Mengajak PTI dan Warga Asing Hormati Undang-undang Malaysia".

 Kata orang apabila sesuatu perkara atau isu sudah menjadi kebiasaan. Kesannya masyarakat, rakyat dan kita sendiri tidak akan menganggapnya sebagai suatu kelainan, inilah yang terjadi kepada pemikiran rakyat dan warganegara Malaysia di Sabah, mereka sudah tidak dapat membezakan antara hak rakyat tempatan dan warganegara Malaysia dengan PTI/bukan warganegara itu. Akhirnya kita menjadi manusia dan rakyat yang tidak lagi ambil kisah apa jua yang berlaku di persekitaran kita, sama ada ia mengancam sosial, keharmonian, keselamatan, kedaulatan atau kemerdekaan kita. Melainkan apabila hal itu benar-benar mengena batang hidung kita baru kita tersentak, sedar dan bertindak dalam keadaan kita tidak ada persediaan dan tidak juga pernah terfikir hal itu bakal terjadi. Waktu itu, rakyat jadi bangsa yang bingung dan buntu akal fikiran untuk mencari formula penyelesaian kepada masalah baru yang timbul.

Isu PTI dan kebanjiran bukan warganegara mencari penghidupan di Sabah sudah berlaku berpuluh tahun dulu. Sebahagiannya ada yang sudah beranak-pinak atau mempunyai hubungan keluarga dengan rakyat tempatan serta memang ada yang mendapat status warganegara secara sah. Perkara ini tidak kita bimbangkan, kerana mereka menjadi warganegara secara sah menurut undang-undang. TETAPI yang merimas dan membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka, ingin hidup aman, selesa dan damai di tanah air sendiri, ialah PTI dan bukan warganegara yang membuat onar, tidak hormat undang-undang negara, mereka yang mencabuli tradisi, budaya tempatan dengan membawa budaya tradisi mereka yang sangat tidak relevan itu ke sini.

Terus terang kita tidak disuruh membenci atau memusuhi sesiapa, tetapi fahamilah adat resam dan budaya masyarakat tempatan, hormatilah undang-undang negara ini, patuhilah undang-undang negara ini. Jangan sekali-kali membawa atau mengeksport budaya buruk dari negara asal mereka ke negara ini. Bandingkan, apakah rakyat Malaysia boleh memasuki negara mereka secara mudah atau sesuka hati tanpa melalui proses undang-undang dan peraturan yang ketat. Kemudian boleh berniaga, bekerja dan sebagainya tanpa perlu kepada dokumen-dokumen tertentu.

  Penulis melihat beberapa perkara asas undang-undang atau peraturan kita dicabuli sebegitu rupa, manusia pelaksana undang-undang terlalu bersikap sambil lewa, tidak amanah, tidak jujur kepada diri, agama, bangsa, rakyat, negeri dan negaranya, tidak tegas dan juga amalan rasuah berleluasa. Inilah punca kenapa PTI atau bukan warganegara sebegitu mudah mendapat permit, visa, lesen dan lain-lain kemudahan menetap di Sabah. Dalam satu kes, permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama di Sabah, mesti melalui jabatan agama negeri, penulis mendapat maklumat pemohon tauliah ini lebih banyak bukan warganegara terutama dari Indonesia. Mereka mendapatkan tauliah itu dengan maksud bagi menyambung permit tinggal mereka di Sabah, sampai ada satu kes mereka mahu dicepatkan atas sebab permit sudah tamat tempoh. Pada fahaman penulis sepatutnya bagi tujuan penyambungan permit atau visa mestilah melalui Jabatan Imigresen.

  Bukan maksud kita hendak menyekat mereka dari kerja-kerja dakwah Islam di Sabah. Tetapi biar mengikut peraturan yang betul, dan belajarlah kita membiasakan diri bekerja mengikut peraturan dan undang-undang. Dalam banyak kes yang lain yang tidak dapat dikesan atau sengaja dibiarkan oleh kerajaan atas sebab belum berbahaya. Pemikiran inilah selalunya memerangkap kita, tunggu bahaya baru mahu diambil tindakan.

  Kesungguhan pimpinan kerajaan sekarang sangat baik dan positif ke arah mengatasi kebanjiran PTI dan juga bukan warganegara di Sabah. Ekoran itu banyak pihak telah bersama mengambil pendekatan lebih tegas dan menurut undang-undang seperti baru-baru ini kenyataan Pengarah Kesihatan Sabah, DR Saimy Ismail bahawa hospital-hospital akan menghantar warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah kepada pihak berkuasa, sebagai satu usaha membantu pihak berkuasa kerajaan negeri membenteras kebanjiran PTI atau bukan warganegara. Pendekatan ini juga hendaklah diikuti oleh hospital dan klinik swasta di negeri ini. Tindakan ini bukanlah bertujuan menafikan hak asasi warga asing dari mendapatkan rawatan perubatan di negara ini. Tetapi lebih kepada mendidik mereka supaya menghormati undang-undang negara ini, dengan itu mereka akan menyedari bahawa adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana bukan warganegara dan PTI memasuki negara ini secara tidak sah.

  Pendekatan dan tindakan serupa ini sewajarnya dilaksana di semua sektor, premis dan perkhidmatan yang banyak mengambil warga asing sebagai pekerja mereka, dengan mempastikan warga asing memiliki dokumen sah. Dan sekiranya ada yang tidak mempunyai dokumen sah hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa seperti polis, penguatkuasa persekutuan dan imigresen untuk tindakan lanjut. Melindungi PTI dan warga asing adalah satu kesalahan. Sudah sampai masanya rakyat negara ini lebih bersikap bijak, amanah dan jujur kepada diri, keluarga, generasi, rakyat, bangsa, agama, negeri dan negara. Jangan terlalu berlembut sampai orang atau warga asing pijak kepala kita, rakyat tempatan boleh dipermainkan dan boleh dikira bicara dengan pelbagai helah atau rasuah. Sudah sampai waktunya kita mengamalkan budaya ilmu dan memberi maklumat kepada PTI atau warga asing yang ingin mendapat perlindungan, pekerjaan dan sebagainya di tempat masing-masing, kita hendaklah perjelaskan kepada mereka undang-undang negeri/negara ini yang tidak membenarkan PTI menetap permit atau dokumen sah, berniaga tanpa lesen, bekerja tanpa dokumen dan lain-lain. Sikap belas kasihan dan berperikemanusiaan itu memang dituntut oleh agama dan semua bangsa di dunia ini, tetapi mesti bersandar kepada undang-undang, peraturan dan etika setiap negara. Apakah ada kewajarannya kita berbelas kasihan kepada penjenayah, golongan perosak sosial dan pengancam keselamatan, keharmonian dan kedaulatan bangsa, rakyat, negeri dan negara ini.

  Justeru itu, rakyat, ahli politik, korporat dan golongan tauke atau peniaga lihatlah keutamaan-keutamaan antara kuasa, pangkatdan untung perniagaan, keselamatan dan keamanan, keharmonian dan keselesaan. Dapatlah kita tenaga pekerja murah dari warga asing atau PTI tanpa dokumen sah, tapi hakikatnya kita menyalahi undang-undang negara. Mungkin dapatlah kita untung berlipat ganda, namun pernahkah kita berfikir akan keselamatan harta kekayaan kita dari dirompak, hinggakan ada yang diculik, ada tauke ditembak, dibunuh dan bermacam lagi tragedi menyayat hati dan menghiris rasa semua manusia yang normal.

  Akhirnya, marilah kita sama-sama menganjak pemikiran dalam sebuah kehidupan lebih mulia, indah dan aman damai. Di mana semua rakyat Malaysia yang majmuk ini dan juga warga asing yang mencari penghidupan di negara ini hidup dengan menghormati undang-undang negara ini, kata pepatah "di mana bumi di pijak di situlah langit dijunjung", andai nilai ini tertanam dalam diri semua orang dan semua bangsa di dunia ini pasti amanlah dunia, amanlah Sabah dan Malaysia dari ancaman warga asing atau PTI yang sangat membimbangkan kita semua.

  Sekian, insya-Allah kita akan sama-sama menyumbang idea dan pemikiran lebih telus untuk bangsa Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Terima kasih.

Ibn Sabah

Artikel ini dibaca oleh:orang