Diterjemahkan oleh: SPAR-03-004

Kehidupan Dicengkam ISA: ‘Bekerjasama Dengan Kami Kalau Tidak Mahu Mati’
(Cooperate Or We Will Gun You Down)
Oleh: Koh Swee Yong - Bendahari PRM & Mangsa ISA 1976-1985
*Artikel asal di Malaysiakini Jumaat 4/5/01.


Pada zaman persekolahan menengah saya dulu, salah seorang rakan sekelas telah mengejek saya; “Hubaya, hubaya Seksyen 8 ISA”. Saya tidak faham apa maksudnya yang sebenar.

Saya pernah mengalami peristiwa penangkapan oleh Polis Cawangan Khas (SB: Special Branch) ke atas anak lelaki jiran saya yang menjadi ahli Parti Rakyat ketika itu. Sebaik sahaja mendengar anaknya tertangkap, bapanya yang sudah tua itu menjadi pucat lesu. Dia berlari terus ke rumah untuk membuang segala barang-barang kepunyaan anaknya. Dia menjadi takut dan terlalu gugup. Apakah yang ditakutkannya itu? Dia takut dengan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)

Apa maknanya ISA? Kenapakah orang terlalu takut akannya? Kenapakah mereka terlalu mencemuhnya? Kenapakah mereka mahukan ISA dihapuskan? Ketika itu saya masih samar dengan perkara yang berkaitan dan tidak pun tahu apa salahnya. Seolah-olah ada sesuatu yang mudah lekang daripada ingatan.

Tempat yang Gelap dan Sunyi

Saya mahu ceritakan empat perkara berkaitan dengan pengalaman saya di tahan di bawah ISA.

1. Ketika saya ditahan pada 1976, saya telah diperap dalam satu lokap reman bersama dua orang adik-beradik yang telah lama diperap di kamar itu. Salah seorang memberitahu betapa dia telah ditangkap dan dipukul dengan teruknya kerana mengutip sehelai risalah yang terbengkalai di bumi untuk membacanya dalam perjalanan pulang selepas sarapan pagi. Dia merungut dan menyatakan bahawa pihak polis mengetahui betapa mereka tidak pun bersalah.

Sudah beberapa kali, beberapa pegawai polis datang menjenguk kamar tahanan kami (sel) dan kehairanan “kalian ada di sini lagi!” “Kenapa polis tidak membebaskan kami?” soalnya yang sungguh menyedihkan hati. Peristiwa itu mengingatkan saya kepada satu laporan akhbar mengenai penangkapan dua orang mangsa yang ada kaitannya dengan pembunuhan seorang IGP (Ketua Polis Negara). Siapakah pembunuh itu? Apakah dua beradik itu disyaki sebagai membunuhnya? Saya tidak pun tahu jawapannya. Tetapi daripada reaksi polis terhadap mereka, saya yakin mereka tidak bersalah dalam melakukan sebarang jenayah.

2. Saya telah diganyang ketika dalam tahanan dan semasa disoal-siasat seterusnya. Saya telah dihenyak dengan teruk sekali dan diugut ketika berada di khemah tahanan. Apabila polis menggeledah bilik saya, mereka tidak membenarkan saya mengikuti mereka. Saya tidak dibenarkan membawa apa benda pun ketika ditangkap. Kerana itu saya tidak mempunyai tuala mandi, berus gigi, sabun dan apa juga pakaian persalinan bersama saya.

Selama lebih 30 hari saya telah mengenakan pakaian yang sama. Saya memakainya selepas mandi walaupun badan saya masih basah lagi. Saya memakai pakaian itu daripada saya berkeadaan basah sehinggalah menjadi kering dan daripada keadaan kering sehinggalah menjadi basah. Bertimbal-balik dan berulang-kali. Pernah ketika saya disoal siasat, pegawai polis telah bertanya kenapa saya berbau busuk. Dia duduk di hujung meja yang jaraknya adalah empat kaki jauhnya.

Saya menjawab: “Awak tidak beri saya peluang membawa sebarang benda dan berjumpa dengan sesiapa di kalangan ahli keluarga saya. Saya belum lagi memberus gigi, mandi dengan menggunakan sabun, membasuh baju saya dan menukarnya kerana ketiadaan pakaian ganti sejak tiga puluh (30) hari. Hanya selepas itu barulah saya berjumpa ahli keluarga dan mendapatkan keperluan peribadi.

Kesihatan saya terus terganggu disebabkan tidak ada pakaian lain sebagai ganti ketika ditahan separuh daripada tempoh 60 hari dalam sel reman pihak polis.

3. Pada satu malam, pegawai penyiasat yang sama telah bercakap kepada saya, "kalau kamu tidak bekerjasama dengan kami, kami akan heret kamu ke satu tempat yang gelap dan sunyi. Kami akan tembak kamu di situ. Kemudian kami akan buat kenyataan bahawa kamu ditembak kerana cuba melarikan diri.” Saya menjadi gugup terus ketika itu.

Beberapa malam kemudiannya, selepas disoal-siasat, dia telah mengeluarkan selaras pistol dan meletakkannya di atas meja. Saya menjadi begitu takut dan gementar. Rakan tahanan sekamar dengan saya telah menceritakan bagaimana beberapa orang tahanan telah dibunuh oleh polis. Setelah dibunuh, polis sengaja meletakkan senjata-api dan peluru di sisi mereka.. Kemudian polis membuat kenyataan betapa tahanan itu memiliki senjata api dan telah dibunuh kerana melawan.

4. Saya telah ditahan tanpa bicara daripada 1976 hingga 1985. Saya telah dipenjara secara berseorangan di sebuah kem tahanan khas di Batu Gajah, Perak selama lima tahun daripada 1873 hingga 1983. Dalam tempoh 1981 hingga 1982 saya ditukarkan ke Kuala Lumpur dan diperam bersendirian dalam satu kamar kecil berukuran 8 kaki x 10 kaki untuk satu tahun lamanya. Sekali sekala adalah pegawai polis yang datang menjenguk saya. Mereka cuba mencuci otak saya dan memutarkan minda saya.

Apabila saya dibawa balik ke kem tahanan Batu Gajah, saya kerap merasakan betapa orang lain berada jauh daripada saya walaupun mereka hadir di depan mata saya. Perasaan begini menghantui saya lebih satu tahun lamanya.

Wajah Momok ISA

Banyak cerita ngeri yang saya dengar daripada tahanan lain ketika saya berada di kem tahanan. Semua cerita ini ada kaitannya dengan penyiksaan fizikal dan mental yang dihenyak ke atas para tahanan. Selepas saya dibebaskan, muncul satu semangat untuk menulis satu buku menceritakan segala kisah ngeri itu. Saya mahu semua orang tahu kisah sebenar betapa zalimnya ISA itu. Saya mahu dedahkan wajah momok ISA.

Masih ramai orang dalam masyarakat kita yang memikirkan ISA adalah sesuatu yang O.K. kerana ia digunakan ke atas puak komunis dan anasir subversif. Mereka terlalu jujur, mungkin ISA telah disalahgunakan sejak ia dikuatkuasakan pada 1960 untuk menekan dan menghapuskan para pembangkang ahli politik yang memerintah dan juga kumpulan yang menentang.

Ia merupakan satu alat yang sungguh kebal kepada elit yang memerintah untuk mengekalkan kuasa. ISA bukan sahaja tidak demokratik dan zalim, ia juga tidak mempunyai ciri-ciri keinsanan dan amat menghina manusia. Orang-orang yang mempunyai perasaan peri kemanusiaan memang tidak akan merelakan kewujudan ISA secara berterusan.

Selama sembilan tahun saya telah dipenjarakan secara kejamnya kerana ‘jenayah’ dan tuduhan kerajaan BN yang tidak pun berani mereka dedahkan pada satu mahkamah terbuka. Penangkapan terbaru terhadap sepuluh orang pemimpin dan aktivis parti Keadilan Nasional dan pergerakan reformasi adalah satu lagi pengaiban kepada negara. Seandainya mereka itu bersalah merancang demonstrasi militan, mereka seharusnya dikemukakan kepada perbicaraan terbuka yang adil. Jika tidak, ia hanya menunjukkan betapa BN adalah satu koalisi pengecut dan bersikap diktator.

Rakyat marhaen semakin sedar akan hak mereka untuk berhimpun secara aman untuk menunjuk perasaan. Pemuda UMNOpun telah menunjuk perasaan di hadapan Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Menggunakan kuasa ISA untuk menekan tunjuk perasaan secara aman semakin tidak dapat diterima dan dikutuk oleh keseluruhan masyarakat yang ada. Kerajaan BN sedang kerugian dan kalah peperangannya untuk memikat hati dan minda rakyat dengan cara menggunakan ISA.

Tidak Betul

Oleh kerana saya adalah seorang mangsa ISA dan pernah mengalaminya sendiri kezaliman ISA, saya tidak mahu melihat Akta itu menzalimi orang lain lagi. Setiap manusia mempunyai hak kepada perbicaraan yang terbuka dan adil. Adalah tidak betul untuk menuduh seseorang melakukan jenayah dan menghumbannya ke dalam penjara tanpa perbicaraan. Banyak negara lain yang telah menghapuskan undang-undang yang menyerupai ISA di negara mereka

Saya pernah menyusun satu buku yang merakamkan semua peristiwa mengenai tahanan ISA daripada 1960 hingga 1996. Buku itu telah diterbitkan pada 1999 dan berjodol “Empat Puluh Tahun Dicengkam ISA”. Setakat ini hanya versi Bahasa Cina yang disediakan.

Buku ini adalah satu usaha saya yang tidak seberapa untuk menjentik kesedaran rakyat terhadap ISA agar mereka memahami kejijikan dan kezaliman akta itu. Hanya apabila lebih ramai manusia menyebutkan “Hapuskan ISA” yang membolehkan ISA itu dihapuskan.


KOH SWEE YONG ialah ahli beberapa pertubuhan hak asasi manusia; SUARAM (Suara Rakyat Malaysia), HAKAM (Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia) dan Amnesty International Malaysia (AIM). Dia telah berkempen tanpa penat untuk penghapusan ISA dan telah menganggotai Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk meneruskan perjuangannya dengan wadah lain pula. Kini, dia adalah Bendahari PRM.

Artikel asal di Malaysiakini: http://202.56.157.37/News/2001/05/2001050404.php3

Diterjemahkan oleh: SPAR-03-004