Artikel Asal : Nationwide Campaign To Act On Eusoff Chin (Give Eusoff Chin A Flying Kick Out)
(http://www.geocities.com/seachange_2000/Archive/ kq_justice2.htm)

Kempen Seluruh Negara Menggesa Tindakan Ke atas Eusoff Chin (Hadiahkan tendangan maut buat Eusoff Chin)

Oleh : Kim Quek 

Terjemahan : SPAR09

Semua rakyat Malaysia yang cintakan keadilan sudah tentu menghargai tindakan tegas dan tepat oleh Majlis Peguam terhadap skandal salah laku Ketua Hakim Negara. Pengerusi Majlis Peguam telah mengumumkan bahawa satu pertemuan yang ditetapkan pada 23hb.Jun akan diadakan bagi membincangkan:- 

a) Penubuhan satu Tribunal atau Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perlakuan Ketua Hakim Negara Eusoff Chin, dan 
b) Penggantungan Eusoff sementara menunggu hasil siasatan.

Skandal salah laku Eusoff secara tiba-tiba memuncak apabila wartawan MGG Pillai mendedahkan beberapa hari lalu tentang butir-butir yang membabitkan salah laku Eusoff itu di mana beliau telah menaiki sebuah kapal terbang bersama-sama Lingam untuk ke New Zealand dan juga semasa di New Zealand, yakni berlawanan sama sekali dengan cerita Eusoff bahawa “mereka telah bertembung secara kebetulan”. Sungguh pun pada 10hb. Jun Pengerusi DAP Lim Kit Siang telah menggesa Eusoff untuk meletakkan jawatan atau membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak benar, beliau langsung tidak memberikan maklum balas terhadap perkara itu sehingga ke hari ini.

Kegagalan Eusoff untuk segera memberikan maklum balas pada saat-saat yang kritikal seperti ini membayangkan sesuatu yang serius dan tidak sihat – Ketua Hakim Negara mungkin telah terang-terangan berbohong kepada negara! Jika benar, penyiasatan kes Eusoff perlu pergi lebih jauh lagi dari hanya “bersosial secara tidak wajar” kepada aspek-aspek lain yang bersifat jenayah. Supaya dapat diterima akal, sila jelaskan kepada kita bahawa Ketua Hakim Negara ini sepatutnya tidak boleh sekali-kali terdesak sehingga sanggup melakukan pembohongan kepada negara, jika kesalahan itu hanyalah “hubungan sosial yang tidak wajar” – pasti ada banyak lagi yang dipertaruhkan.

Perkembangan terakhir yang menggesa supaya Badan Pencegah Rasuah menyiasat kemungkinan berlaku satu persetujuan yang tersembunyi dan rasuah terhadap bukan sahaja di antara Eusoff dan Lingam, tetapi juga pelanggan Lingam, Vincent Tan (pengawalnya didapati mengembara bersama-sama Eusoff dan Lingam di New Zealand, menurut MGG Pillai). Latar belakang kepada siasatan ini adalah kes saman malu bernilai jutaan dollar di mana Vincent telah dianugerahkan sejumlah wang yang besar iaitu RM10 juta, di dalam satu kes rayuan yang telah dijalankan di Mahkamah Persekutuan dan dipengerusikan oleh Eusoff.

Maklum balas (atau lebih tepat lagi, ketiadaan maklum balas) dari BPR terhadap skandal ini tidak langsung memberangsangkan, kerana sehingga kini tiada sebarang kenyataan umum yang dikeluarkan, sekalipun pada 6hb. Jun menurut Eusoff BPR dan Peguam Negara telah menyiasat dan mendapatinya tidak bersalah. Kini apabila skandal tersebut telah berkembang dengan cepatnya sehingga menjadi satu krisis yang menggemparkan, menarik perhatian negara dan antarabangsa, maka BPR dan Peguam Negara tidak akan mampu bersarang di tempat persembunyian mereka. Rakyat mesti mendesak mereka agar berpegang teguh kepada ikrar sumpah jawatan mereka  dan mengumumkan pendirian secara terbuka kepada rakyat pada saat ini juga.

Di pihak yang satu lagi, Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang Rais Yatim seolah-olah cuba mengelakkan diri secara tergopoh-gopoh. Menurut Sin Chew Jit Poh bertarikh 11hb. Jun, Rais telah menggesa supaya “ pertikaian terbuka” di antara dirinya dengan pihak kehakiman, tentunya Eusoff, dihentikan dan menyerahkan kepada masyarakat untuk menjadi hakim. Beliau berharap badan kehakiman akan mengambil kira perasaan rakyat dan membaiki imej dan ketelusannya. Kata beliau “Marilah kita semua memberikan perhatian kepada tugas-tugas kita sendiri. Usahlah hiraukan apa yang telah diperkatakan sebelum itu”.

Nada berdamai Rais itu mungkin boleh diterima sekiranya kontroversi yang berlaku adalah mengenai perdebatan terhadap perkara-perkara biasa di antara dirinya dan Eusoff, tetapi sama sekali tidak boleh diterima apabila seorang Ketua Hakim Negara didapati terbabit dengan bukti-bukti yang telah menimbulkan krisis kepercayaan terhadap badan kehakiman negara ini. Pendirian yang diambil oleh Rais itu menunjukkan bahawa pihak Kabinet cuba mengelak dari tanggungjawabnya untuk menegakkan kewibawaan sistem kehakiman. Lebih teruk lagi, ia seolah-olah bersubahat untuk menutupi kemerosotan di dalam badan kehakiman.

Sistem kehakiman kita telah banyak kali dicedera dan dicacatkan oleh badan Eksekutif  pada masa-masa lampau sehinggakan ramai rakyat Malaysia yang seolah-olah terpaku apabila berhadapan dengan satu lagi perbuatan yang melampaui batasan. Namun saya merayu kepada semua yang mencintai negara ini untuk bangun berbuat sesuatu. Marilah kita sama-sama bersatu untuk menghalang kemusnahan pengawal terakhir kepada jaminan hak-hak kita – badan kehakiman. Marilah kita mengambil peluang yang sepenuhnya dari penggunaan teknologi maklumat yang amat berfaedah ini dengan menyedarkan mereka yang berkuasa itu akan kemahuan rakyat. Biar rakyat negara ini membanjiri Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin lain serta pihak akhbar dengan emel-emel, faks-faks dan surat-surat menyatakan kesungguhan kita untuk melihat keadilan dilaksanakan dengan berkesan pada kali ini, sebagai tanda bermulanya proses memulihkan kembali sistem kehakiman kita yang telah rosak. Dan biarlah parti-parti politik dan badan-badan NGO menerajui jalan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bagi menyemarakkan kempen ini.

Bilangan pembaca: