini, banyak kerajaan yang mengibarkan bendera palsu, dan Malaysia ialah salah satu kerajaan jenis itu. Keseluruhan struktur parti yang sedang berkuasa dipenuhi dengan lanun belaka. Tidak ada seorang pun pemimpin parti yang lebih tinggi pangkatnya daripada ketua kampung yang mampu menangani siasatan rapi. Ini merupakan satu perkara ganjil di alaf baru. Sudah tentu nanti ada  orang yang menjerit-jerit bahawa apa yang dinyatakan ini adalah berita palsu.

Di Malaysia, mereka yang membocorkan sesuatu rahsia selalunya dipenjarakan, berasaskan satu teori betapa cerita yang buruk akan matang menjadi hidangan yang menyelerakan. Jarang sekali perkara itu berlaku.

Parti yang berkuasa tidak mahu seluruh dunia mengetahui bagaimana para banduan diberikan layanan. Satu perbicaraan yang paling lama dalam sejarah kehakiman Malaysia melibatkan pendakwaan seorang wanita yang menceritakan pelbagai rahsia. Dia telah didakwa kerana menyebarkan berita palsu. Seorang lelaki yang melaporkan Kebajingan beberapa menteri dalam parti secara terbuka sudah pun didakwa secara tidak berkeputusan. Dakwaan itu tidak nampak ada penghujungnya kerana sikap pegawai pendakwa yang berlagak laksana cengkaman kucing kepada parti yang berkuasa.

Bekas menteri kewangan, yang merupakan seorang manusia yang menyimpan banyak rahsia kerajaan telah ditangkap tanpa diberikan jaminan dan dipenjarakan berseorangan. Masalah kesihatannya, yang disebabkan oleh pemenjaraan, telah menyebabkan dia dimasukkan dalam hospital. Akan tetapi, menteri dalam negeri memberikan amaran: “Kalau dia cakap banyak, dia akan dihantar balik masuk penjara.” Sudah terlambat pun, mantan menteri kewangan itu sudahpun mendedahkan kebenaran yang sebenarnya.

Usaha berterusan untuk mengekalkan kesunyian menambah kepada kehampaan parti yang berkuasa. Keupayaan mereka untuk mempertahankan kuasa sedang digugat oleh kebencian rakyat yang semakin menyeluruh. Episod Anwar Ibrahim sudah bertindak laksana lampu kelip-kelip yang memberi amaran sejagat adanya bahaya. Kebanyakan pelayar sedar memang banyak lanun di perairan Malaysia. Malahan sudah wujud laman web yang sentiasa berfungsi memberikan berita semasa tentang serangan lanun setiap hari di perairan Malaysia itu.

Apa yang tidak diketahui sangat ialah kerajaan Malaysia yang ditadbirkan oleh parti yang berkuasa merupakan satu konspirasi di kalangan satu kumpulan lanun juga. Parti yang berkuasa di Malaysia adalah merupakan beberapa menteri yang tugasnya seharian ialah menggembar-gemburkan segala berita yang dianggapnya sebagai kejayaan besar untuk seluruh dunia mendengar, betapa semua itu adalah kejayaan yang menjadi kebanggaan sedangkan usaha itu sebenarnya bertujuan menudung segala penipuan yang ada. Semua ini adalah laksana panji-panji palsu yang bersedia diturunkan untuk digantikan dengan bendera lanun yang berlambangkan kepala tengkorak rompong itu semula.

Satu contoh kecilan memadai untuk merasakan getaran yang sedia ada, Biarlah kegagalan parti yang berkuasa menangani pelbagai masalah yang menghantuinya dianggap sebagai perakuan tentang sahihnya segala pendapat yang samar itu.


Laporan berita hari ini mengungkit rahsia bagaimana Korea Selatan memberikan subsidi kepada pembikinan kapal laut.. Pembikinan kapal menggunakan banyak tenaga manusia, selain memerlukan pelbagai sumber utama seperti besi waja.. Pembikinan kapal adalah satu perniagaan besar. Malaysia memang membeli kapal. Dengan itu adalah peluang yang tersedia.

Pengerusi perusahaan minyak nasional, Petronas, dianggap sebagai seorang eksekutif yang cekap. Dia juga diberikan tugas mengawasi pembuatan kereta nasional, penerbangan negara, syarikat perkapalan negara, dan banyak lagi perusahaan yang lain.. Dia dianggap sebagai seorang pakar lambung-melambung.

Dia juga terkenal sebagai Pak Turut. Di bawah penyeliaannya parti yang berkuasa telah mengalihkan sebahagian besar bayaran royalti yang merupakan hak salah sebuah negeri di Pantai Timur. Di negeri ini terletaknya Perwaja Steel, sebuah perusahaan kesayangan parti yang berkuasa. Di sinilah telah ditimbunkan banyak wang rakyat marhaen untuk ditukar dan disalurkan kepada beberapa akaun persendirian dan juga parti yang berkuasa.

Satu usaha siasatan menyelidik dana yang hilang ini telah sengaja dilecehkan oleh parti yang berkuasa. Kerja melengah-lengahkan sesuatu adalah satu petua melindungi rahsia daripada didedahkan secara terbuka. Apabila siasatan itu diumumkan, ia disusuli oleh beberapa laporan yang berjuraian datangnya secara tersekat-sekat sehinggakan perkara itu bergelumang dengan tahinya sehinggakan baunya semakin menusuk kerana terlalu busuk.

Kerajaan PAS yang baru berkuasa di Terengganu enggan memperuntukkan wang rakyat lagi untuk menyelamatkan Perwaja, kerana itu wang royalti Petronas sudah disalurkan ke situ sebagai gantinya. Pengerusi Petronas tidak pun merungut akan hal itu kerana dia terlalu sibuk dengan kerja lambung-melambungnya sehinggakan ketiadaan masa lain untuk mengambil tahu.

Apabila kontrak pembinaan lima kapal baru untuk kegunaan Petronas dibuka, peluang untuk mengaut wang sogokan pun turut terbuka sama. Beberapa temu-janji diatur dengan menggunakan talian telefon yang memang dirakam oleh Petronas. Wang tunai telah dikirimkan dengan utusan khas ke Kuala Lumpur, dialihkan ke dalam beg rasmi di sebuah restoran sambil yang terbabit makan malam bersama menjamu selera. Semua itu sudah diperhatikan. Beberapa eksekutif Petronas menyumpah seranah kerana kehilangan wang peruntukan bonus mereka.

Rakyat Malaysia terpaksa membayar, melalui Petronas, lebih 20 persen lagi harga sebenar lima buah kapal yang mahu dibeli oleh Petronas itu. Caj lebihan ini merupakan wang sogokan yang dibalun oleh menteri-menteri dan pegawai perbendaharaan parti yang memerintah. Kerja-kerja songlapan sudah diketahui oleh ramai warga Petronas Oleh itu Pengerusinya tidak boleh berlagak pura-pura tidak tahu-menahu. Dia tidak mengemukakan sebarang rungutan, mungkin kerana dia mahukan butir-butir songlapan itu terus menjadi rahsia perniagaan. Rahsia syarikat memang mesti diawasi. Petronas adalah di bawah kawalan menteri kewangan, yang juga berperanan sebagai bendahari parti. Dia juga mempunyai kepentingan perniagaan peribadi.


Penipuan di tempat mengundi merupakan tonggak utama yang menyangga parti yang berkuasa. Ahli parti yang dulunya amat dipercayai untuk kerja-kerja putar-belit di hari mengundi sudah pun melompat parti untuk menukar haluan berpolitik dan membawa segala pengetahuan putar-belit itu bersama mereka Rahsia yang ada pada mereka sungguh menggugat sehingga mereka terpaksa ditangkap untuk dipenjara daripada dibiarkan bebas dengan rahsia yang ada.. Ini adalah dasar mengekang rahsia yang dikendalikan oleh para lanun dalam parti yang berkuasa. Parti ini sudah pun tua kerana ciptaan zaman lama dan tidak mampu menikmati perubahan keadaan politik alaf baru. Mereka tidak faham betapa kapal lanun mereka mudah dikesan radar antarabangsa, jelas dirakam oleh satelit yang berbentuk pelbagai ragam di seluruh dunia.

Memang banyak lagi yang diketahui. Cuma belum didedahkan lagi. Kumpulan yang kaya raya sedang menjemput yang berani dan berupaya, tawaran lumayan menjadi wartawan penyiasatan. Wartawan begini menjadi musuh ketat lanun-lanun di banyak negeri. Mereka bertugas dengan berbekalkan harapan menegakkan keadilan dan proses demokrasi. Apa yang diperlukan ialah keinginan membara dan sebuah mesin komputer. Memang wujud keseronokan dan juga bahaya. Inilah peluang kepada si pintar menjalankan peranannya. Tarikannya memang menakjubkan, bahananya pula memang menyeronokkan.

Media di Malaysia berstatus Pak Turut juga. Ini adalah disebabkan keperluan mendapatkan permit tahunan yang memang mencekik keinsanan. Kumpulan kader suruhan wartawan profesional ditekan untuk menjadi khadam mengelirukan konspirasi. Mujurlah pasaran terus jatuh merudum secara bebas dan parti yang berkuasa mesti mendapatkan dana untuk menjentik pasaran hadapan agar bergerak mengikut rentak yang dipalsukan.

Di Malaysia rahsia episod sogokan Mitsui dan kemelut bon kerajaan bernilai lima billion dollar yang disalurkan melalui system songlapan Labuan (Labuan Island international Money Laundering And Fraud Center) masih lagi belum terbongkar. Namun, semua rahsia mengenainya akan didedahkan juga. Kerja-kerja merompak di zaman ini mudah ketara dan terlalu jelas kesannya.

Mereka yang memberitahu kebenaran tidak boleh terus diugut agar berdiam dengan cara memenjarakan mereka berseorangan. Menteri-menteri purba masih berkeyakinan bahawa teknik lama menzalimi orang secara mengurung mereka masih boleh dikuatkuasakan lagi. Inilah yang ditentang oleh ahli parti golongan muda yang lebih memilih dasar terbuka, kejujuran dan keinsanan. Inilah jurang generasi dalam tamaddun Malaysia kini.

Masyarakat lanun mengekalkan sejarah panjang akan kegiatan mereka di Selat Melaka. Malaysia sudah pun memiliki kapal ronda yang baru serta laju untuk membendung nafsu-nafsi mereka. Namun, lanun yang hebat-hebat masih lagi melayari tujuh samudera yang ada. Mereka masih mengekalkan nafsu kepada judi, balak dan minyak. Nafsu serakah inilah yang mewarnai panji-panji Malaysia yang mesti diketahui oleh sesiapa yang berminat dengan perairan niaga Malaysia. Memang, Malaysia sentiasa menyimpan satu lagi jenis bendera yang bersedia untuk dikibarkannya.

Itulah bendera lanun berlambangkan tengkorak yang melopong mulutnya.

Harun Rashid
Jumaat 4/5/2001 Diterjemahkan oleh: SPAR-05-001