MAHATHIR DAN UMNO: MENGGALI AKAR UMBI KEBAJINGAN
(Mahathir &   UMNO:  What  Is  Root Of  Evil)


Perdana  Menteri    dan  Presiden  UMNO  cuba  menangani  masalah besar yang menghantui UMNO dalam usaha memerangi    politik wang dan korupsi yang berleluasa.

Ketika berucap merasmikan   persidangan  UMNO  bahagian yang dipimpinnya sendiri  di  Kubang Pasu,  Kedah,  Mahathir telah membuat satu cadangan yang memeranjatkan  untuk menghalang orang  yang kaya raya daripada bertanding  sebarang  jawatan  dalam parti; dan ketua cawangan dan bahagian  tidak lagi diberikan kontrak kerajaan.

Untuk menyokong  cadangannya,  Mahathir telah mendedahkan banyaknya   tindak balas yang  diterima  daripada sebahagian besar  masyarakat   dalam  lawatannya seluruh  negara  baru-baru ini.  Ada  satu  konsensus  bahawa  hiraki UMNO  adalah korup  dan mementingkan  diri, sambil mengabaikan tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan  negara. Dengan lain  perkataan, UMNO  sudah  kehilangan sokongan rakyat jelata.

Dengan  mengambil  langkah-langkah  yang dicadangkan  itu, untuk membersihkan UMNO,  Mahathir   merasa yakin  bahawa UMNO  boleh  menarik minat  orang Melayu  untuk kembali menyokong  parti dan  memperbaharui sokongan  rakyat marhaen.    Tanpa  sokongan itu Mahathir  fikir  UMNO tidak  mungkin berjaya memenangi pemilu  yang lagi satu.

Walaupun  rakyat   negara ini  sudah  lama  mengetahui  betapa  UMNO  sudah semakin lemas  di samudera korupsi,   pengakuan Mahathir  secara terbuka  ini merupakan satu  pengakuan yang  ada  kepentingan sejarahnya.

Inilah  pertama  kalinya seorang perdana  menteri  negara  ini  yang  mengaku  betapa  adanya sikap  pilih  kasih  yang meluas dalam pemberian kontrak kerajaan  kepada pemimpin  UMNO.  Perbuatan  ini  adalah  bertentangan  dengan  undang-undang rasuah  negara.    Walaupun Mahathir  tidak  pun menjelaskan perkara   itu, rumusan  terhadap  kesongsangan ini memang  tidak boleh dinafikan  lagi. Kalau penganugerahan semua  kontrak kerajaan  kepada pemimpin  UMNO  dilaksanakan dengan penuh  ketelusan,  kenapa pula  semua  aktiviti itu  telah  mencemarkan  imej UMNO  dan kenapakah  UMNO  memikirkan perlunya  menyekat  amalan  itu  dengan tujuan  menyelamatkan martabat parti daripada terus tercemar? Apakah   ura-ura  menidakkan  kontrak kerajaan    kepada  pemimpin  UMNO seperti  itu  merupakan pencabulan  hak perlembagaan mereka, lebih-lebih lagi  kalau mereka sudah memenangi kontrak selama  ini  melalui   tender  yang bersih dan terbuka?    Apakah cadangan  Mahathir  itu  (menghentikan pemberian kontrak kepada  pemimpin  parti)  mendedahkan betapa kepimpinan UMNO dan bukannya  perkhidmatan  awam, yang membuat  penentuan terhadap pengagihan kontrak kerajaan. Sekaligus  ia  memperakukan adanya campur tangan politik dalam peraturan pentadbiran, yang merupakan amalan  korupsi di  bawah peraturan  undang-undang?

Pengakuannya  berkaitan    amalan rasuah  yang merebak luas itu  menarik tumpuan  kita  kepada satu  lagi kegagalan besar   dalam  perjalanan  Badan Pencegah Rasuah, kerana ia tidak pernah berjaya  mengemukakan  sebarang kes  mengenai amalan rasuah  untuk  dikenakan tuduhan.

Satu  lagi rumusan  negatif yang boleh kita andaikan daripada kenyataan Mahathir itu  ialah   cara beliau berfikir yang tidak lagi   mempunyai   unsur  prinsip moral.   Perhatikanlah betapa dorongan Mahathir untuk menyekat amalan korupsi itu bukannya disebabkan pendiriannya bahawa  amalan itu  adalah salah, tetapi kerana  dia  memikirkan itulah   satu strategi yang baik  untuk menarik   bakat-bakat baru sebagai  jaminan   memenangi pemilu  yang  lagi satu.  Sebaliknya, seorang  perdana  menteri  yang bijaksana  sudah tentu  mengarahkan amalan rasuah  itu  dihentikan sebaik sahaja  amalan itu  dikesan. Tindakan   seperti  itu  bukanlah  kerana amalan itu memang salah, malahan ia  amat bercanggah dengan  perundangan kita.

Soalannya sekarang:   Berjayakah Mahathir   menyintuk  limau  amalan korupsi UMNO  itu,  seandainya  cadangan beliau    dilaksanakan  sepenuhnya?

Jawapannya  semesti tidak,  kerana  Dr. Mahathir   hanya membawa penawar  untuk  mengubati  simptom penyakit  dan  bukan  penyebab penyakit  itu.   Sebagai permulaan,  apakah  yang menghalang  kepimpinan  UMNO daripada meneruskan  amalan pemberian   kemudahan kerajaan  yang dianggap haram  kepada agen mereka, nomini, proksi, anak-kesayangan,  dan sebagainya selagi nama mereka  tidak tersenarai  sebagai  pemimpin  cawangan dan bahagian parti? .  Apakah  yang  boleh menyekat   pemimpin  UMNO   dan  kakitangan kerajaan menerima rasuah  daripada orang awam, yang  tidak pun tersenarai dalam carta orang  yang   mesti  diketepikan?

Adalah  jelas bahawa punca  kepada  segala   bajingan  ini terletak  kepada system yang ada  dan bukannya   pada manusia  yang diberikan kontrak.   Selagi  satu  system agihan tender  yang telus  dan bersih  tidak diwujudkan,   untuk  menggantikan kaedah  amalan korupsi  dan pilih-kasih  dalam pemberian  kontrak kerajaan dan projek penswastaan,  korupsi yang berleluasa akan terus  menjadi amalan harian.

Kita boleh memanjangkan perbincangan ini dengan memikirkan seandainya  sudah  wujud  satu sistem pemberian  tender  itu, apakah  korupsi sudah  boleh dianggap sesuatu yang dapat dibenteras?    Jawapannya   pun  tidak  juga.  Pada kali ini alasannya  terletak kepada ketiadaan  satu  jentera  pembenterasan korupsi  yang bebas  dan  berkesan.  Badan Pencegah Rasuah  yang wujud di bawah bidang   kuasa   Perdana Menteri,  dilihat sebagai satu  lambang  untuk menangkap ikan  bilis dan  dijadikan  satu alat  yang menakutkan   musuh  politik   dan  untuk menghalang   kemungkinan meletusnya  sanggahan politik   di  kalangan kumpulan  bawahan;    sedangkan  ia sepatutnya  diwujudkan sebagai satu institusi  yang dihormati  untuk   menentang amalan    rasuah. Kegagalannya yang berpanjangan  untuk  bertindak  secara berkesan  terhadap  amalan korupsi  di kalangan  orang besar-besar dan    salah guna  kuasa  di kalangan  mereka sudah sampai ke tahap  yang  menjijikkan rakyat  marhaen   sehinggakan  orang yang paling bengap pun tidak  percaya  dengan  keberkesanan agensi  itu  lagi.

Kita memang mudah mencari beberapa contoh betapa  sebuah  badan pembenterasan  rasuah yang  bebas  dan berkesan adalah jawapan kepada  usaha  membenteras rasuah. Contoh  terbaik ialah Hong Kong.  Pada 1970-an  dulu, satu agensi pencegah rasuah yang bebas dan   tidak  tertakluk kepada bidang kuasa Gabenor Hong Kong,  tetapi  kepada  sebuah  kementerian di United  Kingdom,  telah berjaya memperbaiki salah  satu  masyarakat  yang paling korup di dunia bertukar   menjadi  salah satu  kerajaan  yang paling bersih  sekali. Dengan  lahirnya  satu  pentadbiran  yang bersih  di Hong Kong   menjadikan  pulau itu  salah sebuah pentadbiran yang   mencapai kemajuan ekonomi  yang sungguh pesat sekali. Perkara yang sama boleh  dikatakan di sini  mengenai  pencapaian   ekonomi yang menakjubkan  Kali  ini  kita  boleh menjenguk    negara jiran  kita,   Singapura.  Tidak  ada  sesiapa  yang boleh  mencabar  kenyataan bahawa salah  satu  sebab  Singapore   berjaya   mencapai  transformasi yang menakjubkan daripada sebuah  pulau  yang serba kekurangan  menjadi salah sebuah negara  yang terkaya  di  dunia  dan  dikagumi   dalam  satu  masa  yang  singkat  tanpa  merosakkan  martabat negara itu sebagai negara  yang  begitu  bersih daripada rasuah.   Sebagai  tujuan  menjentik minda  kita, seandainya  Singapura  telah mengamalkan korupsi  bajingan  yang dahsyat  seperti  amalan  di  negara  ini,  apakah  Singapura boleh  mencapai  separuh  daripada  kemajuan  yang  telah  pun  dinikmatinya?

Di  Malaysia  kita   pun  mempunyai  formula yang bijaksana  untuk  melonjakkan  kita daripada cengkaman  korupsi.   Caranya  ialah menentukan BPR  itu betul-betul   bebas dan tidak lagi tertakluk  kepada  Perdana  Menteri,  tetapi  kepada   Parlimen. Perlantikannya  bukan dibuat oleh eksekutif tetapi  oleh satu  suruhanjaya   yang  bebas daripada  naungan  politik,  dan  diberikan kuasa  untuk  mendakwa sesiapa sahaja tanpa campur tangan  politik.

Isu  sebenar  yang  menghantui  Mahathir  dan  UMNO  ialah:   Apakah  UMNO mempunyai  keupayaan  politik  untuk berubah sikap  dan keluar  daripada bayangan silamnya yang penuh  rasuah  itu? Ataupun  apakah  UMNO  sudah begitu  berkarat dengan  daki-daki korupsi sehinggakan sebarang   fikiran  mengenainya  merupakan    satu  impian  semata?

Kalau kita  mahu  lebih  berterus  terang  kini,  apakah  cadangan terbaru  Mahathir ini hanya  satu  sandiwara lagi?


-Kim  Quek-
Selasa  24.1.2001

Terjemahan MT