SAKIT BELAKANG, SAKIT HATI DAN SAKIT  MATA
(Back Pain And  Bad  Faith Amidst Black Eyes)


Menteri kesihatan,  Chua  Jui Meng  telah berbohong kepada  Parlimen berkenaan  mantan timbalan  perdana menteri Dato Seri Anwar  Ibrahim. Menteri Luar  Syed Hamid Albar telah menghabiskan dua  hari berjumpa dengan para duta European Union  selepas beliau berjumpa dengan  duta  Asean dan ketua perwakilan  asing, ekoran  perjumpaan  presiden Keadilan, Datin Seri Wan Azizah dengan beberapa  duta  itu mengenai  kesihatan suaminya.   Kerajaan telah menahan sepuluh   orang  di bawah ISA  untuk  memberikan gambaran  betapa ia  sedang  tertekan.  Keadaan tertekan ini turut dibayangkan  oleh   kenyataan  timbalan  perdana  menteri  Dato Sri Abdullah  Ahmad Badawi   apabila  dia  memberitahu  polis bahawa satu  mata lebam sudah mencukupi  dan tidak diperlukan dua atau pun  tiga  lagi.

Kerajaan  telah  menggembar-gemburkan  layanan  istimewa yang  diberikannya  kepada  Anwar di penjara  dan di  hospital, tanpa menyebut  betapa semua  itu  adalah  perkara  biasa  dengan para  politikus, anggota polis dan lain lagi yang  boleh berada dalam keadaan bahaya kalau dibiarkan bercampur gaul  dengan  banduan biasa. Di waktu yang sama kerajaan sengaja  memadamkan sumbangannya kepada  kemajuan Universiti Islam Antarabangsa  pada hari pembukaan rasminya. Untuk  menghenyak keadaan  Anwar lagi, mahkamah telah  menjatuhkan    hukuman  memberikan  Perdana Menteri  RM85,000 sebagai  kos  terhadap  Anwar  dalam tindakan tuntutan malunya.

Keadaan tegang di pihak kerajaan memang tidak  diragukan lagi:  walaupun tiga tahun  sudah berlalu sejak Dato Seri Anwar diaibkan  dia masih  lagi membesar dalam dunia  politik sehinggakan  bayangan ketokohannya  itu  sudah  membayangi setiap tindakan kerajaan.  Dia sudah menghancurkan  martabat    Perdana Menteri Dato Seri Mahathir  yang  masih  mencuba  sedaya  upaya  untuk menonjolkan ketokohannya.  Usaha hapraknya  itu  telah  menyemarakkan  ketokohan Anwar  untuk terus  membesar lagi.  Dr. Wan  Azizah berjumpa hanya   dengan beberapa orang diplomat sahaja, tetapi menteri luar menjadi gelabah dibuatnya.

Yang menjadi isu  serius  sekarang ini  ialah   kesihatan Anwar. Dia sekarang  mengenakan alat  penegang lehernya menunjukkan sakit belakang yang  terpaksa ditanggungnya  memerlukan  pembedahan untuk  memperbaiki keadaan. Politik dan bukannya  perubatan ataupun  pembedahan yang menjadi  penghalang kepada segala-galanya.. Chua telah mempolitikkan  perkara  ini  sambil menabur pembohongan  dan  dakyah   untuk  menegakkan  lakonannya. Dia  berkata Anwar  harus dipersalahkan  kalau dia menolak  perubatan; kerana   Hospital  Kuala  Lumpur  bertaraf  antarabangsa  dan  melaksanakan  480,000  pembedahan dalam  satu tahun. Tetapi dia gagal  untuk menambah betapa hospital belum  pernah  melaksanakan  ‘endoscopic microseurgery’ yang  diperlukan,  malahan  belum ada kemudahan untuk pembedahan  jenis  itu  ataupun  pakar  pelali  yang  mempunyai  pengalaman  dalam bidang  pembedahan  itu.

Kerajaan telah  meletakkan syarat  yang menakjubkan   kepada pakar   daripada  Munich, Dr.Thomas Hoogland,  sebelum dia datang untuk memeriksa Anwar. Secara  terus terang  dia  telah  diberitahu betapa sebuah  bilik  bedah  boleh disediakan,  dan dia boleh membawa masuk  peralatan  kepunyaannya  untuk pembedahan  itu.  Dalam hal ini kerajaan sengaja  mahukan Anwar membelanjakan sebanyak  mungkin .Dr.Hoogland  mengenakan bayaran   antara   US 5,000  dan  US$25,000 (bersamaan  RM20,000 dan RM100,000).  Kalau  dia terpaksa  melaksanakan  pembedahan  itu  di  sini,  dia mesti membawa peralatan  yang  diperlukannya dan ini akan  membuat Anwar  mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya  RM600,000.

Nampak sangat  tujuan  sebenar ialah  membuatkan  Anwar  menjadi seorang  muflis. Dia memang  sudah  menghampiri jurang kemuflisan itu. Kos pembelaannya mungkin  mampu  diselesaikannya. Dia masih  berhutang dan mempunyai  tanggungjawab yang  memakan ratusan ribu ringgit  termasuk RM85,000 yang diperintahkan oleh mahkamah  untuk dibayar kepada  Mahathir.  Memang tidak boleh dibayangkan kenapa peguam  Dr. Mahathir menuntut  kos. Perkara ini kini   menjadi  satu  masalah baru kepadanya.  Kalau  dia memaksa Anwar  menjadi  muflis disebabkan  perkara  itu,  sikapnya  yang suka berdendam, memfitnah dan sengaja  remeh-temeh  akan memburukkannya  lagi. Jika dia tidak membuat  tindakan itu, ini  bererti  sekali  lagi dia kalah dalam pergelutan politik  antara  awing kenit    dan gergasi.

Mahathir akan teraib  lagi kalau Anwar  tidak  sembuh  tetapi terpaksa hidup bergantung  kepada kerusi  roda  ataupun terus melarat keadaannya.  Chua  boleh  menuduh  Anwar yang bertanggungjawab   kerana  enggan dibedah  di Malaysia.  Tetapi, itu bukan sebenarnya.  Keadaan Anwar sudah semakin teruk sehinggakan pembedahan  konvensional  akan  memudaratkannya lagi. Itu sebabnya  dia memilih   ‘endoscopic microsurgery’ kerana ia  tidak terlalu  menyulitkannya dan  membuat pilihan ke atas Dr.  Hoogland selepas  Kedutaan Jarman di Kuala  Lumpur  yang memperakukan  kepakarannya dalam  bidang  ini.  Sebaiknya  pembedahan  itu  dilaksanakan dengan bantuan  ‘local anaesthesia’ (pelalian  bertempat?)  Keseluruhan pembedahan  itu  boleh  memakan sekitar  dua  jam, dan pesakit itu boleh  pulih  dalam jangka masa beberapa hari.

Wan Azizah bersedia meminta  kerjasama  Kerajaan Jarman  agar suaminya itu  diangkut  dengan  pesawat udara  dalam masa  beberapa  hari selepas pembedahan itu untuk  menyenangkan keraguan kerajaan.   Tetapi, kerajaan tidak  akan  bersetuju. Dr. Mahathir berkata kalaulah  Anwar  dibenarkan  keluar  negara, dia  tidak  akan pulang  semula.  Sebenarnya  dia lebih  takut kalau  Anwar pulang  kembali. Anwar mampu  menarik  minat ratusan ribu  manusia  untuk menyambut  kepulangannya  nanti  sedangkan  Mahathir tidak mampu  menarik sekadar  ribuan  sahaja.

Chua telah  mempersoalkan  sikap  kurang keyakinan  Anwar  terhadap  pakar  perubatan   tempatan.   Seperti biasa  dia tersasar   bicara.  Anwar  pernah dilanyak hampir  mati  oleh Ketua Polis Negara ketika dikurung dulu. Kesangsiannya   terhadap masalah pembedahan yang tidak dapat  diperbaiki semula memang sepatutnya  diambil kira. Ini  tidak  ada  kena  mengena  dengan tahap kepintaran    pakar  bedah  ataupun   petugas  bilik pembedahan  tempatan.  Sikap  ini  harus dibenarkan.

Anwar berada dalam Wad kelas pertama dan  tidak  dirantai kerana dua  sebab utama:  Pertama,.   Kakitangan penjara  tidak  dapat  menjamin keselamatannya dalam  wad kelas tiga yang terbuka, ataupun  dalam wad berasingan di  penjara.  Kedua,  menggari seseorang  yang  mengerang kesakitan  bahagian belakangnya  akan memudaratkan lagi keadaannya,  terutama sekali  kalau keadaan  kesakitan itu memang sudah teruk seperti  yang  ditanggungi oleh Anwar.   Chua juga sengaja tidak mendedahkan  pendapat  kepakaran  pakar urat saraf dan  pakar-pakar perubatan  lain, betapa  setiap  pembedahan mesti dibuat dengan iringan ‘general  anaesthesia’ dan  inilah  yang  dipilih  oleh  Anwar untuk mendapatkan  ‘microsurgery’.

Akta   Penjara  (Prison Act)  mempunyai  hanya  satu  seksyen  mengenai   penyakit  dan  rawatan  perubatan, yang disediakan  oleh  hospital kerajaan. Ia tidak pernah  menjangkakan  adanya satu  kes  dimana  seorang banduan  bersedia membayar  kos  pembedahan  di  luar negara.   Yang anihnya  Akta itu  menegah Anwar  dibedah di hospital tempatan,  tetapi  tidak pula  di  hospital  luar  negara.   Kerajaan sedang gelabah dalam hal ini dan cuba mengelat  dengan mencipta  pelbagai cara menumpulkannya.   Dr.  Hoogland  dibenarkan masuk kerana  ‘endoscopic microsurgery’  ataupun  EMS  tidak disediakan  di  Malaysia.

Chua  dan  kerajaan  telah melancarkan satu kempen betapa  kesetiaan  Anwar terhadap  Malaysia boleh disangsikan kerana dia tidak  yakin kepada institusi tempatan dan peraturannya.  Inilah sebodoh-bodohnya  anggapan yang  tidak  punya relevan.  Kalau kita  menerima-pakai  pemikiran  ini, bagaimana pula kisahnya dengan  Proton  yang  mengenakan  tayar bikinan Thailand, dan  paip-eksos buatan  Indonesia,  sambil memperlekehkan kewujudan  barangan yang sama  bikinan  tempatan?

Yang menjadi  perhitungan sekarang ialah  benda lain: kesihatan  yang berkekalan.  Sanggupkah Chua  menuduh  rakannya  dalam kabinet  waima  Yang Di Pertuan Agong  kerana kurang keyakinan  kepada kemudahan perubatan  disebabkan mereka menjalani  pembedahan  jantung  di  luar  negara; ataupun kalau  rakyat  Malaysia  yang  membeli pakaian mereka dibutik luar negara?  Saya  tidak faham kenapa Chua dan juga  kerajaan  sanggup  menghina martabat diri sehingga ke tahap longkang najis  semata-mata cuba  menegakkan  benang  basah.

Jadi, apa yang kita dapati sekarang ialah keadaan  gencatan.  Anwar  dan  kerajaan  mula-mula  bersetuju   bahawa  EMS  adalah  sebaik  cara untuk  menangani  masalah  perubatan Anwar.  Yang  diperbalahkan sekarang ialah tempatnya. Kerajaan bertegas tempatnya ialah  di  Malaysia, dan Anwar  bertegas  juga  tempatnya  itu  ialah  di luar  negara. Anwar menang juga  dalam dua  cara  itu.   Kalau dia pergi  ke seberang laut ia akan  mencalitkan satu lebam kepada  mata  kerajaan,  kalau  dia  tidak jadi  pergi, mata  yang  lagi  satu akan terlebam  sama.   Tidak  ada  yang  akan merugikan  Anwar  selain dari  nyawanya, tetapi  kerajaan Mahathir  akan kehilangan segala-galanya.

Lagipun sebagai bekas timbalan perdana  menteri tentu sekali  Anwar layak  menerima sedikit penghormatan  yang lebih baik lagi.


-MGG   Pillai-
Harakah. 01-15Mei,2001

Terjemahan MT