Country  Heights Dijadikan Pekasam 
(Country  Heights In A  Pickle)

Oleh:  SPAR01

Pada 9 Mei, 2001, penguatkuasa   Majlis Munisipal Subang Jaya, telah menziarahi pejabat Country  Heights   Holding Berhad, ( sebuah  syarikat tersenarai di Bursa Saham KL) untuk menyita  pejabat  itu  dan mengambil asset  yang boleh  dirampas.  Nampaknya ini satu lagi kisah  para kroni  yang dirundung malang  laksana jatuhnya  sembilan pin dalam mainan boling.  Dalam satu sidang akhbar, Tan Sri  Lee Kim  Yew  menyatakan betapa terkejutnya beliau dengan kejadian  itu.  Dia tidak pula mahu menyebutnya bahawa ipar perdana menteri ialah  pengerusi kepada lembaga pengarah syarikatnya itu.

Tan Sri Lee  memang rapat   dengan   perdana menteri .Beliau  memang tidak pun bersikap merendahkan dirinya dalam perkara ini.  Oleh kerana semua Tan Sri memang diberikan   satu macam penghormatan, tindakan menyita  itu  tidak  pula  dilaksanakan secara fizikalnya. (Cukup  setakat olok-olok sahaja  -  penterjemah).  Tindakan   Majlis Subang Jaya  itu   berpunca daripada satu perkara kecil melibatkan kadar taksiran cukai  yang bernilai  RM9 juta  yang dipertikaikan. Perkara itu  tertunda bukan disebabkan   oleh satu panggilan  telefon, seperti yang sepatutnya berlaku  di masa  dulu-dulu, dan para pegawai  pula meletakkan  notisnya,  tetapi  kerana  ada  pembayaran sebahagian jumlah yang dituntut itu bernilai   RM851,000.

Yang  mengejutkan  Tan  Sri Lee  ialah  terjadinya  perkara  itu  terhadapnya. Dia telah  berjaya  melepaskan  dirinya daripada rimba dunia korporat,   melalui ihsan dan jasa baik   Dr. Mahathir Dari situlah dia naik mencanak  meniti tangga  impian yang tidak pernah dibayangkannya dulu  dengan  iringan nafiri   Darul Boleh.   Tetapi, dia juga tidak terbayangkan  betapa  dia juga boleh dihanyutkan dengan cara yang menghantui para kroni sebelumnya.  Setiap seorang  peniaga  Cina  yang  dididik   dan  ditimang oleh Perdana  Menteri sejak  dua  puluh tahun yang  lalu  naik  tersadai   untuk akhirnya lesap di  skrin   radarnya. .Kita memang kenal siapa mereka dengan kekerapan muka mereka muncul  di akhbar-akhbar  bersamanya.

Semua  mereka itu adalah lambang naik  turunnya konsep Malaysia Boleh:  Tan  Sri Eric Chia,   Tan  Sri  Vincent Tan,  Tan  Sri  Datuk  Paduka  (Dr)  Ting Phek Kiing,  Tan Sri  Francis  Yeoh,  Tan  Sri  Lee  Kim Yew……setiap seorang manusia ini menganggap bahawa mereka mempunyai hubungan yang istimewa  dengan  perdana menteri dan  merasa kecil hati kalau  ada   usaha  perdana  menteri mencari orang lain   pula.  Apa  yang terjadi semalam kepada Tan  Sri    Lee   sebenarnya  tidak ada bezanya dengan  apa  yang terjadi kepada  orang-orang  yang  mendahuluinya.  Begitu  juga dengan syarikat mereka, tanpa naungan politik sudah  tentu akan diruntun oleh bebanan hutang yang  menggunung tingginya.

Tetapi, tentu ada lagi  kisah  lain  di sebalik  dongeng  hikayat  turun-naik ini.  Kalau pun perdana  menteri telah diberitahu  dulu, ataupun  Tan Sri  Lee telah menelefonnya, perdana menteri  tidak  akan  mampu  menyekat perkara itu daripada berlaku  seperti itu.  Perdana  menteri tidak mahu campur tangan  sebaik sahaja  sesuatu  tindakan sudah dilaksanakan.   Begitu  juga,  satu andaian boleh dirumuskan  apabila  seseorang kroni menghadapi kesulitan  ia mungkin merupakan  satu  pertanda   ada sesuatu yang tidak kena dalam persahabatan mereka. Lagipun dia sudah  pun  mengaku betapa   menteri kabinet dan pegawai tinggi kerajaan  kerap tidak mengambil peduli   arahan-arahan   yang diberi. Mungkin  juga  tindakan  Majlis  Subang  Jaya itu adalah  satu  tindakan operasi yang tidak  direstu.   Sebaliknya,   adalah  tidak mungkin perkara semacam itu boleh berlaku.

Yang masih  samar  sekarang apakah Tan  Sri  sudah  terkeluar daripada   senarai keistimewaan  dan  sengaja dibiarkan  menjadi ratahan segala serigala yang kelaparan? Memang dia   sudah lama tidak kelihatan  terutama  sekali  selepas pesawat  khas peribadinya  Boeing 737,   yang pernah  dipinjam oleh  Perdana Menteri beberapa kali untuk terbang  keluar  negeri,    terpaksa  dipulangkan kembali kerana  Tan Sri Lee gagal     melunaskan  sewaan  pajakannya.  Kalau dibandingkan keangkuhannya satu ketika dulu  dengan  kemunculannya  semula  kali  ini,  memang tidak menyerlahkan  banyak perbezaannya. Itu  pun kalau diambil kira keangkuhan dan gelagat  orang yang mendahuluinya.    Dua  orang telah bertindak  mengemukakan  tindakan  mahkamah  yang tinggi  harganya  sehinggakan  kini  mereka melutut  menanggung  bahananya.

Kini, campur tangan politik sudah menunjukkan taringnya.   Orang  Melayu  marhaen sudah mula  menunjukkan  keresahan  mereka. Perdana Menteri cuba bertahan dengan bantuan lidah dan gigi palsunya. Untuk bertindak  seperti itu, perdana menteri mesti menunjukkan barang bukti dalam bentuk manusia  yang  terpaksa  dijadikan   mangsa. Contohnya yang pertama  ialah  pertelingkahannya dengan menteri kewangan. Contoh kedua  ialah tindakan anaknya yang keluar  daripada  mainan  besar  dunia korporat  seperti   yang digembar-gemburkannya. Perdana menteri mahu terus berjuang peperangannya sendiri dan tidak lagi mampu mempunyai bebanan  yang  sarat-sarat   yang  akan melecehkannya.

Tindakan  terhadap   Tan Sri Lee, betapa   pun  tepatnya tindakan itu, adalah satu sindiran  tajam  daripada golongan elit Melayu  terhadap   ketua feudal yang terlalu rakus  nafsunya.    Bukannya mudah  seseorang itu memperlekehkan  seorang  ahli  taman larangan  istana  maharajah  dan  mengenakan denda  seperti  yang  dilaksanakan oleh Majlis  Munisipal  Subang   Jaya.  Sebaliknya  pula,  apakah  tindakan itu  satu lagi langkah silat dalam  lawan-sampai-mati   antara perdana  menteri dengan  Rasputinnya, Tun Daim?  Jawapannya  ialah Ya  bercampur Tidak.

Sudah  menjadi  satu hukum ganas dalam penghukuman   masyarakat rimba,  politik dan juga urusniaga,  sesiapa  yang tidak lut  sifatnya, harus menyorokkan kepala ke dalam debu ketika bahagian atas kepalanya itu sedang dilutu  oleh    tembakan peluru. Apabila seseorang itu mudah memijak kaki orang lain tanpa mahu meminta maaf kepadanya, tindakan kurang ajar itu memang tidak mudah dilupakan. Kesakitan yang  dirasa  tidak akan mudah dilupa dan apabila perkara itu diceritakan kepada  rakan  sekaum  dan  sebangsa sudah tentu  balasannya muncul berganda-ganda.

Kebongkakan  Tan  Sri  Leedi  zaman kegemilangannya dulu  memang  sukar untuk luput dari  ingatan.  Bukan  dia  sahaja yang berperangai begitu. Dia tidak mudah menjawab kembali  pesanan  panggilan sesiapa. Dia kerap  berusaha  menonjolkan dirinya dalam pelbagai alat cetak  untuk berlagak sebagai seorang tokoh  yang sudah mempunyai segala-galanya.   Sekali lagi dia berlagak seperti   yang pernah dilakonkan oleh orang-orang  yang  sebelumnya.  Tetapi seseorang yang dijemput  untuk duduk tertenggek di pucuk kayu licin,  orang itu sudah tentu tidak mempunyai sebarang pengalaman berperang dalam dunia korporat  yang terjadi    dalam  usaha memanjat  kayu  licin itu.  Kini  dia terhumban di bahagian bawah,  di pangkal kayu licin itu.  Inilah  yang terjadi kepada Tan Sri Lee .Tentu sekali   dia  akan  terkebil-kebil  sedangkan  jejari  yang mengeluarkan surat perintah mahkamah (writ)   itu dulu,  akan tetap  dengan tugasan seterusnya.

MGG  Pllai pillai@mgg.pc.my

Bilangan pembaca: