MASALAH TUN DAIM 
(The Problem   With    Tun Daim Zainuddin)

Perdana  Menteri telah mengizinkan menteri kewangan, Tun Daim  Zainuddin bercuti selama dua  bulan.  Sepatutnya  dia tidak meluluskan permintaan Daim untuk  bercuti. Rancangan Malaysia  ke-8,  yang  diumumkannya  semalam   (23 April, 01) memerlukan kehadiran beliau,  tetapi dia  dibenarkan cuti  pula.   Tun  Daim pergi ke pejabat seperti biasa, menghadiri   persidangan antarabangsa  dan  Parlimen, seperti biasa, dan tidak akan pergi  ke  luar negara   melainkan   ada  persidangan   yang  memerlukan kehadirannya. “Saya  sedang bercuti,”  katanya dengan bangga kepada pemberita.  Kesihatannya  ternyata baik.  Ketika  ditanya  kenapa  bercuti  saat   genting  ini, dia menjawab: “Apakah  saya tidak berhak untuk bercuti?”. Dato’ Seri Mahathir gembira melihatkan Daim menghadiri Parlimen   mendengar  beliau  membentangkan Rancangan Malaysia ke-8 itu.

Itu bukan  isunya.  Kenapakah  menteri kewangan  dibiarkan  bercuti panjang ketika  kita sedang  dihenyak masalah  ekonomi  yang   sukar? Bukankah dia patut terus  bekerja untuk membetulkan ekonomi negara? Kalau bercuti,  kenapa dia  berada  di  pejabat membelek kertas kerja?   Kalau  dia  meneliti  kertas kerja  alangkah elok dia batalkan cutinya itu supaya  orang lega daripada  dihantui  mainan “wayang kulit-tipu”?  Memanglah tidak  ada sebarang pergeseran  antara  Perdana  Menteri dan Tun  Daim,  seperti  juga tidak ada perbalahan  antara  Mahathir dengan Anwar Ibrahim  enam  hari sebelum   beliau diaibkan daripada kabinet  dan disumbat  di penjara  Sungai  Buluh.

Sebenarnya  banyak lagi cerita yang kita tidak tahu.  Mahathir perlu membersihkan dirinya  untuk meyakinkan kita. Desas-desus  daripada ibukota yang memang saya percaya memberitahu bahawa  Daim telah menghantar  surat  persaraan  yang tidak ada tarikhnya bersama  satu  surat  meminta  cuti,  kemudian  dia  pun  terus  pergi.   Cerita bahawa mereka berdua  sudah  tidak ngam lagi, bukannya berita yang baru. Kisah betapa Tun Daim kerap bercerita akan keistimewaan  yang  tidak sepatutnya diberikan kepada Kabilah Bin Mahathir, bukanlah satu rahsia lagi.  Malahan Tun  Daim memberitahu para diplomat betapa dia jarang berjumpa  orang tua  itu sekerap dulu memang  tidak boleh dinafikannya.

Sebalik  semua itu,  Tun Daim telah diminta  menyediakan akaun UMNO,  yang  di bawah penjagaannya  dan yang  menjadi  punca  kesangsian  umum  disebabkan keadaan  pasaran saham   yang  terus  merudum.  Perdana  Menteri  pun  naik marah terhadap  cara Daim merancang  penyelamatan   saham Tajudin  Ali  daripada MAS,  dan  peranan  dana pencen kerajaan  dalam  penyenaraian TimeDotCom yang dianggapnya  sebuah syarikat swasta  yang dianggapnya gagal. Syarikat ini dikuasai oleh seorang   anak-didik  Daim,   Tan Sri Halim   Saad.    Dengan  lain  perkataan, Tun Daim  tidak boleh bercuti kalau dia berenggang  dengan  segala buku   dan penyata akaun  di Perbendaharaan   dan UMNO.

Akar  umbi  UMNO memang mahukan  Tun Daim menyediakan akaun itu,  dan menganggap beliau sebagai  Rasputin kepada  Mahathir.  Ramai  yang  percaya,  penubuhan Danamodal dan Danaharta  adalah  untuk menyelamatkan   syarikat  yang dikuasai oleh kaum ningrat, para kroni, juak, suku-sakat dan anak-pinak.   Apatah  lagi  apabila Tun Daim menguasai sebanyak  75 persen   semua  kaunter  saham yang tersenarai di BSKL. Setengah daripada kaunter itu  memang dikuasainya hasil pembelian  saham-saham CLOB   yang diamanahkannya kepada  seorang kroni.  BSKL tidak  lagi bertandak  mengikut  rentak  ragamnya lagi. Berita  beliau pergi  bercuti  dan  kemungkinan bersara  untuk mengundurkan diri sudah lama diambil kira. Semakin  ramai  pelabur memandang sepi  kegiatan  pasaran saham termasuklah   usaha saat-saat terakhir  untuk  menjentik  pasaran  sebagai gambaran sentimen  BSKL  yang semakin  mengancam.

Perdana Menteri merenggangkan dirinya daripada Tun Daim  dan  bersedia mengorbankan Daim untuk  menyelamatkan dirinya  pula. Dia  mungkin  terpaksa  mengorbankan lebih ramai tokoh  politik  yang kaya raya  untuk  dilapah oleh akar umbi  yang marah kepadanya dengan tujuan melegakan mereka.  Mungkin  sudah  terlambat  kerja  musibat  itu. Dia memerlukan  seseorang  yang tabah hati dan  penuh  azam seperti  yang ditunjukkan oleh timbalan perdana menteri,   Dato’ Seri Abdullah  Badawi. Kini Mahathir  cuba menyauk ketokohan   seorang  penyendiri di  Langak Golf, yang lebih terkenal sebagai Musang Kelantan, yang bernama  Tengku  Razaleigh  Hamzah. Ada  lapuran mengatakan mereka kerap berhubung melalui  telefon, kadangkala  sampai  dua  jam  lamanya.

Tetapi, terdayakah Tengku Razaleigh   melaksanakan sesuatu yang Dr. Mahathir tidak termampu  dan  mengembalikan kegemilangan UMNO seperti dulu?  Saya tidak percaya semua itu. Namun, kalau diperlukan juga musang pintar daripada  Kelantan  itu  mungkin juga dapat melaksanakannya. Dia  akan masuk melangkah kalau Dato’ Seri Mahathir bertindak meringankan beberapa bebanan UMNO yang meruntunnya selama  ini.  Antaranya ialah Tun Daim,  para menteri besar dan  menteri kabinet   yang korup  dan  kaya  raya, dan juga segala hambatan  yang  perlu  dipertanggungjawabkan sendiri oleh  perdana menteri.

Perkara ini  nampak begitu serius  untuk Mahathir  memulakan usaha itu. Itu sebabnya  dia menganjurkan  agar mereka  yang terlalu kaya diketepikan sahaja dalam (pemilihan jawatan )UMNO,   dan beberapa cadangan yang  sukar  untuk dipraktikkan..  Yang  paling utama kepada perdana  menteri  ialah  untuk  mengelakkan  dirinya dipariahkan seperti bangkai bernyawa. Bukankah dia  yang  memecahbelahkan UMNO menjadi dua  pada 1988  dulu, menukarkan  pergerakan nasional itu  menjadi sebuah parti  politik,  dan membelahnya lagi kerana cara beliau mengaibkan Anwar?  Kalaulah dia berjaya  menyelamatkan dirinya  itu, sudah tentu  ia  merupakan cerita lain pula.

-MGG  Pillai- Selasa 0954: 24 April, 2001. 

MT  Selasa: 24April,2001