PAS DAN KUOTA KEMASUKAN KE IPTA

Mungkin kenyataan Datuk Mustapha Mohammed bahawa Pas tidak mempunyai agenda dalam sistem pendidikan negara ada benarnya. Tuduhan itu berasaskan bahawa Pas hanya mendiamkan diri dalam isu kuota kemasukan ke IPTA menurut nisbah bangsa yang menghuni bumi Semenanjung ini. Tetapi Mustapha, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan itu membuat kenyataan tanpa memikirkan yang Pas bukan tidak berminat untuk memperkatakan isu itu, sebaliknya Pas berdiam diri kerana itu mungkin lebih baik bagi Pas dari terjerumus ke dalam satu polemik yang tidak berkesudahan. Pas juga mungkin berdiam diri kerana sistem pendidikan negara bukanlah sistem impian Pas, sebaliknya ia adalah sistem sekular yang telah dipertahankan sejak penjajah British dahulu hinggalah ke hari ini.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tentulah Pas lebih suka menerapkan sistem pendidikan Islam yang pastinya akan mendapat tentangan dari kerajaan BN. Lihat sahaja Taski-Taski dan sekolah-sekolah agama kepunyaan Pas yang telah diambil alih oleh Kerajaan Pusat yang kemudian diterapkan sistem pendidikan kebangsaan. Tentunya falsafah asal penubuhan sekolah-sekolah dan taski itu telah menyimpang dari tujuan mula-mula ia ditubuhkan. Islam bukanlah satu agama yang menentang kemajuan. Tetapi sistem yang terpisah dari agama bukanlah menjadi cita-cita Pas. Dalam pendidikan Islam, seseorang yang ingin menjadi doktor atau jurutera misalnya, mestilah terlebih dahulu menyempurnakan pendidikan dasarnya dalam Islam, iaitu apa yang disebut fardu ain dan fardu kifayah. Mengetahui perkara-perkara asas dalam kehidupan seorang Muslim adalah terlebih wajib dari menuntut Ilmu Kedoktoran. Bukanlah Ilmu Doktor itu tidak wajib. Tetapi seseorang yang ingin menuntut ilmu itu mestilah menyelesaikan asas pendidikan seorang Islam. Ilmu Doktor adalah fardu kifayah, tetapi mengetahui Tuhan itu Esa lengkap dengan bukti akal dan naqal misalnya adalah fardu ain. Jadi ilmu-ilmu ini yang perlu diselesaikan dahulu sebelum melangkah lebih jauh.

Apa yang terjadi sekarang adalah seseorang yang menuntut ilmu kedoktoran misalnya tidak menyempurnakan ilmu fardu ain terlebih dahulu. Ini bertentangan dengan konsep pendidikan Islam. Sebab itu kita lihat hari ini sistem pendidikan yang ada gagal melahirkan doktor yang berjiwa Islam., jurutera yang berfikiran Islam, pakar komputer yang berwawasan Islam dan sebagainya. Pemisahan agama dari sistem pendidikan memungkinkan terjadinya gejala murtad, atau mementingkan akal dari naqal (Alquran dan Hadis). Contoh yang paling mudah ialah teori graviti misalnya. Menurut teori ini semua benda akan jatuh ke tanah/ bumi kerana adanya tarikan graviti. Tetapi dalam Islam di samping kuasa graviti itu, ada kuasa lain yang lebih besar, iaitu Allah. Allah-lah yang mengkehendakkinya agar jatuh ke tanah. Jika Allah berkehendakkan ia jatuh ke langit, ia tidak akan jatuh ke tanah. Di sini teori graviti itu terbatal dengan sendirinya.

Atau kita ambil contoh teori Darwin. Teori kafir Darwin menyatakan manusia berasal dari monyet setelah mengalami proses evolusi. Tetapi dalam Islam, manusia berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah. Kontradiksi antara Ilmu moden dengan Ilmu Islam inilah yang menyebabkan sesetengah pemikir Islam diam membisu apabila negara sibuk memperkatakan sesuatu dari sistem pendidikan kebangsaan.

Inilah kemungkinan puncanya Pas mendiamkan diri dalam isu kuota ke IPTA, bukan Pas tidak mempunyai agenda dalam sistem pendidikan negara (masa kini ~ webmaster). Namun ini bukanlah pandangan pimpinan Pas. Ini hanyalah pandangan seseorang yang cuba memberikan justifikasi dari keadaan-keadaan yang sedang menekan parti itu. Pandangan ini hanyalah pandangan peribadi penulis tanpa merujuk kepada mana-mana tokoh Pas. 

Ini bukanlah bermakna apabila sistem Islam dipraktikkan sebagai sistem teras negara, hak-hak bukan Islam diketepikan  Sebaliknya hak-hak bukan Islam itu lebih sempurna terjaga jika Islam dijadikan teras dalam sistem pemerintahan negara. Setiap rakyat dalam negara Islam yang taat kepada pucuk pimpinan Islam dan bersedia tinggal di negara ini akan dijamin hak-haknya sebagai manusia termasuklah pendidikan, keperluan asas seperti makan minum dan tempat tinggal akan disediakan oleh pemerintah jika seseorang itu tidak mampu mengadakannya, tidak kiralah samada dia muslim atau bukan muslim. Perkara-perkara seperti ini sudah pun dibincangkan oleh ulama-ulama dan pemikir-pemikir Islam termasuklah pemikir-pemikir abad dua puluh seperti Yusof AlQardhawi dan AlMaududi.  Penerangan lanjut bolehlah dilihat dari karya-karya mereka yang banyak diterjemahkan ke bahasa Indonesia/Malaysia.

Dengan begitu apa sebenarnya yang menjadi sasaran Mustapha Mohamed hanyalah untuk menyalahkan pembangkang khususnya Pas apabila Umno/Kerajaan BN tertekan oleh kaum-kaum bukan Melayu. Seharusnya hal ini tidak timbul jika sekiranya Mustapha lebih memahami perjuangan Pas dan sistem pendidikan Islam yang menjadi impian bagi setiap individu muslim, dan bukan hanya bermain dengan persoalan-persoalan pinggiran sahaja seperti masalah kuota kemasukan ke PITA itu.

AlKundangi,
21.5.2001

Nota webmaster: Saya amat bersetuju dengan pandangan penulis mengenai sikap PAS yang mendiamkan diri dalam isu kuota bumiputera ke IPTA. Perkara pokok  yang lebih besar ialah apakah dasar pelajaran yang kita dokongi. Jika prinsip itu tidak mengangkat Islam atau mengagungkan kebesaran Allah, eloklah kita bersikap sedemikian. Jangan kita terjerumus dalam isu yang tidak berfaedah. Sedangkan tugas kita yang lebih besar ialah merealisasikan dasar pendidikan yang mendokong prinsip mengagungkan kebesaran Ilahi atau yang tidak bercanggah dengan Islam sebagai ad-din. Orang politik macam Mustapha Mohamad akan berkata politik. Politik beliau sebenarnya 'cakap kedai kopi'. Ini adalah kerana beliau telah ditolak oleh penduduk di dalam kawasan pilihan rayanya. Apa lagi untuk mencanang ke seluruh negara. Siapa nak menerima pendapat seseorang yang memang telah ditolak oleh majoriti rakyat yang suatu masa dahulu menyokongnya? 

Pada hemat saya apa yang perlu kita fikirkan saat ini ialah bagaimanakah strategi kita menumbangkan BN bagi memastikan dasar dan prinsip Islam menguasai ke seluruh bahagian kehidupan; samada dalam politik dan pentadbiran, ekonomi dan kewangan mahupun sosial dan pendidikan. ~ webmaster 

Bilangan pembaca: orang


"Maka setelah mereka berlaku sombong, takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!!" - 166 Surah Al-A'raaf