Close Look At Nathan's Judgement 
(http://www.geocities.com/seachange_2000/Archive/k9_nathan.htm)

Menjenguk Corak Penghakiman Nathan

Oleh : Kim Quek
Terjemahan : SPAR 09

Hakim R.K.Nathan telah membenarkan satu injuksi dikeluarkan bagi menghalang Majlis Peguam dari mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasa, berdasarkan bantahan awal dari dirinya sendiri, tanpa menunggu pihak yang menuduh sendiri membuat permohonan.

Adapun alasan ke atas tindakan yang diambilnya itu adalah Majlis Peguam tidak mendapatkan pengesahan dari Menteri Rais Yatim terhadap pertuduhan yang dibuat ke atas Ketua Hakim Negara Eusoff. Merujuk kepada bahagian kesimpulan penghakiman Nathan:

“ Pada fikiran saya, tidak ada sebarang sebab untuk mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasa terhadap pertuduhan yang dikenakan kepada seseorang yang tidak pun ditanya bagi mengesahkan kebenarannya. Maka tidak perlu untuk saya meminta pihak yang menuduh membuat sebarang permohonan untuk itu. Dengan satu isu awalan yang paling asas ini, saya tidak berpuas hati dengan tertuduh yang pertama. Oleh itu saya memberikan pihak yang menuduh satu perintah injuksi terhadap yang tertuduh dari meneruskan rancangan untuk mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasanya yang telah pun ditetapkan pada 23/6/2000.”

Oleh kerana Nathan telah menggunakan pertuduhan yang dibuat oleh Rais Yatim ke atas Eusoff sebagai isu utama di dalam penghakimannya, mari kita lihat apakah pertuduhan yang telah dibuat oleh Rais Yatim itu :

Merujuk kepada gambar-gambar yang menunjukkan Eusoff dan Lingam bersama-sama berada di New Zealand, Rais telah membuat kritikan di dalam satu temuramah radio pada 29hb.Mei bahawa perlakuan Eusoff itu adalah tidak wajar.

Sebagai menjawab kritikan Rais itu, di dalam satu sidang akhbar pada 6hb. Jun Eusoff telah menolak pendapat bahawa perbuatannya bergambar bersama Lingam itu sebagai tidak wajar. Beliau memberi penjelasan bahawa beliau sebenarnya telah terserempak secara tidak sengaja dengan Lingam di New Zealand, semasa dalam perjalanan untuk ke zoo, dan sebagai menghargai Lingam beliau telah bersetuju untuk bergambar bersama-samanya.

Kemudian segala butir-butir yang sangat jelas tentang kegiatan keluarga-keluarga Eusoff dan Lingam yang mengembara dan bercuti bersama-sama ke New Zealand muncul di dalam Internet dan akhbar. Butir-butir itu termasuklah jadual perjalanan, nama anak-anak yang bercuti bersama-sama, tiket kapal terbang pergi-balik, aktiviti-aktiviti di pelbagai destinasi pelancongan dan lain-lain lagi. Semua ini mula-mula sekali muncul di pelbagai laman web pada 9hb.Jun, dan kemudian di Journal Asian Wall Street dan Malaysiakini.com pada 14hb.Jun. Malaysiakini mendapatkan sumber maklumatnya dari hasil siasatan penyiasat persendirian dari U.K , Bowman, yang  diupah oleh syarikat insuran dan firma perundangan untuk mendedahkan penyelewengan dan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku di dalam badan kehakiman Malaysia yang berkaitan dengan satu kes perbicaraan mahkamah.

Pendedahan yang terperinci ini telah secara langsung membuktikan perkara yang bertentangan dengan apa yang disebut oleh Eusoff sebagai satu pertemuan yang tidak disengajakan di antara beliau dengan Lingam, dan ini mengesahkan bahawa Ketua Hakim Negara itu telah berbohong secara terbuka kepada  negara semata-mata untuk menyembunyikan perlakuan tidak wajar yang telah dilakukan oleh dirinya sendiri. Lebih teruk lagi, ia boleh membawa kepada timbulnya lebih banyak keraguan tentang kemungkinan terdapat kesalahan-kesalahan yang lebih besar , memandangkan seseorang yang berstatus tinggi seperti Ketua Hakim Negara tidak mungkin terpaksa berbohong sedemikian rupa kepada negara, kecuali ianya bertujuan untuk menyembunyikan perbuatan-perbuatan salah yang lebih serius dari hanya aktiviti sosial yang tidak wajar.

Pengerusi DAP dan lain-lain pemimpin pembangkang telah berulangkali menggesa Eusoff supaya menyuarakan pendiriannya terhadap pendedahan-pendedahan terbaru yang memeranjatkan ini, yang secara jelas amat bertentangan dengan kenyataan media yang dibuat oleh Eusoff pada 6hb.Jun. Eusoff tidak pun menyahut gesaan-gesaan itu, bahkan tidak langsung membuat sebarang kenyataan untuk memperjelaskan kedudukannya.

Setelah melihat kepada tuduhan yang dibuat oleh Rais Yatim dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya, mari kita lihat pula bagaimana Nathan menguruskan isu ini.

Nathan mengatakan bahawa berbagai-bagai laporan akhbar yang dikemukakan oleh Majlis Peguam sebagai bahan bukti adalah “tidak boleh diterima” kerana semua itu tergolong sebagai bukti “khabar angin”. Mendengarkan itu, peguambela Ariff Yusof menyebut bahawa bukti khabar angin di dalam satu affidavit seperti ini telah diterima di bawah Perintah 41, peraturan 5(2) dari Peraturan-Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 dengan merujuk kepada kes Wee Choo Keong melawan MBF Holdings Bhd & Rayuan Anor & Anor (1995) sebagai penguatkuasaan kepada peraturan tersebut.

Namun, Nathan telah menegaskan bahawa di dalam perbicaraan kes di Mahkamah Agong seperti yang disebutkan di atas, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Chong Siew Fai, walaupun telah bersetuju bahawa  bukti khabar angin di bawah Perintah 41, peraturan 5(2) dari Peraturan-Peraturan Mahkamah Agong itu adalah diterima, telah membenarkannya dengan mengatakan “Mahkamah perlu memastikan bahawa tiada ketidakadilan berlaku dengan penerimaannya.” Nathan memberitahu di dalam penghakimannya “Saya dengan hati yang terbuka menerima pandangan ini. Adalah satu ketidakadilan yang nyata buat Datuk Dr. Rais Yatim, Ketua Hakim dan yang lain-lainnya  yang dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan seperti yang dikemukakan oleh pihak tertuduh, seandainya mereka menafikan pernah melakukan perbuatan sedemikian.”

Pertama sekali, adalah salah bagi Nathan untuk mengguna pakai apa yang dikatakan oleh Hakim Chong tentang penerimaan bukti khabar angin di dalam kes perbicaraan ini, kerana kedua-dua kes perbicaraan itu adalah berbeza sama sekali. Perbicaraan kes yang dihakimi oleh Chong di Mahkamah Agong adalah mengenai pengesahan bersalah pihak tertuduh, sedangkan kes yang diadili oleh Nathan sekarang adalah untuk memutuskan sama ada Mesyuarat Agong Luar Biasa Majlis Peguam itu boleh dihalang atau tidak. Maka, kayu pengukur yang digunakan oleh Chong adalah untuk memastikan penerimaan sesuatu bukti, sama ada khabar angin atau sebaliknya, tidak boleh diguna pakai secara keseluruhannya oleh Nathan untuk kes perbicaraannya. Nathan hanya boleh berbuat demikian sekiranya mahkamahnya itu adalah untuk mendengar dakwaan ke atas Eusoff. Oleh itu adalah salah bagi Nathan untuk mengatakan bahawa laporan-laporan akhbar tersebut tidak boleh diterima.

Perkara yang kedua, mengapa pula Nathan boleh mengatakan di dalam kenyataannya bahawa “Adalah satu ketidakadilan yang nyata buat Rais, Eusoff dan lain-lain itu sekiranya mereka menafikan pernah membuat kenyataan seperti yang dikemukakan oleh Majlis Peguam?” Seandainya Rais dan Eusoff menafikan yang mereka pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan tersebut kepada pihak akhbar, apakah yang dimaksudkan dengannya ? Bolehkah mahkamah memastikan bahawa Rais dan Eusoff telah bercakap benar, iaitu mereka benar dan pihak akhbar yang bersalah? Jika tidak, mengapa Nathan boleh menyebut “ketidakadilan yang nyata” akan berlaku ke atas mereka? Dan seandainya Rais dan Eusoff tidak menafikan laporan-laporan akhbar itu, yang besar kemungkinan akan berlaku demikian (mereka tentu akan menafikannya sedari dulu lagi jika mereka tidak pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan itu), maka apa akan terjadi kepada penghakiman Nathan?

Soalan-soalan yang dikeluarkan sepatutnya hanya memperlihatkan keperluan untuk memulakan pertanyaan-pertanyaan yang sewajarnya, bukan untuk terus menghentikannya. Seperti yang diketahui, nama baik Eusoff sudah pun teruk tercemar, apatah lagi jika beliau hanya mendiamkan diri. Jika beliau tidak bersalah, soal siasat akan membersihkan namanya kembali, bukan untuk mengalahkan beliau dengan teruk. Dengan menyebut “Ketidakadilan yang nyata,” Nathan dengan jelas sekali telah membuat satu kesimpulan bahawa Majlis Peguam sedang mengambil langkah untuk mengenakan Eusoff. Hakikatnya adalah Majlis Peguam hanya memanggil satu mesyuarat untuk membincangkan sama ada satu tribunal diperlukan atau tidak.

Sikap Nathan yang terlalu bergantung kepada ketiadaan pengesahan dari Rais sebagai asas kepada penghakimannya, dan kegagalannya untuk memberikan perhatian kepada keadaan-keadaan yang berkaitan dengan isu Eusoff dan kepada matlamat Mesyuarat Agong Luar Biasa Majlis Peguam itu, telah menjadikan penghakimannya itu seperti yang berasaskan teknikal semata-mata, dan menimbulkan persoalan terhadap tujuan ia berbuat demikian. Malahan asas teknikal itu juga adalah salah.

Adakah boleh diterima tindakan Nathan yang membuang keseluruhan kes pihak tertuduh hanya kerana Majlis Peguam tidak mendapatkan pengesahan dari Rais? Adakah perkara itu begitu penting sekali? Bagaimana dengan laporan-laporan yang banyak dikeluarkan oleh Rais kepada pihak akhbar, terutama kenyataan yang dikeluarkan selepas jawapanbalas Eusoff pada 6hb.Jun, semasa Eusoff menafikan tuduhan dan memperkecil-kecilkan Rais sebagai tindakan balas? Tidak pernah sekali pun Rais menyentuh tentang laporan-laporan akhbar mahupun internet yang tidak tepat. Bahkan Eusof juga tidak pernah membetulkan mana-mana laporan yang telah dikeluarkan oleh pihak akhbar.

Kenyataan-kenyataan yang penting adalah kritikan Rais terhadap Eusoff di Australia pada 29hb.Mei dan jawapan tajam dari Eusoff pada 6hb.Jun. Jika terdapat bahan-bahan yang tidak tepat di dalam laporan-laporan akhbar mengenai kritikan Rais pada 29hb.Mei, maka jawapan balas dari Eusoff pada 6hb.Jun itu telah tersalah tuju. Dan itu sudah tentu akan mencetuskan penjelasan segera dari Rais, memandangkan pertelagahan mereka berdua hanyalah disebabkan salah faham yang timbul dari laporan-laporan akhbar yang salah. Dan seterusnya Eusoff juga sudah tentu akan mengeluarkan kenyataan balas sebagai menjernihkan kembali kedudukannya sebelum itu. Namun tidak satupun dari yang disebutkan ini telah berlaku.

Satu perkara yang penting telah dikenal pasti iaitu Eusoff telah mengakui bahawa gambar-gambar yang diambil itu adalah benar. Apa yang dipertikaikan olehnya adalah tentang keadaan pertemuannya dengan Lingam. Isu yang sangat penting untuk diberi perhatian adalah : Adakah Eusoff sememangnya bercuti bersama-sama Lingam di New Zealand atau pertemuan itu hanya satu kebetulan? Bukti-bukti yang didedahkan di akhbar-akhbar lebih menunjukkan perkara yang pertama itu.

Apakah Nathan telah memikirkan segala kemungkinan ini?

Keadaan-keadaan yang berkaitan dengan kes ini tidak dapat lari dari membayangkan bahawa wujudnya satu skandal yang membabitkan Ketua Hakim yang memerlukan soal siasat yang sewajarnya, sama ada dengan atau tanpa pengesahan Rais tentang laporan-laporan akhbar itu. Nathan telah melakukan kesilapan dengan menolak terus kes pihak tertuduh berdasarkan hanya kepada ketiadaan pengesahan dari Rais, terutamanya apabila isu pokok perbicaraan bukanlah berkenaan kesalahan Eusoff, tetapi berkenaan Permohonan untuk menghalang Majlis Peguam dari mengadakan satu mesyuarat. Hanya dalam keadaan-keadaan yang serius, bukan seperti aspek teknikal itu, akan membolehkan  Mahkamah untuk menghalang Majlis Peguam dari mengadakan Mesyuarat Agong Luar Biasanya.

Bilangan pembaca: orang