Ancaman Pendatang Tanpa Izin (PTI) Di Sabah

Siri1

Isu ini sudah berlarutan dan berpanjangan terutama sekali sejak zaman Parti Berjaya/BN pimpinan Datuk Harris Salleh lagi, walaupun zaman USNO/BN juga sudah ada bayangan itu, tapi tidaklah seteruk zaman Berjaya/BN tahun 80an dulu. Hari ini kepimpinan BN Sabah di bawah KM baru dalam sistem penggiliran itu Datuk Chong Kah Kiat telah membayangkan dasar pemerintahannya ada tiga isu utama Sabah akan ditangani oleh beliau, termasuklah isu PTI di Sabah yang sudah berada di peringkat serius lagi kronik akan ditangani dengan lebih berkesan. Sebelum ini, sudah lima KM Sabah dalam sistem gilir-bergilir itu tidak ada yang cuba hendak mengatasi isu PTI di Sabah secara lebih serius.

Rakyat Sabah merasa lega dan syukur, kerana KM baru Datuk Chong mempunyai hasrat itu, kebetulan beliau merupakan ADUN Kudat yang juga merupakan kawasan ramainya PTI, pasti KM dapat melihat dan merasakan akan kesan negatif kepada keselamatan rakyat dan negeri Sabah khususnya ekoran kebanjiran PTI di Sabah dalam masa jangka panjang. Baru-baru ini di DUN Sabah, semua ahli-ahli DUN kerajaan dan pembangkang seia sekata atau dengan kata lain sebulat suara untuk mengatasi permasalahan PTI ini dengan terbentuknya sebuah jawatankuasa bagi menangani PTI di Sabah. Rakyat mengharapkan kesepaduan yang ada antara ADUN kerajaan dan pembangkang itu akan menghasilkan suatu yang terbaik lagi positif demi kedaulatan undang-undang negeri dan negara, keselamatan rakyat, negeri dan negara keseluruhannya.

Rakyat juga mengharapkan jangan lagi ada ahli-ahli politik yang cuba mengambil peluang untuk kepentingan politik sempit dan meraih kuasa   semata-mata, sehingga ada PTI atau bukan warga negara boleh mendapat IC satu dokumen warga negara secara pintu belakang, tanpa mengikut peraturan dan prosedur ketat mengikut undang-undang negara/negeri, hanya bagi maksud membolehkan PTI atau bukan warga negara itu mengundi setiap adanya pilihanraya yang akan memangkah calon BN. Kerana itulah wujudnya pengundi hantu di Sabah untuk memenangkan calun-calun UMNO/BN. Kepimpinan UMNO/BN tidak dapat menghidu bahayanya mainan mereka itu kepada keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara.

Kita harapkan kepada KM baru ini dan barisan pimpinan negeri dan seluruh rakyat Sabah yang masih ada jati diri, maruah dan kedaulatan supaya sama-sama memberikan sokongan penuh kepada tindakan kerajaan untuk mengatasi PTI mengikut peraturan, undang-undang dan sifat berperikemanusiaan. Maksudnya isu PTI adalah isu manusia dan rakyat bukan warga negara yang mengambil kesempatan dari sikap lemah lembut kerajaan dan bermurah hati itu. Akhirnya, mereka merasa selesa tinggal di Sabah hatta melanggar peraturan sekalipun mereka seperti boleh mengelak dari dikenakan apa-apa tindakan undang-undang, walaupun memang ada yang sudah dikenakan tindakan itu. Tetapi yang menyusup ke kampung-kampung dengan mendapat ihsan orang kampung atau di tempat rakan-rakan mereka sudah lama tinggal di situ masih terbiar. Lain lagi yang mendapat jaminan orang berpangkat, tauke dan sebagainya. Kita bukan membenci sesiapa, tetapi apabila PTI sudah bersikap besar kepala atau mereka anggap mereka sudah ada kekuatan, senario ini amat berbahaya, mereka sudah tidak memandang undang-undang negara ini, mereka berbuat semahunya. Apa yang penting mereka ini mesti disedarkan kembali tentang peraturan dan undang-undang negeri atau negara.

Demikianlah, seriusnya masalah PTI di Sabah dan pendekatan berhikmah sangat perlu diambil dengan segera oleh kerajaan disemua peringkat. Kita boleh mempelbagaikan pendekatan, antaranya pendekatan undang-undang, kemanusiaan, agama, kefahaman atau ilmu. Tindakan keras undang-undang tanpa semangat moral, keadilan dan kemanusiaan tidak akan menyelesaikan masalah ini secara baik. Sekian, akan ada lagi artikel berikutnya, insya-Allah.

Ibn Sabah

Bilangan pembaca:orang


"Maka setelah mereka berlaku sombong, takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!!" - 166 Surah Al-A'raaf