Terjemahan ini dibahagikan kepada 3 bahagian
Terjemahan: SPAR-07-001-1

Keemasan Masa Yang Hilang
(The Cost of Time to the Nation)
Bahagian Pertama

Oleh: Ram Aliran


Kalau diambil kira latar-belakang penyenaraian TimedotCom, adalah tidak sukar memahami kenapa agensi-agensi kerajaan amat gemar menggunakan wang rakyat marhaen untuk urusan penyenaraiannya. Apabila syarikat semacam itu mendapat restu disenaraikan, ia memberikan gambaran betapa mudahnya dana rakyat marhaen dihamburkan untuk menyangga kumpulan-kumpulan niaga yang sepatutnya dibiarkan lingkup kemuflisan beberapa tahun yang lalu. Yang lebih penting lagi, pasaran saham negara dibiarkan menjadi mangsa putar-belit yang sudah tentu menjelekkan pelabur tempatan dan juga luar negara, lantas mencemarkan kewibawaan satu alat penting dalam usaha menaikkan wibawa kewangan negara.

Penyalah-taburan sumber yang beragenda apabila dilaksanakan secara senyap-senyap sudah tentu akan menghalang pertumbuhan ekonomi negara menjadi mantap. Apakah tidak mungkin gelagat ini akan menjerat Malaysia sehingga menjadi sebuah negara contoh di mana dasar negara sengaja diputar-putar untuk menyelamatkan segelintir manusia sehingga tergadainya keupayaan membangunkan satu sistem ekonomi yang mampan dan mampat, layak bersaing secara global? Apakah kekayaan negara akan terus disauk secara beragenda untuk kemudahan hanya segelintir manusia sehingga menafikan hak rakyat jelata?

Rekod Kerjaya Kumpulan Renong Yang Haprak

Hanya pada November yang lalu, syarikat induk TimedotCom, Renong menjalin satu perjanjian kontroversi dengan sekutunya, UEM. Renong bercadang menyuntik semua asetnya dan memindahkan semua tanggungannya (liability ataupun hutang) kepada UEM, dengan nilai asset itu mencecah RM6.7 juta.

Bagaimanakah nilai aset itu mencecah RM6.7 juta masih samar ceritanya. Beberapa penganalis pasaran menganggarkan sekurang-kurangnya 30% lebih tinggi daripada nilai sepatutnya mengikut nilaian pasaran terbuka. Perjanjian semacam itu sememangnya satu transaksi yang besar rupanya. Ia bersamaan dengan jumlah nilai pasaran UEM yang sudah tentu lebih tinggi nilai pasarannya daripada nilai Renong. Kesannya memang telah diduga apabila harga saham Renong dan UEM di pasaran terbuka menjunam sehingga separuh harga biasa pada beberapa minggu berikutnya.

Ekoran peristiwa ini, pada Disember 2000, UEM telah sekali lagi mengecewakan para pelaburnya. Syarikat ini mempunyai satu ‘put option’ yang perlu dilaksanakannya. Bermakna satu pilihan untuk melaksanakan satu transaksi ke atas 30% saham Renong yang boleh dijual kepada Timbalan Pengerusi, Tan Sri Halim Saad selewat-lewatnya pada Februari 2001. Nilai ‘option’ itu adalah sebanyak RM3.2 bilion ataupun pada kadar RM4.30 sesaham Renong yang bersamaan dengan lebih dua kali ganda daripada harga pasaran biasa. Dengan melaksanakan pilihan ‘put’ itu, UEM sepatutnya menerima lebih RM3 bilion yang amat berguna kepadanya untuk mengurangkan bebanan hutang yang sedang mencanak pada tahap melebihi RM15 bilion. Jumlah hutang ini boleh mencanak lagi dengan tambahan RM5 bilion daripada perjanjian November itu dengan Renong, (termasuklah hutang piutang yang ditanggung oleh sekutu Renong).

Sebaliknya, UEM membuat pengumuman yang ia membenarkan Tan Sri Halim tambahan lanjutan masa selama lima belas bulan, sehingga Mei 2002, untuk melunaskan pembayarannya. Tan Sri Halim sepatutnya melunaskan tiga kali bayaran berjumlah RM100juta setiap kali pembayaran itu, sebagai pembayaran faedah menyeluruhi 2001. Dia telahpun meminta lanjutan dua bulan, pada pembayaran faedah yang kedua, dan pasaran menjadi kaget sama ada dia mampu membuat pembayaran itu sepenuhnya (tanpa campur tangan kerajaan untuk membantunya sekali lagi).

Adalah berfaedah kalau kita merenung kembali bagaimana UEM terjebak kepada musibah ini. Pada November 1997, ketika pasaran saham Malaysia merudum serentak dengan krisis kewangan Asia, secara tiba-tiba UEM membuat pengumuman betapa ia telah membeli sekitar lebih 30% saham Renong. Ini merupakan blok saham yang sama yang telah diberikan takrif ‘put option’ untuk kegunaan Tan Sri Halim Saad. Kos yang membabitkan UEM ketika itu ialah RM2.3 bilion. Ini merupakan satu jumlah wang yang besar memikirkan UEM sudah mempunyai hutang bertapuk sebanyak lebih RM8 bilion. Malahan faedah (bunga) yang tertanggung sudah naik mencanak lebih 20% disebabkan negara sedang dilanyak ketandusan wang tunai.

Ada pihak yang mengatakan bahawa taktik pembelian saham Renong itu adalah satu tipu muslihat untuk mengekalkan harga tinggi saham syarikat. Selesai sahaja  pengumuman itu UEM pun menghentikan pembelian saham Renong dan seperti yang sudah dijangkakan nilai saham UEM dan Renong jatuh merudum sehingga memotong separuh harga tertingginya pada waktu itu. Apakah satu kebetulan bahawa pembelian saham Renong oleh UEM ketika itu bertujuan untuk melegakan harga saham dengan cara menyokongnya sambil memberikan kelegaan kepada pemegang saham yang utama dan besar-besar, termasuklah Tan Seri Halim yang memiliki hampir 30% saham Renong itu?


…..bersambung……