Terjemahan: SPAR-07-001-2

Keemasan Masa Yang Hilang (Bahagian 2):

Pembabitan Agensi Kerajaan

Kerja-kerja putar-belit UEM-Renong itu telah mencemarkan nama baik pasaran Malaysia dan memburukkan pentadbiran masyarakat korporatnya. (walaupun mereka bukan sahaja kumpulan yang bertanggungjawab memperlekehkan imej Malaysia dalam kerja-kerja bajingan itu.) Inilah kumpulan syarikat yang mahu menyenaraikan syarikat Telekom miliknya, Time dotCom, dengan tujuan mengaut RM1.9 bilion daripada pasaran.

Apakah mungkin satu kumpulan syarikat yang menyalah-gunakan pelbagai anak-syarikatnya dan menyebabkan tercemarnya perjalanan pasaran berulang-kali, mampu mengharapkan sokongan pasaran untuk menyumbang kepada tambahan modal syarikat? Bolehkah seseorang yang kerap menendang pinggul sekutunya berpaling kepadanya lagi untuk mendapatkan bantuan kewangan?

Perkara seperti ini memang tidak boleh berlaku di kebanyakan pasaran. Kumpulan penjamin ataupun ‘underwriters’ (yakni bank dagangan dan syarikat broker saham yang menjamin penyenaraian) tentu sekali menjadi tertekan kerana kerunsingan memikirkan harga saham yang akan merudum di pasaran sedangkan mereka tidak pula mahu menyimpan saham-saham yang tidak laku. Tetapi, perkara begini memang terjadi di Malaysia.

Apabila saham-saham itu ditawarkan kepada awam, saham Time dotcom menjadi saham yang tidak berapa diingini. Harga rasmi tawaran memberikan premium sekitar 25%.Tetapi apabila diambil kira jumlah dana yang pada tahap mulanya digembelingkan untuk urusan niaga itu, harga nilai sumbangan runcit dan oleh pelaburan lain hanya mencecah setengah harga rasmi yang ditentukan. Seperti yang dijangkakan, harga saham Time dotcom jatuh merudum sebanyak 35% dalam jangka masa satu minggu selepas hari penyenaraian.

Ketika itu barulah diumumkan bahawa semua penjamin rasmi itu hanya mempertontonkan diri mereka sebagai satu pertunjukan sahaja. Hampir semua mereka itu mampu melepaskan tanggungan memegang saham mereka yang tidak terjual tanpa kerugian apa-apa. Daripada keseluruhan harga saham bernilai RM1.9 bilion yang mahu disauk oleh Time dotcom pada hari penyenaraian itu, RM400 juta merupakan sumbangan para pelabur, sedangkan para penjamin masih memegang saham bernilai RM1.5 bilion.

Tetapi mereka berjaya melibatkan tiga agensi kerajaan: KWAP (Kumpulan Wang Amanah Pencen), Danaharta dan KWSP, untuk mengambil-alih saham bernilai RM1.5 bilion itu. Kerugian sebanyak 35% daripada harga pasaran saham itu telah diserap oleh agensi kerajaan. Tentu sekali kerugian itu tidak membebankan para penjamin itu tadi, kerana mereka memang tidak berminat menggelumangkan diri dalam putar-belit penjualan saham itu.

Mengelirukan Pasaran

Kerugian sekitar RM500 juta yang ditanggung oleh agensi kerajaan hasil urusniaga ini, adalah terlalu jelas, walaupun ia merupakan satu kerugian yang amat besar kepada rakyat marhaen. RM500 juta merupakan kurang 1% daripada jumlah kutipan hasil kerajaan setahun dan bersamaan dengan RM25 per (setiap) individu rakyat Malaysia. Secara jangka panjang, kos kerugian seperti ini walaupun tidak berapa ketara kerana tidak mudah dikesan, mempalitkan kesan buruknya terhadap negara, akhirnya. Inilah bahananya apabila digalakkan segala kelentongan sebagai usaha memutar-belitkan pasaran dengan tujuan mendapatkan kewangan untuk syarikat korporat Malaysia.

Pasaran saham sepatutnya merupakan satu kaedah untuk syarikat besar-besar mendapatkan modal kewangan yang diperlukannya dan satu wacana di mana para pelabur dapat menggunakan wang tabungannya. Ia bertujuan mengagihkan modal pada kadar yang baik kepada pihak yang berkelayakan. Time Engineering yang mempunyai bebanan hutang sebanyak RM5 bilion sudah dihantui risiko kemuflisan seandainya ia tidak berjaya mendapatkan kewangan ketika penyenaraian Time dotcom.


…bersambung…..