Ancaman PTI dan bukan Warganegara Di Sabah (2)

Fenomena PTI dan bukan warganegara di Sabah dianggarkan 600 ribu orang, seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Douglas Uggah di Dewan rakyat tahun lalu, bahawa ada tiga komponen pendatang asing di Sabah iaitu 413,832 buruh asing dan tanggungan yang tinggal dan bekerja secara sah, 57,197 orang adalah golongan pelarian dan kira-kira 100 ribu adalah pendatang tanpa izin. Melihat jumlah ini, kita dapat gambarkan ia suatu yang serius dan kebanjiran PTI ini, walaupun ia disifatkan sebagai fenomena dan proses alam manusia yang normal pada satu segi. Tetapi ia juga merupakan ancaman kepada manusia atau rakyat/warganegara yang mengimpikan sebuah kehidupan yang harmoni, aman dan damai tanpa diganggui oleh elemen-elemen mendatang yang tidak kita undang atau minta terjadi, apa yang sedang berlaku sekarang di Sabah.  

Kita sebenarnya sebagai bangsa merdeka, berpegang kepada ajaran agama, bertamadun dan beradab, tidak diajarkan nilai-nilai negatif untuk memusuhi atau membenci bangsa lain, hatta mereka itu atas namanya pendatang asing sekalipun, kita tetap menghormati setiap bangsa yang wujud di dunia ini. Namun demikian, kita diajarkan jangan berbuat zalim, jangan buat kejahatan, jangan merompak, jangan merosakkan keharmonian masyarakat, jangan memukul, jangan membunuh, jangan merogol, jangan edar dadah, jangan curi IC orang dan lain-lain. Dan kita diasuh ikutlah peraturan dan undang-undang negeri/negara serta patuhilah hukum-hakam agama.  

Sebaliknya, akibat dari kebanjiran PTI ke Sabah teramat banyak masalah timbul dan bertindih-tindih tanpa satu penyelesaian konkrit oleh pihak kerajaan. Masalah itulah sebenarnya ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan rakyat serta negeri Sabah khususnya dan negara Malaysia umumnya. Ancaman itu atas namanya ancaman sosial, keharmonian, keselamatan, ekonomi, pendidikan, politik dan kedaulatan negara.  

Situasi ini menuntut kepada kerajaan negeri dan pusat supaya mengambil satu tindakan dan pendekatan lebih berhikmah dan berani menerusi undang-undang negara, persefahaman antara negara terbabit, kemanusiaan dan juga nilai-nilai agama. Sebenarnya masalah PTI di Sabah bukanlah satu perkara terlalu rumit untuk diselesaikan, sekiranya kerajaan benar-benar ingin mengatasinya adalah mudah dan boleh. Tetapi kerajaan harus bersedia mengenefikan beberapa kepentingan yang bersifat peribadi atau kepentingan kelompok dan kepentingan kepartian tertentu yang tidak menjurus kepada manfaat dan maslahat umum untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat, masyarakat, negeri dan negara.  

Penulis melihat bagaimana mudahnya rakyat asing tinggal, menetap, berniaga dan bekerja di beberapa buah bandar utama di Sabah termasuklah di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu sendiri, warga asing, pelarian dan PTI berkeliaran mencari penghidupan ada yang menjadi pemandu, peniaga, pembantu kedai, juru jual, tukang rumput, berniaga kain rumah ke rumah, di pasar malam, di tamu (pasar minggu), safeguard dan sebagainya. Belum lagi ada yang menjadi tukang/buruh binaan, peladang di ladang koko, kelapa sawit, penanam sayur dan lain-lain. Malahan ada yang memohon menjadi tenaga pengajar agama, imam/bilal di masjid dan sekolah rakyat atau institusi Islam swasta yang mereka ini diberi sokongan oleh orang-orang tertentu dan ada penyokong itu sendiri tidak tahu undang-undang atau akta yang menghadkan atau melarang pengambilan tenaga pengajar bukan warganegara sebelum mereka memenohi syarat-syarat seperti visa atau permit tinggal.  

Pemberian atau pelulusan IC kepada bukan warganegara secara pintu belakang dan tidak menurut peraturan atau prosedur yang ketat yang berlaku di Sabah, belum kita mengambilkan IC palsu, dokumen palsu atau dicuri yang digunakan oleh PTI/warga asing ini yang berleluasa untuk maksud supaya mereka mendapat hak seperti rakyat tempatan atau warganegara. Sampai ada istilah IC projek/IC Mahathir/IC BN. Situasi ini sangat berbahaya kepada kedaulatan undang-undang, keselamatan rakyat, negeri dan negara. Kewujudan dokumen-dokumen serupa ini sebenarnya seperti kita mengundang bahaya dan bencana secara tidak lansung, tetapi mereka orang-orang politik khususnya UMNO/BN tidak nampak semua ini. Yang penting bagi mereka menang pilihanraya dan berkuasa. Dengan kuasa itulah mereka akan mengganas semahu-mahunya.  

Pada tindakan itu sangat tidak sihat untuk politik Sabah dan tanah air kita. Bayangkan satu masa nanti dengan dokumen palsu atau IC projek itu anak-anak bukan warganegara itu memohon pelbagai kemudahan pendidikan, permit berniaga, lesen, tender, mohon jadi pegawai kerajaan, pegawai keselamatan, tentera, polis dan sebagainya. Apakah ini bukan satu ancaman kepada kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negeri Sabah khusus. Dulupun sudah ada dikesan ada anak warga asing memohon jadi tentera. Apa lagi kalau ada keluarga atau anak-anak warga asing menjadi pegawai imegresyen, pegawai pendaftaran, pegawai tanah dan sebagainya, yang pasti lagi mudah PTI akan bertapak dan menjadi warganegara. Apakah pemimpin politik Sabah tidak nampak perkara ini, ia tidak mustahil akan berlaku, seandainya tiada satu tindakan diambil dari sekarang. Baru-baru ini bancian penduduk telah dijalankan, secara kasarnya pertambahan pendudukan di Sabah di beberapa daerah cukup mengejutkan, sudah pasti warga asing juga telah dimasukkan sebagai penduduk tempatan.  

Kerajaan yang berkuasa sepatutnya meneliti sehalus-halusnya, melalui jabatan kerajaan yang terlibat secara langsung seperti Imegresyen, Pendaftaran, Suruhanjaya Piliharaya (SPR), Perangkaan dan lain-lain dituntut lebih peka, sebab perkara ini adalah soal keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara. Kita bekerja bukan sekadar mencari makan minum mengisi perut, mengumpul harta dan kekayaan. Sehingga kita tidak dapat membeza antara amanah, undang-undang, keselamatan negara dan rakyatnya.  

Misalnya, sebagai seorang pegawai di jabatan pendaftaran atau imegresyen apakah kerana wang sekarung dihulur oleh warga asing sebagai pertukaran untuk mendapatkan dokumen IC/permit/visa, kita lebih pentingkan RM daripada keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negara, lalu kita sampahkan taat setia kita kepada sumpah perkhidmatan dan negara. Kita pijak-pijak nilai-nilai amanah, ikhlas dan kejujuran itu. Sedarkah kita, bahawa kita juga mempunyai anak, keluarga dan zuriat, apakah kita sanggup mewariskan bencana dan malapetaka ke atas anak-anak kita nanti.  

Demikianlah, sedikit sebanyak analisis penulis tentang bahayanya ancaman PTI atau warga asing di Sabah, diharap dapat membuka hati, akal dan mata kita semua rakyat Sabah, terutama kepimpinan kerajaan yang ada sekarang, ahli-ahli politik, profesional, agamawan, guru, pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, golongan remaja dan muda-mudi supaya kita dapat memikirkan akan bahayanya ancaman PTI/warga asing di Sabah, sekiranya tidak ditangani secara lebih tegas, berhikmah, berani dan berkesan.

Ibn Sabah

Bilangan pembaca:orang


"Maka setelah mereka berlaku sombong, takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang dilarang, Kami katakan kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina!!" - 166 Surah Al-A'raaf