Politik Baru Di Sabah...

Di Sabah, terkenal dengan gunung Kinabalunya, orang Utannya, Pesta Keamatan dan keunikan adat resam serta budaya suku kaum yang pelbagai. Tetapi Sabah juga terkenal dengan budaya tukar kerajaan atau parti pemerintah, ahli politik lompat parti, tukar parti, politikus berminda/berbudaya katak, bubar parti, tubuh parti baru dan macam-macam lagi. Untuk kali ini penulis ingin menyentuh satu budaya politik baru di Sabah, iaitu mendengar ceramah waktu malam di hotel tanpa diangkut dengan bas atau upah RM atau diberi jamuan selepas diberi ceramah. Bahkan mereka akan diminta seringan hati menghulur derma/sedekah untuk parti dan perjuangan rakyat melalui wadah parti yang akar umbi kekuatannya adalah hati rakyat, jiwa rakyat, tenaga rakyat, sumbangan rakyat dan pemikiran rakyat. Kesedaran inilah yang mengerunkan UMNO/BN di Sabah dalam menghadapi rempuhan kesedaran rakyat bagi mempertahankan kuasa politik mereka di Sabah pada pilihanraya umum negeri sama ada tahun 2003 atau 2004 nanti.

Inilah satu kelainan tentang kesedaran politik baru di Sabah, sudah ada dua tiga kali ceramah terbuka BA diadakan di Sabah, namun penulis hanya sempat mengikuti satu ceramah YB Saifuddin Ismail di sebuah Hotel di pusat Bandaraya Kota Kinabalu pada akhir bulan April, 2001 yang lalu dan kali kedua pada 3 Mei, 2001 pula ceramah YB Haji Mahfuz Omar di Dewan Hongkod Koisaan, Penampamg, kedua-duanya diadakan waktu malam. Dari segi sambutan rakyat Malaysia di Sabah cukup merangsangkan dan meyakinkan bahawa ada kesedaran baru tentang politik di alaf baru dan di abad ke 21 ini. Memang banyak maklumat baru yang tidak disiarkan oleh mana-mana akhbar tempatan atau akhbar perdana yang dikuasai oleh parti pemerintah, tetapi telah diperjelaskan secara berhikmah, baik dan meyakinkan oleh kedua-dua Yang Berhormat dari Barisan Alternatif itu. Tentang penyelewengan, salah guna kuasa, isu kroni, nipotisme, kezaliman terhadap DS Anwar Ibrahim oleh kerajaan pimpinan PM sekarang, keretakan UMNO, sistem kehakiman yang dikongkong oleh penguasa, salahguna wang rakyat menyelamat kroni atau tauke tertentu dan banyak lagi.

Itulah sikap pemerintah sekarang UMNO/BN dibawah pimpinan Dr Mahathir and Kroni's yang menyorokkan kebenaran, menimbus kebenaran dengan pelbagai kepalsuan, penyelewengan dan rasuah. Hampir 20 tahun dia menjadi PM, budaya politik Sabahpun dia tidak boleh nilai secara telus dan bertanggungjawab sebagai seorang PM ketua kerajaan pusat. Ahli-ahli politik Sabah terutamanya pimpinan UMNO negeri seperti tiada wibawa melainkan mendapat arahan dari PM baru boleh buat keputusan, ini termasuklah isu sistem penggiliran ketua menteri "ayam mati" yang dipetik dari kenyataan PM kepada akhbar tempatan sebelum keputusan penerusan sistem giliran itu, ini seperti apa yang dinyatakan oleh Ketua Perhubungan Keadilan Sabah Sdra. Abdul Rahman Yakob semasa berucap bersama YB Saifuddin dulu.

Suasana kesedaran baru politik ini, sebenarnya sudah bermula sejak pemecatan DS Anwar Ibrahim lagi, umpamanya pada tahun 1999 sebelum pilihanraya umum ketika isteri DS Anwar, Dr Wan Azizah wan Ismail dan barisan pimpinan Keadilan pusat mengadakan lawatan ke Sabah di beberapa buah daerah, satu perhimpunan yang sempat penulis hadir ialah perhimpunan di Dewan Hongkod Koisaan Penampang pada hari itu dipenuhi oleh rakyat marhaein pelbagai kaum datang ingin mendengar penjelasan pimpinan BA terutama dari Parti Keadilan cukup menggalakkan. Walaupun, kesedaran dan semangat itu tidak seperti rakyat di Semenanjung, tetapi secara senyap rakyat Sabah sudah terpercik oleh kesedaran itu dan insya-Allah, rakyat Sabah akan merubah lagi parti pemerintah daripada kerajaan negeri yang ada sekarang kepada sebuah kerajaan negeri yang lebih telus dan amanah dibawah gabungan BA dan PBS dalam pilihanraya umum negeri mungkin pada tahun 2003 atau 2004 akan datang ini.

Kita mengharapkan kepimpinan BA Sabah yang mengabungkan Keadilan, DAP, PAS dan PRM supaya dapat menyuburkan dan menyemarakkan terus kesedaran terhadap politik berwajah baru ini dikalangan rakyat Sabah di semua peringkat. Walaupun, sebenarnya kita menghadapi masalah golongan penggerak akar umbi yang berani menentang arus, berani mengkritik dan menyuarakan yang benar lagi hak tidak berapa ramai mahu tampil ke hadapan. Secara senyap pada pandangan penulis rakyat Sabah sudah mual dengan sikap pimpinan UMNO/BN di Sabah, sampai ada ketua UMNO cawangan berlagak sehebat ketua bahagian atau presidennya, cakapnya besar, konon dia ada kuasa itu ini dan bermacam lagi karenah mereka yang cukup tidak menyenangkan rakyat terbanyak. Belum masuk penyakit atau rasukan kebendaan dan RM yang membarah dalam akal budi mereka. Sampai ada yang berkata nak pembangunan, nak RM, nak peluang kerja, biasiswa anak-anak, nak ke universiti, nak dapatkan projek jambatan kampung, tar jalan, tiang letrik, atap, tangki air dan sebagainya mesti masuk atau sokong UMNO/BN. Inilah perangkap pemikiran dikalangan rakyat, rakyat di kampung-kampung tidak terbuka mata, hati dan akal untuk berfikir secara lebih terbuka. Betulkah rezeki itu datangnya dari UMNO/BN, bukan dari Allah SWT, betulkah harta negara seperti kayu balak, hasilan tanaman, minyak dan lain-lain ini merupakan harta benda UMNO/BN atau harta PM, TPM dan menteri-menteri UMNO/BN, bukan sebagai harta kekayaan negara dan rakyat.

Dalam sistem demokrasi, hal-hal inilah mesti dijelaskan kepada rakyat di kampung-kampung, janganlah selamanya mereka diperbodoh oleh UMNO/BN yang teramat tamak dengan kuasa, pangkat dan kekayaan negara yang hanya akan mereka agihkan kepada beberapa kerat pemimpin dan kroni mereka, sementara rakyat hanya mendapat serpihan atau hampas-hampas yang mereka tidak perlukan. Di Sabah, isu ini belum ketara dan tidak begitu difahami oleh rakyat dan masyarakat. Minda rakyat Sabah di kampung-kampung masih terbelenggu oleh cara kerajaan UMNO/BN berfikir, rakyat merasa cukup mana yang ada selagi yang kerajaan sogokan atau agihankan itu cukup mengalas dan mengenyangkan perut, mereka tidak akan menyoal yang lebih dari itu. Kenapa YB itu boleh dapat rumah besar, mercedes besar baru dua tiga tahun jadi YB, kenapa se anu kaya dapat itu ini dari kerajaan, tapi kami hanya dapat sikit, dapat jalan tanah kuning, jalan aspal dan sebagainya. Perkara ini jarang dipersoalkan oleh rakyat di kampung-kampung, walaupun rumah mereka kecil, tinggal dan makan kais pagi makan pagi kais petang makan petang, sungguhpun YBnya, ketua menterinya dan pembantu-pembantu menterinya sana sini banglo, tanah balak dan kereta dua tiga buah.

Rakyat yang sensitif dan berilmu tidak akan menyoal kekayaan siapa juga, asal cara mereka jadi kaya raya itu mengikut jalan-jalan sah, halal dan bukan merompak. Kita bersyukur ada bangsa dan masyarakat kita yang kaya, berpangkat dan berkuasa. Tetapi jangan semua itu menjadikan kita manusia rakus, lupa kewajiban, lupa daratan, lupa agama dan lupa rakyat dibawah yang telah mengangkat kita sebagai pemimpin.

Pendek kata, isu-isu ini cukup relevan ke arah menyedarkan rakyat di Sabah khususnya untuk membudayakan budaya politik baru, politik rakyat sejati, bukan lagi politik sogok, politik wang, politik subsidi, politik rasuah, politik tabur harta di musim kempen semata-mata pancing undi. Pada hal yang sewajarnya semasa berkuasa itulah kita agihankan dan uruskan kekayaan negeri atau negara itu kepada rakyat secara saksama, berhemat dan lebih bersistem mengikut lunas-lunas atau semangat demokrasi. Dalam kepimpinan UMNO/BN terutama zaman Mahathir ini nilai-nilai dan semangat demokrasi ini tidak begitu bernilai, mereka lebih banyak amalkan politik dendam dan peras ugut. Mudah-mudahan orang Sabah akan lebih sensitif dan sedar terhadap nilai-nilai ketelusan, beramanah dan demokrasi sebenar, insya-Allah dengan ini akan melahirkan pula sebuah kepimpinan negeri dan kerajaan baru yang lebih telus, baik dan amanah.

Sekian dulu, insya-Allah selepas ini penulis akan mengulas politik baru Sabah untuk pilihanraya akan datang dengan lebih menarik lagi.

Ibn Sabah

Artikel ini dibaca:orang