TAG  Lorien

Anak-didik Anwar
(Anwar’s  Children)

Oleh;  Lorien  Holland;  FEER  24/5/2001.

Sebagai seorang pemimpin  parti pembangkang, Mohamed Ezam Mohamad Nor, memang  dikagumi.  Di mana sahaja dia pergi,  ribuan rakyat  marhaen akan berkumpul berbondong-bondong  mendengarkan  ucapannya.  Suaranya yang lantang menyerang usaha  kerajaan menyelamatkan  perniagaan para kroni dan pak pacak  yang menggelupur  kerana hampir kemuflisan, memang menarik minat orang.   Sokongan  terhadapnya memang semakin meninggi.  Satu ketika dulu Ezam adalah  pembantu khas  kepada  mantan timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim, dan dia  merancang untuk  membawa satu gelombang  kesedaran politik dan  mahu merancang lebih banyak lagi ceramah di seluruh negara.  Hanya dengan cara itu kerajaan  dapat disedarkan, sambil memberi peluang kepada  Parti  Keadilan Nasional  ataupun  Keadilan  dan  parti  sekutu yang lain peluang untuk  menang pemilu  2004 nanti.

Perkataan  yang panas  dari mulut Ezam memang  menghenyak kerajaan. Pada bulan April,   Perdana Menteri Mahathir telah memekap suara Ezam dan sembilan aktivis  lain yang sealiran dengannya. Mereka telah ditangkap di bawah  Akta  Keselamatan Dalam negeri  (ISA: Internal Security  Act) Penangkapan di bawah akta ini  mengenepikan keperluan  proses penghakiman yang normal dan membenarkan  sesiapa yang ditangkap itu ditahan tanpa perbicaraan. Di bawah ISA,  menteri hal ehwal dalam negeri  mesti membebaskan para  tahanan  ataupun menandatangani  surat arahan menahan mereka selama dua tahun, sebaik sahaja penangkapan mereka mencapai  enam puluh hari.  Tarikh keramat  untuk Ezam  ialah pada  9 Jun nanti.

Mahathir mempunyai alasan tersendiri  menggunakan  ISA itu. Dia menuduh pihak pembangkang  merancang  menggunakan taktik keganasan dengan mengumpulkan  senjata untuk menyerang kerajaan dan menggugat keselamatan negara.  Dia  mengulang-ulang peristiwa  rusuhan di Indonesia dan Filipina sambil berkata dia tidak akan membenarkan kejadian yang sama di  Malaysia.  “Mereka boleh ditahan  mengikut undang-undang biasa yang memerlukan  bukti tertentu dan  peraturan serta proses yang tertentu juga, yang saya fikir  dari kaca mata  pihak polis  adalah tidak mencukupi untuk menyekat  berlakunya sesuatu  perkara yang tidak diingini.,” katanya kepada para  wartawan.

Satu bulan kemudiannya, 10 orang aktivis itu sudah pun berada dalam penjara.  Tidak ada sebarang bukti  untuk menyokong  segala tohmahan terhadap mereka.  Tidak ada  peguam yang dibenarkan  menemui mereka dan  hanya segelintir sahaja yang  dibenarkan menemui keluarga mereka.   Parti Barisan Nasional (BN) yang  memerintah telah menyekat  sebarang usaha untuk membincangkan penahanan mereka dalam Parlimen. Namun, percaturan Mahathir  menggunakan  ISA itu nampak  mencapai kejayaannya,  kerana ternyata   dia tidak perlu ribut-ribut  untuk menutup mulut  para pengkritik yang berbisa mulutnya itu.  Walaupun  penentangan  daripada  parti pembangkang dan pertubuhan  bukan-kerajaan   semakin  berganda,  kemarahan rakyat marhaen terhadap  tindakan Mahathir itu hanya laksana air suam sahaja, kehangatannya. Pemimpin politik pihak kerajaan yang memang tidak berapa selesa dengan tindakan Mahathir itu, nampaknya lebih senang bersikap akur sahaja.

“Memanglah, rakyat marhaen tidak pun  naik ganas,” kata seorang  wakil rakyat  DUN Pulau Pinang, Toh Kim Woon, yang merupakan  seorang wakil rakyat parti  kerajaan  yang menentang penggunaan ISA itu.  “Adalah sukar untuk kita  menilai penentangan rakyat  sebenarnya kerana  rakyat  mungkin lebih  berwaspada, namun saya tidak nampak  adanya  tentangan  yang berlebihan dalam perkara ini.”

Pihak media pun  bersikap  sambil lewa  sahaja. Malahan, The Star yang satu ketika dulu pernah terpaksa menutup pintu  untuk sementara kerana  menentang penahanan  di bawah ISA pada  1987 dulu,   kini sengaja bersikap akur dengan kerajaan.  Seperti  akhbar utama yang lain, ia tidak pun mempertikaikan tindakan kerajaan  ataupun memberi ruang kepada pembangkang  menyuarakan bantahan mereka. Akhbar itu lebih  bersedia  memberikan liputan kepada gambar dan cerita rusuhan di  Jakarta dan Manila. 

Berita  Yang Diperam

Lim Guan Eng,  naib pengerusi  DAP  telah berkata:  “ kerajaan sengaja  memeram berita” dengan mengarahkan  akhbar utama tidak melapurkan apa-apa mengenai   penangkapan itu.  “Kami terpaksa  bergantung kepada  Internet  dan  berita lisan  dan risalah yang diedarkan di  jalanan.” .  Lim bertegas,  beta-a  kerajaan sedang dihenyak   sekarang,  sebagai  ekoran kepada  beberapa siri  peristiwa yang bermula dengan penangkapan Anwar dulu pada 1998,   sehinggalah kepada  usaha menyelamatkan  syarikat  yang muflis  yang dipunyai oleh para kroni dan pak pacak pada tahun ini, yang telah meminggirkan  sebahagian  besar  rakyat marhaen.  Semua itu belum lagi  menjadi kuasa besar yang  mampu mendesak Mahathir membebaskan orang yang ditangkapnya.   Malahan  SUHAKAM  belum berjaya  mendapatkan kebenaran polis untuk  menziarahi orang yang ditahan, walaupun  ia mempunyai mandat  untuk melakukannya.

Syed Husin Ali, seorang  ahli  pengasas  Gerakan Hapuskan  ISA,  yang melibatkan juga  parti politik lain dan 76 pertubuhan bukan-kerajaan, mengaku betapa lembabnya pergerakan  untuk menyanggah kerajaan.  Dia telah menyebut  beberapa  himpunan rakyat  yang akan dimulakan pada  Mei 18 ini dan  berakhir dalam satu perhimpunan  di Kuala Lumpur  pada awal Jun untuk menepati  60 hari  tertangkapnya  Ezam dan rakan-rakannya.

“Tuduhan terhadap  mereka itu memang serius dan  memang tidak pun berasas….  Jika tidak  mereka sudah lama dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa.”  Sebagai seorang  bekas tahanan ISA, dia menolak  tuduhan kerajaan betapa  keganasan sudah membuak seperti  yang berlaku di  Indonesia dan Filipina.  “keadaan di sini  amat berbeza, kerana rakyat marhaen amat sedar betapa perlunya  berhimpun secara aman seperti yang selalu  kami laksanakan, tanpa sebarang keganasan.”

Diterjemahkan oleh  SPAR

Bilangan pembaca:orang


"Maka setelah mereka berlaku sombong, takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!!" - 166 Surah Al-A'raaf