Terjemahan: SPAR-07-001-3

Keemasan Masa Yang Hilang (Bahagian 3 - Akhir):

Polar Menyongsang Yang Semakin Ketara

Sesuatu pasaran saham mungkin menganggap sepi satu peristiwa yang dianggap luar biasa. Tetapi, dengan munculnya beberapa kumpulan syarikat yang semakin tidak mampu bernafas lega dalam kegiatan niaganya, sambil mengharapkan belas kasihan peruntukan dana awam untuk terus wujud menimbulkan keresahan rakyat marhaen.

Tindakan Menteri Kewangan membeli balik 30% saham MAS daripada Naluri, syarikat induk Tan Seri Tajuddin Ramli, adalah satu lagi contohnya. RM1.8 bilion dana rakyat marhaen dihamburkan kepada Naluri (dan bukannya MAS) sebuah syarikat yang dibebani hutang bertapuk sebanyak RM1 bilion yang tidak pun mampu membayar tanggungan faedah hutang itu.

Sekarang kerajaan membeli balik Sistem LRT daripada Renong dan syarikat yang lain dengan harga RM 6 bilion.

Ekran telah dibayar RM900 juta sebagai pampasan kepada projek Bakun (empangan) walaupun Ekran gagal melancarkan kerja-kerja yang dikontrakkan itu, dan projek itu akan dipulihkan semula.

Petronas telah mengambil-alih Proton daripada DRB-Hicom dengan harga melebihi RM1 bilion kerana hutang bertapuk DRB-Hicom yang tidak mampu dilunaskannya.

Sebelum itu, syarikat perkapalan negara, MISC telah membeli asset syarikat perkapalan Konsortium Perkapalan dengan harga RM1 bilion kerana Konsortium pun dibebani hutang melebihi RM1.2 bilion yang turut diserap oleh MISC.

Bank Bumiputra telah menanggung hutang bertapuk sehingga menghakiskan sama sekali modal (dana kerajaan) sekitar RM2 bilion yang terpaksa disuntik semula kepada Kumpulan Commerce Asset, sedangkan kerajaan menyerap jaminan hutang bertapuk itu.

Satu billion di sini, satu billion di sana, akhirnya semua itu adalah wang sebenarnya yang memberikan gambaran satu polar yang menyongsang harapan rakyat Malaysia.

Kalaulah manusia yang bergelar usahawan itu nampak dan sedar bahawa projek mereka itu semakin kecundang dan berjaya pula memujuk kerajaan mengambil alih urusan niaga itu daripada tanggungan mereka, sudah tentu ia menjanjikan lebih banyak lagi pembaziran di masa hadapan. Setiap usahawan yang diberikan satu projek besar sepatutnya mampu meraih keuntungan yang berpadan yang menjadi haknya. Tetapi kalau dia kerugian, dijualnya kembali syarikat itu kepada kerajaan yang menggunakan dana rakyat marhaen untuk membelinya semula. Malaysia sudah tentu memegang rekod dunia kerana mengswastakan keuntungan dan memilik-negarakan kerugian. Yang menjadi pemenang adalah segelintir usahawan yang disebut berjaya itu dan yang menjadi kecundang adalah rakyat jelata.

Rakyat marhaen menjadi mangsa kerana menanggung kerugian yang berlaku. Hasil cukai kerajaan perlu dinaikkan untuk menyerap keperluan dana membeli balik projek yang kantul itu. Rakyat marhaen terpaksa membayar kos yang tinggi kerana khidmat yang dulunya didapati percuma melalui pembayaran cukai. Jeritan rakyat jelata akan menjadi lebih meninggi tidak lama lagi, apabila PLUS (anak syarikat UEM) memberi ingatan kepada pengguna Lebuh raya Utara Selatan, bahawa mengikut perjanjian konsesi mereka kadar tol akan dinaikkan lagi sebanyak 30% bermula Januari hadapan.

Kos Jangka Panjang Yang Menakutkan

Secara jangka panjang negara akan menanggung beban kos yang sungguh tinggi. Hutang kerajaan akan terus naik dan memerlukan sumbangan rakyat marhaen untuk melunaskannya. Syarikat yang baik-baik tidak lagi mampu mendapatkan modal daripada pasaran yang tidak lagi diberikan penghormatan secara serius. Kerajaan pun tidak akan berupaya mendapatkan pinjaman daripada pasaran global dengan mudahnya.

Kalau kumpulan syarikat yang haprak masih terus disangga, sumber yang sepatutnya disalurkan kepada menyokong dan membelai kumpulan baru dan yang dinamik boleh menjadi terpesong. Ekonomi negara akan didominasi oleh syarikat dinosaur yang tidak pandai bersaing di pasaran antarabangsa. Inilah yang memungkinkan negara menjadi terus terpinggir daripada arus perjalanan pasaran global kerana kepentingan diberikan untuk melindungi syarikat anak-anak emas dan anak-didik yang mahu terus bernafas.

Kesan pengurusan yang songsang dan pembaziran sumber yang penting semakin menyerlah mengikut peredaran masa laksana faedah secara kompaunding (compounding interests). Sebuah negara yang membazirkan harta kekayaannya adalah laksana sebuah keluarga yang membazirkan harta kekayaan sewenangnya. Orang-orang yang dulunya menjadi kaya-raya akhirnya menjadi papa kedana. Adalah amat sukar membayangkan betapa Burma selepas Perang Dunia Kedua dulu, merupakan salah sebuah negara terkaya yang mempunyai pendapatan per kapita yang paling tinggi di kalangan negara Asia Tenggara. Adalah menakutkan apa jadinya kepada Malaysia 20 ataupun 30 tahun daripada sekarang, seandainya dasar yang ada terus dilaksanakan dengan cara menggila.


-Ram Aliran