ISA  DAN KETIDAKSELAMATAN UMNO

Satu ketika dulu ISA  (internal Security  Act: Akta  Keselamatan Dalaman) digunakan   apabila orang Melayu  naik marah; kini  apabila UMNO yang  berperasaan  begitu. Satu ketika dulu  undang-undang di bawah akta itu  memang diperlukan,  untuk  mengelakkan daripada  adanya  sebarang usaha untuk menjatuhkan  kerajaan. Kini,  ia digunakan  untuk  menghambat  ahli  parti  pembangkang.

Dalam  operasi  penangkapan terbaru, semua  sembilan orang  yang ditahan itu adalah  penentang   UMNO.  Betapa kita  melihatnya, ISA dikuatkuasakan berasaskan  dakwaan  yang  dicurigai  betapa  adanya ura-ura untuk  melancarkan revolusi  bersenjata di  negara  ini.


Pada  masa  dulu,  ketika  ISA  dikatakan  sebagai  alat untuk menahan  mereka  yang  dicurigai sebagai  musuh-musuh negara,  ia  diberikan  takrif mengikut  dua  cara: satu  jalan mudah   ialah  untuk  menahan segala  bedebah; dan  secara  bertentangan dengan  pendapat  umum  (paradoks)  adanya  kesangsian betapa  dinding pun     boleh  bertelinga. Oleh itu  adalah lebih baik kalau kita membisu sahaja.  Daripada  dua  anggapan itu  tidak ada  satu  pun    yang  menyerlahkan  kebenarannya melainkan di  kalangan mereka yang  memang  hampir  gila.


Sebaliknya, Ketua  Polis Negara,  Norian Mai telah mengugut  untuk  melaksanakan  beberapa    tangkapan  lagi..  Timbalan  menteri dalam  negeri  terpaksa menyisihkan  tanggungan kerajaan daripada  tindakan  polis  -  dia berkata  kerajaan  tidak tahu-menahu  sesiapa  lagi  yang akan  ditangkap oleh  polis.



Kerajaan pernah  megnenakan ISA  terhadap  mantan    timbalan  perdana  menteri, Anwar  Ibrahim, pada 1998.  Itu   merupakan  pengalaman Anwar  yang  kali  kedua  dengan  ISA.   Dia pernah  ditahan selama dua  tahun   pada  1973, ketika tercetusnya   demonstrasi  pelajar    memprotes   kelaparan di  Gerik. (Baling sebenarnya  - penterjemah)


Penangkapannya itu merobah sengat  ISA.  Menangkap   seorang  timbalan perdana menteri  dengan menggunakan ISA telah menggoncangkan  kerajaan  ke akar  umbinya, dan  bahana   tindakan itu masih  lagi  berterusan untuk  menghantui  kerajaan sehingga  masa kini. Orang Melayu  tidak lagi takut kepada  ISA.     Kerajaan  bersama  UMNO  dan  juga   pihak  polis  tidak  dapat  mencari  penjelasan kenapa  berlakunya  satu anjakan persepsi yang sungguh dramatik, Namun,  ia  masih  berfikiran akta zalim ini  boleh diguna pakai untuk  mendera  sesiapa  yang mereka suka.



Kerajaan  pernah berjanji  tidak menggunakan  ISA  terhadap  ahli  parti  politik   pembangkang.  Perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad  dan  juga  timbalannya  Abdullah  Ahmad Badawi  memang  telah berjanji  mengenai ini tanpa  syarat.  Tetapi, lapan orang  ahli  Keadilan  sudah  pun ditangkap,  dan  kalau  Norian  Mai  tepat   dengan  kenyataannya, masih  ramai lagi  yang akan diserkap.


Kenyataan  Norian Mai  itu  menunjukkan  ISA  sudah  pun  digunakan  kini  bagi  tujuan  politik.  Kalaulah  unsur-unsur  sabversif itu  sudah diketahui, tentu  polis  boleh menahan  mereka tanpa  ribut-ribut lagi.  Jadi, kenapakah  Norian Mai terus  melalak memberi amaran  terhadap  mereka  yang mahu ditangkapnya  kerana  bersikap  anti-negara  dan aktiviti   militan?





Bahana    Penangkapan Anwar


Bahana  penangkapan  Anwar  di bawah  ISA  pada  1998  telah  memaksa kerajaan  mengelak  menggunakannya  untuk  memerangkap  puak  pembangkang. Apabila kerajaan  melancarkan  penangkapan  terhadap pihak  yang  menentang, dengan menafikan  hak mereka  untuk mengadakan  perhimpunan ataupun sebaliknya,  pihak pembangkang memilih  untuk  melancarkan demonstrasi secara besar-besaran. Polis menjadi bingung dengan fenomena ini dan bertindak di luar  batasan. Gelombang manusia  itu terus  mahu berhimpun juga.


Sekarang, betapapun  polis cuba memberikan alasan  yang dianggapnya munasabah dengan  penangkapan itu, alasan itu  tidak dipercayai lagi.   ISA  disauk  semula  untuk dikuatkuasakan dengan dendam  yang  lama  terperam.  Namun, kumpulan anti-UMNO dan  anti-kerajaan tidak hairan  dengan  tindakan itu.  Lagi  galak ISA digunakan untuk  menekan,  lagi galak  kerajaan menjadi tertekan.


Isu sebenar bukanlah  seperti   yang disebut  oleh  kerajaan  yang  beranggapan   kalau  para penunjuk  perasaan  dan  aktiviti anti-kerajaan  dibiarkan,  ia akan  terus  menular  menjadi  satu  konfrontasi antara kerajaan  dengan pembangkang.



Demokrasi  hanya  boleh  bertapak dengan  suburnya  kalau  ada  pertembungan pendapat  politik  mengenai cara   negara  ini harus  ditadbirkan.  Inilah  yang tidak dibenarkan oleh kerajaan Malaysia. Mungkin ia  bersedia  dengan  pendapat  ini  apabila  ia  sudah  mencengkam  kuasanya  ke atas   orang Melayu  dan  rakyat  Malaysia.  Tetapi,  keadaan sudah  jauh berubah.  Orang Melayu  sudah  mempunyai pendirian berbeza daripada  UMNO. Mereka   mahukan hak untuk  didengar dan  hak  untuk  menerangkan pendapatnya.


Orang Melayu   sudah  bijak memahami apakah batasan hidupnya dan  sudah bersedia untuk  menentukan mereka berupaya  melepasi hambatan  itu.  Inilah satu  iktiqad  yang tidak mudah  ditarik  balik.  Dalam banyak hal keyakinan  diri  ini merupakan satu kesedaran berpolitik.  UMNO melawan untuk merangkul kembali asas sokongan yang pernah dimonopolinya, sedangkan orang  Melayu,  terutama  golongan muda  terus menolaknya. Di  tengah-tengah kemelut  inilah  ISA ditunggang  kembali  untuk  menyekat   kebangkitan  hegemoni  budaya  Melayu  yang semakin  membuak  geloranya.



Inilah yang membuatkan UMNO  bercelaru.  Tekanan-tekanan orang Melayu  inilah  yang menyukarkan  usaha untuk  mengembalikan  sokongan Melayu kepada  UMNO. Tetapi,  para pemimpin yang sudah terkenal kerana  kelesuan, keangkuhan,  tamak dan haloba semakin  sedar  walaupun secara  terkejut,  betapa  usaha  yang  sukar ini  kalau diteruskan juga  akan  menelan  mereka  dan  UMNO   akhirnya.



UMNO  sudah  berpecah kepada beberapa fraksi, di mana cengkaman  pusat    sudah pun semakin  tetas di tepiannya.  Inilah  yang tidak mahu diperakui oleh  UMNO itu  sendiri. Inilah juga  sebabnya  mereka sanggup  bermati-matian  untuk menahannya.



Bahana Kemelut  Fauzi


Pengundian  UMNO  di peringkat   bahagian tidak menghasilkan keputusan  yang diharapkan   oleh  para  pemimpinnya.   Bahana tuduhan Fauzi berkemungkinan  menyebabkan  persaraan  orang  yang dituduhnya sebagai  korup  -  itulah  dia  bekas  menteri besar Pahang  yang   kini menjadi  menteri  penerangan dan setiausaha  agung  UMNO.


Perdana  menteri sudah  pun mengugut  untuk menyekat  orang  yang kaya  raya  daripada memegang jawatan  dalam parti.   Menteri kewangan Daim Zainuddin  mengambil cuti  untuk  dua  bulan  lamanya, sedangkan  dia  amat  diperlukan di Parlimen untuk menerajui   pelancaran  Rancangan Malaysia Kedelapan.


Media  perdana, memang pantas  melaporkan   majlis UMNO secara sambil  lewa sahaja, dan menutup cerita yang   pelik-pelik yang tercetus  ketika mesyuarat dikendalikan.  Cerita sebenar memang  tidak diketahui, tetapi  kumpulan puak Anwaristas telah mencapai  kejayaan. Apa lagi  dengan kemelut Fauzi  yang membuatkan UMNO  menggelupur  kepanasan.

Ada  juga  calon kesayangan perdana menteri yang menang kerusi mereka, walaupun ada  juga yang terpaksa berduka. Kebanyakan yang kecundang   adalah  mereka yang terlibat dalam  konspirasi memenjarakan Anwar dan mengaibkannya  laksana  binatang.  Ketua bahagian yang menang perlu  berusaha  menggerakkan  bahagiannya  semula  dan  menghidupkan kembali  kegemilangan  sokongan lama.

Usaha  seperti itu  tidak boleh dilaksanakan  dengan menggunakan  ISA  terhadap pihak  pembangkang. Ia  tidak akan menarik minat bekas orang   UMNO  untuk  balik  semula menjadi  ahli..  UMNO  menjadi  terkejut beruk  apabila seorang bekas  exco  UMNO menubuhkan  cawangan PAS  terbaru di pinggir  Kuala Lumpur dan berjaya  menarik beratus   tetamu  untuk  menyerikan majlisnya.

Apa  yang UMNO memang  perlukan ialah  satu reformasi dalaman sendiri,  dan  ISA   bukannya  alat  untuk  mencapainya.



-MGG  Pillai-
Selasa 24.4.01.

 

Terjemahan MT