Siapa penulis surat pembaca di akhbar?

HARI ini, kalau sesiapa masih membaca (tetapi usah percaya) akhbar-akhbar harian atau lebih mudah disebut, akhbar arus perdana, sentiasa ada surat-surat kepada pengarang (letter to editor) yang cukup melucukan.

Surat-surat yang tersiar tidak pula berkisar mengenai pengangkutan awam yang cukup menyedihkan, banjir kilat yang mengorbankan nyawa dan kesesakan jalan raya yang tidak habis-habis, tetapi sering kali berkisar mengenai ura-ura permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, untuk melakukan pembedahan di luar negara.

Maka, berkokoklah seorang dua ketua-ketua bahagian Umno dan sesekali ketua pergerakan Pemuda Umno, kononnya Anwar mahu melarikan diri dari Malaysia…dalam usaha menyokong keputusan Dr. Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi dan pelampau bangsa, Chua Jui Meng yang melarang permohonan itu.

Pengakuan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bahawa Anwar sedia mati di Malaysia dari menjadi pelarian di negara lain tidak pernah disiarkan.

Hari ini, sepucuk surat dalam ruangan pembaca Berita Harian (Hairan) yang kononnya ditulis Cucu Tok Perak, Gombak mempersoalkan mengapa Datuk Seri Anwar harus dibedah di luar negara.

Surat lucu yang tidak sepatutnya disiarkan ini (tetapi ada yang mendakwa wartawan dalam syarikat itu sendiri yang menulis surat ini) tidak menunjukkan budak ini (cucu tok perak) faham situasi sebenar dan latar belakang cerita pembedahan di luar negara.

Saya tidak berhasrat memberi kefahaman kepada budak yang menulis surat ini kerana budak-budak Umno yang berjawatan pun tidak dapat faham situasi sebenar (apa lagi cucu Tok Perak yang duduk di Gombak), tetapi para penyokong dan pendokong reformasi seharusnya faham betul-betul mengapa Datuk Seri Anwar tidak mahu dibedah di HKL. Usah berbahas soal kepakaran dalam negeri, atau peralatan tidak cukup dan sebagainya tetapi berbahaslah dalam soal-soal hak seseorang manusia.

Datuk Seri Anwar bukan banduan. Orang yang boleh digelar banduan ialah Rahim Noor. Datuk Seri Anwar adalah tahanan yang disengajakan oleh pemerintah yang mengarahkan hakim membuat keputusan sedemikian, sedangkan proses rayuan belum selesai.

Hak Datuk Seri Anwar untuk dijamin sehingga selesai proses rayuan dinafikan. Oleh sebab itu, beliau bukan banduan seperti yang surat-surat khabar harian cuba gambarkan.

Hak untuk mendapat rawatan adalah hak setiap manusia, tidak kira dia seorang yang berkulit putih atau hitam, dia miskin atau kaya, dia bekas Timbalan Perdana Menteri atau dia bekas budak pejabat.

Cucu Tok Perak tidak tahu atau buat-buat tidak dan berhasrat mengajak pembaca supaya sama-sama tidak tahu status Datuk Seri Anwar Ibrahim. Soal orang lain sudah dibedah dan sudah kembali sihat bukan alasan untuk menafikan hak Datuk Seri Anwar. Tiada siapa boleh menghalang hak seseorang untuk memilih cara mana rawatan mereka, termasuk untuk berjumpa bomoh dan dukun.

Jika Cucu Tok Perak tidak izinkan wang cukainya digunakan untuk membiayai kos rawatan Datuk Seri Anwar, saya juga salah seorang pembayar cukai pula bersedia untuk membayar berapa sahaja bayaran yang harus digunakan untuk tujuan rawatan Datuk Seri Anwar. Cucu Tok Perak boleh berhenti membayar cukai jika dipercayai duit bayaran cukainya tidak digunakan seperti yang sewajarnya.

Usaha 108 warga negara Malaysia yang prihatin soal kesihatan dan hak asasi Datuk Seri Anwar sepatutnya menginsafkan kita semua. Presiden Arroyo (Filipina) sendiri sedia untuk mengunjungi Estrada di penjara mengapa tidak pemimpin yang mengaku dirinya Islam?

-Ramlan Jantan