ANTARA CASTRO DENGAN MAHATHIR

Cili Api tertarik dengan tiga perkara yang disebut oleh Fidel Castro, Presiden Cuba, semasa beliau menjadi tetamu rasmi  Dr M @ Cek Det. Sebenarnya beliau bukan sebenarnya tetamu negara. Itu sebab beliau tidak dibawa menyaksikan keadaan pekerja-pekerja ladang, penduduk-penduduk setinggan dan Orang Asal.

Pertama, apabila ditanya tentang serangan Eropah dan Amerika terhadap rekod hak asasi Cuba, Castro berkata “Kami merasa bangga dikritik oleh mereka sebab kami tidak pernah menggunakan gas pemedih mata terhadap rakyat kami dan tidak pernah memukul rakyat kami.” Cili Api lihat tidak ada satu pun media tempatan yang melaporkan ini. Sungguhpun beliau menujukan kata-kata ini kepada Presiden Bush,   nampaknya semua media sedar bahawa ia juga merupakan sindiran tajam kepada Bush Kecil di Malaysia, secara sengaja atau tidak.

Kedua, apabila ditanya apa pandangannya selepas dibawa melawat KLCC, bangunan  tertinggi dalam dunia,  dia berkata, “Saya menghampiri syurga di sini”. Ayat ini kelihatan mempunyai unsur sindiran juga. Mungkin kerana menyedari sindiran ini, maka media berbahasa Melayu menukarnya kepada “Saya seperti di ruang angkasa”. Ini lain sedikit maknanya. Tidak tahu mengapa media tidak bertanya beliau apa rasanya selepas dijamu di mahligai Mahafiraun.

Ketiga, ketika ditanya sama ada Cuba mempelajari apa-apa dari Malaysia, Castro menjawab, “Ada dua orang pemberontak dalam dunia, seorang Dr Mahathir dan seorang lagi saya.” Maksudnya ialah mereka memberontak menentang kuasa Amerika Syarikat. Cili Api setuju dengan pendapat Castro tentang dirinya  sendiri, tetapi berbeza pendapat mengenai pendapatnya terhadap Cek Det. Mereka tidak boleh dibandingkan, kerana jauh panggang dari api.

Tidak lama selepas Castro  berjaya menjatuhkan diktator Batista dan menegakkan pemerintahan barunya, Presiden Kennedy telah memerintahkan serangan ke atas Cuba. Operasi serangan yang dikenal sebagai Bay of Pigs itu berjaya dipatahkan oleh rakyat Cuba di bawah pimpinan Castro. Selepas itu Cuba dikenakan sekatan ekonomi, yang mengakibatkan rakyatnya menderita. Castro memberontak menentang Amerika dan juga diktator yang disokong oleh mereka.

Tetapi bagaimana dengan Cek Det? Beliau cuma menyerang penjajah baru Amerika Syarikat hanya dengan kata-kata. Tetapi, cakap lain dan buat lain? Cek Det bergantung kepada Amerika dalam bidang ekonomi. Perdagangan dengan Amerika dan pelaburan dari Amerika sangat besar dibanding dengan lain-lain negeri. Cek Det sendiri pada tahun 1984 menandatangani perjanjian pertahanan dengan Amerika, yang membuka negara kita seluas-luasnya kepada penjajah baru itu. Ada pangkalan Amerika di Cuba, akan tetapi itu hasil perjanjian yang dibuat oleh diktator Batista dengan Amerika dulu.

Cili Api lihat Amerika Syarikat tidak begitu ambil apek sangat terhadap Cek Det. Dia hanya menyerang dengan mulut. Jadi Amerika perlu serang balik dengan mulut saja. Amerika tahu Cek Det mahu bergantung kepadanya dari segi ekonomi dan pertahanan. Lagi pula sekarang ini Cek Det sedang berusaha hendak berbaik-baik dengan Presiden Bush, yang lebih bebal dan tidak kurang zalimnya berbanding dengan presiden atau naib-presiden Amerika sebelumnya.

Cili Api faham, sebagai tetamu istimewa Cek Det, Castro terpaksa berdiplomasi dengan memuji tuan rumahnya. Agaknya jikalau Castro melawat Iraq, tentu dia akan memuji Saddam dan rakyat Iraq pula kerana kuat menentang serangan bersenjata dan sekatan ekonomi yang dilakukan oleh Amerika ke atas mereka.

Cili Api ingin tahu apa yang dikatakan oleh Castro semasa melawat Iran dan Algeria. Bukankah tekanan dan sekatan Amerika terhadap negara dan rakyat Iran masih teruk? Di Algeria pula, Amerika telah membantu golongan tertentu di sana untuk mengambil kuasa, apabila rakyat  membuat keputusan menyokong parti-parti  Islam. Sekarang ini pun Amerika tidak berapa senang dengan pemerintah dan rakyat Algeria yang tidak hendak tunduk sangat kepada kuasa imperialis Amerika.

Bagaimana pula dengan  China? Castro tahu semua ini. Tapi takkanlah dia hendak puji pemimpin-pemimpin China, Iraq, Iran dan Algeria di depan batang hidung Cek Det. Takut-takut akan jadi kecut pula batang hidung itu.

Lagi pula, mana asasnya hendak menyamakan Cek Det dengan Castro sebagai pemberontak dalam negeri? Dari mula lagi  Castro menentang diktator Cuba bernama Batista itu. Beliau sanggup mengangkat senjata dan naik gunung. Batista telah membunuh, menghukum dan memukul ramai pejuang-pejuang rakyat Cuba yang bangun menentang kezalimannya.

Cek Det yang diampu-ampu oleh media tempatan sebagai wira hampir sama kedudukannya dalam negeri dengan diktator Batista. Cuma Batista disokong oleh Amerika, manakala Cek Det menentang Amerika dengan mulut kerana dia tidak puas hati pemimpin dan media Amerika tidak memuja-memujinya. Kita mesti jangan lupa bahawa apabila dipuji oleh Presiden Bush Tua (Senior) dulu, Cek Det terus sokong resolusi PBB yang dikemukakan oleh Amerika untuk mengebom Iraq.

Kezaliman dan dasar dalam negeri Cek Det lebih dekat dengan diktator seperti Batista itu.  Cek Det  menzalimi Anwar yang kerana berani menentangnya, dia menggunakan polis untuk memukul reformis yang berhimpun secara aman kerana mencabar kedudukannya,    dia menggunakan ISA yang zalim untuk menahan pejuang-pejuang yang mencabar kezalimannya serta korupsi kroni-kroniya, dan dia menguasai serta memperalatkan bukan saja polis, tetapi juga mahkamah dan media  untuk memastikan pemerintahan zalimnya terus berpanjangan.

Cili Api faham mengapa  Castro tidak mahu campur tangan dalam hal ehwal dalam negeri Malaysia. Sebenarnya banyak juga yang boleh diperkatakan tentang hal-ehwal dalam negeri Cuba sendiri. Akan tetapi, Cili Api angkat tabik kepada Castro kerana beliau tidak menggunakan polisnya untuk menembak gas pemedih mata atau  memukul  rakyatnya. Tidak seperti Cek Det, yang mahu menganggap dirinya sebagai diktator dan firaun yang baik.

Bilangan pembaca: