KWSP (EPF) Yang Kering  Kontang
Is  The  EPF   Drained  Dry

- Harun  Rashid

Bercakap benar   memang banyak pahalanya, kerana itu  ia menjadi  tingkah laku yang mulia.  Antara   kebaikannya  ialah  mengelak kerja-kerja  sukar   untuk merencana sesuatu  pembohongan. Sesuatu  pembohongan  yang mungkin  nampak menyelerakan mempunyai  ciri-ciri meleket yang mesti  diulang-ulang  tanpa menyimpang. Inilah yang menyulitkan  kerja mempertahankan pembohongan  itu, agar  tidak dikesan   akan  kepalsuannya.  Jika berlaku juga,  pembohongan itu perlu  dipinda ataupun si  pembohong perlu  lari keluar negara.   Kebanyakan kanak-kanak apabila mencapai  usia dua  belas  tahun  mengenepikan ciri-ciri bercakap  bohong itu  untuk mula bercakap benar  Hanya  ahli  politik  Malaysia yang sengaja tidak   terbabit  dalam golongan   seperti  itu; kerana    mereka terus   mahu  menipu.

Parti yang berkuasa di  Malaysia memang terkenal  kerana barisan  tukang bohongnya. Walaupun  ramai bilangan mereka, kepintaran berbohong adalah tidak seberapa  sebenarnya.   Keahlian   dalam  gagasan BN   selalunya  dianggap sebagai   tauliah memulakan  kerja-kerja  yang penuh  kepalsuan.  Pembohongan dan  kerja-kerja mempertahankannya  adalah  dasar yang  utama. Pemilihan dan keutamaan  terhadap  pembohongan itu   membezakan  para  menteri  dengan para pegawai kerajaan, yang  mencari   pangkat  dan   peluang  dengan menyediakan pakar terlatih  untuk bersekongkol berdolak-dalih.  Para  menteri  tidak dibenarkan tersenyum ataupun tertawa ketika berbohong secara  bersahaja.  Begitu juga  dengan  para  pendengarnya. Inilah  yang membuatkan  dunia luar geleng kepala.

Politikus  Malaysia  yang berkuasa telah membahagikan pembohongan itu dalam dua bentuk  yang bergaya. Ada pembohongan berbentuk  terbuka, yang  disahajakan intipatinya  sehingga diulang-ulang oleh pihak media  dan  diulang-cakap laksana belatuk sedang bercinta. Ada  pula  pembohongan berbentuk  kiasan yang  tersebar  laksana  api  dalam  sekam.  Politikus  yang  merangkap  lanun-lanun terhormat  di  Malaysia  ini memang  pintar dengan  pembohongan  berkias  itu sehingga  berjaya  menonjolkan seorang  wira dunia  ketiga . Inilah  kejayaan paling besar bahana  pembohongan    secara  rahsia  itu  sehinggakan  para politikus  menjadi megah  dengan   apa  yang  dianggap satu kejayaan menipu yang amat  mega.

Halangan terbesar  daripada pembohongan   berkias  itu  sehingga  menggelapkan kilauannya  berputik  daripada     kemunculan sepupunya  yang  bernama Si-Ingin-Tahu yang amat gemar mencetuskan  keraguan dan spekulasi. Keadaan ini amat bertepatan dengan  apa yang menghantui  KWSP (Kumpulan  Simpanan  Wang Pekerja:  EPF)  yang kini  menjadi  halaman  untuk  segala  bentuk   kacau-bilau sengaja  dibiarkan  tersebar secara melilau.

Sikap  MTUC sudah  mengecewakan rakyat  marhaen  kerana bertindak menunda tarikh  mahu  berpiket   secara aman seolah-olah mahu  bermain-main. MTUC mengalah kepada  kerajaan  yang  menjanjikan  satu penyelesaian  kepada  segala tuntutannya.  Tetapi, sejak  dulu lagi  kerajaan tidak pernah  mengemukakan  penyata terperinci   KWSP  itu  walaupun  perdana  menteri menjanjikannya begitu. Alasannya  adalah  amat  mudah  sekali; wang ataupun  dana yang dikatakan  masih  ada  itu sudah  pun lama menghilangkan diri. Perkara ini bukannya  masalah  sembarangan  kerana  itu  segala  tindakan  menudung bangkainya  terpaksa  terus    diusahakan.

Untuk  memudahkan kerja-kerja  itu, ketua  EPF  baru  sahaja diganti  dengan seorang lagi khadam kerajaan,  yang  dipilih  dengan  secara  teruji  untuk menentukan rakyat  marhaen  akan  terus  kelabu  mata.  Rakyat marhaen  mesti  disonglap  matanya  agar  tidak  dapat  melihat  isi  gua yang kering  kontang kerana  dibalun empat puluh  penyangak  yang  lahapnya  laksana jembalang.

MTUC   sepatutnya  melakonkan peranan Ali  Baba dengan kunci kata “Semar Inseng” untuk  memulakan   perkiraan  yang  dirancangkan. Tetapi  tidak, kerana pengumuman  tertundanya  majlis  itu berasaskan  janji-manis  perdana  menteri yang  memberi  jaminan   perkara    itu  akan  dikaji.  MTUC   telah  termakan  umpan  yang  dihulurkan dan menodai semangat  kesatuan sekerja  yang  mahukan kerajaan bersikap mulia. Inilah  caranya  anyaman  pembohongan  itu  dikiaskan secara bersahaja menangguhkan  tindakan  segera  dengan  janji-janji  yang tidak  bermakna.

Bukan sahaja  EPF yang  mencetuskan keraguan. Keseluruhan kementerian kewangan pun  terlibat juga.  Segala dana yang diuruskannya  adalah  tulang belakang negara.  Segala syarikat  mega  yang  diuruskannya  adalah  gambaran ekonomi negara.  Sayang, semua  itu  tidak pernah mengeluarkan lapuran suku tahunannya, dan tidak ada  sebarang  penyata  menunjukkan  betapa  sihatkah    ekonomi negara.

Menteri  Kewangan   tiba-tiba  menghilangkan  diri (kerana bercuti –penterjemah). Inilah  yang  mencuit keraguan betapa   buku  penyata akaun penuh dengan  angka yang merah warnanya.  Dengan ghaibnya  menteri itu menteri nombor  dua  dan  ketiga  yang  memberikan  jawapan  yang  diperlukan. Tetapi, angka  yang  diminati itu  tidak pula  ditunjukkan.  Mereka tegak berdiri di hadapan  peti besi mega  yang  sudah tidak berisi. Sesiapa yang mahu  melihatnya sengaja dihalang,  sambil menuding jari ke  arah  mereka  yang berminat mengetahui  ceritanya  dengan   bertegas  bahawa  semua itu  adalah  rahsia kerana  menjaga  keselamatan  negara.  Kalau  ada  pun  penilaian yang perlu dilakukan, ia   mesti  datang  daripada  mereka  yang namanya  memang disenaraikan.

Pelbagai  soalan yang  sulit-sulit  terus  kekal tidak  terjawab. Kenapakah bon-bon yang  mahu  digunakan untuk membayar  hutang  system LRT  (Light  Rail Transit) tidak  dapat  dijual?  Apakah  disebabkan  maruah  kerajaan  yang  ada  sudah begitu  tercemar sehinggakan  EPF  pun  segan  membeli  dan  menjamah bon-bon  kerajaan?  Apakah  alasannya  diperlekehkan sahaja  segala  tuduhan korupsi  yang  berjela-jela panjangnya  yang  menghala  ke  arah  pejabat menteri  kewangan? Kenapakah  kemelut  penipuan  bon palsu bernilai RM5 bilion dulu yang  dikeluarkan oleh sebuah agensi  kerajaan  sengaja dipengapkan? Apakah  dana  itu  sudah ghaib  juga?  Benarkah  Rancangan  Malaysia kedelapan  hanya  satu  lakonan menunjukkan masih  banyak  lagi  simpanan  dana kerajaan?

Banyak  lagi  soalan yang boleh  menjadikan  satu buku  tebalnya. Semua itu dianggap  tidak relevan mengikut hakim badut  yang menghisap  gula-gula. Kementerian pertahanan  kerap  berada di awang-awang,  mencari jalan membeli jet-jet pejuang; dan kerap   terumbang-ambing di lautan  mencari jalan membeli kapal selam yang teknologinya ketinggalan zaman.   Mereka masih  tidak  mampu meyakinkan  sesiapa   untuk membeli  segala kelengkapan  itu  dengan bertukar niaga  dengan  minyak  sawit  negara. Rakyat  marhaen   memang  sudah membaca unsur-unsur songlapan  dalam  pertukaran  niaga  semacam itu. Begitu   juga dengan  usaha  memperteguhkan  kelengkapan  pertahanan  bukan disebabkan  musuh negara  tetapi  disebabkan  rakyat  marhaen    sahaja.

Sumber asli  negara  yang  sepatutnya  menjadi  warisan bangsa  kini digunakan untuk  menekan  rakyat jelata.  Lebih ramai anggota polis  dan  tentera,  lebih banyak  kereta perisai  perlu dibelanjakan  untuk mengganyang   rakyat  yang mahu bertindak mengembalikan  demokrasi.  Akan  dibina lebih  banyak penjara lagi,  lebih ramai   pegawainya  akan  dicari  dan lebih ramai banduan  akan diisi di  kamar berjeriji  besi.  Semua ini  adalah  satu  usaha  yang  amat sukar semata-mata mahu  mempertahankan  pembohongan yang  besar-besar.

Masih  ada caranya  mengembalikan keyakinan  untuk  menyegarkan  pasaran bon agar  pulih  semula.  Mulakan dengan  berkata benar.  Itu bukannya  kerja  yang sukar. Biarkan   pengauditan  bebas  dilaksanakan oleh orang luar. Lakukan kepada kementerian  kewangan dulu. Di  waktu yang  sama  hentikan  segala pemikiran haprak berbelanja  besar  membeli kelengkapan tentera   dan hentikan segala  projek mega  yang  ada.

Kalaulah  KWSP  dan banyak  dana yang  lain  didapati kerugian disebabkan kegagalan pengurusan,  eloklah bertindak membetulkan keadaan.  Kalaulah  dana itu  sengaja  dihamburkan  untuk  tujuan berpolitik, mereka yang bertanggungjawab  harus  diketepikan  untuk menyekat pembohongan  yang berlanjutan.   Kalau  ada kemungkinan  dilakukan  penyelamatan, betapa sedikitpun,   lakukan  secara  terang-terangan.  Kalau para  politikus  sudah berbohong selama ini, marilah  kita  dapatkan cerita  yang  sebenarnya daripada mereka  semua.

harunrashid@yqi.com 

Diterjemahkan   oleh   SPAR   05. 

Bilangan pembaca orang