UMNO  Meludah   Ke  Langit
(UMNO   Shoots Itself  In  The  Foot  Over  Chinese Members)


Perdana Menteri   yang juga   merupakan  presiden  UMNO  telah  pergi ke  Sabah  minggu  ini  untuk menyaksikan  pembubaran sebuah parti  komponen  BN,  AKAR dan  menerima  keahlian  parti itu  menganggotai UMNO. Kemudian,  dia membuat  satu  pengumuman yang sungguh  mengejutkan  bahawa  semua  warga Cina  di  Sabah  diterima menjadi ahli  UMNO  tanpa sebarang   syarat.  Semua  orang bukan Melayu  di seluruh  negara menganggap  pengumuman  itu  adalah  satu  langkah  awal  kepada  penubuhan satu parti  untuk  semua  kaum. Lantas  Samy  Vellu  yang merupakan  presiden MIC  telah bertempik   dengan ghairah menyatakan  kesediaan beliau  membubarkan  MIC  untuk   membolehkan  ahlinya  menganggotai UMNO.  Harapan meninggi mula menjulang   perasaan masyarakat bukan  Melayu.  Namun, tidak  ada  seorang  pun  pemimpin  Melayu  yang bermaruah  sanggup  mengeluarkan  kata-kata menyokong  cadangan  Mahathir  itu.

Seperti yang  sering  berlaku, Dr.Mahathir  memutar-balik cakap-cakapnya  itu. Bukan  semua  orang Cina  di  Sabah  yang  layak  dengan  tawaran  itu, hanya  mereka yang menjadi  ahli  AKAR sahaja. Lagipun,  perkahwinan campuran antara  orang cina  dan pribumi  telah   melahirkan  satu  masyarakat  bumiputera  yang  dikenali  dengan gelaran  ‘Sinos’, di  sana. Demikianlah, laksana  belut  dia  telah  melepaskan  dirinya  daripada  keadaan  aib  yang  menjadi kalut.  Sebenarnya  bukan  ada  sesuatu  yang dramatik apabila  dia  menyebut  warga Sinos  boleh  menjadi  ahli  UMNO, kerana itu  memang  hak  mereka. Satu  ketika  dulu, sebelum  USNO  dibubarkan  untuk  menganggotai  UMNO,  terdapat  ahli-ahli USNO  daripada   kalangan  masyarakat  Cina. Mereka  pun  menganggotai  UMNO apabila USNO  dibubarkan. Memang ada  peraturannya di  mana pribumi   yang  bermustautin  di  Sabah  dan  juga  Sarawak  diiktiraf  sebagai bumiputera. Yang peliknya,  peraturan  ini  tidak pun menyeluruhi   tanah Semenanjung  hinggalah    perkara itu  berubah  baru-baru  ini.  Hanya baru  kebelakangan ini  kumpulan  pribumi  seperti warga keturunan   Portugis di  Melaka,  dan  keturunan   Siam  di  bahagian  utara- negara diterima  sebagai  bumiputera juga.   Tetapi, Dr.  Mahathir  telah  melakukan satu  kesilapan besar dalam  karya  politiknya. Dia  telah  berkata dengan penerimaan  orang Cina Sabah sebagai ahli  UMNO, ia merupakan  satu  awalan kepada penerimaan mereka  dan juga  masyarakat  lain di  Semenanjung  untuk  menjadi  ahli  UMNO  juga. Inilah  yang  mencetuskan  ribut  politik dalam UMNO. Ini  juga  yang  membuatkan  Ling  Lion Sik,  menteri  pengangkutan  merangkap  presiden  MCA bersuara lantang: bahawa orang Cina  membuat  pilihan  utamanya  memilih  MCA  untuk  terus mengurus  dan menjamin  masa  depan  mereka.

Gelagat   meludah ke langit  dan  menadahnya  dengan  muka  sendiri, bukannya  satu  perkara  baru.  Tidak  kiralah  apa masalahnya  ataupun isu  yang  menyebabkannya.  Mula-mula, satu  kenyataan  yang  menyeluruh  akan  dikeluarkan.  Kemudian, perkara  itu  akan  diperincikan  secara terbuka,  menjadikannya  satu   cerita dongeng  yang  tidak  ada lagi  sengatnya,  sambil  memberikan  satu  gambaran yang jelas  kepada  dunia  luar  betapa  perkara  itu  adalah  caranya  sebuah   negara ditadbir   oleh  sebuah  parti  dan  pemimpinnya  yang  sudah   kehilangan  kilauan dan kilatnya. Dr. Mahathir  telah  meminta  maaf  kerana kenyataannya  yang  tidak  jelas  itu.  Tetapi,  dia  sudah  mengkucar-kacirkan  keadaan.  Warga  Sinos, di  Sabah  dan  Sarawak   boleh  menganggotai  parti  bumiputera  dan  UMNO  di  Sabah.  Dia  sudah  tidak boleh  bersikap terlalu  memilih  siapakah yang layak menganggotai  UMNO: jumlah    penduduk  Melayu  di  Sabah  dan  Sarawak  adalah kecil untuk  menjanjikan  keteguhan  UMNO  sebagai sebuah  parti  politik  di  sana.  Dia mampu  menarik  minat warga bumiputera  di  Sabah,  tetapi dengan adanya  peraturan lisan betapa hanya  mereka yang beragama  Islam  boleh  mengepalai UMNO telah  menjadikan tarikannya  itu  sedikit  kendur  untuk merangsang  kaum-kaum  itu  menganggotai  UMNO.  Untuk  UMNO  menjadi  satu parti  yang  unggul di Sabah,  ia mesti  mempunyai  keupayaan  untuk  mencabar  parti-parti  orang  Kadazan dusun,  sedangkan  cabaran  itu  bukannya  perkara  yang  mudah.

Mahathir  memang  terdesak  untuk  membuat  kenyataannya  itu. UMNO  sudah  terumbang-ambing di  samudera  politik orang  Melayu.  Inilah  yang  mendesak  UMNO  membuat  pendirian  samada mahu  terus  kekal  untuk  satu  kaum  sahaja  ataupun berkembang menjadi  parti  yang dianggotai  pelbagai kaum. Mereka  perlu  bertindak  mencari  penyelesaian  apakah  mahu  meniru PAS dengan  memberi penekanan  kepada  satu kaum dan  agama,  ataupun  meniru  Parti  Keadilan Negara (Keadilan)  lantas menciplak  idea  yang  mula-mula dicetuskan oleh presiden  UMNO  yang  pertama, Dato’Sir Onn  Jaafar. (Dato  Onn  telah  keluar daripada UMNO bersama  anaknya  Husin  untuk  menubuhkan  parti  Negara-  penterjemah). Wawasan  Onn itu  memang  mendahului  zamannya. Tetapi  kini,  pendapat  politik  semacam  itu  tidak   dianggap  mendahului  zaman  lagi.  UMNO mesti mengubah format kepartian  samada mengikut  cara  Keadilan  yang mempunyai  pendekatan  multi-kaum  ataupun  terus meniru  kaedah  PAS.  Nampaknya  doktor  baik   itu telah membuat  keputusan  memilih pendekatan  multi-kaum,  cuma  dia tidak  menerima sokongan  daripada  UMNO.  Apabila  mereka  yang menyokong  beliau  ketika  ini  adalah  mereka yang  bukan  Melayu,  menunjukkan   betapa teruknya  rekahan  yang wujud  dalam  partinya.

Ada satu persoalan besar yang  menghantui  UMNO: apakah  ia  mampu  menyaingi  PAS  ataupun  Keadilan  untuk   merupakan  sebuah  parti  yang  masih  relevan  lagi.  Seperti biasa, memang belum ada   sebarang  usaha  membincangkan   perkara  ini secara serius. UMNO  memang sudah  menghala    ke zaman  yang kelam  dan  masih  mencuba  menandingi  PAS  dalam   usaha  menonjolkan   syiar  Islam.   Ia  beranggapan  bahawa langkah pertamanya  ialah  memujuk  PAS bersatu  dengannya  sebelum  mencuba  menumpaskan  Keadilan.  Sebenarnya  Keadilan merupakan  satu  parti  politik yang  menjiwai   wawasan  Onn Jaafar untuk  menubuhkan  sebuah  parti  multi-kaum yang  dipimpin orang Melayu,  yang kini  menghantui   UMNO. Itu  sebabnya   pemimpin  Keadilan  menjadi  sasaran  khas: lapan orang  pemimpin   parti daripada  sejumlah  sepuluh  orang  yang  dikenakan  tuduhan  ISA  datangnya  daripada  Keadilan.  Parti  yang  ditubuhkan   oleh  Dato’  Onn  dulu  (IMP: Independence of Malaya  Party) telah  diasaskannya  sebaik sahaja  beliau  undur  daripada  UMNO. Parti   itu  kantul kerana  dia tidak mampu  menarik  sokongan orang  Melayu.  Lima puluh  tahun  kemudiannya, Keadilan muncul  dengan konsep yang sama  dan tidak  pula  mengalami  masalah  yang  serupa.  Cuma,  parti  DAP  menuduhnya  kerana  mencuri  ahli-ahli  Cina  daripada  kalangan  partinya.

Kemelut yang   dicetus  Perdana  Menteri  itu  adalah  satu  gambaran jelas  betapa  rapuhnya  kuasa  yang  ada  di  tangannya.  Dia cuba  menonjolkan satu  peranan baru untuk dilakonkannya,  tetapi  dia  sudah  sedar  semua  itu  adalah  perkara  mustahil  belaka.  Pelbagai  isu  yang  masih  terbengkalai  tanpa  penyelesaian selama  dua  dekad  dia memegang tampuk  kuasa, kini  membesar  laksana  satu  raksasa yang sedia menelannya  di  saat-saat  kuasa  yang  ada  itu  semakin  galak  terlucut  daripada  pegangannya.  Bukan  menjadi satu  rahsia  lagi  betapa  dia  dan Tun  Daim menteri  kewangannya  tidak  lagi   bersahabat baik,  dan berkemungkinan  besar  akan  mencetuskan  satu  pertembungan besar  membuatkan   asas  penubuhan  UMNO   turut   bergegar.  Masyarakat  Melayu   sudah  lama  mengengsotkan  sokongan mereka terhadap  UMNO  dan  para   pemimpinnya,  sambil bersedia menunggu  sesiapa  juga  yang  muncul  sebagai  jagoan  yang terbaru.  Lagi  lama  UMNO  melecehkan  jalan  penyelesaian  yang mendera  mantan timbalan  presiden  partinya,  Dato’ Seri  Anwar   Ibrahim,  lagi  cepat  langkah  parti  itu  menghala arah  bilik mayat  politiknya.  Dr. Mahathir semakin galak  mengeluarkan  kenyataan  yang  dibuai perasaan panik dan  tekanan  sambil  mengharapkan  simpati segala sokongan yang meminggirinya  ketika  Anwar ditangkap   untuk didera,  dulu.  Inilah  yang membogelkan  keadaan   UMNO yang  menggigil kerana  ketakutan  disebabkan  sokongan  Melayu   yang  sudah  jauh  menghilang. Usaha UMNO memancing sokongan warga Cina  di  Sabah  adalah  satu  petunjuk betapa  UMNO  sudah semakin  gelabah  kerana  sokongan Melayu  yang sudah lama berubah.


MGG  Pillai
pillai@mgg.pc.my
diterjemahkan oleh  SPAR01-13

Bilangan pembaca:orang


"Maka setelah mereka berlaku sombong, takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!!" - 166 Surah Al-A'raaf