Terjemahan: SPAR-07-002


Kemusnahan BBGS - Kuala Lumpur

(The destruction of BBGS Kuala Lumpur)
Oleh: Farish Noor.

Sejarah, sekali dibiarkan pergi, tidak akan datang kembali

Malaysia adalah serupa dengan negara membangun lainnya dalam cara jalinan hubungan dengan sejarah silam yang sungguh kelam. Sebagai sebuah negara membangun kita memang berusaha sedaya upaya melakar wibawa menonjolkan gaya di arena antarabangsa. Memang banyak dekadnya kalau bukan abadnya betapa perjuangan kita kecundang disebabkan pelbagai rintangan yang menghalang. Dalam usaha kita menyingkirkan perangai hodoh orang lain semakin banyak negara maju yang cuba meyakinkan kita bahawa cara mereka .adalah kaedah jempolan yang layak ditiru. Sikap berat sebelah para orientalis yang menghuni ruang sejagat meminggirkan kita kepada tepian sejarah dunia, dan segala pencapaian warisan bangsa kerap sangat dihumban kepada nota kaki sejarah sahaja.

Dalam banyak hal, kita telah menyaksikan bagaimana kewujudan kepincangan ini telah mengasak negara membangun ke satu penjuru. Kita mundur ke satu ruang sempit pemikiran parokialisme, keistimewaan pribumi dan ketuanan budaya politik - semua itu adalah usaha untuk meyakinkan betapa kita juga mempunyai sejarah bangsa yang boleh dibangga. Dalam beberapa hal pengimbauan minda ke zaman silam boleh melahirkan mantera yang luar biasa malahan juga pemikiran yang memualkan tentang apa yang dianggap sebagai rupa bentuk sejarah Asian yang tulen.

Sama ada disukai ataupun tidak, ada satu perkara yang tidak dapat kita nafikan ialah kepelbagaian sejarah kita. Sejarah kita yang paling baru sememangnya diulit kisah purba penjajahan dan hubungan kita dengan negara barat. Pertembungan ini memang mencetuskan kesan yang amat menarik kisahnya. Penjajahan membawa bersama pembangunan yang boleh dipersoalkan, namun ia turut membawa juga banyak perubahan yang ternyata kebaikannya.

Kaedah pendidikan rakyat yang moden yang diperkenalkan dulu adalah salah satu perubahan yang datang melanda . Kita tidak boleh menafikan kaedah penyebaran pendidikan secara terbuka, meluas dan percuma adalah salah satu kesan yang terbaik dan mampat dalam pertembungan antara Timur dengan Barat. Inilah yang mendorong kepada terbinanya beberapa institusi pendidikan - termasuk sekolah seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kolej Latihan (Perguruan) Sultan Idris(SITC), St. John’s Institution, Victoria Institution, Sekolah Convent Bukit Nanas dan Sekolah Perempuan Bukit Bintang (BBGS). Yang ironinya, institusi pelajaran ini kekal sehingga kini sebagai satu ingatan bukan semua yang dijalin dengan Barat tidak semestinya berkisar dengan yang negatif belaka. Malahan, dengan terbinanya beberapa maktab dan institusi pendidikan dengan tajaan Eropah itu, telah mempergiatkan aktiviti reformasi di kalangan pemikir Melayu-Islam seperti Syed Sheikh al-Hadi, hingga menggiurkan semangat mereka untuk membina banyak lagi madrasah berbentuk moden (contohnya Madrasah al-Hadi di Melaka dan Madrasah al Mansoor di Pulau Pinang yang akhirnya dimusnahkan) juga.

Kerana itu, apabila tersebarnya berita tapak lama Sekolah Perempuan Bukit Bintang (BBGS) akan dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan komersial, ia mencuit satu perasaan kehilangan dan kepiluan kepada mereka yang prihatin tentang mengekalkan apa juga tangkal azimat yang menjalinkan kita kepada sejarah silam.

BBGS telah diasaskan pada 1893 oleh pengembang agama Kristian di Brickfields. Tapak itu berpindah ke Bukit Bintang Road di tapak yang ada sekarang pada 1930. Berbeza dengan maktab elit yang dibina untuk anak-anak lelaki (dan tidak untuk golongan puteri-puteri) kepada raja-raja dan sultan, BBGS adalah untuk mendidik anak-anak golongan miskin dan juga kaya. Motto sekolah itu ialah: “Nisi Dominus Frustra” – (Without God, All In Vain ataupun boleh diMelayukan sebagai Tanpa Tuhan Yang Esa Semuanya Tidak Terlaksana. (Kalau mahu lebih berkesan lagi bolehlah disebut, ‘Kepada Allah, Kita Berserah. – penterjemah)’

Selama satu abad, BBGS telah memainkan peranan yang penting dalam pendidikan warga wanita di Malaysia. Sekolah itu dibina ketika penduduk Malaya ketika itu amat liat membenarkan anak-anak perempuan mereka belajar di sekolah (kerana takutkan mereka menjadi terdidik, dalam banyak hal). Inilah sekolahnya yang memberikan peluang kepada gadis-gadis muda untuk dididik dan layak melangkahkan kaki memasuki ambang kehidupan masyarakat yang moden. Inilah peluang yang amat jarang dapat disediakan. Apa pun anggapan kita terhadap budaya politik penjajah ketika itu, tidaklah boleh dinafikan betapa kumpulan manusia yang mengasaskan sekolah itu dulu berjaya menyumbang secara positif dan berkekalan kepada sejarah pembangunan negara kita ini.

Adalah satu ironi untuk merakamkan sumbangan mereka kepada pembangunan Malaysia dengan penghargaan berbentuk begini: Sekolah itu akan dirobohkan, untuk memberi laluan kepada ‘pembangunan’ (sedangkan rantau ini hampir lemas kebanjiran pembangunan ruang niaga yang berlebihan). Para pelajar BBGS kini sudah pun dipindahkan ke satu bangunan sekolah yang baru, yang khabarnya, mempunyai status sekolah pintar di Cheras dan dijangka akan mempengaruhi sekolah-sekolah persekitarannya. Nama terbaru kepada sekolah yang baru dan lebih besar itu ialah Seri Bintang. Bukan sahaja BBGS akan dirobohkan secara fizikalnya, namanya pun akan pupus untuk ditelan mewarnai sejarah Malaysia.

Tidak ada pembangunan untuk masa depan yang mampu menggantikan kehilangan cebisan sejarah silam. BBGS, MCKK, SITC, VI,, St. John’s - semua ini adalah nama-nama keramat yang dipahat dalam khazanah ingatan rakyat Malaysia. (Saya pun pernah dididik di St.John’s). Sebarang usaha untuk mengalihkan ataupun memusnahkan bangunan-bangunan itu sebagai laluan kepada apa yang akan disebutkan di masa hadapan tidak akan mampu dijadikan rupa pampasan dan ganti rugi kepada trauma dan tekanan betapa lenyapnya cebisan sejarah silam.

Seandainya pembangunan ini diteruskan (dan besar kemungkinan ia akan diusahakan begitu) bererti kita sudah pun diperlekehkan dengan satu hanyunan yang sungguh kejam terhadap usaha kita menyimpan dan mengekalkan cebisan sejarah silam kita. Mungkin juga akhirnya nanti, semua sekolah yang gah sejarah silamnya ini (MCKK,VI, St. John’s) akan terhumban ke tepian bingkai sejarah silam, juga. Di tengah-tengah kelompongan yang diwujudkan hasil ketiadaannya itu, kita telah membina banyak tugu dan pelbagai rupa bentuk bangunan batu yang tidak punya wajah dan rupa yang bermakna selain daripada sebagai simbol ketaksuban kepada agama baru yang bergelar Kapitalisme sebagai penggantinya. Alangkah sedihnya menyaksikan sebuah negara seperti Malaysia yang berterusan menonjolkan dirinya sebagai kawah yang menghasilkan kecamukan budaya dan sejarah kepelbagaian kaumnya - terpaksa menyimpang peradabannya menyembah bumi persis satu pinggiran bandar yang homogen di Long Angeles yang penuh dengan ruang niaga dan gerai beli-belah sahaja.

Ada satu lagu kebanggaan BBGS yang tidak lama lagi akan mewarnai sejarah dan luput daripada ingatan, yang pernah melaungkan satu semangat menegakkan nilai hidup yang berkemungkinan satu hari nanti akan luput juga. Sudah tentu kehilangan ini akan sama dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia juga.


BBGS inilah ikrar kami
Taat setia sepanjang masa di dunia ini
Sehingga kami membesar menjadi dewasa
Menjadi ibu yang setia kepada bangsanya.

Didiklah kami memahami kehijauan usia
Dengan keteguhan dan waspada mengejar kebenaran
Sepanjang hayat ini belailah kami dengan kepimpinan
Ajarlah kebenaran yang menggemilangkan negara.



Terjemahan: SPAR-07-002
Ahad 6 Mei, 2001