Terjemahan: SPAR-01-004

Apakah Anwar Dimasukkan Semula Ke Penjara?
(Is Dato’ Seri Anwar Going Back To Prison?)

Apabila kerajaan bertegas dengan sesuatu tindakannya, ia tidak bererti ia sudah mencapai kata muktamad seperti yang selalu dijangkakan cuma ia merupakan satu cara untuk mencari kaedah lain pula. Tidak kiralah kalau ia mahu menguatkuasakan lampu brek ketiga di semua kenderaan ataupun menghantar balik Dato’ Sri Anwar daripada 'kenikmatan’ wad yang penuh kemewahan di Hospital Besar Kuala Lumpur kepada kamar berjeriji di penjara Sungai Buluh. Setelah diberitahu dengan kesatnya dia akan dipulangkan ke penjara itu seandainya menolak untuk dibedah, Anwar menolaknya juga dan inilah yang membuatkan Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng tergagap apabila ditanya mengenainya. “Satu sidang taklimat telah diberikan kepada para diplomat, Parlimen dan juga media. Perkara ini amat jelas dan ketara,” jawab beliau dengan selamba semacam tidak ikhlas sahaja. Tetapi, apakah kaitan jawapan itu dengan kata dua tentang masalah pembedahan yang dijawab oleh Dato’ Seri Anwar?

Seperti biasa kerajaan terjebak dengan muslihat teka-teki yang dipasangnya. Kerajaan gagal mendapatkan sokongan rakyat marhaen bahawa Anwar sengaja melakonkan kesakitannya. Jika muslihat kerajaan disokong tentulah akhbar utama dibanjiri pelbagai surat yang menyerlahkan perasaan rakyat marhaen. Setelah mengizinkan seorang pakar endoskopik Belanda memeriksa Anwar, kerajaan menjadi gugup memutar belitkan apa yang dikatakannya, dan melaporkan kalau pembedahan itu boleh dilaksanakan di negara ini, dia sudah pun bersedia. Akan tetapi, Dr. Hoogland enggan melakukan pembedahan dalam keadaan dan suasana bilik bedah yang baru sahaja diada-adakan dan dengan keadaan iklim politik yang tidak menyelerakan. Kini, Dato' Seri Anwar diberikan pilihan tentang keadaan penyakitnya, dan dia menolak pilihan itu. Dia diberitahu akan dihantar kembali ke penjara. Kini, kerajaan mengumumkan betapa ia mengkaji semula perkara itu dan belum lagi membuat keputusan selanjutnya, kata Chua (yang memenangi pilihanraya dengan undi orang Melayu Johor - penterjemah)..

Kerajaan sengaja melecehkan perkara in kerana dua sebab: Dato' Seri Anwar sudah pun memakai pengekang leher dan kalau keadaan belakangnya tidak diberikan rawatan dia akan menjadi lumpuh ataupun mendapat seksaan yang lebih teruk lagi. Dia bergerak dengan sokongan kerusi roda. Mata lebam yang dihidapnya setelah dihenyak dengan pukulan maut karate yang begitu kejam oleh bekas KPN Rahim Noor, ketika tangannya digari dan matanya dipekap rapat, sebaik sahaja Anwar ditangkap, adalah sesuatu yang mengaibkan. Apabila dia dibenarkan memakai pengekang leher dan duduk disorong dengan kerusi roda untuk menjawab soalan mahkamah dalam pengadilan terhadap tuduhan korupsi dan kelakuan sumbang (yang sengaja dikonspirasikan -penterjemah) sudah tentu semua itu akan menyedarkan betapa besarnya fitnah seorang perdana menteri terhadap seorang banduan. Alasan kedua membabitkan pemenjaraan minggu lalu yang dikenakan terhadap Rahim Nor. Dia telah diberikan layanan istimewa, sehingga menaikkan lagi kesangsian rakyat terhadap peranan kerajaan dalam perkara itu.

Apabila rayuannya ditolak, minggu lepas, Rahim Nor telah dibawa ke dalam sebuah bilik mahkamah yang kosong dan bukannya ke dalam lokap mahkamah Dia tidak pun digari seperti peraturan yang semestinya. Pada jam 2 petang, sebaik sahaja mahu dibawa ke penjara dalam sebuah ‘Black Maria’ dia mengadu sakit dada dan tidak pula dihantar ke Hospital Besar tetapi dibawa terus ke IJN (Institut Jantung Negara). Doktor di situ enggan memasukkannya ke dalam wad dan lima jam kemudiannya dia dibawa ke penjara Kajang. Apakah keistimewaannya layanan semua itu kepada seorang manusia yang telah menghitamkan pasukan polis diraja yang dipimpinnya, kerajaan yang pernah diberikan khidmatnya dan mata orang yang pernah dimangsakannya? Dia diberi layanan istimewa sedangkan Dato’ Seri Anwar sedang mengerang kesakitan memerlukan pembedahan mengikut pilihannya sendiri seperti yang pernah dijanjikan oleh kerajaan tetapi menafikannya di saat terakhir. Menteri Chua harus membuat penjelasan kenapakah kerajaan membenarkan Dr. Hoogland memeriksa Dato' Seri Anwar kalau kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk membenarkan beliau pergi ke luar negara untuk pembedahan itu? Kenapakah perkara ini tidak diperjelaskannya di tahap awal lagi, sebaliknya dia terus mengetatkan peraturan hari demi hari sebagai mempertingkatkan konfrontasi?

Apabila Perdana Menteri memberikan kata muktamad untuk menutup segala pilihan sehari sebelum banduan itu membuat pilihannya, perkara itu menjadi satu pengetahuan umum sebagai agenda politik. Sama ada kerajaan suka ataupun tidak kesihatan Dato’ Seri Anwar adalah merupakan tanggungjawab kerajaan. Masalah kerajaan bukan sahaja menyangkuti tanggungjawab menjaga keselamatan banduan tetapi kini menjadi perkara hangat di mahkamah rakyat terbuka. Kerajaan tidak pernah mempunyai sebarang rencana bagaimana mahu mengekang kedegilan Anwar. Kini, sikap berdegil ini sudah menjangkit di segenap aspek dasar kerajaan dan pendiriannya. Malahan, keupayaan kerajaan dan juga Perdana Menteri untuk terus bertahan memegang tampuk kuasa banyak bergantung kepada bagaimana banduan istimewa ini ditangani. Kerajaan sudah mengasak Dato’ Seri Anwar ke satu sudut di mana melangkah ke belakang bererti kemusnahan diri dan pergerakan yang telah dipeloporinya.

Anwar tidak boleh mundur secara politik, moral, dan peribadi, kerana prinsipnya -- melainkan mencemar dirinya sendiri. Ini adalah sesuatu tindakan yang tidak akan dilakukan oleh Anwar sendiri. Mahathir telah menuduh Anwar kerana mempolitikkan penyakitnya itu. Apakah yang telah beliau dan kerajaannya lakukan? Yang membuakkan ketegangan dalam iklim politik Malaysia sekarang ini ialah Konfrontasi antara Banduan dengan Perdana Menteri. Inilah kemelutnya yang membuatkan kerajaan berada di satu situasi yang kaku dan kelam, berkemungkinan akan mereput dari dalam. Daripada kamar penjaranya, pembangkang yang berprinsip ini telah mendesak dan memaksa kerajaan untuk beralah ke satu tahap yang tidak mungkin diberikan pertimbangan sebelum 2 September, 1998. Yang lebih menyenakkan Perdana Menteri, tuduhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim betapa wujudnya satu konspirasi terhadapnya, yang telah dinafikan sekeras-kerasnya (oleh Perdana Menteri musibat itu – penterjemah), kini sudah semakin ketara akan kebenarannya. Lebih banyak getaran akan bergegar, bukan untuk Dato’ Seri Anwar tetapi untuk Perdana Menteri. Kepada seorang Banduan istimewa itu kematian bererti kebebasan daripada kesakitan yang ditanggunginya. Kepada seorang Perdana Menteri ia adalah laksana satu keazaban yang dihayati oleh bangkai yang masih bernyawa.


MGG Pillai
Sabtu 5 Mei, 2001.