1. Pengenalan ringkas
ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang
diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos
1960 dan di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Akta yang
dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor dengan
singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang
substantial dari dalam dan luar Malaysia:
i) untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; dan
ii)
untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah,
(terhadap) Kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut undang-undang.
Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan
pindaan sebanyak tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada tahun 1962, tiga kali
pada 1963 dan juga 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969
dan sekali pada 1989. Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari ini.
(Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International
Law Book Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177)
Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas
bermaksud mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan percubaan
menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah kerajaan yang tertubuh dengan sah di
bawah perlembagaan negara (melalui pilihan raya demokrasi). Menurut bekas Presiden Majlis
Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini kerana berpegang kepada
sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau
membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis (Mingguan
Malaysia, 25 Jun 2000). Sepatutnya bila pergerakan dan ancaman komunis telah tidak
wujud lagi, akta ini dimansuhkan terus oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti
2/3 wakil UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan akta ini demi
survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang tidak mengikut arus perdana.
Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan
subversif, nampaknya ia tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah (kepentingan awam) yang dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang
tertubuh itu adalah kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada
rakyat.
Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi
lesen terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar,
sentiasa memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama
kerajaan memiliki super power untuk menekan
suara kedua atau pendapat alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang
tidak mampu dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat
memahami bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu,
dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan pihak
pemerintah.
Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada
tahun 70-an seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain, penangkapan di bawah
Operasi Lalang 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya
dengan bermulanya kes pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar untuk
diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara ketenteraman negara.
Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan sebab-sebab tangkapan di bawah akta ini terhadap
tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa hari menjelang penyerahan
memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001), penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom
pada 20 April, Lokman Noor Adam 24 April dan Pak Din 27 April lalu.
2. Seksyen yang
digunakan dalam kes tahanan ISA terkini
Dalam rencana ini saya akan menumpukan peristiwa penahanan
sepuluh orang (setakat ini) aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk melihat sejauh
mana kedudukan akta yang juga ditafsirkan sesetengah orang sebagai ‘Ikut
Suka Aku’ ini daripada pandangan
Islam.
Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di
bawah seksyen (s.) 73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang digunakan untuk membuat
penahanan itu, eloklah kita sebutkan secara salinan semula beberapa seksyen penting yang
menarik untuk kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84 dan
beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di bawah akta ini.
Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada
subseksyen-subseksyen seperti berikut:
S. 8 (1) “Jika Menteri
berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya
daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat
kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan
perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya, Menteri boleh
membuat suatu perintah (yang kemudian daripada
ini disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh tidak lebih
daripada dua tahun.
Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke
atas s. 8 (1) ini dengan menyatakan bahawa penahanan dalam ‘tempoh peralihan’ antara
Akta ibu (iaitu akta asal, yang digubal pada 1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah
dan menurut undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa “Tiada tindakan guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang
lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh dibawa, dimulakan atau
dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta
ini…”
S. 8 (2) Dalam subseksyen (1) “perkhidmatan perlu”, ertinya apa-apa perkhidmatan, perniagaan,
tred, perusahaan, pengilangan atau atau pekerjaan yang termasuk dalam Jadual Ketiga
(senarai perkhidmatan perlu kepada orang awam – penyalin)
S. 8 (3) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah
tahanan hendaklah ditahan di mana-mana tempat
(yang kemudian daripada ini disebut tempat tahanan) sebagaimana Menteri boleh mengarahkan
dan mengikut apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh
Menteri dan apa-apa kaedah yang dibuat di
bawah subseksyen (4).
S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan
bagi penyenggaraan dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi disiplin dan perlakuan
terhadap orang-orang yang ditahan di dalamnya, dan boleh
membuat kaedah yang berlainan bagi tempat-tempat tahanan yang berlainan.
S. 8 (5) Jika Menteri
berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) adalah perlu
supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau bahawa
sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi
bahawa bagi maksud itu adalah tidak perlu untuk
menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah
(yang kemudian daripada ini disebut perintah sekatan) mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa sekatan dan syarat berikut:
(a) bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktiviti dan tempat kediaman dan pekerjaannya;
(b) bagi melarangnya daripada berada di luar rumah di antara apa-apa waktu sebagaimana dinyatakan dalam perintah, kecuali di bawah kebenaran suatu permit bertulis yang diberi oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan sedemikian;
(c) bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya dalam apa-apa cara pada sesuatu masa dan kepada mana-mana pihak bverkuasa atau orang sebagaimana dinyakatan dalam perintah itu;
(d) bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada mana-mana organisasi atau persatuan, atau daripada mengambil bahagian dalam aman-mana aktiviti politik; dan
(e)
bagi melarangnya daripada mengembara luar
dari sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu
melainkan mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau
orang sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.
S. 8 (6) Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus
berkuatkuasa bagi apa-apa tempoh, tidak lebih
daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan di dalamnya, dan boleh
meliputi suatu arahan oleh Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya arahan itu
dibuat, hendaklah mengikat suatu bon dengan
atau tanpa penjamin dan dengan apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan
sewajarnya sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.
S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa perintah tahanan atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa tempoh selanjutnya, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan olehnya, sama ada –
(a) atas alasan-alasan yang sama seperti mana perintah asal dibuat;
(b) atas alasan-alasan berlainan daripada alasan-alasan atas mana perintah asal dibuat; atau
(c)
sebahagiannya atas alasan-alasan yang sama dan sebahagiannya atas alasan-alasan
yang lain;
Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan dilanjutkan atas alasan-alasan
yang berlainan atau sebahagiannya atas
alasan-alasan yang berlainan, orang yang kepadanya perintah itu berkaitan, hendaklah mempunyai
hak-hak yang sama di bawah seksyen 11 (salinan perintah daripada Menteri dan
hak rayuan kepada Lembaga Penasihat – penyalin) seolah-olah perintah yang
dilanjutkan sebagaimana tersebut dahulu adalah suatu
perintah baru, dan seksyen 12 (1) (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat syor kepada
Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh rayuan diterima atau lebih lanjut
berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong – penyalin) adalah terpakai dengan
sewajarnya.
S. 8 (8) Menteri
dari semasa ke semasa dengan notis bertulis boleh menyampaikan kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah sekatan mengubah,
memotong atau menambah apa-apa sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas orang itu
oleh perintah itu, dan sekatan-sekatan dan
syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan
hendaklah, melainkan terlebih dahulu dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh yang belum tamat yang dinyatakan di
bawah subseksyen (6) atau (7)”.
Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi
yang tidak perlu disebutkan semuanya di sini.
Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, “Mana-mana pegawai polis boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai-
a) bahawa ada alasan-alasan yang akan menjustifikasikan penahanannya di bawah seksyen 8; dan
b)
bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan
apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana
bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada
kehidupan ekonominya.”
S. 73 (2) “Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai
siasatan, boleh menangkap dan menahan tanpa waran
mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal
untuk memuaskan hati pegawai itu mengenai identitinya atau mengenai maksud-maksud dia
berada di tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu mengesyaki
orang itu telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang mendatangkan mudarat
kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau kepada penyenggaraan
perkhidmatan perlu di dalam atau kepada kehidupan ekonominya.”
S. 73 (3) “Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen
ini boleh ditahan selama tempoh tidak lebih
daripada enam puluh hari tanpa suatu perintah
tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.”
Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami
bahawa aktivis reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas alasan-alasan yang sama
seperti alasan arahan penahanan oleh Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah
daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan
Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu “telah bertindak atau hampir
bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada
keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan
yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”
3. Tuduhan militan
Maka Ketua Polis Negara pun memberitahu alasan penahanan
mereka itu ialah kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi jalanan
besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004. Dikatakan ‘bercorak
militan’ kerana kononnya pihak polis mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat
letupan seperti bom dan molotov cocktail. Namun sehingga kini polis belum berupaya menunjukkan kepada
umum barang-barang kes, memaklumkan tempat di mana dan bila mereka membuat pertemuan sulit
itu atau ucapan sulit mereka yang dikatakan ingin mengadakan demonstrasi ‘militan’.
Apabila disoal tentang bukti ‘rancangan jahat’ aktivis reformasi itu di Parlimen,
Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee Heung berkata itu ‘top
secret’ polis, tak boleh ditunjuk atau diberitahu kepada umum.
Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan
bukti tuduhan dianggap sebagai ‘top secret’.
Kalau begitu sesiapa pun boleh ditahan oleh polis dan boleh diarah ditahan oleh Menteri
Dalam Negeri dengan alasan ‘mengancam keselamatan awam’. Bila ditanya apakah bukti
orang itu dituduh mengancam keselamatan awam, pihak berwajib pun menjawab, “itu top
secret polis, tak boleh bagi tau…”.
Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi
oleh wartawan tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum atau semasa penahanan
aktivis itu, jawapan yang diberikan amat tidak bertanggungjawab, “… the
tongue is mightier than weapons…”. (Harakah,
1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang senjata yang boleh dijadikan
bukti kewujudan unsur perjuangan reformasi secara ‘militan’ yang menjadi alasan
penahanan aktivis itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki ialah ‘lidah,’ yang
disifatkan oleh KPN sebagai ‘lebih bahaya daripada senjata’. Jadi mereka ditangkap
kerana berjuang dengan senjata ‘lidah’.
Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi
kesalahan, apabila ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan aliran perdana yang
memerintah. Polis boleh menangkap anda kerana bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik
elit politik negara atas dakwaan membangkitkan perjuangan ‘militan’ dan ‘mengancam
keselamatan negara’. ‘Militan’ tidak lagi merujuk kepada senjata api, bom dan
pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru iaitu ‘senjata lidah yang lebih bahaya
daripada senjata api’.
Ini sudah jadi macam sebuah police state, atau sebuah negara yang mempunyai polis rahsia seperti Israel.
Polis menjadi polis, penyiasat, pendakwa dan hakim dalam satu masa untuk menjatuhkan
hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat atau balai polis). Apa sudah jadi dengan
‘negara Islam’ Malaysia ini? Polis bukan lagi memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi
sudah jadi alat untuk menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak seperti
samseng di bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan.
Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak
boleh dipersoal? Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk mendapat jawapan
tentang alasan sebenar penahanan itu dan bukti bagaimana alasan itu timbul. Polis juga
mendapat kuasa menceroboh tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis persendirian seperti
tindakan ala Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumahnya.
Polis juga telah membuktikan samsengnya di bawah akta ini melalui peristiwa lebam mata
bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa dalam tahanan. Bahkan polis diberi lesen untuk
melepaskan tembakan jika orang yang diperintah untuk ditahan cuba melarikan diri - S. 74
(2) ISA. Ini juga semacam polis rahsia Israel, Mossad.
Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan
undang-undang yang diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen
yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat sejak 1960. Soalnya adakah undang-undang yang
bertentangan semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan, lebih-lebih
lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana dan dikuatkuasakan juga oleh polis
yang bertanggungjawab kepada ‘negara Islam’ Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan
tentang salah laku anggota pemerintah yang tidak dibuktikan proses penyiasatannya oleh
polis, apatah lagi hendak menangkap. Dalam menguatkuasakan undang-undang yang memberi
keuntungan kepada pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas seperti
malaikat yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak sebagaimana yang dirakamkan dalam
sebuah ayat al-Quran yang bermaksud;
“Wahai orang-orang
yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan
bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan, ia dijaga oleh para malaikat yang kasar
lagi keras, sedikit pun tidak mengingkari perintah Allah dan melakukan apa sahaja yang
diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)
Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah
mempertuhankan orang yang memerintah undang-undang draconian itu digunakan, tanpa sebarang bantahan, seperti malaikat yang tidak
membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan sifat itu, tetapi manusia terkeji
apabila bersifat seperti malaikat terhadap manusia lain yang diberi kedudukan seperti
tuhan.
Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan
imej polis di mata masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA akhir-akhir ini, untuk ke
sekian kalinya mempamerkan imej yang buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua
unit polis, kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik dan
cemerlang demi ketenteraman rakyat. Sekiranya apa yang ditulis tentang penahanan ISA kali
ini tidak benar, masyarakat akan menolak mentah-mentah tulisan ini. Saya juga sedar,
dengan menulis rencana ini, bahawa saya terdedah kepada pendakwaan di bawah beberapa akta
reka cipta penjajah (yang dikekalkan oleh rejim UMNO/BN) seperti Akta Hasutan dan Akta ISA
sendiri. Tetapi demi Islam yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi
Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam, saya menggagahkan diri
untuk mencegah kemungkaran ISA setakat kemampuan saya dengan cara ini.
4. Respon media
kerajaan
Pihak kerajaan dan penyokongnya sudah pasti mengatakan
penahanan di bawah ISA ini wajar, dan kesal kerana kerajaan kononnya dituduh mencabul hak
asasi manusia. Para pengampu yang dulu pernah ditahan di bawah akta yang sama pun kali ini
menyokong penuh penahanan lapan aktivis itu sambil memberi kepercayaan kononnya polis
mesti bertindak berlandaskan ‘bukti kukuh’. Ini juga seolah-olah meletakkan pasukan
polis sebagai satu pasukan ‘malaikat’ yang tak pernah silap. Polis buatlah apa sahaja
pun, sudah pasti polis betul, walaupun gagal membuktikan tuduhan ke atas orang yang kena
tahan.
Cuma seorang kolumnis Berita
Harian (edisi 28 April 2001) yang agak rasional dalam kolumnya ‘Bila
Sauh Dilabuh’. Wartawan veteran itu juga pernah diISAkan pada tahun 70-an selama
hampir lima tahun tanpa tuduhan berasas dan sebarang perbicaraan. Beliau berpendapat
bahawa ISA sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menentang suara yang tidak sehaluan,
yang bukan komunis. Pihak yang memangsai beliau pada 70-an itu juga ialah para pemimpin
UMNO, tegasnya. Dan UMNO itu jugalah yang menerkam dan menggigit mangsanya hari ini dengan
kuku dan taring ISA.
Sedangkan inilah satu bentuk kediktatoran (istibdad)
dan perhambaan (isti`bad), apa sahaja yang
dilakukan oleh pihak yang ada kuasa, justifikasinya adalah benar dan betul. Rakyat juga
wajib menerimanya sebagai betul dan adil. Demi Allah, inilah gambaran masyarakat manusia
yang hidup di zaman Firaun dulu. Apa sahaja kata Firaun, maka dia pasti betul. Apa sahaja
tindakan orang suruhan Firaun (al-Quran menamakan mereka sebagai al-Mala’),
maka sudah pasti benar kerana mereka bertindak berasaskan ‘bukti kukuh’ dan ‘sah’
menurut timbangan undang-undang Firaun. Hari ini ISA adalah undang-undang yang sah menurut
pertimbangan ISA yang diwujudkan di zaman ancaman komunis, BUKAN sah menurut perlembagaan
negara, deklarasi hak asasi manusia, apatah lagi menurut prinsip keadilan Islam.
Keangkuhan mereka yang memiliki kuasa amat melampau. Cadangan
sebuah suruhan jaya yang ditubuhkan khas oleh Parlimen untuk memantau kebebasan asasi di
Malaysia (Suhakam) dalam sebuah negara demokrasi dikatakan hanya semata-mata cadangan dan
kerajaan tidak terikat dengan cadangan itu. Ada pula yang mengatakan Suhakam tidak berhak
mempertikai tindakan tidak demokratik orang suruhan kerajaan (polis), kerana kononnya
Suhakam tidak diberi tanggungjawab menjaga keselamatan awam.
Polis pula nampaknya berdolak-dalik. Mula-mula KPN berkata
boleh buat permohonan rasmi untuk bertemu dengan aktivis reformasi yang ditahan itu dan
tiada masalah untuk menimbang permohonan yang mengikut prosedur (Utusan
Malaysia, 13 April 2001). Kini, mahkamah diberitahu bahawa KPN tidak membenarkan
lawatan terhadap tahanan kerana tidak mahu menjejaskan siasatan (Mingguan
Malaysia, 29 April). Apakah jenis siasatan pun kita tak tahu, sehingga nak bertemu dan
melihat sekejap mangsa tahanan pun tak boleh. Apa yang hendak disiasat sehingga perlu
ditahan selama 60 hari tanpa arahan hakim di mahkamah, melainkan pegawai polis itu sendiri
yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman 60 hari penjara. Cuma kita pernah dengar
daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang memberitahu mahkamah bahawa
polis mengamalkan teknik torture (fizikal dan
mental) dan brainwash untuk mengubah pendirian
mangsa kepada pendirian yang sama dengan kehendak polis. Ini dinamakan proses turn-over
atau neutralise. Mungkin ini yang memerlukan masa sehingga 60 hari dan perbuatan
kotor yang tiada peri kemanusiaan ini perlu dirahsiakan daripada pengetahuan awam,
termasuk Suhakam.
Adakah polis memiliki sebarang hak untuk menyekat wakil
Suhakam, ahli keluarga dan doktor daripada bertemu dengan tahanan ISA? Ataupun kerana ada
sesuatu perkara yang hendak disembunyikan? Kemungkinan polis melakukan sesuatu di luar
bidang kuasa dan undang-undang tidak dapat ditolak lagi apabila ada bukti kes mata lebam
angkara perbuatan jahat orang yang berpangkat KPN juga (kini bekas). Jaminan mulut
Timbalan KPN, Datuk Jamil Johari bahawa ‘semua tahanan selamat di bawah jagaan polis dan
tiada siapa yang lebih selamat jagaannya daripada polis’, tidak mudah untuk diterima
begitu saja. Ini memandangkan bekas KPN itu dulu pun bermanis muka di depan orang awam
kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam jagaan polis dengan selamat dan beliau
sihat walafiat. Sedangkan dia baru sahaja selesai memukul mangsa ISA sehingga pengsan dan
lebam mata yang kesan deritanya ditanggung mangsa itu sehingga sekarang. (Sehingga saat
ini diberitakan enam tahanan Isa tersebut telah dibenarkan bertemu anak isteri mereka)
Itulah dia gambaran nasib ‘penjenayah’ yang dihukum
menurut ISA. Kesalahannya ialah memerangi kerajaan dengan senjata ‘lidah’ yang
dianggap lebih bahaya daripada senjata api. Soalnya sekarang, (kalau benar demonstrasi
jalanan mengancam keselamatan), sekiranya salah satu cadangan Suhakam (yang telah
dicadangkan oleh Barisan Alternatif lama sebelum kewujudan Suhakam) diterima pakai, iaitu
berkenaan hak berhimpun di tempat yang terkawal seperti stadium, dewan seperti di PWTC,
tanah lapang hak persendirian dan lain-lain seperti yang dibenarkan kepada perhimpunan
anjuran UMNO/BN, adakah para aktivis reformasi itu akan berarak dan berdemonstrasi lagi di
tengah jalan? Tetapi kerajaan nampaknya tidak berani membenarkan perhimpunan aman di
tempat yang terjamin keamanannya itu dengan menggunakan kuasa polis (tidak mengeluarkan
permit perhimpunan) berbanding kalau perhimpunan itu anjuran UMNO/BN. Bahkan kalau anjuran
UMNO/BN, tiada permit polis pun tidak dikira perhimpunan haram walaupun perhimpunan yang
membakar api perkauman. Jadi perhimpunan yang tiada permit hanya haram untuk BA, tidak
untuk UMNO/BN.
Lebih merimaskan lagi apabila ada orang yang berada di kelas
intelek tetapi telah memberi pandangan yang mencemarkan intelektualismenya dengan mendakwa
Suhakam menyusahkan kerajaan dan memberi pandangan yang sama dengan suara minoriti iaitu
pembangkang (kenyataan seorang menteri luar yang berkelulusan undang-undang). Kenyataan
ini telah membodohkan si penanya dan si penjawab yang mengadakan wawancara yang disiarkan
oleh sebuah akhbar perdana yang tabiatnya menyiarkan berita politik yang meloyakan dengan
perencah pembohongan (seperti mengatakan John R. Mallot dan para pemimpin BA menghadiri
‘pertemuan sulit’ KeADILan di Kuala Lumpur). Para wartawannya pula nampak terlalu
bodoh dan kehingusan tentang undang-undang perlembagaan apabila mengemukakan soalan
(sebenarnya pegangan) di depan Timbalan Pengerusi Suhakam kononnya ‘Suhakam jelas hanya
condong kepada pihak pembangkang sahaja’ dan mendakwa ‘Suhakam sebagai lebih sudu
daripada kuah’. (Lihat Mingguan Malaysia, 29
April 2001)
Namun inilah mentaliti pihak kerajaan dan para penyokong
kerajaan. Mereka seolah-olah telah menelan kepercayaan bahawa kerajaan yang ada hari ini
adalah sebuah kerajaan yang diturunkan dari langit (the
revealed rulers) atau pemimpin kerajaan itu semua telah dilahirkan, bahkan telah
ditakdirkan sejak azali untuk menjadi pemimpin kerajaan Malaysia, bukan menjadi kerajaan
atas dasar pilihan raya demokrasi dan mereka hanyalah wakil-wakil kepada rakyat yang
berkuasa. Oleh itu, rakyat tidak harus membantah atau merentangi arus perdana kerajaan
‘yang diturunkan dari langit’ walaupun kerajaan berada dalam situasi yang salah
(antara kesalahannya ialah mengekalkan ISA yang zalim dan bercanggah dengan nilai keadilan
sejagat). Pihak penyokong kerajaan seolah-olah telah menjadikan diri mereka berfikir
seperti hamba kulit hitam di Eropah yang mempercayai bahawa tuan mereka tidak boleh
dilawan kerena tuan itulah yang memberi mereka makan. Macam mana zalim pun tuan itu, dia
mesti dipatuhi. Kalau tidak si hamba tidak boleh hidup, kerana bekalan makanan hanya
terdapat di tangan si tuan.
Ini sebenarnya satu bentuk pengabdian kepada al-Toghut
(iaitu segala perkara selain Allah s.w.t. yang ditaati tanpa soal), sedangkan setiap rasul
diutuskan kepada setiap umat untuk menghapuskan pengabdian kepada al-Toghut ini. Maksud firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya Kami
telah utuskan rasul bagi setiap umat untuk menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah
dan menjauhi al-Toghut…” (al-Nahl: 36)
5. ISA undang-undang draconian
zaman purba dan pertengahan
Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi
(atau King-Pope) di Eropah terkenal dalam sejarah manusia mengamalkan undang-undang
memaksa rakyatnya tunduk tanpa soal kepada pemerintah, peraturan siapa berkuasa dia pasti
betul. Cuma mereka mungkin tidak mempunyai undang-undang yang bertulis seperti ISA di
Malaysia dan beberapa negara lain.
Pemerintahan campuran King-Pope zaman pertengahan di Eropah (antara 500 – 1500 Masihi) mengamalkan peraturan rakyat wajib mengikut pendapat pemerintah sehingga diwujudkan Court of Inquisition (Mahkamah Pemeriksaan) untuk memastikan rakyat taat tanpa sebarang soal. Sesiapa yang didapati ataupun disyaki mengeluarkan pendapat bertentangan dengan pemerintah akan dihukum bunuh termasuk dibakar hidup-hidup. Ramai saintis dihukum bunuh atau penjara kerana mengeluarkan pendapat baru yang bertentangan dengan arus perdana istana-gereja. Inilah antara faktor yang membangkitkan rakyat melakukan revolusi dan reformasi agama pimpinan Martin Luther pada 1517 untuk menentang pemerintahan istana yang dicorakkan oleh gereja. Akhirnya masyarakat Eropah menukar sistem pemerintahan daripada beraja mutlak (sistem feudal) kepada demokrasi bebas dan daripada beragama di bawah payung gereja kepada sekularisme yang membuang agama acuan gereja.
ISA adalah umpama peraturan yang diamalkan oleh Court
of Inquisition di Eropah dulu. Polis-polis yang menguatkuasakan peraturan ISA itu
adalah sama dengan para Inquisitors yang
merisik, menangkap, mengurung dalam bilik gelap, menyiksa tanpa peri kemanusiaan dan
menafikan hak bertemu keluarga dan membela diri bagi orang tahanan. Penderaan fizikal dan
mental dilakukan selagi tahanan tidak mengaku salah atau berjanji untuk mengubah
pendirian.
Polis Cawangan Khas di Malaysia menamakan proses
pemeriksaan/siasatan Inquisitor ini sebagai
proses neutralise atau turn-over. Hak untuk menangkap tanpa waran diberikan kepada polis hanya
berdasarkan syak, bukan bukti. Tempoh tahanan untuk proses ‘siasatan’ yang sebenarnya neutralise
dan turn-over itu memakan masa sehingga 60 hari
tanpa arahan mahkamah. Tempoh 60 hari itu hakikatnya adalah ‘hukuman’ yang dijatuhkan
oleh polis, bukan tempoh siasatan. Undang-undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang
warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk masa
perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada
kuasa majistret itu (Perkara 5 Fasal 4, Perlembagaan Persekutuan).
Selepas itu Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan supaya
tempoh tahanan disambung maksimum dua tahun-dua tahun jika menteri itu ‘berpuas hati’
bahawa tahanan adalah ‘perlu’ untuk mencegah tindakan yang ‘mengancam keselamatan
negara’. Di sini menteri pula berkuasa menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman penjara,
juga tanpa hak untuk membela diri bagi tertuduh. Ini juga bertentangan dengan Perlembagaan
seperti tersebut di atas.
6. ISA dari perspektif
Islam
Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam.
Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas
rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam
sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa
bicara terhadap yang tertuduh?
Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran,
kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah.
Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili
rakyat ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t.
berfirman maksudnya:
“Wahai orang-orang
yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri (wali,
penjaga, ketua dan pemerintah) di kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat dalam
sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya
kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat…” (al-Nisa’: 59)
Dalam mentaati Ulil
Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil
Amri) itu telah menjadi al-Toghut dan ini
bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36 yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan
ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu
apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi dengan selain Allah dan
Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang berpura-pura beriman di atas kekufuran yang
diselindungi.
Jadi Ulil Amri yang
wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak
mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah
Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu
mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam, maka
tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan
haram mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah hukum
untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran baginda s.a.w.
dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Tiada ketaatan dalam
keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih
Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah
8/39; dan lain-lain)
Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan
perbincangan hukum dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang
membahaskan persoalan ini dalam kitab feqah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan
kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab
tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang
Pemberontak Bersenjata) dalam kitab-kitab feqah.
Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari
ialah Ulil Amri ketika zaman ulama penulis
kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara) Islam
dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan dan pentadbiran
mereka.(Perlu disebutkan bahawa sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah
telah dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924).
Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan
sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada
tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan dua sumber wahyu
Allah s.w.t. itu.
Ulil Amri
umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi menjalankan amanah rakyat
di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang
dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan ‘tugas’ mereka
di tanah jajahan. Antara ‘tugas’ penjajah ialah (1) menyelenggarakan undang-undang di
tanah jajahan berdasarkan restu kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan
anak tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah
‘kemerdekaan’. Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan
(3) meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival
kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. Ulil
Amri kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan petunjuk al-Quran
dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang mencela perundangan Islam yang terhasil daripada
petunjuk wahyu itu.
Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk
mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat al-Nisa’: 59 itu.
Ulil Amri
kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di zaman pemerintahan beraja
dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat
tidak mampu menyoal ‘kenapa?’, apatah lagi untuk berkata ‘tidak!’ terhadap
kehendak pemerintah.
7. Al-Bughah
dalam perundangan Islam
Hukum tentang al-Bughah
(pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat
yang bermaksud:
“Dan sekiranya dua
kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah
satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang
menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan
menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku
saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”
Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah.
Antaranya:
1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang telah
menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka
hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba
menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya
itu.” (Riwayat Muslim)
2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sesiapa yang melihat
sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar.
Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka
matinya adalah mati jahiliyyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Sebaik-baik pemimpin
kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan
mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan
mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata,
“Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan!
Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang
pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu
dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)
4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Akan ada selepasku
para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di
kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku
(Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu
wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu)
menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat
Muslim, al-Bayhaqi dll.)
5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,
“Kami telah membai`ah
Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang
atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin
melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,
“Wahai Abu Dzar,
bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak
membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, “Demi Allah yang mengutuskan tuan
dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku
bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, “Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih
baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.” (Riwayat Imam
Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)
Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan
boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor
(7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri`
al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga
kitab-kitab lain.
Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam
tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata)
seperti di bawah:
1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48)
2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60)
3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj, 8/382)
4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111)
5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla, 11/97,98)
6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331)
Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak
sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah
kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun)
sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah.
Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang
disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira
pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau
definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap
pemerintah secara kekerasan.’ Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi
terhadap jenayah al-Bughah iaitu (1) menentang
pemerintah; (2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata; (3) ada niat melakukan
jenayah.” (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens
rea) (Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami,
2/674)
Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan
penentang pemerintah, barulah mereka dikira
al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus
menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka. Ini berdasarkan ayat
9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang pertama sekali memerintahkan supaya
diadakan perdamaian. Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan,
muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati. Peluang mesti diberikan secara
saksama kepada kedua-dua pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya
satu pihak (pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang merupakan hak
semua rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana,
stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak boleh
diberikan juga kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke atas mereka
dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan
sekatan permit.
Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat
sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan
mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara
aman tanpa senjata, ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah
dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.
Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan
kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq
dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib
mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim.
Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr
al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn
`Abidin (3/430) bahawa “keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat
bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya
adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada
ketaatan melainkan dalam perkara makruf….” (Dr. `Awdah, ibid,
m.s. 675)
Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan
mereka tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan
penyokongnya miliki. Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang
ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang
rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali ialah
kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada negara dengan membuat
tuduhan zina dan liwat tanpa saksi. Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf
pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah,
pemberontak atau penceroboh.
Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam
konteks pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak
rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,
perlembagaan negara dan seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan,
maka ayat itu menyuruh “…jika salah satu
kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang
menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan
menceroboh)…”. Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang
yang mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu pemerintah)
ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah).
Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, “Antara
perkara yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah
memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa
tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi
kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. Selepas itu
barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka wajib kembali taat
(selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah
berhak memerangi mereka…” (ibid, m.s. 679)
Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak
bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah),
maka tindakan aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah
yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:
1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana.
2. Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan penyelewengan pemerintah.
3. Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah berpuluh tahun dinasihati.
4.
Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman dan
penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan memenjarakan rakyat
yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan itu.
Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan dalam syariah Islam, maka perbuatan
‘agamawan’ UMNO (tidak sesuai untuk dinamakan ulama) menggunakan nas-nas hadis tentang
hukuman al-Bughah seperti di atas adalah satu
perbuatan menyelewengkan amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di atas nama
Islam.
Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi
WanTeh, Mustafa Taib dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap menggunakan hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn `Abbas r.a. yang bermaksud “Sesiapa
yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia
bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia
mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.”
“Sesuatu perkara yang
tidak disukai…” itu ditafsirkan oleh
agamawan-agamawan terbabit sebagai semua perkara yang tidak disukai rakyat termasuk
perkara maksiat dan kezaliman pemerintah. Menurut mereka, rakyat tidak harus sama sekali
menentang pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja.
Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan
ini dilakukan mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau cuai tentang hadis
lain yang mengkhususkan hadis ini, walaupun mereka tidak akan mengaku kejahilan mereka.
Kalau benar mereka tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan mereka mengetahui
serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka telah melakukan kesalahan yang besar
iaitu menjual agama Allah s.w.t. dengan dunia yang sedikit.
Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal
menyelaraskan hadis yang membawa makna umum di atas dengan hadis yang mengkhususkan makna
umum itu. Ajaran mereka itu menyebabkan berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih.
Cuba kita lihat satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan hadis
daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan penyelarasan antara hadis yang umum
dengan hadis yang khusus. Hadis itu ialah yang bermaksud;
“Sesiapa di antara
kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, kalau tidak
mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, yang demikian itu (cegah dengan rasa
benci di hati) adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim daripada Abu Sa`id
al-Khudri)
Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua
perkara yang bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda menyuruh sesiapa
yang melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa yang melakukan kemungkaran itu) hendaklah
dia mencegahnya setakat kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) atau lidah atau
hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. Adakah mungkin baginda
menyongsang ajaran baginda sendiri dengan menyuruh supaya bersabar sahaja terhadap
kemungkaran pemerintah sehingga mengkritik (mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak
mungkin!
Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna “sesuatu
perkara yang tidak disukai…” dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu khusus untuk
perkara-perkara yang bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan
seseorang pemerintah itu. Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang
sudah pasti rakyat yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan lisdah dan
hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih yang lain yang bermaksud;
“Dengar dan taatlah,
walaupun pemerintah yang dilantik ke atas kamu merupakan seorang hamba kulit hitam yang
kepalanya berbentuk seperti sebiji anggur.” (Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin
Malik)
Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan
dengan “sesuatu perkara yang tidak disukai…”
dalam hadis Ibn `Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara yang tidak disukai oleh rakyat tetapi
bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis Ibn `Abbas itu ialah hadis umum yang makna sebenar
hanya boleh difahami secara betul setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut.
Kalau tidak dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu Sa`id al-Khudri pula.
Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna
antara dua atau lebih nas yang sahih sebegini dipanggil al-ta`arudh. Masalah Al-ta`arudh ini
mesti diungkai supaya semua nas yang sahih dapat diamalkan (ma’mul
bihi)dan tiada mana-mana nas sahih yang terabai (muhmal).
Tidak menjadi masalah kalau nas yang bercaggah itu adalah antara yang sahih dengan yang
dhaif, kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. Tetapi jika kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas orang
yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih. Soalnya, bagaimana hendak
beramal jika antara kedua-duanya ada percanggahan? Inilah yang perlu diselesaikan secara
penyelarasan atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas itu, iaitu nas yang umum dihimpunkan bersama nas yang
khusus lalu dikeluarkan makna yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid
syar`iyyah)
Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam
terhadap ilmu Usul al-Fiqh sebelum berhujah
dengan mana-mana nas. Jika tidak, seseorang itu akan dilihat terumbang-ambing bila
dibacakan nas lain yang bercanggah dengan maksud umum yang tidak dikehendaki dalam
syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO tidak stabil bila berhujah dan lebih suka
berucap secara sehala kerana tidak berani menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada
soal-jawab pun, jawapannya dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si
penyoal.
Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan perkara-perkara di bawah:
i. Para aktivis dan penyokong gerakan reformasi yang berhimpun untuk membantah kezaliman dan penyelewengan kerajaan tidak boleh dikira sebagai pemberontak atau perusuh (al-Bughah) kerana mereka hanya menyuarakan pandangan yang lain daripada pihak kerajaan secara aman.
ii. Menggunakan hadis-hadis yang berkenaan hukum al-Bughah ke atas mereka seperti yang dilakukan oleh agamawan UMNO adalah perbuatan cuba menyelewengkan nas-nas agama untuk kepentingan pemerintah dengan balasan keduniaan.
iii. Penggunaan polis FRU untuk memukul, menendang, memancut air gatal terhadap penyokong reformasi dan penggunaan ISA untuk menceroboh rumah, menggeledah, merampas harta benda, menangkap tanpa waran dan menahan mereka tanpa bicara adalah tidak sah dan bertentangan dengan Islam. Dengan melakukan tindakan sedemikian polis telah memperhambakan diri kepada manusia yang melanggar perintah Allah s.w.t.
iv. Undang-undang draconian seperti ISA, Akta Hasutan dan seumpamanya (yang memelihara kepentingan pemerintah, bukan rakyat) adalah batil dan bercanggah dengan Islam serta haram mempertahankannya. Undang-undang seumpama itu hanya diamalkan ketika pemerintahan beraja berkuku besi zaman sebelum Islam dan juga zaman pertengahan di Eropah.
v. Menentang ISA (yang merupakan antara peraturan penjajah yang dikekalkan oleh UMNO/BN) adalah kewajipan setiap orang yang mengaku muslim dan setiap orang yang percayakan prinsip keadilan sejagat.
vi. Tidak harus rakyat menolong pemerintah yang zalim untuk menundukkan sekumpulan rakyat yang menentang kezaliman itu kerana itu bermakna tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan, bahkan menurut mazhab Malik, adalah wajib rakyat menolong penentang kerajaan yang zalim. (Syarhu al-Zurqani, 8/60)
Pelancaran Anti-ISA
Movement (AIM) oleh Barisan Alternatif dan NGO adalah ditunggu-tunggu oleh rakyat
Malaysia. Semoga dengan munculnya gerakan seperti ini, rakyat akan sentiasa ingat
kezaliman dan penderaan yang dialami oleh mangsa ISA, seterusnya membangkitkan semangat
membenci dan menentang dalam jiwa mereka dan mereka tidak mudah lupa peristiwa lagi.
Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan
rencana ini. Janji untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari hanya terlaksana setelah
sebulan berlalu, disebabkan halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah sahaja
sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga ahli keluarga mereka
yang saya ibaratkan sebagai ‘seberat-berat mata memandang berat lagi bahu yang
memikul’.
Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.
20 Safar 1422 (14/5/2001)
Bilangan pembaca: