Terjemahan: SPAR-01-005


KLIA Yang Kurang Berfungsi
(The Dysfunctional KLIA)

Kalau kita buat perbandingan antara lapangan terbang di rantau ini dengan menggunakan kayu pengukur yang menjurus kepada kemudahan para pelancong dan pengguna, KLIA akan berada di tempat paling corot pilihan kita. Lapangan terbang ini sudah lama siap dibina tetapi tiga tahun sudah pun berlalu, hubungan keretapi masih belum siap lagi. Lapangan terbang ini sukar dilawati kerana berada di pinggir hutan, melainkan cara mendekatinya dapat dipermudahkan. Pusat tempahan-masuk di bandar raya masih belum tersedia, seperti juga hubungan tren projek itu masih tergendala. Kemudahan hotel yang berpada harganya langsung tidak wujud di lapangan terbang itu. Kos pengangkutan untuk pergi ke sana memeritkan poket, melinangkan air mata. Pelancong yang baru sampai selalu terkapai-kapai, mencari maklumat yang hampir tidak ada untuk memudahkan mereka menyedari bumi nyata Malaysia. Kompleks yang penuh ukiran dan arca itu, semakin mereput seperti yang disebut oleh mereka yang pernah mendarat di situ. Sudah menjadi dasar rasmi memaksa setiap pengembara menggunakan khidmat limosin yang mahal harganya, sedangkan arah ke stesen bas sengaja dikelirukan untuk mencetuskan perasaan malas dan letih untuk berjalan.

Lima syarikat penerbangan antarabangsa sudah pun menamatkan perkhidmatan mereka. Banyak lagi yang akan mengekori mereka. Kementerian pengangkutan, seperti lazimnya, menonjolkan suasana keceriaan di sebalik setiap kekalutan, masih tidak tersentuh perasaannya dengan keadaan yang semakin mengaibkan. Ia cuba memaksa syarikat yang mengundurkan diri itu untuk rujuk semula dengan sogokan pelbagai imbuhan. Tidak ada satupun insentif itu mengambil kira masalah keluar-masuk pusat bandar dengan cepat dan selesa. Halangan utama yang menyekat seseorang keluar daripada lapangan terbang itu adalah terlalu mahal dan terlalu memakan masa. Seseorang yang tiba lewat dan kelaparan, seperti yang dialami oleh seorang kawan, akan teraba-raba mencari tempat untuk makan kerana tempat semacam itu memang tidak kelihatan. Balai rong santapan (food court) yang menjanjikan satu senarai hidangan yang menyelerakan dan memalukan airliur basi, sudah ketiadaan senarai hidangannya kerana pengurusnya sudah lama cabut lari. Berlegar-legar mencari arah memang satu pengalaman juga. Kos sewaan ruang makan di situ begitu tinggi harganya, sehinggakan restoran ternama yang pernah membuka gerai makan di situ sudah lama menutup pintu.

Seandainya anda tiba dari dalam negara ataupun Singapura, masa untuk menanti ketibaan bagasi anda adalah lebih lama daripada tempoh penerbangannya. Lagi lama pula perjalanan anda untuk sampai di rumah. Semakin ramai orang yang menaiki teksi ataupun keretapi untuk pergi ke Johor ataupun Pulau Pinang kerana tempoh penerbangan yang sungguh lama kalau dibuat perbandingannya. Pengagih bagasi (carousels) yang sungguh canggih bikinannya, jarang sangat berfungsi seperti sepatutnya menyebabkan bagasi diletakkan di alat pengagih yang jauh-jauh lokasinya. Semua ini adalah himpunan kekecewaan yang menghampakan pelancong yang muncul di KLIA.

Syarikat Malaysian Airport Berhad beranggapan bahawa sebaik sahaja lapangan terbang itu berfungsi seluruh dunia adalah tawanannya. Keangkuhannya itu sungguh menakjubkan. Khidmat limosin telah difaraidkan kepada seorang kroni, yang menjanjikan secara ugut-mengugut keunggulan system GPS yang dikatakan canggih-manggih yang mampu memantau teksinya kepada satu ruang laluan yang paling pantas untuk diikutinya. Kini, tidak ada lagi contoh GPS itu, kerana ia tidak dibenarkan berfungsi kerana mengganggu alat elektronik KLIA yang sungguh sofistikated*. Satu tudung saji plastik yang dulu tertenggek di bumbung teksi sudah pun dikopek dan tidak berguna lagi**. Khidmat teksi semakin menggila memberikan keuntungan yang menggila juga. Yang paling cekap berfungsi ialah “ulat-bulu” di situ yang begitu pintar menjodohkan seorang pengembara dengan teksi yang diperlukannya, dalam masa lima minit selepas seseorang melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam. ‘Ulat’ ini cukup berpengalaman menentukan sesiapa yang tertunggu-tunggu limosin rasmi dilencongkan dengan segera kepada teksi yang lain. Begitulah cekapnya penyangak perkhidmatan teksi ini kerana kemampuannya menyediakan fulus yang kena harganya ke tangan yang sedia menampungnya.

Kita pernah diberitahu mengenai Tren ERL (Hubungan Rel Ekspres) yang dijanjikan siap dalam setahun selepas permulaan bikinannya. Harga tambang ialah RM35 satu hala yang dikatakan lebih murah daripada tambang teksi. Sesiapa yang menaiki keretapi daripada KL ke JB dan Singapura akan dikenakan harga yang sama, dan tiba tanpa sebarang kerumitan dan gangguan. Pembikinan Rel Ekspres itu tergendala kerana rakan niaga usahasama projek itu masih bertelagah dan keliru siapa yang membikin apa dulu. Apabila seorang ‘Klon’ turut serta pertelagahan itupun reda, tetapi projek itu masih tergendala.

Dato’ Seri Ling Liong Sik boleh menjanjikan bulan jatuh ke riba untuk menarik pelancong dan perkhidmatan penerbangan datang ke KLIA. Tidak ada sesiapa yang mahu mempercayainya. Sesuatu lapangan terbang hanya akan berguna kalau ada sistem keluar masuk yang cepat dan selesa. Satu ketika dulu Lapangan terbang Don Muang di Bangkok memang berkeadaan kelam-kabut. Kini semuanya sudah dibereskan membuatkan lapangan terbang itu menyenangkan. Demikianlah takrifannya walaupun lapangan terbang itu sesuatu yang menakutkan ketika mendarat. KLIA kini diberikan status gajah putih. Ia tersembul di tengah kelompongan. Syarikat penerbangan terpaksa menyediakan pengangkutan kepada penumpangnnya kalau mahu bersaing untuk berniaga. Kaedah ini telah ditegah dan ada pihak yang kena sanggah. Khidmat limosin yang canggih itu mesti digunakan, kata mereka. Lima syarikat teksi yang bersekutu di situ sudahpun cabut menutup buku. Pegawai KLIA masih belum sedar lagi kalau syarikat penerbangan mahu terus memancing pelanggan, syarikat itu mesti memberikan layanan yang tidak lagi mampu diberikan oleh majlis penerbangan. Lebih banyak lagi syarikat yang akan undur. Apabila pengunduran mereka itu ditelan sejarah, adalah amat sukar memujuk mereka untuk berpatah arah.

Saya memang tidak berani memandu kereta untuk menyambut kawan-kawan. Papan tanda yang ada terlalu mengelirukan sehingga memesongkan arah hala yang anda tujui. Kalau ada ahli keluarga kami yang pergi ke lapangan terbang menghantar saudara mara, kami akan berbelanja antara RM200 hingga RM300 hanya untuk tambang kenderaan. Untuk menaiki bas anda perlu bersabar mencari jalan menghala ke perhentian bas itu. Dengan kata mudah KLIA adalah satu contoh bagaimana lapangan terbang itu direncana dan diuruskan oleh birokrat. Selagi itulah cara pengurusannya selagi itulah gelaran gajah putih akan menyelimuti namanya. Tetapi, adakah sebarang usaha untuk mencari apa penyakitnya dan bagaimana mahu memperbaikinya? Memang ada, tetapi oleh kumpulan yang sama yang telah menjahanamkannya. Lebih banyak musibah yang akan datang melanda.



MGG Pillai
Ahad 6 hbMei,2001.

Catatan Penterjemah:
Cerita sistem bertudung saji yang mengganggu fungsi elektronik lapangan terbang itu adalah satu putar belit kepada kisah sebenar. Sistem yang digunakan itu adalah satu prototaip yang memang banyak taik hidungnya. Lagipun ia digunakan sebagai alasan untuk menonjolkan kecanggihan projek kroni Pemuda UMNO dan menaikkan wang deposit untuk calon yang berminat memberikan khidmat teksi, untuk kepentingan kroni yang hanya goyang kaki.

** Eloklah dicadangkan agar salah satu tudung saji plastik itu dihadiahkan sebagai cenderahati kepada Perdana Menteri.


Terjemahan: SPAR-01-005
Ahad 6/5/2001.