UMNO   Perlekehkan Yang  Kaya  Raya   !!
(Dr: UMNO does not  want  the  filthy  rich!)

MGG   Pillai.

(Artikel  asal muncul  di HARAKAH  terkini)

Perdana  Menteri Dr. Mahathir Mohamad,  terpaksa  mundar-mandir  meraih  simpati  dalam  UMNO agar tidak tersingkir.  Keghairahan  kaum  wanita  memasuki  Keadilan  dan  PAS  telah  mendesak  beliau menubuhkan  Puteri  UMNO  khas untuk  mereka  berumur bawah  35  tahun.  Dia  mahu  bincangkan  hal  perpaduan  Melayu  dengan  PAS  untuk  menumpulkan  bisa Keadilan.  Kini   dia  mahu  membawa  reformasi  dalam  UMNO  dengan  menghalang  yang  kaya  raya  memegang jawatan  dalam parti.

Setiap  langkah  yang dianjurkannya  adalah  bertujuan  untuk  mengekalkan  dominasinya   ketika   ahli  UMNO  lebih  selesa  untuk  mengecutkan  kuasanya  itu dan menghumbannya  daripada parti.  Setelah  memimpin UMNO  melakukan  segala  tindak  tanduk  yang  mengaibkan parti itu kini,  dia sedar betapa sokongan  orang  Melayu  terhadapnya  sudah  lama  memencilkan  diri. Satu  prinsip  yang menyebabkan  ketidakpuasan  itu  bukanlah  disebabkan  kuasa  wang  tetapi  kerana   munculnya  orang kaya  baru  yang  berbelanja sakan  untuk  melonjak naik  ke persada  jawatan. 

Perkara ini  memang tidak  diperakui  tetapi  ia  jelas  terpampang sebelum berlakunya  pengundian  UMNO lagi,  apabila  para  pemimpin  mengeluarkan  ugutan   hukuman  berat  seandainya  wang  digunakan  untuk berpolitik, dan ugutan  itu  memang jarang sangat dipraktikkan.   Tiba-tiba,  tuntutan Mahathir   agar  yang  kaya  raya  tidak  diberi  tempat  untuk mewarnai  hiraki UMNO menunjukkan  ia bukanlah  usaha  untuk  menyegarkan  parti  tetapi  untuk  membantu  mempupuskannya.

Apa yang dia mahu  memang tidak  mempunyai  apa-apa erti lagi. Siapakah yang kaya  raya  itu? Bagaimana  menafsirkan  siapa  yang kaya dan   siapa  yang kayap?  Apakah  mereka yang  membalun kekayaan  melalui   “penjimatan  yang  berhemah ketika bertugas’”  - itulah jawapan mereka  setiap kali  disoal BPR bagaimana  mereka menjadi  kaya raya -  dinafikan  hak  memegang jawatan dalam  UMNO? 

Apabila  menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin  pergi  bercuti  untuk  dua bulan, Rancangan  Malaysia Kedelapan  sedang diperkenalkan. Dr. Mahathir telah  melantik  secara tergesa-gesa  seorang penasihat  ekonomi  istimewa. Ini    memberikan kiasan  betapa  perpisahan mereka berdua bukan  berlaku atas  dasar suka sama  suka.   Dr. Mahathir  menafikan  adanya  perbalahan,  tetapi apabila  dia  menafikan  adanya  perbalahan dengan  mantan  timbalan perdana  menteri, enam  hari  sebelum  beliau  diaibkan  pada  1998  dulu,  Dato’ Seri  Anwar  Ibrahim akhirnya  terpenjara  dan  terseksa  begitu  rupa.

Akar umbi  UMNO  memang  marah, jelak dan meluat  melihatkan  betapa para kroni dan sekutu  niaga  Dr. Mahathir  dan Tun Daim naik  melonjak dalam  dunia perniagaan.  Cara dana  kerajaan  digunakan  untuk  menyelamatkan  para  kroni dan sekutu  niaga  melalui  Danaharta  dan  Danamodal  telah dihenyak  lagi  oleh  cara  kerajaan  menyelamatkan  Tan Sri Tajuddin  Ramli, seorang anak-didik  Daim, dalam kemelut  MAS. Begitu  juga  dengan  penggunaan  dana  kerajaan dan  dana wang amanah pencen untuk  menyokong  TimeDotCom yang dikuasai    Tan Sri Halim  Saad.

Jadi, Dr. Mahathir  terpaksa   menggunakan sesuatu  untuk  mengekalkan  sokongan  orang  Melayu.   Dia  pun bertindak  terhadap sesuatu yang  sepatutnya dilaksanakan lebih  satu dekad  dulu. Kaedah  memutar balik  jam  sejarah itu  tidak  akan memberikan kejayaannya, kerana tidak semudah  itu  membetulkan kerja-kerja tipu-menipu.    Kini dia  meminggirkan mereka yang kaya raya  dengan tohmahan mereka adalah segala punca  kemalapan  UMNO,  tanpa  menyebutnya.

Masalah  yang   lebih  besar,  generasi  peniaga era DEB memang sudah   jelek dengan  UMNO  dan tidak mahu  lagi melibatkan  diri  dengan parti  itu.  Kekuasaan  sebenar putar-putar  UMNO  itu  adalah berdasarkan  keakraban mereka dengan  orang yang  sedang berkuasa.  Betapa  pun  pemimpin  UMNO termasuk Mahathir menafikannya,  sebenarnya  yang membuatkan  UMNO bernafas ialah  WANG. Inilah  yang diulang-ulang  setiap kali  UMNO bersidang, terutama  sekali  apabila pemilihan datang menjelang.  Seorang Melayu  yang berminat dengan kerjaya  politik mempunyai  peluang   yang  lebih baik   dalam keadilan  dan  PAS:  dalam  UMNO  dia  mesti   berusaha untuk  menjadi  kaya  raya  dulu.

Apakah cadangan Mahathir  ini  cara  beliau  menentukan  siapa yang  sepatutnya  memegang jawatan  dalam parti? Akar  umbi sudah sibuk dengan angin kencang  betapa tiga orang  menteri  besar yang akan tumbang disebabkan  terlalu  banyak wang.  Begitu juga  dengan  beberapa   menteri kabinet. Mereka  telah membalun terlalu banyak  harta dan  terpaksa  pergi juga. Setiap  kali  BPR  menjengah  mereka  untuk menyiasat kekayaan  seseorang menteri kabinet, adalah sesuai mengandaikan betapa  menteri itu  adalah antara  mereka   yang memang terlalu  kaya  mengikut tafsiran perdana  menteri,  seperti orang   lain  yang disyaki  menjadi begitu.

Apakah  keadaan perdana menteri  menyerang  golongan  kaya  itu merupakan satu  rencana  jangka  panjang beliau  untuk  menjadikan  UMNO  lebih  penting daripada  kerajaan yang dipimpinnya?** Ketua Wanita  UMNO,  Rafidah Aziz  telah  pun  membuka tembelang  rencana  itu  apabila  dia  bertegas  baru-baru ini  bahawa  UMNO  mesti  sentiasa  menguasai  kerajaan, dan bukan  pun  sebaliknya.

Memang ada sedikit  kebenaran  kepada  kenyataan  itu  tetapi  ia  juga  bertujuan  untuk  menyekat tindakan mereka  yang  menyokong  para  penentangnya  dan juga  pencabarnya.  Tengku Razaleigh  Hamzah  bukanlah  termasuk dalam kategori  ini.  Saya  telah  diberitahu  bahawa  dua  manusia ini kerap menghabiskan  masa  yang  lama  berbincang  melalui  telefon  setiap hari.  Nampaknya  mereka  lebih  akrab  lagi  daripada  keadaan  Mahathir  dengan  menteri   kewangan  yang  terpisah  itu.  Tun Daim,  kini  bercuti  dengan segala kemungkinan  untuk menghilang daripada   kabinet.

Semua gerak dan  aksi  ini adalah  bertujuan  untuk  menentukan keunggulan  presiden  parti dalam kerajaan dan  juga  parti.   Rafidah  telah  terpicit telur  tembelang  dengan  mengulas   muslihat    gerakan  itu.  Beberapa  cadangan  telah  diutarakan:  bahawa  Majlis Tertinggi  diperbesarkan  melebihi  43  ahli dan akan melantik  seorang presiden  daripada  kalangan  ahli  majlis  itu, seakan-akan  kaedah  yang  diamalkan oleh  Majlis Peguam  memilih   ahli jawatan kuasanya.  Presiden  kemudiannya melantik   perdana  menteri.  Satu  lagi  cadangan  ialah  tidak membenarkan  menteri  kabinet  menganggotai  majlis  tertinggi seperti yang  diamalkan  oleh BJP  di   India.

Seorang pegawai kerja   parti telah  berpendapat  bahawa  semua ini  masih  samar  lagi,  kerana  yang paling  dirunsingkan  oleh   para  pemimpin  apakah  Persidangan  UMNO  akan  mengizinkan  perubahan  ini.  Apabila  pemimpin  UMNO  mencuba  memansuhkan  peraturan yang  melarang  jawatan  presiden  UMNO  dicabar dalam satu  persidangan khas  dulu, usul  itu  telah  ditolak dengan  kerasnya.  Masalah  itu  masih  berkekalan. Cadangan Mahathir  untuk  menyekat  orang kaya  raya  itu   adalah  sebahagian  bisikan hatinya  mengenai cara  untuk  memperteguhkan  UMNO.  Tetapi, dia  mula-mula  sekali  perlu meyakinkan  UMNO  yang  dia  memang serius  dalam hal  ini,  dan  bukannya  sengaja  berhelah  untuk  terus  berkhidmat secara  kesumat  sampai  kiamat.

-MGG  Pillai-
pillai@mgg.pc.my

Jumaat 27  April,2001.

Terjemahan MT