Terjemahan: SPAR-02-002

Para Pelajar dan Duta-Duta Malaysia

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamed, berkata bahawa pelajar-pelajar di luar negara “sukar untuk diuruskan kerana terdapat rakyat Malaysia yang lain datang mengganggu mereka”. Siapakah “rakyat Malaysia yang lain” yang dikatakannya itu? Mengapa pula pelajar-pelajar perlu percaya dengan apa yang disampaikan oleh “rakyat Malaysia yang lain” itu dan tidak pula percaya dengan apa yang dikatakannya mengenai dasar-dasar Malaysia? Apa yang telah berlaku kepada “kakitangan-kakitangan yang mencukupi” untuk mengendalikan jabatan hal ehwal pelajar di Kedutaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi? Mengapa mereka cuba menawan hati pelajar-pelajar? Lebih dari itu, kenapa baru sekarang beliau mahu duta-duta Malaysia mendekati para pelajar setelah tidak mempedulikan mereka selama bertahun-tahun?

Beliau meminta duta-duta Malaysia dibawa pulang dan diberi penjelasan tentang dasar-dasar kebangsaan, sesuatu yang biasa berlaku di dalam amalan diplomatik seluruh dunia, untuk menghadapi para pelajar di luar negara. Beliau tidak rela melihat ‘sesetengah’ orang Malaysia -- tidak pula dinyatakannya dengan jelas tetapi adalah tidak keterlaluan untuk menganggap orang yang dimaksudkannya itu termasuklah Dato’ Fadzil Noor, Haji Hadi Awang, Sdr. Lim Kit Siang, Dr. Chandra Muzaffar, Datin Wan Azizah -- “mempengaruhi” pelajar-pelajar, di mana ramai yang kini mengamalkan sikap anti kerajaan. Dari itu, beliau mengumumkan bahawa “pada masa-masa hadapan, duta-duta kita perlulah menjalankan hubungan yang rapat dengan para pelajar kita”.

Keprihatinan yang tidak diduga terhadap pelajar-pelajar di luar negara amat ketara sekali: meskipun kehadiran Umno amat dirasai di kalangan pelajar-pelajar luar negara sehinggakan kerajaan dengan bongkaknya mengatakan bahawa semua pelajar -- merujuk lebih kepada pelajar-pelajar Melayu daripada pelajar-pelajar Cina atau India -- mempunyai pemahaman yang jelas tentang dasar-dasar rasmi dan boleh diharapkan untuk memberi sokongan terhadap dasar-dasar tersebut. Namun itu hanya berkesan selagi isu-isunya berbentuk pendapat atau idea : kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia untuk tahun-tahun yang mendatang. Bagi kerajaan Malaysia apa yang perlu dilakukan oleh pelajar-pelajar hanyalah untuk mengulang-kokok kenyataan rasmi kerajaan dan kemudiannya diupah dengan jemputan rasmi ke Perhimpunan Agong Umno. Bahkan, kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi kita di luar negara tidak mempedulikan langsung pelajar-pelajar walaupun dengan kewujudan penasihat-penasihat pelajar

Pelajar-pelajar, dengan lain perkataan, hidup di dalam satu ruang kosong di negara asing, kebiasaannya tidak dipedulikan oleh Suruhanjaya Tinggi atau Kedutaan, dan dibiarkan membawa nasib mereka sendiri. Alam semula jadi bencikan ruang kosong, dan apa yang diperlukan untuk menarik mereka sebenarnya adalah dengan sering bersemuka dan membantu mereka dengan masalah-masalah yang timbul. Apabila kesedaran Islam berada di kemuncak, ramai yang menyertai persatuan-persatuan Islam dan mencabar pandangan dunia kerajaan Malaysia untuk memikirkan tindakan yang perlu diambil. Kerajaan tidak bertindak dengan cepat dan bersungguh-sungguh. PAS Mengambil tanggungjawab ini dan berjaya mendapat kepercayaan mereka. Kerajaan pula gagal di dalam pertembungan ini. Ia bertindak, seperti biasa, sedikit demi sedikit : hanya beberapa kerat menteri-menteri yang akan turun untuk memadamkan semangat Islam, memberi beberapa ucapan yang disiarkan dengan panjang lebar di dalam akhbar-akhbar utama, dan akhirnya dipuji-puji di atas tugas yang cemerlang.

Kemudian muncul tanggal 2 September, 1998. Dan para pelajar, termasuk mereka yang pro-kerajaan, mahukan jawapan-jawapan. Mengapa Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang satu-satunya dipecat, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dipukul sehingga hampir maut oleh tidak salah lagi Ketua Polis Negara, dipenjara untuk selama 15 tahun di atas kesalahan rasuah dan kes liwat yang boleh dipersoalkan? Pelajar-pelajar luar negara ini, dengan ramainya terus menjauhkan diri. Penyokong-penyokong kuat Anwar mengambil peluang menghampiri mereka, secara sistematik dan berterusan, menyebabkan kerajaan kehilangan mereka sekali lagi. Ia masih lagi tidak berjaya. Apabila Perdana Menteri bercakap kepada para pelajar luar negara, ianya dilakukan di dalam suasana yang dikawal, para hadirin diperiksa, dan mereka yang bertanyakan soalan-soalan akan ditegur terang-terangan jika didapati berbunyi kritikal.

Dr. Mahathir sebenarnya meletakkan kuda di belakang pedati. Beliau beranggapan bahawa para duta dan Pesuruhjaya tinggi  boleh melakukan segala-galanya. Tetapi adakah misi-misi diplomatik di luar negara mempunyai senarai nama-nama pelajar Malaysia di negara-negara tempat mereka bertugas? Tiada. Ia hanya mempunyai senarai pemegang-pemegang biasiswa kerajaan, tidak lebih dari itu. Dan seringkali ianya tidak dikemaskini. Berlawanan sekali dengan Singapura, sebagai contohnya. Mereka bukan hanya mengenali siapa pelajar-pelajar mereka, swasta mahupun kerajaan, tetapi juga pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang, dan mengikutinya dengan rapat sekali, menawarkan kerja dan kewarganegaraan kepada mereka yang bersetuju untuk menetap di negaranya. Sekiranya kerajaan ingin memenangi pertarungan ini, pemimpin utama pelajar perlu diberi penjelasan yang sebaik-baiknya dan diminta agar menyebarkan maklumat tersebut. Mungkin sudah agak terlambat untuk itu. Sepatutnya perkara yang mula-mula perlu dilakukan dahulu adalah dengan menggesa duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya agar mendekati para pelajar. Pernah juga mereka melakukannya sekali. Tetapi kini, tidak lagi. Kehidupan seorang diplomat terlalu memenatkan -- dengan berbagai-bagai majlis yang perlu dihadiri, permainan-permainan golf, dan terpaksa bergegas ke lapangan terbang untuk menerima kedatangan pelawat-pelawat dari tanahair -- bagi mereka untuk menambah satu lagi bidang tugas seperti ini.

Seorang Pesuruhjaya Tinggi Malaysia pernah ditegur kerana tidak berada di lapangan terbang yang sejauh 1000 batu pada tengah malam untuk menemani menterinya yang singgah selama satu jam sebelum meneruskan perjalanan ke London. Seorang lagi yang lain telah diminta untuk memberikan penjelasan mengapa beliau melakukan lawatan, tanpa kebenaran, ke sebuah negara “asing” yang sejauh 3500 batu -- pegawai yang bertugas itu tidak tahu bahawa negara tersebut termasuk di dalam sempadan kawasan jagaannya yang tidak memerlukan sebarang keizinan untuk ke sana. Selama beberapa tahun Wisma Putra telah kehilangan matlamat penubuhannya, terutamanya apabila ia mengambil keputusan yang merugikan lebih sedekad yang lalu untuk mencanangkan Perdana Menteri dan menyamakan pandangan-pandangan peribadinya sebagai pandangan rasmi negara. Duta-duta telah dihukum kerana tidak memberikan sokongan yang sepenuhnya kepada pandangan-pandangan beliau, atau pernah menyoal atau lebih teruk lagi, mencabar pandangan-pandangan tersebut.

Para duta dan pesuruhjaya telah dikawal ketat pergerakan mereka dan kebanyakannya tidak terdaya untuk melawan dan akhirnya hanya bertugas sambil mencari keseronokan untuk diri sendiri. Tindak balas yang dibuat oleh Wisma Putra terhadap apa yang berlaku sekarang, terutamanya konfrontasi di antara Perdana Menteri dan “bakal penggantinya”, adalah dengan menghantar bahan-bahan bacaan akhbar-akhbar utama tempatan. Saya telah melihat sebahagian dari laporan-laporan tersebut, yang telah ditunjukkan kepada saya oleh duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya apabila saya menziarahi mereka di sana. Itupun hanya mereka yang bersedia untuk bertemu dengan saya. Mereka begitu takut jika berlaku sesuatu terhadap diri mereka seandainya mereka dilihat bersama dengan saya dan ramai yang meminta saya supaya menjauhi kediaman mereka.

Apabila perkara sebegini telah dijadikan satu budaya, dengan para duta dan pesuruhjaya seolah-olah takut kepada bayang-bayang mereka sendiri, bagaimana wakil kepada kerajaan Malaysia boleh meyakinkan pelajar-pelajar mereka sendiri? Seperti mana yang berlaku kepada masalah perubatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kerajaan tidak mahu menerima langkah perawatan yang syorkan tetapi mempersoalkan motif Dato' Seri Anwar Ibrahim pula. Cara pengendalian yang tidak betul, sebagaimana yang berlaku kepada lain-lain isu politik yang melanda Malaysia sejak September 1998, begitu jelas kelihatan sehingga kita tidak yakin langkah-langkah terbaru yang diambil akan membuahkan hasil. Kerajaan tidak akan membentangkan isu-isu tersebut di hadapan duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara luar tanpa sebarang kaitan politik seperti yang sepatutnya, tetapi  mahu mereka menyebelahi kerajaan di dalam perbalahan politik tempatan.

Adalah sesuatu yang menarik juga kerana penjelasan yang diberikan adalah untuk menarik perhatian pelajar-pelajar yang khususnya belajar di luar negara. Tiada sesiapa pun yang cuba untuk mengambil langkah yang sama terhadap mereka yang belajar di dalam negara. Adakah sesiapa di dalam barisan kabinet yang boleh melakukannya? Saya tidak dapat mencadangkan sesiapa pun yang layak , walaupun digunakan pasukan-pasukan polis yang bersenjata untuk memastikan keadaan yang aman, siapakah yang berani untuk mengunjungi semua institusi pengajian tinggi Malaysia dan menjelaskan kepada mereka tentang perkembangan politik di Malaysia? Apakah Perdana Menteri berkeupayaan untuk melakukannya? Ataupun Timbalan Perdana Menteri? Menteri-Menteri Besar? Mana-mana pemimpin Umno? Sekiranya mereka tidak boleh, mampukah duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya? Jika mereka sendiri tidak berani, apa pula yang dapat diharapkan dari duta-duta dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya tersebut?



Terjemahan: SPAR-02-002