The Augustine Paul School of Puppet Judges 
http://www.geocities.com/seachange_2000/school_puppets.htm

Artikel Terjemahan :

Sekolah Latihan Hakim-hakim Boneka Augustine Paul

Oleh : Tsu Nam
Terjemahan : SPAR 09

Sekolah Latihan Hakim-hakim Boneka Augustine Paul akan menerima kunjungan dari seorang pelawat yang penting pagi itu. Seseorang yang bernama Datuk Korrupsi telah menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan tempat bagi anak lelakinya belajar di sekolah tersebut. Oleh kerana Datuk Korrupsi merupakan seorang yang sedang meningkat namanya di dalam Kabinet Malaysia dan hebat diperkatakan sebagai bakal Perdana Menteri, beliau telah disambut dengan begitu mesra oleh pengetua sekolah sendiri.

Sambil duduk di kerusi di dalam pejabat Augustine yang serba mewah itu, Datuk Korrupsi terperasan akan kertas dinding yang bercorak kanggaru emas dan hijau serta model bersaiz kanggaru hidup di penjuru bilik. Ada dua gambar yang menonjol di dinding : Satu gambar DYMM Agong sedang menganugerahkan gelaran Tan Sri kepada Augustine sebagai mengenang jasanya kepada negara kerana berjaya mensabitkan kesalahan rasuah terhadap Anwar Ibrahim di dalam satu perbicaraan yang berat sebelah dan memalukan; satu lagi ialah gambar Mahathir sedang mengucapkan tahniah kepada hakim tersebut selepas perbicaraan kes yang sama. Ruang di belakang kerusi pengetua dicat dengan lambang sekolah, terdiri dari BONEKA yang tersengih memegang dacing yang berat sebelah akibat diduduki oleh seekor kanggaru dan perkataan “KEADILAN TIDAK RELEVAN”. Datuk Korrupsi bertanyakan penerangan tentang frasa tersebut.

‘Ah, Datuk,’ jawab Augustine Paul dengan suara yang berniat memikat setelah mengeringkan tekaknya. ‘ Motto sekolah kita menjelaskan fakta bahawa KEADILAN sendiri, sebagaimana yang diamalkan oleh Barat, tidak relevan untuk orang-orang Asia seperti kita. Kita orang0orang Asia tahu nilai sebenar KEADILAN bukan untuk menghukum pesalah, tetapi sebagai alat untuk menghukum mereka yang menetang kerajaan dan parti pemerintah.’

Bersemangat dengan tanda-tanda persetujuan di muka pelawat itu, Augustine Paul menyambung, ‘ Kita tidak boleh benarkan pencetus masalah sebagai contoh, menggunakan undang-undang untuk menghancurkan nilai-nilai Asia dan cara hidup kita. Sebaliknya, kita menggunakan sistem keadilan untuk menghancurkan mereka!’

‘Tepat sekali,’ Datuk Korrupsi memerhati sambil mengangguk, ‘Ini adalah langkah yang bijak. Tanpa ragu lagi rasuah ialah nilai-nilai Asia kita yang amat mulia. Kita memerlukan hakim-hakim yang bersesuaian untuk melindungi amalan rasuah ini.’

‘Sudah tentu. Adalah lebih baik juga jika hakim-hakim adalah sebahagian dari KELUARGA,’ kata pengetua, sekaligus merujuk kepada hakikat bahawa Datuk tersebut memang seorang yang amat korup, dan lebih dari itu, ada kemungkinan akan menjadi bertambah korup lagi apabila bintangnya semakin bersinar di Malaysia.

‘Apakah jenis korikulum yang ada di sekolah anda ini?’

‘Ah, Datuk. Kami menjalankan program intensif untuk menghasilkan hakim yang benar-benar korup, berat sebelah dan rosak akhlak buat negara dengan kursus yang memakan masa dua tahun sahaja.  Di tahun pertama pengajian, pelajar-pelajar akan belajar asas-asas pengendalian mahkamah kanggaru termasuk meminda undang-undang, bahan bukti untuk keuntungan, bagaimana membuat penghakiman yang berat sebelah, bagaimana untuk tunduk kepada kuasa pemerintah, bagaimana beraksi sebagai boneka, bagaimana melindungi ketidakadilan dengan menggunakan bahasa perundangan, yang penting sekali bagaimana menggunakan perkataan “tidak relevan.” Tetapi di tahun kedua barulah mereka belajar perkara yang lebih halus.’

Berhenti seketika sambil membetulkan pin tali lehernya yang berbentuk kanggaru, Augustine Paul menyambung : ‘Ianya termasuk bagaimana untuk mengubah suasana perbicaraan dari peguambela-peguambela walaupun mereka mempunyai kes yang kukuh, bagaimana mengugut peguambela seandainya mereka begitu cemerlang, bagaimana mengkritik pemerhati luar dan media luar negara, bagaimana mensabitkan kesalahan ke atas tertuduh walaupun tiada bukti untuk menyokong tuduhan, dan bagaimana untuk menggunakan undang-undang menghina mahkamah ke atas sesiapa sahaja yang berani mengkritik system kehakiman.’

‘Sungguh mengkagumkan,’ kata Datuk Korrupsi. ‘Bolehkah kita memulakan lawatan di sekolah ini sekarang?’

‘Sudah tentu Datuk. Tidak sabar rasanya untuk membawa Datuk melihat segala kemudahan moden yang disediakan di sekolah ini.’ Dengan meninggalkan pejabat pengetua, kedua-duanya pun berjalan keluar. Apabila mereka melintasi kawasan sekolah. pelawat itu dapat melihat sesi Senaman Fizikal yang sedang berlangsung di tengah-tengah padang. Sekumpulan pelajar sedang membongkok seperti seekor kanggaru dan melompat-lompat dengan bertenaga sekali. Pengetua sekolah menjelaskan bahawa dengan berbuat seperti itu, para pelajar akan dapat mengembangkan satu pemikiran yang selaras dengan pengendalian sesebuah mahkamah kanggaru. Di sebuah padang yang lain, satu kumpulan lagi kelihatan sedang mempraktikkan pergerakan badan yang melentuk-liuk dan Augustine sekali lagi menjelaskan bahawa tujuan pergerakan itu adalah bagi menghasilkan pemikiran yang sesuai untuk memutarbelitkan undang-undang mengikut citarasa sendiri.

Di dalam sebuah taman kecil, pegetua sekolah dengan bangganya menunjukkan sebuah ukiran patung Mahathir yang sekolah hormati sebagai Pengasas Kehakiman Moden Malaysia, alat yang menggerunkan digunakan untuk menyekat tekanan dari dunia luar terhadap kekejian dan tingkah laku yang memalukan dari hakim-hakimnya.

Kemudian mereka menuju ke perpustakaan sekolah. Kelihatan begitu luas dan sarat dengan bahan-bahan bacaan, dengan pelajar-pelajarnya membongkok dengan senyapnya mengadap buku-buku dan kertas-kertas. Di atas dinding pula tergantung keratan-keratan akhbar lama yang melaporkan kes-kes perbicaraan yang sangat memalukan di Malaysia termasuk kes-kes yang melibatkan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Sukma, Munawar, Nalla, Murray Hiebert dan Marina Yusof. Semua ini sebagai galakan kepada para pelajar untuk menjadi hakim penyeleweng yang cemerlang apabila tiba masanya. Antara yang  paling menonjol adalah laporan-laporan mengenai kes perbicaraan Anwar Ibrahim yang dihakimi oleh  Augustine Paul, yang tidak dapat disangkal lagi sebagai satu contoh kes yang paling aneh dalam sejarah Malaysia yang menyerlahkan kepincangan sistem kehakiman itu.

Seterusnya mereka melawat makmal audio. Di sini para pelajar boleh mendengar pita rakaman berkenaan dengan perjalananan kes-kes lama di mahkamah kanggaru. Pengetua sekolah menjemput pelawat itu memakai alat pendengar bagi mengikuti sebahagian dari kes perbicaraan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 :

PEGUAMBELA : ‘Tuan Yang Mulia, kami ingin mengemukakan bukti mengenai konspirasi politik peringkat tertinggi terhadap pelanggan kami, Datuk Seri Anwar Ibrahim.’

HAKIM :  ‘Itu tidak dibenarkan! Konspirasi  politik tidak relevan dalam kes ini!’

PEGUAMBELA : ‘Tuan Yang Mulia, kami boleh menyediakan 10 orang saksi untuk membuktikan bahawa konspirasi politik itu benar-benar wujud.’

HAKIM : ‘Sepuluh orang saksi kamu itu juga tidak relevan!’

PEGUAMBELA : ‘Tetapi tuan masih belum mendengar bukti keterangan mereka lagi.’

HAKIM : ‘Kalau begitu mengapa pula? Bukti keterangan mereka juga tidak relevan!’

PEGUAMBELA : ‘Kami mempunyai pita rakaman perbualan di antara dua watak utama yang jelas menunjukkan wujudnya konpirasi politik itu.’

HAKIM : ‘Pita rakaman kamu itu juga tidak relevan!’

PEGUAMBELA : ‘Kami juga mempunyai bukti tentang konspirasi polis terhadap pelanggan kami.’

HAKIM : ‘ Konspirasi polis itu tidak relevan dengan kes ini!’

PEGUAMBELA : ‘Kami juga mempunyai bukti bahawa Peguam Negara telah mengada-adakan pertuduhan terhadap pelanggan kami.’

HAKIM : ‘ Jika kamu berani mengemukakan bukti tersebut, saya akan mendakwa kamu kerana menghina mahkamah!’

PENDAKWA : ‘Tuan Yang Mulia, kami ingin mengemukakan kepada mahkamah ini sebuah tilam yang bertanda di mana di atas tilam inilah tertuduh telah melakukan perbuatan liwat dan zina yang amat memalukan.’

HAKIM : ‘Ini sangat relevan. Sila bawa masuk tilam tersebut.’

Di akhir rakaman tersebut, Datuk Korrupsi telah tertawa terbahak-bahak kegembiraan dan meminta satu salinan pita rakaman tersebut. Augustine Paul berjanji akan mengirimkannya satu salinan kes perbicaraan yang lengkap dan membawanya melawat ke bahagian lain pula.

Mereka memasuki sebuah dewan syarahan yang di dalamnya satu sesi pelajaran sedang berlangsung. Walau bagaimanapun, sesi pelajaran itu merupakan sesuatu yang tidak pernah disaksikan oleh Datuk Korrupsi sebelum ini di mana semua mata pelajar tertumpu kepada seorang pensyarah yang sedang duduk di atas kerusi tanpa berkata apa-apa selain dari  menyentak-nyentak tangan, kaki dan lehernya ke banyak arah. Dalam kebingungan, pelawat itupun berpaling kepada pengetua sekolah yang kemudiannya menjelaskan bahawa :

‘ Ini mungkin kelihatan aneh, tetapi pensyarah itu sedang menunjukkan cara bagaimana untuk menjadi seorang hakim boneka yang baik. Anda boleh lihat bagaimana kaki dan tangannya dengan cepat bertindakbalas terhadap arahan tersembunyi yang disampaikan kepadanya oleh tuan hakim boneka. Ini adalah satu tafsiran fizikal tentang apa yang sebenarnya berlaku di dalam otak dan dari itu menjadi satu kaedah pengajaran yang sangat bernilai.’  Mereka terus menyaksikan bagaiman pensyarah itu bangun dari kerusinya dan tunduk sehingga hilang dari pandangan, membengkok, membongkok dan mengensot tanpa menghiraukan sesiapa. Augustine Paul berkata, ‘ Ini adalah untuk mengajar pelajar-pelajar tentang kelakuan yang perlu ditunjukkan oleh mereka dengan kehadiran tuan boneka, perdana menteri sendiri.’

Setelah berpuas hati, Datuk Korrupsi dibawa ke bahagian lain sekolah itu di mana perbicaraan olok-olok sedang berlangsung di dalam sebuah kelas yang menyerupai kamar sebuah mahkamah.

PENDAKWA : ‘Tuan yang Mulia, tertuduh didakwa dengan tuduhan meliwat pemandunua pada 29hb. Febuari, 1995 di Villa Sivoli.’

PEGUAMBELA : ‘Tuan yang Mulia, tahun 1995 bukanlah tahun lompat, oleh itu perbuatan tersebut tidak mungkin berlaku pada tarikh tersebut.’

PENDAKWA : ‘Tuan yang Mulia, saya ingin membuat pindaan terhadap tarikh pertuduhan kepada satu hari di dalam bulan Januari 1994 di Villa Sivoli.’

PEGUAMBELA : ‘Tuan yang Mulia, kami boleh buktikan bahawa Villa Sivoli belum lagi wujud dalam bulan Januari 1994. Ia hanya siap dibina dalam bulan Disember tahun itu.’

PENDAKWA : Tuan yang Mulia, kami ingin meminda tarikh pertuduhan itu kepada satu hari di antara bulan Disember 1994 dan Mac 1995.’

HAKIM : ‘Pindaan diterima.’

PEGUAMBELA : Tuan yang Mulia, kami mempunyai pasport tertuduh yang membuktikan bahawa beliau berada di luar negara sepanjang tempoh bulan Disember 1994 sehingga Mac 1995.’

PENDAKWA : ‘Tuan yang Mulia, kami memohon untuk meminda tarikh pertuduhan sekali lagi kepada “satu hari di dalam hidup tertuduh” di Villa Sivoli.’

HAKIM : ‘ Pindaan diterima.’

Ternyata perbicaraan olok-olok itu telah berjaya menarik hati Datuk Korrupsi yang memuji kebijaksanaan yang dipamerkan oleh hakim olok-olok itu. Pada penghujung lawatan itu, pelawat yang kekaguman itu mengisytiharkan bahawa beliau bukan sahaja akan menghantar kedua-dua anak lelakinya ke sekolah tersebut, tetapi juga akan menggalakkan semua orang yang mempunyai hubungan dengannya untuk mengambil langkah yang sama. Augustine Paul mengingatkan beliau bahawa prospek masa depan peningkatan kerjaya buat hakim-hakim boneka amat cerah, di mana tuan hakim boneka tidak akan ragu-ragu untuk menganugerahkan kekayaan dan gelaran-gelaran kehormat kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang baik. Pelawat itupun beredar selepas menerima cenderahati yang berupa kanggaru 24-karat emas berukuran 6 inci tinggi.

Bilangan pembaca: