Anwar Dan  Masyarakat  Madani
(Anwar and  Civil Society)

(Artikel asal ada dalam  HARAKAH terkini)

Lagi galak  kerajaan  Malaysia menggunakan  kekerasan mengazabkan   mantan  perdana menteri  Dato’  Seri Anwar  Ibrahim,  lagi  kerap   pula  ia  dihenyak  musibah.  Perdana Menteri Dr. Mahathir telah  menyalahgunakan kuasa  untuk memutarbelitkan  kebenaran dan  mengusahakan Anwar  terus  tertekan  kerana  menganggapnya sebagai berbahaya kepada   nasib dirinya dan juga  UMNO.   Sejak  Anwar disingkirkan daripada   UMNO  dan  juga kerajaan  pada  September 1998,  satu  episod konfrontasi  terus  berpanjangan di  mana  Anwar  terus  berada di tempat  yang membolehkannya  semakin  bertenaga  sedangkan  Mahathir  terus  tersedu  dan semakin  tidak  bermaya.

Sebab-sebab perkara  ini  berpanjangan bukan  kerana  masalah perundangan ataupun  perubatan tetapi  ia adalah masalah  politik.  Warisan  politik Dr. Mahathir  sedang disagat   tanpa  terubat  seandainya  dia tidak bertindak ganas  terhadap  seorang wirawan  yang dijadikannya banduan. Selama  20 tahun sebagai  perdana menteri, tak kiralah  apa juga  kebaikan  yang  telah  dilaksanakannya  hingga  kini, akan  dikenang berdasarkan  caranya  menjadikan  negara  ini  tunggang-balik tanpa keruan,  dan  menjadikan  masyarakat Melayu  yang  berbudi bahasa dan  tinggi  sopan santunnya  menjadi  musuh  politik  yang bagak   yang  sanggup  membekukan pemerintahannya  menjadi  sebuah  kerajaan yang tidak  relevan berstatus  haprak.

Kecenderungan Mahathir memuaskan nafsunya memusnahkan Anwar, menjadikan  tindakan  gilanya  sebagai satu  tindakan peribadi  yang  bersifat  berdendam.  Perbuatan  biadap  ini amat  bertentangan dengan budaya  orang Melayu dan  menggugat  martabat  UMNO  yang sejak  lima dekad  yang  lalu  mengharumkan maruah dan  martabat Melayu  bertukar  rupa  menjadi  satu  parti  yang tidak  bermaruah  dan  berguna lagi. Selagi  masalah  Anwar  itu  tidak diselesaikan, selagi  itulah  berterusannya  status  kejijikan  parti  dan  selagi  itu  pula  berkecamuknya  konfrontasi dalam  parti.

Kerajaan  tidak  pun  menceritakan perkara sebenarnya.  Cuma mengulang-ulang   apa  yang  diberitahu  oleh  UMNO  mengenainya.  Dr. Mahathir  bertegas bahawa  pentadbirannya  adalah  satu kesinambungan  ketetapan UMNO, di mana hanya dia yang menentukan  percaturan politiknya.  Ketika taufan desas-desus  melanda  negara mengatakan  bahawa KPN  Rahim  Nor telah  melanyak Anwar yang baru sahaja ditangkap  dan  tangannya   digari  di bahagian  belakangnya,  berita angin  itu  dinafikan dengan kerasnya. Dr. Mahathir  dan ketua  pergerakan wanita UMNO, Rafidah  Aziz telah bersekongkol  menyatakan  bahawa lebam  di mata  Anwar  adalah  kesan   kerja-kerja  yang dibuatnya sendiri.   Ternyata, kenyataan  mereka itu  adalah  satu  pembohongan  dan Rahim Nor  pun  kini dipenjarakan. Mahathir  mahupun  Rafidah  masih  belum memohon maaf kerana  penipuan  biadab  mereka itu  sehingga  kini.

Setiap awan mendung ada garisan  kilauannya. Mereka  yang  mengenali Anwar ketika berkuasa  dulu  sedar  betapa  beliau    tidak  banyak berbeza dengan  ahli politik  UMNO yang biasa.   Akan  tetapi, Anwar  mempunyai  wawasan, betapa pun terdapat  kecacatannya,  betapa pun  tahap  ketamadunan satu  masyarakat yang dikatakan  madani  sifatnya,  yang makna sebenarnya  sudah  lama  pupus  daripada kamus UMNO  dan perbendaharaan  katanya. Ia  sudah  menjadi  satu  sumber kata-manis  sahaja, yang bermadu  di hujung bibir  Itulah  yang cuba  diterapkan dalam UMNO sehingga  gagal  dan  beliau sendiri  yang tersingkir.  Seperti  yang  kita  sedar kini,  penentangan terhadap  usaha penerapan  itu  adalah  terlalu membarah kuasanya  sehinggakan  melampaui jangkaan  sesiapa.  Cara  kerajaan  menangani  masalah  ini  memberikan kita gambaran  betapa  kuatnya  kuasa  penentangan  itu  sebenarnya.

Walaupun  terpenjara,  wawasan  Anwar  itu    menjadi  satu  harapan  yang  pada  asalnya  bersifat  kecil-kecilan,  kini  membesar menjadi  satu  kenyataan. Inilah  padahnya  apabila UMNO dan BN sengaja  memperlekehkan  rakyat marhaen.  Setelah  memenangi  pilihanraya, demokrasi  dipengapnya,  dan hak rakyat untuk bersuara ditekannya  pula. Gelagat  ini memang boleh laku selagi negara  gila sakan dengan  kekayaan dan  pasaran  saham mencanak  dipacu syaitan.  Apabila  ekonomi merudum, segala kepincangan system pemerintahan  yang jijik  itu pun jatuh terdedah berdentum-dentum. Keadaan menjadi  teruk lagi  apabila masyarakat Melayu  merasa  diaibkan setelah melihatkan  budaya bangsa  sengaja diperlekehkan.  Terpaksalah  kerajaan dan  juga UMNO  merasakan bahananya dan  mencari jalan meredakan keadaan.

Kuasa kerajaan  dan monopoli UMNO  berkecai  sudah. Suruhanjaya  Hak Asasi  Manusia, SUHAKAM, telah  bertindak bebas, menyuarakan  pandangan  berbeza yang tegas.  Dalam  kes  penahanan  di bawah ISA, Suhakam telah bertegas  laksana  parti pembangkang  di  zaman dulu-dulu, mahukan  kerajaan  membenarkan   para  tahanan di  mahkamah  terbuka  dan mengizinkan    mereka berjumpa ahli keluarga.  Seorang hakim mahkamah tinggi telah  memberi arahan  agar  dua tahanan disebut dalam  petisyen ‘habeas corpus’ dikemukakan  di  mahkamah, menjadikan  arahan  itu yang  pertama  kali  dibuat dalam sejarah.

Yang menyebabkan  ISA (Akta  Keselamatan Dalam  Negeri) dipertikaikan  ialah cara  Rahim Nor  melanyak Anwar sehinggakan  lebam matanya  (dan membiarkan beliau  terbaring  tanpa  rawatan  selama lebih  empat hari- penterjemah).   Timbalan perdana  menteri yang merangkap menteri dalam negeri menyedari perkara ini.  Ketika merujuk  kepada  penangkapan ISA  yang terbaru, dia cepat  sekali berkata  bahawa  “satu mata lebam sudah  memadai”  dan  berkata  bahawa  dia “tidak mahu melihat   ada   mata  lebam  lagi”. Pada  lazimnya,  ahli  keluarga dibenarkan   menziarahi para  tahanan dalam jangka masa  60 hari mereka  ditahan untuk  disoal  siasat.  Salah  seorang  yang ditahan itu  adalah  anak saudara  YDP Agong  (kerana ibu  saudara  YDPA itu  adalah  ninda   kepada  yang  ditahan  itu).  Mungkin kerana  wujudnya  pertalian itu  yang memaksa kerajaan berlembut dengan  penglaksanaan ISA itu. Namun,   perundangan  itu  sudah  tidak ditakuti lagi  seperti empat  tahun  yang  lalu.

Suhakam  telah  diwujudkan untuk melenturkan   kritikan  luar  terhadap   penderitaan yang  diazabkan kepada Anwar.  Kalau  tidak  kerana Suhakam Rahim Nor  tidak akan  mengaku bahawa  dialah  musibat yang melebamkan mata  Anwar ketika tangannya bergari  dan matanya dipekapkan. Peraturan  polis  menegah  siasatan dilakukan kepada  banduan sambil tangan mereka bergari  dan  mata  ditutup.  Rahim  berjaya  menerima hukuman ringan penjara untuk dua bulan sahaja. Bahawasanya dia  telah dihukum dan dipenjarakan  adalah satu perkara penting.  Pada masa  hadapan, kalau  ada   juga  kisah  polis menghenyak para tahanan  yang dikemukakan  kepada mahkamah,  sudah tentu kisah  itu  tidak  akan dipandang  remeh lagi. Rakyat marhaen yang sudah  lama memendam geram tidak akan membiarkan perkara ini lagi.   Masalah penyakit Anwar telah  memaksa menteri kesihatan Chua Jui  Meng  memberikan  penjelasannya  (yang penuh penipuan –  penterjemah) untuk menjawab soalan yang dikemukakan di  Parlimen, selama 30 minit.   Berlakunya  peristiwa itu  menggambarkan kemunculan satu masyarakat yang semakin sedar hak demokrasinya  yang menyebabkan wakil rakyat  mula sedar akan  amanah rakyat  kepada mereka..

Baru-baru ini Parlimen  telah  memeranjatkan ramai  pegawai kerajaan apabila membincangkan  masalah Kuala Lumpur  yang kebanjiran,   seperti  yang diketengahkan oleh pihak pembangkang.  Dulu, Parlimen  enggan membincangkan  kisah  pergaduhan di Kampung Medan, dan pelbagai masalah  semasa yang dikemukakan. Kalaulah  perkara itu  ditolak juga  kritikan  rakyat marhaen  pasti  membara semula.  Parlimen terpaksa menyedari peranannya  yang  bukan  lagi seperti tukang cop  sahaja.  Isu  semasa  perlu  dibincangkan seperti yang  sepatutnya  dan   tidak lagi menyorok  sebalik  majority  besar  yang ada di tangan  kerajaan.

Perubahan   yang muncul berlaku  secara  perlahan. Inilah  yang menyebabkan kemunculannya  itu sukar untuk ditangani.  Akhbar-akhbar utama sudah terpaksa mengubah  inti beritanya.  Walaupun bersikap sebagai tukang  penyebar propaganda kerajaan,  terutama  sekali  dalam  kemelut konfrontasi Mahathir-Anwar,   terdapat perubahan  dalam  pemberitaannya.

Mereka tidak  ada  pilihan  lagi kerana  rakyat marhaen  enggan  membeli. Kini,  mereka  menerbitkan  cerita  politik  yang  seandainya  diterbitkan  tiga  tahun  yang lalu  pasti  mampu  menendang ketua  pengarang   keluar  di pintu.  Mereka sedar sekarang  betapa  nasib mereka  untuk bernafas lega bukan  terletak kepada kerajaan. Rakyat  marhaen  yang  menentukannya.

Pendidikan melegakan  pemikiran.  Itulah  teras  perjuangan  UMNO  pada  1946  ketika ia dilancarkan. Tetapi  UMNO  pada 2001  tidak  pula  menganggapnya  sebagai  satu  warisan.  Perjanjian  antara  UMNO dengan  MCA dan MIC  tidak akan  bertahan seandainya  tidak  disuburi  dan  dibenarkan  berkekalan.   Rusuhan kaum  1969  dulu  telah  membuatkan  kerajaan  cenderung  memberikan keutamaan  kepada  dominasi orang Melayu.  Kaedah  ini  boleh berfungsi  selagi  kaum  lain tidak mempertikaikannya dan  orang Melayu  menerima  naungan politik  UMNO.

Apabila  orang  Melayu memberontak,   dan  kaum Cina  dan India   yang  berdiam diri selama ini   ikut   serta;  sama ada secara   fizikal  dan  juga  secara  semangatnya  dulu seperti  yang  sedang berlaku,  kerajaan  pun  menjadi  gelabah  seolah-olah  dikejar hantu.  Bukan calang-calang sebab musababnya kenapa UMNO amat gentar  dengan  Parti   Keadilan.  Sifat  kelahiran Keadilan  yang kepelbagaian kaumnya itu  yang menjadi  satu factor yang membuatkannya  lebih  relevan lagi daripada Parti Negara   ciptaan Dato Onn Jaafar selepas  beliau  berundur daripada UMNO.   Dato’Sir Onn Jaaffar telah  menubuhkan Parti Negara   sebaik sahaja cadangannya  agar UMNO menerima keahlian bukan  Melayu  ditolak menyebabkan  beliau menarik diri   daripada    parti.  Bagaimana pun  kita menganalisis semua  ini,  politik Malaysia banyak berkisar kepada   konfrontasi antara perdana  menteri dengan  seorang banduan.  Inilah  yang akan berakhir dengan kebaikan untuk semua rakyat  Malaysia.


MGG   Pillai
pillai@mgg.pc.my


Diterjemahkan oleh   SPAR01-07

Bilangan pembaca: