Mokhzani Nafi Terima   Kontrak   Kerajaan
(Mokhzani  Denies  Getting  Government Projects)

Anak lelaki PM yang kedua,  Dato  Mokhzani  Mahathir telah memberikan penjelasan kenapa dia  mengundurkan  diri  daripada  dunia korporat.   Dia  berkata:   “Kebelakangan ini  terlalu  banyak fitnah  membabitkan  saya dengan  projek-projek  kerajaan.  Tohmahan  itu  adalah palsu  dan saya  rasa ini adalah  satu  usaha  yang tidak bertanggungjawab  untuk mencemar nama saya  dan juga ayahanda saya.”    Sepatutnya dia sanggup bercerita sedikit  bagaimana Tongkah diberikan penswastaan   khidmat  sokongan  di  hospital.  Ketika  tender dibuka, tiga syarikat telah  disenaraikan   untuk dipertimbangkan ke atas  tiga buah kontrak--   bahagian  utara, tengah  dan selatan:  Faber,  Readycare,  Hicom.

Hicom telah  mengemukakan tawaran  yang terbaik. Tetapi, secara tiba-tiba berlaku pula  penilaian semula dan  beberapa criteria ditukar   oleh Unit  Perancang Ekonomi     negara  yang ketika  itu  diketuai    oleh  satu  nama yang cukup terkenal: Tan Sri   Ali Abul  Hassan  (yang kemudiannya dinaikkan pangkat  menjadi Gabenor Bank  Negara dan kini   menjadi penasihat  ekonomi kepada  Perdana Menteri). Hicom telah digugurkan dan Tongkah telah terpilih sebagai  pengganti. Pada waktu  itu  ‘turnover’perniagaan Tongkah  hanya  RM12juta,  setelah diberikan  kontrak  khidmat  sokongan hospital itu turnover  Tongkah melonjak menjadi RM175juta.

Mokhzani  mengaku  sudah keluar  daripada  kegiatan  syarikat yang tersenarai  dengan BSKL,  dengan  terjualnya  segala saham  pegangannya  dalam  Tongkah  dan Pantai. Tetapi  dia tidak pun menyebut  nama syarikat lain  di mana dia masih memegang sahamnya.  Kenapa tidak?  Dia telah  memberikan  wawancara kepada New Sunday  Times  (dan  juga  Utusan Mingguan – penterjemah) yang mencetuskan lebih banyak soalan berbanding jawapannya.   Dia bertegas supaya rakyat Malaysia menghormati tindakannya. Tetapi tidak  pun  memberi ruang untuk kehormatan itu diberikan kepadanya  apabila dia bercakap dengan penuh  angkuh  mahukan  penghormatan kepada segala tindakannya.  Dia berbohong  apabila mengatakan ayahandanya  tidak pun tahu akan  perbuatannya  itu. Orang  yang  membeli  sahamnya  yang bersamaan 32.9 persen saham  syarikat, ialah seorang tuan punya kilang sabun bernama  Mr. Lim Tong Yong.  Tauke  ini  telah mengaku betapa dia telah menghabiskan masa yang agak lama, berbulan lamanya,  untuk membeli semua pegangan saham Mokhzani itu.  Tetapi,  secara tiba-tiba  pula Mokhzani mencuba menelefon si bapa untuk memberitahu apa yang dilakukannya.

Dia mengungkit  kisah  anak-anak Suharto yang  menjadi kaya  raya. Mereka menerima kekayaan itu  kerana ayah yang sungguh sayang  dan  memanjakan  mereka. Dalam kisah Mokhzani, beliau  mempunyai  seorang  ayah  yang garang yang melarang anak-anaknya terlibat dalam urusniaga kerajaan. Inilah  cerita  yang beliau  hamburkan kepada para wartawan yang mudah  dimanjakan  dan mengharapkan kita semua mempercayainya.  Kalau dia dan semua  malaun  yang setongkang dengannya tidak membenarkan orang luar menyelongkar   muslihat   putar belitnya,  sudah tentu segala motif tindakannya boleh diragukan. Masanya tindakan itu dilaksanakan  adalah memang amat bertepatan.  Dia  masih tidak memberikan penjelasan kenapa dia angkat kaki daripada projek kontrak hospital  yang  bernilai  RM350 juta setahun.

Apakah  tindakannya itu  ada kaitan dengan  peristiwa yang berlaku  semasa dia  mengambilalih  Pantai  yang  sudah menjadi satu isu  perbalahan?  Dia  pernah  menceritakan  kepada seorang  bekas wartawan ‘The Sun’    bagaimana  pengambilan Pantai dilakukan  menerusi sebuah  syarikat  di  Hong Kong   di  mana semua  pihak  adalah  pemegang saham syarikat  Hong Kong itu.  Inilah  pendedahan yang menjerat  kaki Mokhzani sekarang.  Wartawan itu  sudah pun  disingkirkan oleh majikannya kerana menulis  cerita  itu.  Tidak  lama lagi, Mokhzani akan muncul sebagai seorang  saksi   di Mahkamah  Arbitration Industri   (Industrial Arbitration Court)  pada bulan  hadapan.

Terlampau  banyak benang-benang  halus  yang tidak jelas dalam rentangan  kain   kelentongan korporat  ini.  Mokhzani ialah  sebiji  bidak  dalam percaturan  peperangan politik antara ayahandanya  dan  menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.  Seperti  yang berlaku  kepada  keluarga  Suharto,  kabilah  Bin Mahathir  akan terhumban di tepi jalan  keaiban  sebaik  sahaja  muncul satu regim  yang baru  menggantikan  Dr.  Mahathir.   Seperti  juga dengan perniagaan  Darulboleh,  para kroni,  juak,  anak-pinak  dan  suku-sakat golongan  ningrat, telah  naik kaya raya  dan  menjalin empayar jaringan  niaga yang  mendapatkan bantuan  pegawai kerajaan  mengikut arahan.  Sistem perbankan negara  adalah satu  contoh bagaimana mereka berjaya  bertindak  secara gelojoh.  Begitu  juga  dengan Danamodal  dan  Danaharta. Pada  satu  ketika  tiga-tiga anak  lelaki  perdana  menteri in  menanggung beban hutang  di Malaysia  dan  Singapura  bernilai  berbilion  ringgit, banyaknya.

Alangkah  peliknya  apabila  hanya  Mokhzani  yang sibuk-sibuk mengenai  maruah ayahandanya.  Tidak pun ada cerita daripada  abang dan  adiknya  yang  cuba  mencontohi  tindakannya. Kalau  mengikut  undang-undang  yang disebutkan Mokhzani,  dia  boleh  menganggotai  lembaga pengarah  kepada  lima  syarikat  sahaja.  Bagaimana pula  kisah  88  syarikat swasta  lain  yang  dikuasainya?  Kalau  dia  mahu keluar daripada  senario korporat  apakah dia  akan  menjual habis  keseluruhan empayar perniagaannya? Apa cara pun  Mokhzani harus dilihat bersih dan  telus. Tetapi,  janganlah dia mengharapkan  rakyat Malaysia  mengalu-alukan  tindakannya  itu  dengan tangan  terbuka.  Sebenarnya ada  muslihat  terselindung di mana  juga. Kalau anda  bersenang lenang  dalam rumah  kaca, anda mesti bersedia menerima  lontaran  batu  ataupun  bata.

-MGG  Pillai-
pillai@mgg.pc.my
Ahad  29/4/2001

Terjemahan MT