PTI Di Sabah: Bolehkah ianya diselesaikan? (3)".

Prakata: Isu pendatang tanpa izin (PTI) ini tidak harus dipandang ringan oleh semua pihak. Justeru kealpaan kita sebagai rakyat Malaysia terutama kepada parti-parti BA, maka pengaruh PTI begitu menular dalam kehidupan politik parti memerintah masa kini. PTI kini berperanan untuk menjadi 'dalang' pengekalan dan kesinambungan kuasa atas tiket yang dihalalkan oleh parti memerintah. Justeru itu kita lihat beberapa bulan sebelum menjelangnya pilihanraya umum negara, kerajaan akan mengimport kemasukan PTI ini sehingga kehadirannya dirasakan dapat menampong kekosongan kerusi atau undi yang bakal diperolehi. Saya ingin memberikan amaran ini kepada pemimpin BA khususnya, melalui isu PTI yang akan dan telah disentuh oleh penulis ini bahawa sebarang kealpaan akan membawa padah kepada sistem demokrasi tulen yang bersih dan sistem pilihan raya yang bebas dan adil tidak akan wujud lagi ~ webmaster 

Rakyat Malaysia yang majmuk, khususnya rakyat Sabah yang sensitif terhadap isu-isu semasa tanah air, pasti akan bertanya kepada parti pemerintah khasnya UMNO/BN, apakah kerajaan yang berkuasa serius hendak menyelesaikan masalah PTI yang sudah menghantui berpuluh tahun keselamatan, keharmonian dan keamanan kehidupan masyarakat dan rakyat tempatan serta negeri atau negara. Sikap kerajaan UMNO/BN yang masih tidak bertegas cukup membimbangkan rakyat atau warganegara di Sabah. Rakyat sudah lama terhidu taktik kerajaan UMNO/BN dalam soal PTI atau bukan warganegara ini, bahawa isu PTI atau bukan warganegara sama ada dari Filipina atau Indonesia, Pakistan dan lain-lain yang diberikan IC projek atau apa jua cara bagi menghalalkan mereka mengundi dalam setiap pilihanraya umum negeri sudah tidak boleh ditutup dengan nyiru sebesar manapun nyiru itu, bangkai gajah pasti kedapatan juga.

Kenapa kerajaan yang berkuasa di Sabah tidak dapat melihat akan bahaya atau akibat permainan politik IC projek atau IC palsu itu, sebenarnya satu jenayah kepada negeri Sabah dan negara Malaysia amnya. Kita memberikan dokumen warganegara kepada bukan warganegara secara tidak sah, tidak berdasarkan kepada peruntukan undang-undang negara atau tidak mengikut peraturan ketat. Dengan kata lain, kita lebih rela membocorkan keselamatan negara, mencabul undang-undang negara dan negeri, melalui pemberian IC secara pintu belakang, atas sebab-sebab untuk mempastikan pengundi UMNO/BN akan bertambah dan majoriti dalam kebanyakan kerusi DUN yang dipertandingkan. Demi mendapatkan tampuk kuasa di DUN Sabah dan seterusnya memerintah kerajaan negeri. Teramat mengecewakan kita dan seluruh rakyat Sabah yang majmuk lagi berdaulat dan merdeka ini, kerana ahli-ahli politik Sabah terutama UMNO/BN atas sebab mereka tidak sedar, tidak terbuka akal dan hati untuk melihat bahayanya tindakan mereka itu "mempergunakan undi PTI atau bukan warganegara yang diberi dokumen IC projek/palsu secara tidak menurut undang-undang".

Senario ini menggambarkan UMNO/BN seperti kehilangan jati diri bangsa dan nasionalis kepada tanah air sendiri. Kerana atas nama perebutan kuasa politik dalam sistem demokrasi di Malaysia, mereka UMNO/BN teramat-amat takut kuasa itu hilang kepada parti-parti pembangkang yang ahli-ahli atau pengundi dan penyokongnya adalah terdiri rakyat tempatan, orang Sabah dan rakyat Malaysia yang sah. Maknanya UMNO/BN di zaman kepimpinan era Mahathirisme lebih takut kepada Parti PBS, Keadilan, DAP, PAS dan PRM, daripada PTI atau bukan warganegara yang telah mereka berikan dokumen warganegara secara tidak berperlembagaan atau tidak mengikut undang-undang itu. Pada hal PTI mahupun bukan warganegara itu, kita pasti jati diri bangsa mereka bukanlah warganegara kita, mereka lebih terarah kepada tuntutan kehidupan, material dan mengisi perut. Politik bukan sesuatu yang penting bagi mereka, tetapi dengan sebab mereka memiliki dokumen seperti IC dan sebagainya. Ini sudah menyamakan hak mereka dengan hak warganegara Malaysia, secara tidak langsung mereka akan menuntut hak-hak sebagai warganegara itu akhirnya.

Jadi sebelum terlambat atau sebelum nasi menjadi bubur, kerajaan negeri dan pusat hendaklah mengambil tindakan lebih tegas, berani dan mengikut perlembagaan negara bagi mengatasi apa-apa persoalan yang berkaitan dengan isu PTI, bukan warganegara dan pengundi hantu. Kerajaan yang berkuasa dalam satu-satu negeri seperti Sabah yang diketuai oleh UMNO/BN hendaklah menyedari, bahawa keselamatan dan kepentingan rakyat, negeri dan negara lebih utama daripada kepentingan politik kepartian sempit semata-mata. Apa gunanya parti UMNO/BN selamat atau beroleh kuasa, tetapi rakyat terbanyak tidak selamat, negeri atau negara terdedah kepada bencana atau kemusnahan disebabkan oleh pengaruh PTI atau bukan warganegara di bumi sendiri.

Hari ini di Sabah, terutama di bandar-bandar utama kita akan terjumpa PTI atau bukan warganegara yang mencari penghidupan sama ada sebagai penjual sayur, ikan di pasar, di tamu, penjual rokok, menjual kain dari rumah ke rumah, pemandu, pengawal keselamatan dan sebagainya. Malah ada yang sudah hidup mewah atau lebih baik dari rakyat warganegara. Kenapa situasi ini boleh terjadi, kerajaan boleh memberi peluang dan kebebasan kepada PTI dan bukan warganegara mencari kehidupan sebegitu mudah, tanpa perlu mengikut peraturan yang ketat. Bermakna sistem kenegaraan kita sudah dicabuli, undang-undang dicabuli, kedaulatan kita dicabuli, kedaulatan rakyat dicabuli, sistem kerajaan dicabuli, wibawa rakyat di kampung pun dicabuli oleh kedatangan membanjirnya  bukan warganegara atau PTI di Sabah.

Tidak mustahil hari ini, di Sabah ada ketua cawangan UMNO berasal dari bukan warganegara/PTI yang telah diberi IC projek/palsu. Orang politik yang gila kuasa, gila harta, pangkat dan lain-lain mereka tidak dapat menghidu, apa lagi untuk bertanya kenapa PTI/bukan warganegara boleh jadi ahli/ketua cawangan. Bagi mereka aku sudah banyak pengikut, boleh diangkat jadi calun ketua cawangan, bahagian, calun pilihanraya dan sebagainya, itulah minda atau pemikiran segelintir pimpinan UMNO/BN di Sabah. Soal survival, kedaulatan rakyat, perlembagaan atau undang-undang dan jati diri bangsa, negeri dan negara belakang cerita.

Bolehkah masalah PTI dan bukan warganegara yang mengancam keselamatan, keharmonian, kedaulatan rakyat, negeri dan negara diselesaikan? Jawapan mudah, boleh bagi sebuah kerajaan, rakyat dan negeri yang berwibawa. Kerana kewibawaan itulah kekuatan kita untuk memerintah, mentadbir dan mengurus rakyat, negeri dan negara bersandarkan kepada undang-undang dan perlembagaan negeri atau negara. Oleh itu, kerajaan UMNO/BN Sabah sekarang ini harus dapat meyakinkan diri mereka tentang apakah mereka ada kekuatan dan merupakan kerajaan berwibawa di mata rakyat dan PTI atau bukan warganegara itu.

Penulisan ini, sebenarnya ingin mengajak rakyat Sabah terutama golongan politikus, profesional, cendekiawan,  agamawan, pelajar, muda-mudi dan rakyat Sabah dan Malaysia yang majmuk ini, supaya dapat membuka minda, mata, hati serta akal budi terhadap senario ancaman kebanjiran PTI dan bukan warganegara di Sabah. Isu ini bukan isu remeh, tapi adalah isu keselamatan, keharmonian dan kedaulatan rakyat, bangsa, agama, negeri dan negara keseluruhannya. Kita jangan melihat ia suatu isu politik kepartian sempit semata-mata. Bukan juga bersifat fenomena alam antara negara berjiran atau berakibat dari peperangan di sesebuah negara. Apa jua yang hendak kita ambil tindakan untuk penyelesaian kepada isu khusus ini, kerajaan dan rakyat harus bersatu hati, berpadu tenaga dan mengenal pasti punca utamanya. Sekali lagi kita mengharapkan kepada kerajaan negeri pimpinan KM Datuk Chong Kah Kiat dan barisan kabinetnya dapat mengatasi isu penting ini dengan lebih baik, tegas, berhikmah dan menurut undang-undang negara.

Sekian, terima kasih. Insya-Allah selepas ini penulis akan menyentuh isu-isu semasa lebih menarik lagi.

Ibn Sabah

Artikel ini dibaca oleh seramai :orang