Father of Dogs gets Two Months

(http://www.geocities.com/seachange_2000/father_dogs.htm)

Bapak Anjing Kena Dua Bulan

Oleh : Tsu Nam
Terjemahan : SPAR 09

Tindakan memukul Anwar Ibrahim semasa di penjara adalah satu perbuatan yang bacul. Sebelum menghentam Anwar Ibrahim dengan teruknya di bahagian kepala dan leher, Rahim Noor, Ketua Polis Negara, telah mengisyaratkan agar beliau digari dan ditutup kedua-dua belah matanya. Jika tidak kerana dihalang oleh beberapa orang pegawai, Anwar mungkin hanya tinggal nyawa-nyawa ikan. Kemudian para doktor yang memberikan keterangan di mahkamah mengatakan bahawa kecederaannya sangat serius dan boleh membawa maut. Sungguhpun demikian, orang yang tercedera itu, walaupun di dalam kesakitan yang amat sangat, telah dinafikan untuk mendapat rawatan selama empat hari selepas kejadian tersebut.

Jelas kelihatan Rahim Noor tidak sedikitpun menyesal di atas tindakannya itu. Sebaik sahaja selepas penganiayaan itu, beliau meyakinkan orang awam bahawa Anwar di dalam keadaan sihat. Beliau tidak memberikan kerjasama terhadap penyiasatan polis yang ternyata tidak bersungguh-sungguh itu, biarpun mengakui bahawa Anwar telah dipukul di dalam penjara, terus membuat kesimpulan bahawa penyerang yang bertanggungjawab itu tidak dapat dikenal pasti. Ini langsung tidak dapat diterima oleh akal kerana Bukit Aman yang menjadi penjara buat Anwar Ibrahim selepas ditahan, merupakan sebuah penjara yang mempunyai kawalan keselamatan yang paling ketat. Biarpun tidak berasas, peguam negara yang menjijikkan, Mokhtar Abdullah, telah memeram laporan polis itu sehingga berbulan-bulan tanpa mengumumkannya. Kemudian apabila beliau membuat beberapa pengumuman terbuka mengenai sebahagian dari isi kandungannya, beliau cuba untuk mengecilkan tahap kecederaan sebenar Anwar Ibrahim, menggunakan khidmat doktor yang lain untuk memberikan pandangan kedua yang dapat membayangkan bahawa kecederaan tersebut tidaklah seserius seperti yang disebutkan di dalam laporan perubatan yang telah dilakukan secara terus sebelum itu. Rahim Noor telah meletakkan jawatannya biarpun tiada sebarang pengakuan tentang salah laku dibuat pada peringkat itu. Selepas mendapat bantahan dari orang ramai, satu Suruhanjaya Diraja telah dibentuk bagi menyiasat kes tersebut. Menyedari beliau telah terperangkap, Rahim Noor tiada pilihan lain selain dari membuat pengakuan. Namun beliau mendakwa bahawa Anwar telah membangkitkan kemarahannya dengan memanggil beliau sebagai “Bapak Anjing”, satu kenyataan yang tidak pernah ditimbulkan oleh mana-mana pegawai polis yang telah pun memberikan keterangan sebelum ini.

Maka, tidak ada sebab untuk bertolak-ansur di dalam pengendalian kes Rahim Noor. Tetapi, semenjak dari hari beliau didakwa, pemukul bacul itu telah dilayan seperti banduan kehormat. Malah semasa didakwa di mahkamah pada awal tahun 1999, beliau tidak pun diarahkan untuk berdiri di kandang tertuduh, sebaliknya dibenarkan duduk sahaja di kerusi dalam mahkamah tersebut. Kesalahannya menyebabkan kecederaan yang amat serius hanya membawa hukuman maksima penjara tiga setengah tahun. Tuan hakim melepaskannya tanpa dikenakan sebarang ikat jamin dan perbicaraan kesnya telah ditangguhkan sebegitu lama sehingga bulan Mac 2000.

Apabila beliau akhirnya dibicarakan di mahkamah, peguam negara telah membenarkan pertuduhan diringankan sehingga kepada “menyebabkan kecederaan” yang membawa hukuman maksima penjara satu tahun dan denda sebanyak RM2000. Kemudian, pada hari yang diselubungi oleh kebencian dan kekecewaan, rakyat Malaysia mendapat tahu bahawa Rahim Noor, yang telah mengaku bersalah, telah dikenakan hukuman hanya dua bulan penjara dan denda sebanyak RM2000. Orang yang tertuduh telah dibenarkan menikmati kebebasan sementara peguam-peguamnya mengemukakan rayuan terhadap hukuman yang dikatakan “terlalu berat” itu,  bolehkah anda percaya?

Sungguhpun hukuman yang dijatuhkan adalah sangat ringan dan menjadi cemuhan, hakim yang mengendalikan perbicaraan itu telah mengumpamakan kes tersebut sebagai sesuatu yang perlu diteladani : “kes ini patut menjadi pengajaran bukan sahaja kepadanya tetapi juga kepada mereka yang tidak menghiraukan undang-undang…” begitulah khutbahnya sedangkan beliau sepatutnya memberitahu hakikat yang sebenar di mana terdapat satu undang-undang diperuntukkan untuk sebilangan rakyat Malaysia, manakala tiada sebarang undang-undang pula dikenakan kepada yang lain-lainnya.

Dengan hukuman penjara yang biasanya akan dikurangkan sebanyak satu pertiga sekiranya berperangai baik, Rahim hanya perlu menjalani, paling lama, 40 hari sahaja dari hukuman penjaranya. Berpandukan kepada sistem kehakiman yang telah menyeleweng jauh itu, besar kemungkinan rayuannya juga akan diterima, ini bermakna beliau tidak perlu menjalani kehidupan di penjara walau sehari pun.

Terdapat perbezaan yang amat ketara di antara pengendalian kes Anwar dan Rahim Noor. Anwar telah berulangkali dinafikan dari sebarang ikat jamin, sama ada semasa perbicaraan berkenaan rasuah ataupun semasa menunggu untuk kes rayuan., sekalipun tiada sebarang alasan yang munasabah diberikan. Hakim boneka, Augustine Paul, selepas kes berat sebelah yang amat memalukan itu, telah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara kepada yang tertuduh di atas penafsiran halus berkenaan kesalahan rasuah yang tidak melibatkan walau sesen duit pun, dan yang diakibatkan oleh tindakan Anwar menggunakan pegawai-pegawai polis bagi membantu membersihkan namanya dari fitnah. Lebih menghinakan adalah, hakim boneka yang berhati binatang ini memerintahkan supaya hukuman penjara Anwar itu dikira dari hari beliau dijatuhkan hukuman, dengan tidak mengambil kira tempoh tujuh bulan yang telah dijalani oleh orang yang tertuduh di penjara. Ini langsung tidak mengikut amalan biasa undang-undang Malaysia.

Sistem kehakiman Malaysia yang sangat keji dan memesongkan telah sekali lagi memalukan negara ini di mata dunia. Oleh kerana terlalu banyak contoh yang memperlihatkan bagaimana badan kehakiman telah dilacurkan, rakyat Malaysia mungkin merasa jijik tetapi tidak begitu terkejut.

Soalan yang bertalu-talu masih kedengaran : Mengapa Rahim Noor memukul Anwar sehingga hampir membawa maut? Sebelum itu tiada sebarang permusuhan di antara mereka berdua, bahkan Rahim pernah mengatakan Anwar itu kawannya. Mengapa seorang yang berjawatan Ketua Polis Negara sanggup melakukan penganiayaan terhadap seorang tahanan yang mempunyai profail yang sangat tinggi di negara ini, tidak lain dari seorang mantan Timbalan Perdana Menteri? Apakah beliau menjangkakan dirinya akan terlepas begitu saja? Namun, hakikatnya, beliau hampir-hampir terlepas.

Kemungkinan besar Mahathir yang mengarahkan pembantaian, dan Rahim dilindungi oleh Mahathir. Ternyata, hukuman ringan yang dijatuhkan ke atas si pembuli itu membayangkan penglibatan PM yang berterusan. Reaksi Mahathir apabila Anwar dihadapkan ke mahkamah dengan mata lebam – mengatakan bahawa kecederaan itu adalah hasil buatannya sendiri – akan tercatat di dalam sejarah sebagai satu kenyataan yang paling tidak berperasaan pernah dikeluarkan oleh seorang pemimpin di negara ini. Melihat kepada kejadian yang sangat memalukan kerajaan, Mahathir yang pendendam pasti tidak akan melepaskan Rahim sekiranya Rahim telah melakukannya mengikut kehendaknya sendiri. Maka teori yang mengatakan bahawa Mahathirlah dalang di sebalik kejadian penganiayaan itu adalah bertepatan sekali.

Namun sekiranya Mahathir dengan angkuhnya memberitahu umum bahawa beliau telah mengarahkan tindakan tersebut, adakah itu akan menjejaskan sokongan yang popular terhadapnya dari rakyat Malaysia?  Adalah menyedihkan, jawapannya berkemungkinan besar akan berbunyi negatif, keruntuhan moral di negara ini adalah sangat teruk sehinggakan ramai rakyat Malaysia yang mungkin akan mencari alasan lain demi mempertahankan seorang Perdana Menteri yang sangat suka menindas. Barangkali mereka ini akan menggunakan pencapaian-pencapaiannya di dalam bidang ekonomi sebagai alasan untuk menutupi kesalahan-kesalahan kecilnya. Begitu juga terdapat sebilangan manusia yang berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan ke atas Rahim adalah adil dan saksama. Sungguh memalukan anak bangsa mereka sendiri!

Bilangan pembaca:orang