‘Islam’ Dusuki sendirian berhad

Pada Jumaat 18 Mei 2001, ruangan Rencana Pilihan akhbar Utusan Malaysia menyiarkan sebuah rencana oleh Dusuki Ahmad yang bertajuk ‘ISA menurut pandangan Islam’.  Menariknya, ia disiarkan empat hari selepas rencana saya yang bertajuk ‘ISA dari perspektif hukum Islam’ tersiar dalam laman-laman web reformasi dan pembangkang. Mungkin suatu kebetulan, dan mungkin juga satu sanggahan kerana bimbang masyarakat internet memahami kebajingan ISA pada pandangan Islam yang sebenar.

Kedua-dua rencana saya dan Dusuki menjurus kepada menguji dan menjustifikasi akta ISA dari segi Islam. Bila disebut Islam, ialah adalah hak mutlak Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Bukan hak saya dan bukan juga hak Dusuki.

Cuma bezanya rencana saya cuba menghukumkan ISA berdasarkan nas-nas ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih. Tidak kurang daripada empat potong ayat al-Quran dan sebelas buah hadis sahih yang berkaitan, saya bawa sebagai hujah dalam rencana sepanjang empat belas muka surat itu. Di samping itu, hampir sepuluh buah kitab dan buku rujukan yang dikarang ulama dan ilmuan muktabar saya gunakan sebelum menghukum ISA sebagai satu peraturan haram di sisi Islam dan haram mempertahankannya. Namun, saya tidak mendakwa pendapat saya benar secara mutlak seperti mutlaknya kebenaran al-Quran. Cuma saya bersaksi bahawa saya tidak menceluparkan lidah saya untuk berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya. Segala kemampuan telah saya kerahkan untuk meletakkan ISA pada kedudukannya yang sebenar. Maka kerahan tenaga saya berdasarkan pendalilan al-Quran, hadis sahih, ilmu Usul al-Fiqh dan ilmu-ilmu yang perlu menatijahkan ISA sebagai haram dan bertentangan dengan ruh al-Quran dan sunnah.

Dan bezanya rencana Dusuki, ‘Islam’ yang dihujahkan olehnya untuk mempertahankan ISA, ialah Islam yang tak bersumberkan al-Quran dan sunnah serta pandangan ulama muktabar, sebaliknya berdasarkan fikiran dan pemahamannya secara ‘sendirian berhad’. Maka keluarlah rencana Dusuki bertajuk ‘ISA menurut pandangan Islam’ dan kita tercari-cari Islam Allah dan Rasul-Nya (bersumberkan al-Quran dan sunnah) dalam rencananya itu, tetapi yang kelihatan hanyalah ‘Islam Dusuki Ahmad’ dengan memilik peribadikan Islam untuk dirinya. Tetapi inilah mentaliti agamawan UMNO, melaung dan melalak Islam ke sana ke mari untuk menggambarkan UMNO tak kurang Islamnya, tetapi satu ayat atau hadis pun tak terdengar. Maknanya mereka itu berbohong dan berdusta atas nama Allah s.w.t. yang memiliki Islam itu. Kalau dibaca ayat pun, kriteria pilihan ialah ayat yang boleh ditafsirkan oleh mereka untuk menegakkan ‘Islam sekular’ atau ‘Islam keduniaan’ mereka.

Kita lihat apa hujah Dusuki. Beliau menulis, “Malaysia negara kecil saja. Bumi dan udaranya sama dengan Indonesia, Thailand dan Filipina. Fizikal orangnya pun serupa. Bahkan dari segi hasil bumi, negara-negara tersebut lebih kaya dari Malaysia. Tetapi apa rahsianya Malaysia menjadi destinasi rakyat asing mencari rezeki? Jawabnya pendek saja, iaitu kami di Malaysia mempunyai ISA. Akta inilah yang menyelamatkan negara daripada tersungkur ke lembah pergolakan …..”

Tambahnya lagi, “Sejak merdeka, ISA telah banyak berjasa kepada rakyat dan negara.” …. . “Jika tidak kerana ISA, warna Malaysia tidak seperti apa yang kita lihat dan nikmati hari ini.”

AstaghfiruLlah-al-`Azim!!! Jaga-jaga iman dan akidah kamu wahai Dusuki! Bukankah nikmat kemakmuran, kekayaan dan keamanan itu datangnya daripada Allah s.w.t.? Bukankah Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

Kerana kebiasaan aman kaum Quraisy (penduduk Makkah). (Iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman) dan pada musim panas (ke negeri Syam). Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini. Tuhan yang memberi mereka penghidupan; menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan.” (Surah Quraisy: 1-4)

Tetapi Dusuki berkata keamanan dan kemakmuran Malaysia adalah kerana ISA. Pendatang asing datang beramai-ramai kerana ISA. Akta inilah yang menyelamatkan negara. Kalau tidak kerana ISA, negara tidak seperti hari ini.

Beginilah tabiat agamawan UMNO, mereka menyeleweng jauh daripada kehendak al-Quran apabila dunia menjadi pertimbangan. Tidak boleh dinafikan kemungkinan mereka akan berkata ayat ini hanya untuk orang-orang Quraisy dahulu kala saja, seperti mana mereka mendakwa ayat yang menghukum kafir, fasiq dan zalim ke atas orang yang tidak menjalankan hukum Allah s.w.t. itu (Surah al-Maidah: 44, 45 dan 47) sebagai celaan dan laknat kepada kaum Bani Israel sahaja. Mereka tidak termasuk dalam kehendak ayat itu!

Maa syaa Allah! Maka tidak hairanlah kalau ada sesetengah orang yang warak tak akan berimamkan orang yang bercakap sebegini dan tidak tergamak memakan sembelihannya. Saya TIDAK tuduh Dusuki murtad. Itu kerja Allah s.w.t. dan mahkamah syariah, bukan tugas saya. Tetapi setiap orang Islam diwajibkan mengelakkan diri daripada perkara yang syubhah, kerana sesiapa yang sengaja menjerumuskan dirinya dalam perkara syubhah maka dia telah terjerumus dalam perkara haram (maksud sebahagian hadis yang keenam daripada Hadith Empat Puluh Imam al-Nawawi, diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Selagi Dusuki tidak menarik balik dan bertaubat daripada kepercayaan ISA pemberi keamanan dan penyelamat negara, maka selagi itulah orang-orang Islam yang warak akan merasa syubhah untuk berimamkannya dan memakan sembelihannya. Dan saya berkata ‘orang Islam yang warak’, bukan semua jenis orang Islam.

Letih saya mencari hujah Islam yang dibawa Dusuki untuk mempertahankan ISA kesayangannya. Yang saya terjumpa hanyalah katanya, “Menurut Islam pencegahan adalah lebih utama daripada pengubatan.”

Apakah maksud sebuah pepatah Arab yang berbunyi “al-Wiqayah khayrun minal `ilaaj” itu (orang putih menyebutnya “The prevention is better than cure”) layak digunakan oleh seorang ‘ilmuan’ Islam seperti Dusuki untuk bercakap atas nama Islam? Sedangkan Islam mestilah bersumberkan al-Quran dan sunnah, bukan pepatah Arab atau Melayu. Kalau pepatah boleh digunakan untuk dijadikan hujah Islam, sudah tentu setiap bangsa ada ‘Islam’ tersendiri yang berbeza daripada bangsa lain.

 

Kalau pun hendak diterima hujah pepatah itu atas dasar logik dan rasional (bukan atas dasar ia Islamik), apakah ISA satu-satunya cara pencegahan terhadap kekacauan dan suasana huru-hara dalam negara? Perlu disedari ISA ialah tangkapan tanpa bicara, tanpa hak bela diri, tanpa hakim, membenarkan penderaan fizikal dan mental, membenarkan penahanan tanpa arahan mahkamah selama 60 hari kemudian dua tahun, dua tahun dan seterusnya tanpa perintah mahkamah. Anda adalah pesalah bila polis atau Menteri kata salah. Anda tak boleh kata anda tak salah, bahkan anda mesti salah dan mesti dikurung!

Soalnya, adakah itu sahaja cara pencegahan yang terbaik untuk masalah kekacauan dalam negara? Nampaknya agamawan UMNO ini masih berfikir cara manusia zaman purba. Apakah tidak boleh mencegah ketegangan antara kerajaan dengan rakyat yang membangkang secara muzakarah, perbincangan, memberi peluang bersuara secara adil? Bukankah Islam berkata:

Dan urusan mereka (diselesaikan secara) syura sesama mereka” (Surah al-Syura: 38)?

Bukankah Islam menyuruh pemimpin berkasih sayang, memberi maaf, berlemah lembut dan bermesyuarat dengan rakyat walaupun rakyat telah melakukan kesalahan? Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

Dan dengan rahmat Allah kamu (Muhammad) berlembut terhadap mereka (yang telah melanggar perintahmu ketika perang Uhud), sekiranya kamu bengis dan keras hati nescaya mereka akan lari daripada kamu, maka maafkanlah mereka, mintalah ampun untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka…” (Surah Ali `Imran: 159)

Bukankah sebaik-baik pemimpin itu ialah yang kasih kepada rakyat dan rakyat kasih kepadanya, yang mendoakan rakyat dan rakyat mendoakan untuknya. Seburuk-buruk pemimpin pula ialah yang bencikan rakyat dan rakyat bencikannya, yang memaki laknat rakyat lalu rakyat memaki laknat kepadanya? Baginda s.a.w. bersabda maksudnya:

Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)

Kalau masih banyak ubat pencegahan yang lebih wajar dan mujarab untuk memulihkan penyakit bahaya, kenapa hanya ubat pain-killer digunakan? Sudah tentu ubat mujarab untuk penyakit rakyat tak puas hati terhadap pemerintah ialah ubat yang Tuhan rakyat dan pemerintah itu sendiri sediakan, bukan ubat yang direka-reka oleh orang kafir zaman dulu seperti ISA.

Dusuki yang bercakap dan berfikir secara zaman purba kala bukan sahaja tidak menepati cita rasa Islam, tetapi juga bercanggah dengan disiplin ilmu perawatan penyakit. Kalau benar mereka yang ditahan ISA itu melakukan kesalahan jenayah, dakwakan sahaja mereka di mahkamah di bawah undang-undang jenayah yang sedia ada supaya rakyat nampak kesalahan mereka. Ubat itu lebih baik. Sebaliknya ISA yang disangka ubat oleh Dusuki dan juak-juaknya, akan menjadi racun yang membunuh negara. Lihatlah perkembangan seterusnya nanti, kemarahan rakyat tak akan reda dan mereka tak akan duduk diam walau dicincang dengan ISA.

Walaupun khabarnya Dusuki ini berkelulusan dalam bidang pengajian Islam (peringkat sarjana? Bidang apa? Bahasa Arab?), kita perlu memberi kuliah kepada orang jahil seperti Dusuki ini. Mungkin Dusuki dan rakan-rakannya berkecil hati bila orang kata dia jahil, seperti kecil hatinya dia bila orang kata dia tak pandai baca doa. Tetapi hakikatnya memang begitu, dia hanya alim dunia, jahil akhirat yang merupakan tempat pembalasan yang kekal abadi. Maka kita ikhlas dalam memberikan kuliah ilmu untuk Dusuki ini, bukan untuk membongkak diri.

Mungkin Dusuki telah membaca nas-nas ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang saya sebutkan dalam rencana ‘ISA dari perspektif hukum Islam’ itu. Sebagai tambahan kepada nas-nas itu, di sini saya ingin khabarkan kepada Dusuki dan para agamawan UMNO semua bahawa ISA yang konotasinya ialah tuduhan tanpa bukti dan tahanan tanpa bicara, adalah batil dan haram dipertahankan berdasarkan sabda baginda s.a.w. yang maksudnya:

Sekiranya manusia diberi hak untuk membuat dakwaan (tanpa bukti) nescaya mereka akan mendakwa darah dan harta orang lain (halal untuknya), tetapi membuktikan dakwaan adalah tanggungjawab pendakwa dan sumpah adalah tanggungjawab tertuduh yang menafikan (tuduhan).” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Bayhaqi dll)

ISA membenarkan Menteri dan pegawai polis menahan tanpa memberi peluang tertuduh membela diri dengan alasan mengancam keselamatan negara yang direka-reka seperti tuduhan merancang mengadakan demontrasi militan tanpa sebarang bukti kewujudan senjata. Dengan itu ISA batil dan bercanggah dengan Islam.

Selain itu baginda s.a.w. pernah mewasiatkan Saydina Ali supaya tidak menjatuhkan hukuman sehingga mendengar terlebih dahulu keterangan kedua-dua belah pihak (maksud hadis riwayat Ahmad, al-Bayhaqi dll). ISA adalah hukuman terhadap tertuduh dengan berdasarkan tuduhan sebelah pihak iaitu Menteri atau polis. Maka ia bertentangan dengan Islam dan wajib dihapuskan.

Bangkitlah rakyat yang beriman dengan keadilan Islam dan percayakan prinsip keadilan sejagat untuk menentang ISA habis-habisan!!! Tolaklah kepura-puraan agamawan UMNO yang bertuhankan dunia!

Sekian, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.

alimuda@hotmail.com

25 Safar 1422 (19/5/2001)

Bilangan pembaca: orang