SPAR-05-002-1

Syarikat   Teksi  Petronas
(The  Petronas   Taxi Company)
April 24, 2001


Satu  hikayat berbentuk caca-marba mungkin boleh dikemukakan kali ini membabitkan   otomobil yang mesra alam, pelancungan, sebuah syarikat  minyak dan sebuah  lapangan terbang (airport).  Ini adalah  satu bidang kajian bagaimana nafsu-nafsi  ahli politik tempatan menjahanamkan   kelakonan  yang berkesan  terhadap syarikat-syarikat yang diamanahkan untuk mereka awasi.

Apabila minyak mula digerudi di perairan Malaysia, ia diuruskan oleh sebuah syarikat yang merupakan penyimpan amanah rakyat yang pada  asasnya adalah pemilik tanpa geran-khas segala hasil  mahsul  khazanah bumi  Malaysia.  Para menteri  negara ini  diberikan pula amanah rakyat menyelia pengurusan syarikat itu  dan melantik eksekutif yang pintar serta berwibawa  untuk meraih pulangan maksima  daripada satu sumber pendapatan yang besar,  yang tidak ada   galang gantinya.

Segala kegiatan  urus-niaga  syarikat minyak nasional   itu   belum pernah lagi  diberikan  satu penelitian yang menyeluruh  dan bersungguh-sungguh, sedangkan berbilion wang ringgit  yang sudah ghaib tanpa sesiapa mampu menjelaskan   mana perginya.  Perdana menteri dan menteri kewangannya  tidak bersedia mengizinkan sebarang usaha pengauditan bersasaran dari luar untuk mengesan arah mana  segala wang selewengan  itu telah  menghilang. (Mungkin dengan permaidani terbang - penterjemah).

Simpanan  minyak di Malaysia, kalau mengikut  kadar  penyedutan sekarang, dijangka akan kontang dalam jangka masa lima  belas tahun.  Namun, memang banyak  tersimpan lagi gas asli di dasar bumi.   Pasaran gas  asli perlu dipertingkatkan lagi.   Untuk  memenuhi  sasaran ini  beberapa   pengkalan  gas asli cecair  telah pun dibina, kapal khas untuk mengangkutnya  telah  pun dibeli, dan sudah  diusahakan juga kilang-kilang baru  untuk menyaring  gas asli  agar menghasilkan  bermacam  bahan bakar yang berguna.

Malaysia   menikmati pendapatan yang lumayan daripada  industri  pelancongan. Para pelancong amat bencikan jerebu yang merupakan salah  satu fenomena tahunan di  Malaysia. Selalunya  Malaysia  menuduh  kerja-kerja tebang dan bakar   secara leluasa di  Indonesia sebagai penyebabnya, walaupun  ada  kalanya  tuduhan diajukan juga  kepada asap kereta dalam negara. Asap hutan  di  Indonesia itu sudah pun lesap atau  menghilang ditiup bayu. Tetapi  angkasa  Malaysia   masih  lagi  kuat berjerebu.  Penelitian kini tertumpu  kepada enjin kereta yang berlegar di jalan  raya.

Enjin kereta diesel  yang teruk keadaannya  di  Malaysia  mengeluarkan asap kotor   yang berlebihan.  Terdapat ribuan  lori dan bas yang menggunakan enjin diesel di  seluruh negara, terutama  sekali di Kuala Lumpur dan  Lembah Kelang. Lagipun,  terdapat lebih  satu  juta motorsikal  yang  menggunakan  enjin dua-lejang  yang memang terkenal mengeluarkan  asap tebal dan  gas yang keras  baunya. Kita perlu campurkan pula  sekitar 17,000 teksi   berlesen  (tidak termasuk  teksi sapu - penterjemah)  yang hampir  dua kali ganda banyaknya  apabila dibandingkan dengan hanya   8,000  teksi di Bandaraya  New  York.

Enjin yang menjana  gas  asli  memang bersifat mesra alam.  Kalau semua enjin jenis  ini digunakan  secara  menyeluruh, kadar  enap-cemar yang berbahaya yang dikeluarkan oleh eksos    bas, lori, kereta  dan motorsikal akan  menurun secara lebih  ketara. Inilah  prospek niaga yang mengghairahkan Petronas.  Pelbagai masalah dapat dibereskan dengan sedikit usaha, laksana sambil menyelam  bolehlah minum  airnya.

Ini  bererti sudah ada pasaran yang mampu   menerima  gas asli  yang berlebihan.  Simpanan minyak boleh dilanjutkan tempohnya,  jerebu dapat dikurangkan  dengan  lebih  berkesan,  industri pelancongan boleh dipertingkatkan.  Semua  itu  menjanjikan kejayaan  yang pasti. Yang perlu dicongak dengan muktamadnya ialah  kos projek  dan  kadar pulangannya nanti.

Petronas  bertindak  membekalkan gas asli padat (pressurized natural gas) kepada beberapa stesen minyak.  Pam yang khusus untuk  pembekalan  gas itu  telah dipasang . Kebanyakan  pelanggan adalah  syarikat  teksi  yang telah menerima  tawaran Petronas  untuk  memasang  tabung (gas) tambahan dan karburetor yang membolehkan kereta  mereka berfungsi secara  dua  pilihan  menggunakan bahan  bakar.  Kereta boleh  digerakkan sama  ada menggunakan   petrol ataupun gas asli  dengan hanya  menggentel  punat  suis sahaja .

Paip-paip bawah tanah  telah  dipasang  seluruh negara untuk  membekalkan gas kepada stesen  tertentu,  peralatan pam khusus    dipasang,  dan  jumlah  teksi  yang   diubah suai  telah  meningkat  untuk   menggunakan bahan bakar yang menjimatkan. Gas asli telah dijual dengan kadar yang menarik  untuk menarik  pemilik syarikat teksi  turut serta dalam  usaha itu.

Rencana yang dianggap sebagai satu integrasi menegak meyakinkan betapa  system pembekalan gas asli itu  adalah sesuatu yang  realistik.    Cara pengagihan pelbagai kontrak kerja dalam rancangan itu  tidak akan disentuh dalam penulisan ini  kerana difikirkan lebih  sesuai  dijadikan bahan renungan di lain  kali.   Tetapi  ada satu  kisah perniagaan  yang menarik perhatian, hingga mencetuskan pelbagai  soalan tentang  keupayaan  eksekutif pengurusan Petronas.



bersambung