KRISIS KEYAKINAN RAKYAT MALAYSIA

Kita pun sebenarnya tidak  sukar untuk menduga bahawa masyarakat Malaysia kini sedang dilanda krisis. Krisis itu bukanlah datangnya dari luar, bukan pula krisis kebudayaan, ataupun krisis pelajaran. Krisis yang dimaksudkan itu lebih bersifat psikologikal  atau pun bersifat kejiwaan. Atau dengan kata lain, masyarakat Malaysia sudah sakit jiwa, oh ya tidak! Masyarakat Malaysia sebenarnya sedang dilanda krisis keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri. Atau pun boleh dikatakan begini; masyarakat Malaysia telah kehilangan kepercayaan terhadap diri sendiri akibat tekanan yang kuat dari sudut politik, ekonomi, sosial dan semua sudut kehidupan oleh pemimpin agungnya sendiri; iaitu seorang diktator tua bergelar Mahafiraun yang menguasai semua bidang penting negara. Mahafiraun menguasai bidang politik, kehakiman, pentadbiran, ekonomi, ketenteraan bahkan semua aspek kenegaraan. Penguasaan itulah yang menjadikan diktator tua itu mendabik dada saban hari mengatakan bahawa dialah yang paling berkuasa, dialah yang paling bijak, dialah yang paling tepat membuat keputusan penting negara.    

Mengapakah tidak ada bantahan dari rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Umno? Barisan pembangkang memang sentiasa membantah apa saja yang tidak kena yang disuarakan oleh Mahafiraun. Tetapi bantahan itu akhirnya tinggal bantahan sahaja. Tidak ada yang berani membuat lebih dari itu. Sekiranya ada yang cukup berani sehingga sanggup mengadakan demonstrasi jalanan, kesemuanya akan ditangkap di bawah akta jahanam ISA itu. Inilah yang terjadi kepada ramai pemimpin-pemimpin Keadilan. Tidak ada yang dapat kita lakukan lebih dari itu. Sekadar berdemonstrasi. Mengapa terjadi demikian? Mengapa orang Melayu, China, India dll tidak berani membantah Mahafiraun? Mengapa orang Umno dilanda sindrom bisu, sekalipun mereka tahu Mahafiraun itu zalim, mengaut kekayaan negara untuk kepentingan diri sendiri dan para kroni! Mengapa ulama Umno membisu sedangkan Mahafiraun bercakap sesuatu tentang agama tetapi asyik sahaja tersalah fakta bahkan dilihat sebagai mempermainkan agama? Inilah penyakit rakyat Malaysia. Rakyat yang sedang dilanda krisis. Krisis kejiwaan: hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap diri sendiri.

Bukan di negara ini tidak ada orang yang berani. Bukan di negara ini tidak pernah ada pahlawan. Bukan di negara ini tidak ada yang berjiwa pejuang. Tetapi entah kenapa, semua yang dilakukan serba tidak kena. Sehingga ini, sudah lebih dua puluh tahun Mahafiraun memerintah, memegang tampuk kuasa, namun belum ada seorang pun yang berjaya memintasnya, tidak ada seorang pun yang berjaya mengalahkannya, tidak ada seorang pun yang berani meningkah kata-katanya. Kalau pun ada yang berani meningkah kata-katanya, yang berani memintas kekuasaannya, orang itu akan dihumbankan ke dalam penjara tanpa diadili, atau pun diadili tanpa “keadilan”. Inilah nasib orang Malaysia. Inilah malangnya nasib menjadi orang Malaysia . Orang Malaysia yang berjumlah 23 juta orang itu tidak mampu menumbangkan seorang diktator yang sedang memijak-memijak kepala kita, yang memperbodoh-bodohkan kita, dan yang memperma in-mainkan kita dengan kata-katanya yang palsu setiap hari. Bahkan sebaliknya setiap hari ada sahaja yang memujinya.

 “Kita sangat bangga dengan PM kita ,”kata Tajul Rosli dalam satu perhimpunan belia baru-baru ini. Inilah mentaliti rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Umno.

Mahafiraun kini adalah ibarat duri dalam daging yang tidak mampu dinyahkan oleh orang-orang Malaysia dari tampuk kuasanya. Dia telah mencipta dirinya  sehingga menjadi diktator yang paling berkuasa kini. Semua akta ada di tangannya. Semua kuasa ada di tangannya. Siapakah yang berani menentang Mahafiraun wahai rakyat Malaysia?

Tidak ada..Hanya ada seorang, orang itu kini berada dalam penjara Sg. Buluh dan sedang menderita sakit tulang belakang. Selebihnya adalah pekikan dan teriakkan  “undur Mahathir undur” tetapi Mahafiraun masih tetap di situ, di tampuk kuasa dan telah berlalu dua puluh tahun keadaan ini. Namun rakyat Malaysia tidak mampu mencabut duri dalam daging ini, duri yang bakal memusnahkan negara  sehingga hasil mahsyulnya menjadi kering kontang. Apakah rakyat Malaysia penakut? Mungkin ia mungkin tidak. Atau rakyat takut kepentingan survivalnya terganggu? Entahlah . Sama-samalah kita fikirkan.

Kita fikirkan kenapa rakyat negara kita tidak mampu  menolak kuasa seorang diktator tua yang telah berumur lebih 75 tahun itu. Kenapakah dia masih berkuasa, sedangkan dia menzalimi orang lain, mengikis kekayaan negara, memperhambakan orang-orang Melayu, menipu kaum China dan India dengan pelbagai janji. Mahafiraun juga menakut-nakutkan rakyat tentang keamanan yang mungkin terjejas jika berdemonstrasi atau menukar kerajaan. Ia juga menakut-nakutkan kita dengan peristiwa pergaduhan kaum yang mungkin berlaku sekiranya politik tidak stabil. Ia juga menakutkan kita dengan kuasa asing yang mungkin  mengambil kesempatan jika keadaan ekonomi dan politik negara ini tidak stabil. Sebenarnya siapakah yang takut dalam hal ini? Tentunya Mahafiraun sendiri lebih takut akan kehilangan kuasa lalu mencanangkan semuanya itu agar tidak ada usaha-usaha untuk menumbangkan kuasanya.

Kini Mahafiraun berada di penghujung hayatnya. Di penghujung kuasanya. Tetapi dia masih berkuasa. Seorang pun tidak mampu menumbangkannya. Dia masih gagah  di tampuk kuasa itu sekalipun dia sedang membilang hari-hari terakhirnya. Mengapakah dia masih tidak mampu ditumbangkan? Inilah sebenarnya krisis rakyat Malaysia? Krisis yang harus sama-sama kita fikirkan. Sama-sama kita cari jalan penyelesaian. Jika tidak, negara kita musnah dan kampung kita tergadai. Marilah kita cari formula bagi mengatasi masalah ini. Sama-samalah kita fikirkan. Selamatkanlah Malaysia wahai orang-orang Malaysia!         

AlKundangi,
18.5.2001          
Bilangan pembaca: orang